Saturday, July 30, 2011

PANDUAN SOLAT KETIKA BERMUSAFIR


Bab 2: Solat Qasar

2.1   Definisi

Solat Qasar bermaksud memendekkan atau meringkaskan solat Fardhu yang empat rakaat (Zohor, Asar, dan Isya’) menjadi dua rakaat sahaja[1].

2.2   Dalil

Dalil pensyariatan solat Qasar adalah seperti berikut[2]:

1. Al-Qur’an: Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan apabila kamu bermusafir di bumi, maka tidaklah berdosa untuk kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu” (an-Nisa’ 101).

Ayat ini menunjukkan bahawa sembahyang Qasar itu dibolehkan sama ada dalam keadaan aman atau dalam ketakutan. Adapun ayat ‘jika kamu takut’ tidaklah menafikan keharusan mengqasarkan solat, tetapi ayat ini sebagai penyataan kepada satu keadaan yang berlaku sahaja, kerana kebiasaan orang yang bermusafir sentiasa terdedah kepada bahaya dan perasaan takut terutamanya kepada musuh.

Oleh itu, terdapat hadis mengenai keharusan solat Qasar ketika aman: Yu’la bin Umaiyah berkata: aku bertanya kepada Umar bin al-Khattob: (Allah berfirman yang maksudnya): “maka tidaklah berdosa untuk kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir”, tetapi sekarang kita telahpun aman, (maka adakah kita masih boleh mengqasarkan solat?) Umar pun menjawab: Dahulupun aku pernah tertanya-tanya sebagaimana dirimu, lalu akupun bertanya Nabi s.a.w. mengenai perkara tersebut, lalu Nabi s.a.w. menjawab: “Inilah sedekah (rukhsoh @ kelonggaran) yang disedekahkan oleh Allah kepadamu, maka terimalah sedekah-Nya” (Muslim).

2. as-Sunnah: Terdapat banyak hadis yang menceritakan mengenai solat Qasar yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sama ada dalam perjalanan menunaikan haji, umrah, berperang dan lain-lain. Antara hadis tersebut ialah:

a. Ibn Umar r.a. berkata: Sesungguhnya semasa aku menemani Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan (musafir) baginda solat tidak lebih daripada dua rakaat, begitu juga Abu Bakar, Umar dan Usman” (Muttafaq ‘alaih).

b. Daripada ‘Umran bin Hushain r.a. beliau berkata: “Aku berperang bersama Nabi s.a.w.dan aku melihat Pembukaan Kota Mekah, baginda berada di Mekah selama 18 malam dan baginda tidak solat (solat yang 4 rakaat) kecuali dengan dua rakaat, dan baginda berkata: “Wahai penduduk negeri ini, solatlah empat rakaat, kerana kami kaum yang bermusafir (kami solat dua rakaat)” (Sunan Abi Daud).

3. Ijma’ Ulama’: Para Ulama’ sepakat mengatakan bahawa orang-orang musafir diharuskan solat Qasar dengan syarat-syarat tertentu.

Solat Qasar ‘azimah (wajib) atau rukhsoh (kelonggaran)[3]

Terdapat dua pendapat di kalangan Ulama’ mengenai adakah solat Qasar ini dikira sebagai ‘azimah (wajib) atau rukhsoh (kelonggaran).

Pendapat pertama: solat Qasar ini dikira sebagai ‘azimah (wajib). Ini bermakna solat Qasar dikira sebagai solat Fardhu kepada seorang musafir. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, satu riwayat daripada Imam Ahmad, dan mazhab az-Zohiri.

Pendapat kedua: solat Qasar ini dikira sebagai rukhsoh (kelonggaran), ini bermakna ia tidak wajib. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Syafi’e, dan pendapat masyhur daripada Imam Ahmad.

2.3   Syarat-syarat Sah Solat Qasar

Terdapat beberapa syarat sah solat Qasar:

1. Seseorang itu hendaklah melalui jarak yang dikira oleh para Ulama’ sebagai bermusafir seperti yang telah dibincangkan dalam bahagian 1.2.

