Friday, December 30, 2011

Macam dah nak mati

"Macam dah nak mati.. Makan tak lalu.. Makin susut berat badan.." Aku terdengar bisikan bicara itu. Lalu tersenyum. Akulah orang yang dibicarakan itu. Ajal kematian itu satu perkara yang pasti.. dan hari ini, aku mendengarnya daripada mulut mereka yang datang melawatku. Benarkah kematian semakin menghampiriku?

Azan Subuh kedengaran. Aku terjaga. Hanya sebuah mimpi. Pertama kali, aku bermimpi sebegini. Aku tersenyum. Aku gembira dengan mimpi ini.. Mimpi yang mengingatkan aku, erti dan nilai sebuah kehidupan. Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku setelah mati..dan kepadaNYA tempat kembali.. Tidur itu mati kecil.. Dan kini aku terjaga dengan nikmat kehidupan, untuk terus mencari bekalan buat kehidupan hakiki di akhirat nanti..

"Apa yang boleh buatkan kita bermotivasi untuk belajar ye? Kadang-kadang rasa malas sangat..Nak siapkan assignments la.. Exams la.. Tension betul..Boleh pulak ko tahan ye.. Haaaaaah.." Sahabatku melepaskan keluhan panjang..

"Em, ingat mati kot.." Aku menjawab bersahaja.

"Ha? Mati? Apa kaitannya? Aku rasa, kalau aku ingat mati, terus rasa takde mood nak belajar..takut aku.." Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin membayangkan jika dia mati. Ya, aku juga takut untuk mati. Tapi..

"Bila kita ingat mati, kita akan lebih menghargai peluang yang ada.. Belajarlah sebaik mungkin, menyiapkan assignments sebaik mungkin..sebab kematian itu pasti.. hargai peluang hidup yang diberikan.."

Macam dah nak mati! Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telingaku. Mimpi yang indah kerana ia mengingatkanku erti kehidupan, ya, kehidupan di dunia, hanya satu episod perjalanan yang akan diteruskan hingga ke akhirat.. Ya, semua yang hidup pasti merasai mati, mati itu bukan pengakhiran kehidupan tapi pengakhiran peluang mencari bekalan, hanya manfaat amalan yang akan terus mengalir.. Kematian bukan pengakhiran kehidupan, tapi satu perpindahan alam, ke alam kehidupan yang abadi, sama ada di syurga atau di neraka, kita semua perlu membuat pilihan, dan aku tidak terkecuali..



Monday, December 19, 2011

Pelajar


Asas seorang pelajar

Kekuatan ruh atau kekuatan dalaman diri seseorang pelajar merupakan asas kepada kekuatan pelajaran itu sendiri. Semakin kuat ruh keimanan seseorang pelajar, maka semakin kuat jugalah kesan yang terhasil daripada pelajaran tersebut. 

Iman dan akhlaq mulia merupakan aspek dalaman utama yang mesti diperkukuh secara berterusan. Ini kerana, Iman itu bukanlah dengan angan-angan tetapi Iman ialah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan amalan dan usaha seseorang. Iman yang mantap akan membuahkan akhlak mulia yang bermanfaat kepada diri dan orang lain. Begitu juga, Hukum dan Fatwa merupakan buah yang terhasil daripada pelajaran yang mendalam berasaskan aspek dalaman seseorang dalam melaksanakan pelajaran. Antara aspek dalaman yang menjadi asas kepada pelajaran hukum dan fatwa adalah seperti berikut:

Ikhlas
Mempunyai niat yang ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT.
عن أبي هريرة رضي الله عنه: حدثني رسول الله صلى الله عليه وسلم: (أن الله تبارك وتعالى إذا كان يوم القيامة ينزل إلى العباد ليقضي بينهم وكل أمة جاثية.
 فأول من يدعو به رجل جمع القرآن ورجل يقتل في سبيل الله ورجل كثير المال فيقول الله تبارك وتعالى للقارىء: ألم أعلمك ما أنزلت على رسولي صلى الله عليه و سلم؟ قال: بلى يا رب قال: فماذا عملت فيما علمت؟ قال : كنت أقوم به آناء الليل وآناء النهار. فيقول الله تبارك وتعالى له: كذبت! وتقول له الملائكة: كذبت! ويقول الله: بل أردت أن يقال: فلان قارىء فقد قيل ذاك.
 ويؤتى بصاحب المال فيقول الله له: ألم أوسع عليك حتى لم أدعك تحتاج إلى أحد؟ قال : بلى يا رب قال : فماذا عملت فيما آتيتك ؟ قال : كنت أصل الرحم وأتصدق ؟ فيقول الله له : كذبت وتقول الملائكة له : كذبت ويقول الله : بل إنما أردت أن يقال : فلان جواد فقد قيل ذاك
 ويؤتى بالذي قتل في سبيل الله فيقال له : في ماذا قتلت ؟ فيقول : أمرت الجهاد في سبيلك فقاتلت حتى قتلت فيقول الله له : كذبت وتقول له الملائكة : كذبت ويقول الله : بل أردت أن يقال : فلان جريء فقد قيل ذاك ) ثم ضرب رسول الله صلى الله عليه و سلم ركبتي فقال : ( يا أبا هريرة أولئك الثلاثة أول خلق الله تسعر بهم النار يوم القيامة )
(أخرجه الترمذي في سننه، باب الرياء والسمعة 4/591، وابن حبان في صحيحه، باب الإخلاص وأعمال السر 2/135، وابن خزيمة في صحيحه، باب التغليظ في الصدقة في الصدقة مرآة و سمعة 4/115؛ قال أبو عيسى هذا حديث حسن غريب، قال الشيخ الألباني: صحيح، قال الحاكم: صحيح الإسناد ووافقه الذهبي، وقال شعيب الأرنؤوط: إسناده صحيح).

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah S.A.W. bersabda kepadaku:  “Allah S.W.T. pada hari Kiamat akan turun untuk mengadili hamba-hamba-Nya dan seluruh umat ketika itu dalam keadaan berlutut.
Maka, yang pertama dipanggil untuknya (urusan pengadilan) ialah seorang yang mengumpulkan al-Qur’an, seorang yang terbunuh di jalan Allah, dan seorang yang banyak harta. Maka Allah berkata kepada orang yang membaca (mahir) al-Qur’an: Bukankah Aku telah mengajarkan kepadamu apa yang telah aku turunkan ke atas Rasul-Ku (al-Qur’an)? Dia berkata: Benar wahai Tuhanku. Allah berkata: Maka apakah yang telah engkau lakukan terhadap apa yang telah diajarkan kepadamu? Dia berkata: Dulu aku selalu menunaikannya (membacanya) pada siang dan malam. Allah berkata: Engkau berbohong. Lalu para malaikat turut berkata: Engkau berbohong. Allah berkata kepadanya: Sebenarnya engkau mahu dikatakan (oleh orang): Orang itu seorang Qari (mahir dalam al-Qur’an), maka sesungguhnya telah dikatakan (oleh orang) sebagaimana itu (yang engkau mahukan).
Dan kemudian didatangkan orang yang memiliki harta. Maka Allah berkata kepadanya: Bukankah Aku telah meluaskan kepadamu sehingga Aku tidak membiarkan engkau memerlukan sesiapa? Dia berkata: Benar wahai Tuhanku. Allah berkata: Maka apakah yang telah engkau lakukan terhadap apa yang telah Aku berikan kepadamu? Dia berkata: Dulu aku selalu menyambungkan tali persaudaraan dan bersedekah. Allah berkata: Engkau berbohong. Lalu para malaikat turut berkata: Engkau berbohong. Allah berkata kepadanya: Sebenarnya engkau mahu dikatakan (oleh orang): Orang itu seorang pemurah, maka sesungguhnya telah dikatakan (oleh orang) sebagaimana itu (yang engkau mahukan).
Dan kemudian didatangkan orang yang memiliki harta. Maka dikatakan kepadanya: Dalam keadaan apakah engkau terbunuh? Dia berkata: Aku telah disuruh berjihad dalam jalan-Mu, maka akupun berperang sehingga aku terbunuh. Allah berkata: Engkau berbohong. Lalu para malaikat turut berkata: Engkau berbohong. Allah berkata: Sebenarnya engkau mahu dikatakan (oleh orang): Orang itu seorang yang berani, maka sesungguhnya telah dikatakan (oleh orang) sebagaimana itu (yang engkau mahukan).
Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk kedua lututku lalu bersabda: “Wahai Abu Hurairah, tiga orang itulah ciptaan Allah yang pertama dinyalakan api neraka dengannya (membakar mereka) pada hari Kiamat”.