2. Seseorang itu hendaklah berniat untuk bermusafir sebagaimana yang telah dinyatakan di halaman tujuh.

3. Jumhur Ulama’ mensyaratkan: perjalanannya itu mestilah atas urusan yang diharuskan oleh Islam, jika dia bermusafir untuk melakukan maksiat, maka dia tidak boleh solat Qasar. Manakala, Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat: seorang musafir itu masih boleh mengqasarkan solat walaupun dia berdosa dalam perjalanannya.

4. Seorang musafir itu hendaklah melepasi sempadan bandar atau kota daripada tempat keluarnya.

5. Seorang musafir yang hendak solat Qasar tidak boleh berimam dengan orang yang bermukim, menurut Jumhur Ulama’ jika dia berimam dengan orang yang bermukim, maka dia hendaklah solat secara penuh (4 rakaat) walaupun dia mengikut imam bermula daripada tahiyyat akhir. Namun, menurut mazhab Maliki, jika dia tidak sempat mengikut imam secara penuh, maka dia boleh solat Qasar.

Bab 3: Solat Jama’

3.1   Definisi

Solat Jama’ ialah menghimpunkan dua solat iaitu solat Zohor dan Asar serta solat Maghrib dan Isya’ dalam satu waktu dengan sebab-sebab tertentu, dan syarat-syarat tertentu.

3.2   Dalil

Dalil-dalil pensyariatan solat Jama’[4]:

Daripada Anas r.a., beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila bermusafir sebelum matahari condong (sebelum masuk waktu Zohor) maka Nabi s.a.w. menta’khirkan (melewatkan) solat Zohor kepada waktu Asar, kemudian (setelah masuk waktu Asar) baginda berhenti dan solat kedua-duanya (Zohor dan Asar) secara Jama’, dan apabila baginda bermusafir selepas matahari condong (setelah masuk waktu Zohor) maka baginda solat Zohor terlebih dahulu kemudian barulah baginda berangkat” dan mengikut lafaz daripada al-Bukhari: “Nabi s.a.w. menjama’kan (mengumpulkan) solat Maghrib dan Isya’ ketika bermusafir”. Manakala, lafaz daripada Muslim: “Nabi s.a.w. apabila hendak menjama’kan (mengumpulkan)  antara dua solat ketika bermusafir, baginda menta’khirkan (melewatkan) solat Zohor sehingga masuk awal waktu Asar, kemudian bagindapun menjama’kan (mengumpulkan) kedua-duanya”, dan dalam riwayat lain: “Apabila baginda ingin segera bermusafir, maka baginda menta’khirkan (melewatkan) solat Zohor kepada waktu Asar, kemudian bagindapun menjama’kan (mengumpulkan) kedua-duanya, dan baginda  menta’khirkan (melewatkan) solat Maghrib sehingga baginda dapat menjama’kan (mengumpulkan) antaranya (Maghrib) dan Isya’ sehingga hilang Syafaq (cahaya kemerah-merahan di langit) (Muttafaq ‘Alaih).

3.3   Syarat-syarat Sah Solat Jama’

Syarat-syarat sah solat Jama’[5]:

Syarat-syarat sah solat Jama’ Taqdim

Apabila seorang musafir itu hendak menjama’kan (mengumpulkan) solat pada waktu pertama maka beliau perlulah memenuhi tiga syarat:

Pertama: Niat untuk menjama’kan (mengumpulkan) solat tersebut pada waktu pertama. Waktu niat ini adalah ketika mula (takbiratul ihram) solat pertama sehinggalah akhir solat (memberi salam), ini bermakna adalah diharuskan untuk niat Jama’ Taqdim pada mana-mana bahagian solat pertama.