Pelajaran ditela'ah dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan yang negatif seperti; marah, jemu, terlalu gembira, didesak oleh golongan yang berkepentingan, atau apa-apa juga keadaan yang menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kerana hati dan fikirannya terganggu. Seseorang itu tidak harus belajar semata-mata kerana tamakkan harta atau kemegahan,dan kepentingan duniawi semata-mata.

Bersedia untuk تراجع (Menarik balik pendapat) dan bersedia untuk melakukan semakan semula ke atas  kajian yang dibuat.
Berilmu, berlapang dada, tenang dan tegas. Keperluan terhadap ilmu adalah jelas iaitu kajian dibuat berasaskan ilmi. Manakala, sikap berlapang dada membolehkan kita untuk mengkaji semula kajian yang dinyatakan serta menarik semula sebarang pendapat jika berlaku kesilapan.



Janji

Dia berjanji
Tak akan pernah berputus asa
terus berusaha
sehinggan detik terakhir nanti
Janji iblis untuk menyesatkan manusia
agar bersamanya
dalam murka..

Tuhan berjanji
akan mengampunkan
selagi hamba
kembali bertaubat kepada-NYA

maka
usah berputus asa
andai berkali-kali
terperusuk dalam dosa yang sama
segera bertaubat menyesal beristighfar kembali kepada-NYA
selagi hayat masih ada
hingga detik terakhir yang bersisa
memohon keampunan-NYA..

Ampunkan kami ya Allah..


Sunday, December 11, 2011

Boleh ke perempuan berkawan dengan lelaki dalam Islam?

"Ustazah, dalam Islam, orang perempuan boleh tak kawan dengan orang lelaki?"
Pertanyaan kawan sekelasku menarik perhatian semua. Kelas yang terdiri daripada wanita sahaja menjadikan kami lebih bebas melontarkan persoalan kepada Ustazah yang kami kasihi.

Ustazah tersenyum. Seperti biasa.

"Em, apa maksud berkawan tu ye? Kalau kawan yang maksudnya lelaki dan wanita dalam Islam itu bukan musuh, maka jawapannya YA, wanita adalah kawan lelaki, boleh berkawan maksudnya kita bukan bermusuh. Dengan kata lain, wanita dan lelaki berkawan dalam saling bantu-membantu menyuruh kepada yang makruf, menegah yang mungkar seperti firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ  
التوبة : 71
Maksudnya: dan orang-orang beriman; lelaki dan wanita sebahagian mereka adalah pembantu kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang dirahmati oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

"Oo jadinya, kita bolehlah berkawan dengan lelaki kalau nak buat program ke.. dalam kelas ke.. masa kelas, belajar sama-sama ke.." Seorang lagi rakanku memberi soalan dalam bentuk kenyataan. Aku hanya menjadi pendengar setia, cuba memahami dan meneliti.
Ustazah tersenyum lagi lalu menjawab; "Ha~ tapi kita ingat.. Dalam Islam semua perkara dan urusan ada batas dan limitasi. Ya, kita ini berkawan dan bukan memusuhi lelaki, tapi ada batas pergaulan dan batas berkawan. Okey, sebelum kita bincang apa batas berkawan dengan lelaki, ustazah nak tanya, ada tak batas pergaulan dan batas berkawan wanita dengan wanita?" 

"Mana ada.."
"Eh, ada, ada.."
"Ada la sikit.."
"Eh, ada ke?"
Kelas sedikit hingar bingar dengan pelbagai jawapan. Ustazah di hadapan hanya tersenyum.

Ustazah memberi jawapannya; "Jawapannya; ada.. Bila kita berkawan dengan sesama wanita, kita boleh pegang, boleh tenung, boleh bergurau senda, bertepuk tampar, selagi mana tidak melampaui batas. Apa batasnya: 
1. Aurat. Kena jaga aurat sesama wanita. Paling minima, pusat ke lutut, jangan dedah peha, masa mandi kat kolah asrama tu, jaga aurat. Masa tidur pun, pastikan aurat tak terbuka, eloknya pakai seluar panjang ye.. Jangan memandang dengan nafsu syahwat.
2. Sentuhan, jangan sentuh bahagian aurat dan bahagian yang menaikkan nafsu syahwat. 

Ustazah menuliskan dua point di hadapan kelas. 

"Kita sekarang di zaman Lesbian dan Gay sudah mula diberi pengiktirafan dalam dunia barat. FIlem-filem, bahan media yang menyokong juga dah berlambak dalam internet. Kena jaga dan lebih berhati-hati.." 

Kalau dengan lelaki yang bukan mahram pula, batasnya ialah:
1. Aurat: Seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Ha~ ni semua dah tahu kan..
2. Sentuhan: Haram menyentuh.
3. Suara: Haram melunakkan suara, sengaja memanjakan suara..
4. Aktiviti bersama tanpa keperluan (Ikhtilat) percampuran bebas dalam permainan, dan sebagainya.
5. Wangian. Tak boleh pakai minyak wangi sehingga boleh terhidu oleh lelaki.

"Ha? habis bedak pun ada pewangi ustazah.. Syampu, sabun.." Seorang pelajar pula memberi komen.

Ustazah masih dengan senyuman manisnya. "Kalau bau bedak/sabun/syampu dan yang seumpamanya tu.. itu kalau duduk dekat-dekat baru bau kan? Sebab tu tak boleh duduk dekat-dekat dengan lelaki. Ha, bagus soalan kamu tu, ustazah tambah lagi satu point.."

6. Jarak. Tak boleh duduk dekat-dekat dengan sengaja.

Kami semua ketawa geli hati. 

Ustazah menyambung lagi: "Ini secara ringkasnya. Jadi, nak belajar bersama-sama, kalau ada keperluan perbincangan dalam kumpulan kena ada Ustazah atau Ustaz yang memantau. Jangan berlebih-lebihan. Seelok-eloknya belajar bersama-sama rakan wanita.. Em, tapi kenapa ye kita rasa lebih seronok nak belajar dengan lelaki bukan mahram? Seronok boleh bergurau senda? Bergelak ketawa bersama-sama? Ha~ dalam Islam, semua benda yang membawa kepada nafsu syahwat itu haram ye sayang.. bahaya.. Sebab itu Allah larang kita mendekati zina.. dan segala pintu-pintunya. Bukan bermakna kita bermusuh dengan lelaki, tapi kita berkawan dengan mereka, menjaga hati mereka, sama-sama ke syurga dengan redhaNya..Batas-batas ini bukanlah kongkongan, tapi ini untuk menjaga lelaki dan wanita agar sama-sama berjaya di dunia dan di akhirat.."

Semua pelajar hanya mengangguk-anggukkan kepala. FIkiran masing-masing dengan persoalan masing-masing. Lebih senang bertanya secara personal. Ada juga yang bertemu Ustazah selepas kelas untuk bertanya lanjut. Aku hanya terdiam memerhati dalam hingar bingar kelas yang baru ditamatkan.