Kedua: Mengikut tertib. Solat pertama wajib ditunaikan dahulu sebelum solat kedua kerana solat kedua adalah dengan mengikuti solat pertama, maka wajiblah mendahulukan solat yang diikuti, malah, Nabi s.a.w. menjama’kan solat dengan cara ini, dan sabda Nabi s.a.w.: “Solatlah sebagaimana kamu lihat aku solat” (Riwayat al-Bukhari), jika solat kedua ditunaikan terlebih dahulu, maka hukumnya tidak sah.

Ketiga: Ditunaikan secara terus-menerus. Ini bermakna tidak boleh dipisahkan antara kedua-dua solat, jika dipisahkan dan tempoh perpisahan antara kedua solat adalah lama, maka batallah niat Jama’, kerana makna Jama’ ialah dengan mengikuti atau menghampiri. 

Syarat sah solat Jama’ Ta’khir

Apabila seorang musafir itu hendak menjama’kan (mengumpulkan) solat dengan menta’khirkan (melewatkan) solat pertama kepada waktu solat kedua maka beliau hanya perlu memenuhi satu syarat iaitu niat, dan waktu niat (Jama’ Ta’khir) ini adalah daripada awal waktu solat pertama hingga tinggal beberapa kadar waktu yang membolehkan beliau solat. Ini kerana, apabila seorang musafir itu melewatkan solat tanpa niat Jama’ Ta’khir, maka solat itu menjadi solat Qadha’ dan bukan solat Jama’. Manakala, syarat tertib solat adalah tidak wajib, ini kerana waktu solat kedua telah menjadi waktu bagi solat pertama, maka dibolehkan bagi seorang musafir untuk menunaikan mana-mana solat terlebih dahulu. Begitu juga tidak disyaratkan terus-menerus ketika menunaikan solat Jama’ Ta’khir, ini kerana solat pertama dan solat kedua adalah seperti solat yang tertinggal (Qadha’) dan solat tunai, maka dibolehkan untuk memisahkan antara kedua-dua solat.


Bab 4: Isu-isu lain berkaitan Solat 

4.1   Solat Jumaat

Hukum Solat Jumaat ke atas Musafir[6]

Solat Jumaat adalah tidak wajib ke atas orang yang bermusafir: Ini adalah mazhab Jumhur (majoriti) Ulama’, antaranya mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e, dan Hambali. 

Dalil Jumhur adalah seperti berikut:
Hadis riwayat al-Baihaqi daripada riwayat al-Bukhari daripada Tamim ad-Dari daripada Nabi s.a.w.: “Jumaat itu wajib kecuali ke atas kanak-kanak, hamba, atau musafir” (Sunan Baihaqi).

Hadis Ibn Umar r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak wajib ke atas musafir solat Jumaat” (Riwayat at-Tobrani).

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda: “Lima golongan yang tidak diwajibkan solat Jumaat: wanita, musafir, hamba, kanak-kanak, dan ahli badiyah (orang Badwi di padang pasir)” (Riwayat at-Tobrani).

Daripada Jabir r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka wajib ke atasnya solat Jumaat pada hari Jumaat kecuali ke atas orang sakit, musafir, wanita, kanak-kanak, atau hamba” (Riwayat ad-Daruquthni).

PENUTUP

Solat itu tiang agama Islam. Kewajipan solat itu sentiasa ada walau bagaimana keadaan kita. Tunaikanlah solat dengan segala kemampuan yang ada mengikut cara-cara yang telah digariskan oleh agama Islam. Bertanyalah kepada Alim-Ulama’ jika terdapat sebarang kemusykilan dalam Ibadat. Semoga Allah membantu kita semua dalam memperbaiki Ibadah kita kepadaNYA..ameen.


[1] Ibid., Haji Ahmad bin Awang, m.s. 1-2.
[2] Ibid., m.s. 3-5.
[3] Ibid., Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa, m.s. 68-69.
[4] Ibid., Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa, m.s. 108.
[5] Ibid., Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa, m.s. 119.
[6] Ibid., Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa, m.s. 120-121.

No comments:

Post a Comment