Em~ kesimpulannya, kalau betul seorang Muslimah ingin berkawan dengan seorang Muslim, mahukan teman yang boleh bermesra, kawan yang boleh diluahkan isi hati, bergurau senda, berkongsi pahit manis, suka dan duka.. kena berkahwin dulu, atas akad yang sah yang menghalalkan segala.. Menyalurkan tuntutan nafsu secara fitrah lagi diredhai-Nya.. kalau tidak, kalau bukan dengan akad pernikahan, maka seorang Muslim dan Muslimah itu kena jagalah batas-batas berkawan dengan lelaki ni ye..^_^


Sunday, December 4, 2011

Bila kita menyangka

Kita menyangka
"Em, mungkin ini yang terbaik"..
Dengan segala ilmu yang ada
Dengan segala kuasa yang ada
sekadar ilmu dan kuasa seorang hamba..

Kita menyangka
"Ish, ini tak elok kot"..
Dengan segala ilmu yang ada
Dengan segala kuasa yang ada
sekadar ilmu dan kuasa seorang hamba..

Tangis hiba mendayu
kala yang dicita menjadi sirna
kala yang dibenci menjadi nyata
Oh~ renungkan dengan hati hamba
bersyukur apa yang ada
kerana yang tidak mampu mensyukuri yang sedikit
pasti tidak mampu untuk mensyukuri yang banyak..
syukur dan sabar
istiqamah dalam amalan
takut dan harap
memohon ikhlas dalam perbuatan
cinta dan tawakkal
redha dan qana'ah
hilang segala hasad dan benci
hilang segala tamak dan dengki..

cukuplah Iman dan Islam
itu sebagai satu nikmat..

Sangkakan yang baik-baik
walau pada kita ia buruk
pasti ia yang terbaik
kita memilih
pilihan kita satu tanggungjawab
dipersoal di akhirat sana
natijahnya biar Dia Yang Maha Tahu
lagi Maha Berkuasa yang menentukan


Sunday, November 27, 2011

Layanan

Kebaikan seseorang
tergambar pada lembutnya layanan
sesama makhluk Tuhan

Perasaan kasihan
pada yang lemahnya
seekor kucing yang kehujanan
atau anjing yang kelaparan
semuanya makhluk Tuhan..

Mereka yang tidak mengasihi yang di bumi,
pasti tidak dikasihi yang di langit
mengasihi maka pasti dikasihi
mencintai maka pasti dicintai




Syukur

"Syukur Alhamdulillah" Ungkapan itu bergema.
Seluruh alam turut brirama
Segala pujian buat yang Maha Esa..
NikmatNYA yang tak terhingga
Bantulah kami untuk mensyukuri
untuk menjadi hambaMU yang sentiasa bersyukur
dan mereka itu amat sedikit
maka
masukkanlah kami dalam kalangan yang sedikit itu..

Kematian itu mengingatkan
masa yang ada
nyawa yang bersisa
segalanya perlu digunakan sebaiknya
andai ini malam terakhir
andai ini hari terakhir
buat kita, kami, mereka,
aku, kau, dan dia..
di mana kita?
Semoga di taman syurga..

Friday, November 11, 2011

Mati= Akhir Hidup Duniawi

Bermula dengan pengakhiran. Bermula dengan menyedari bahawa kematian itu pasti. Akhir hidup di dunia ini ialah kematian. Menyedari dengan penuh keyakinan akan hal ini, mendorong seseorang untuk menyediakan bekalan buat hari selepas kematian.. ~Mati itu pasti.

Mengejar bahagia

"Banyak betul kerja yang kau buat? Sanggup kau ye?" Abu memandang Ali yang kelihatan penat berbaring di bilik asrama pekerja.
"Terpaksalah Abu oii.. Kerja banyak maknanya duit banyak, duit banyak maknanya bahagia.." Ali menjawab sambil memejam mata menunggu lena. Solat Maghrib entah ke mana. Yang penting dia perlu memulihkan tenaga yang hilang di siang hari untuk menyambung kerjanya esok hari.

---------------

Bahagia di dunia tidak boleh diukur dengan wang yang bertimbun. Andai Ali (dan sesiapa antara kita) yang bertungkus-lumus bekerja pagi petang, siang malam, hanya dengan pendapat bahawa duit itu membahagiakan, sedangkan jika dia mati pada ketika itu, tanpa solat Maghrib, tanpa menunaikan tugasnya sebagai seorang hamba Allah, bagaimanakah agaknya?

Kematian itu pasti. Maka bersedialah untuknya..


Pilihan Terbaik!

Jika ada 100 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia
Jika ada 10 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia
Jika ada 2 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia..
Bukan kerana kesempurnaannya pada pandanganku,
Bukan juga kerana ketiadaan pilihan selain dia,
Aku memilih dia
kerana aku menyenangi akhlaknya
kerana kelebihannya adalah kelemahanku
dan kelebihanku adalah kelemahannya

...

Pilihanku ini
adakah yang terbaik buatku?
diakah itu?
diakah itu?
hanya Tuhan Maha Tahu..

Namun, jika nanti
yang ada
hanyalah1 pilihan
dan tidak ada dia dalam pilihan itu
kala aku tidak lagi mampu memilih dia
Maka,
aku pun akan menerima sesiapa yang dipilih itu
sbg PMBERIAN TRBAIK dari Tuhanku..
Ya Allah, Ya Tuhanku,
Jadikanlah aku mencintai dan meredhai pilihan yang Engkau berikan
Jadikanlah aku menyayangi seikhlas hati pilihan yang Engkau amanahkan..
kerana aku sebelumnya
hanya memilih berdasarkan ilmu dan rasa seorang hamba..
maka
boleh jadi aku membenci sesuatu sedangkan ia baik buatku..
dan boleh jadi aku menyukai sesuatu sedangkan ia buruk buatku..

Ya Allah
Kami memohon cintaMU
cinta kepada mereka yang mencintaiMU
cinta kepada amalan yang mendekatkan diri kepadaMU
Ya Allah
Jadikanlah cintaMU
lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku, dan air yang nyaman..
Amin~




Thursday, November 10, 2011

Penantian satu kenikmatan?


Penantian itu boleh jadi menyeksakan
memenatkan
memeritkan
negatifkan satu sudut pandangan
Penantian satu penyeksaan?
Buat mereka yang merasakan..

Penantian itu boleh jadi mematangkan
mengujakan
melengkapkan kekurangan
positifkan satu sudut pandangan
Penantian satu kenikmatan?
Buat mereka yang merasakan..

Kita membuat pilihan
positif atau negatif suatu pemikiran..
Lalu aku memilih kebahagian perasaan..

Penantian satu ujian kesabaran
menambahkan kerinduan
bukti kesetiaan..

Kala dalam tempoh penantian
Diri ditingkatkan
Zikir digiatkan
Hingga masa yang berlalu itu jadi mengasyikkan
Tenang dalam keamanan
Senyum dalam kebahagiaan..


Wednesday, November 9, 2011

Terima kasih sahabat..

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti kegembiraan dan kebahagiaan
dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain..
-----------------

"Wah, cantiknya!" Aku teruja melihat poster-poster pemandangan yang dibawanya.
"Nini ambillah satu, kita hadiahkan satu untuk Nini ye. Pilihlah yang mana Nini suka", dia tersenyum lembut kepadaku.
"Eh, takpela.. Kan untuk dijual ni.." Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Takpe, ambil je, kita suka tengok orang lain gembira dan bahagia dengan pemberian kita.." Paksaan lembutnya yang masih bertali arus, membuatkan aku mengalah akhirnya dan memilih salah satu daripada poster-poster tersebut.
Diam-diam aku turut berazam untuk bergembira dan berbahagia dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain.
-----------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti sokongan dan kekuatan
dengan menyokong dan meniupkan kekuatan buat orang lain..
----------------

"Jom masuk pertandingan ucapan awam!" Aku mengajaknya menyertai dengan penuh semangat.
"Nini masuklah! Kita bagi sokongan ye.." Mukanya berseri-seri.
DI hari itu. Aku memberi ucapan dengan penuh keyakinan. Walaupun tidak ramai yang memberikan perhatian, namun aku dapat melihatnya tersenyum di belakang, penuh perhatian terhadap setiap patah kata yang kuucapkan.
Diam-diam aku berazam, aku juga ingin menjadi kuat, dengan memberi sokongan dan meniupkan kekuatan buat orang lain.
---------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti ketabahan dan pengorbanan
dengan mengorbankan kepentingan diri demi orang lain..
--------------

"Kenapa tak beratur ambil nasi percuma?" Aku bertanya kehairanan. Di bulan Ramadhan, nasi diberikan percuma kepada para pelajar. Cuma, kadang-kadang jumlahnya tidak mencukupi untuk semua.
"Takpelah, Nini pergilah beratur dulu ye. Kalau orang terakhir beratur dah dapat nasi, kalau ada lebih, baru kita ambil, kalau takde, tak mengapa. Kita beli roti pun dah kenyang sebenarnya".
"Oh~ takpelah, kita tunggu sama-samalah.." Aku menirunya.
------------

"Isteri kedua?" Aku terkejut.
"Tak apalah. Mak ayah kita nak salah seorang daripada anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki ni. Takde siapa antara adik beradik kita yang nak. Jadi, kita kata biar kita yang kahwin dengan dia. Tak mengapa, yang penting redha Allah dan redha kedua ibu bapa". Dia tersenyum manis.
"Sedihnya.. tak tahu nak cakap apa lagi..", mataku bergenang.
"Nini jangalah menangis.. Tengok, kita tak menangis pun.." Dia ketawa ceria.
------------

Berkahwin di usia muda. Ketika masih menuntut di IPTA. Aku mendoakan dia semoga sentiasa bahagia, di dunia dan di akhirat sana..

Sahabat..
Segala apa yang telah aku pelajari
daripada dirimu
semoga mengalir pahalanya buatmu jua
aku juga ingin kau bahagia
kerana aku bahagia melihatmu bahagia
sebagaimana kau berbahagia
dengan berbahagianya orang lain..
Terima kasih sahabat..
-------------

10 tahun berlalu. Kini kami dalam lingkungan 30-an. Saling berhubung menerusi emel, sms dan telefon, namun tidak bertemu muka. AKhirnya, berpeluang bertemunya semula di majlis reunion yang amat menggembirakan. Aku menangis dengan deraian air mata bahagia.
"Comelnya anak-anak Nini!" Dia mencium pipi dua orang anak perempuanku yang malu-malu.
"Ni anak perempuan kita.. Dah darjah tiga. Maklumlah, ibunya kahwin awal" Dia ketawa ceria.
"Mana ayah?" Aku bertanya anaknya mesra sebaik sahaja dia selesai menyalami dan mencium tanganku.
"Ayah dah meninggal dua tahun lepas.." Jawapannya mengejutkan diriku. Aku memandang sahabatku dengan wajah terkejut tidak percaya. Dia tidak pernah memberitahuku kala kami berhubung di alam maya.
"Kenapa senyap saja, kalau dengar berita orang meninggalkan kena cakap sesuatu, ke dah lupa?" Dia bersahaja, berkata dengan nada bergurau.
Aku perlahan mengucapkan istirja'. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNYA kita semua akan kembali..
--------------------

Aku tidak bertanya kenapa dia merahsiakan khabar ini kepadaku. Aku tidak bertanya kerana aku tahu jawapannya. Dia, mahu aku bahagia. Dia, tidak mahu aku bersedih disebabkan dia. Aku memahaminya. Aku kagum pada dirinya. Setelah itu, aku mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai guru ganti dan menjual pisang goreng di waktu petang untuk menyara tiga orang anaknya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Kesusahannya dipendamkan sendiri. Aku cuba menghulurkan sedikit bantuan kewangan memandangkan aku mempunyai pekerjaan yang tetap lagi lumayan, namun ditolaknya dengan baik. Aku melawat ke rumahnya, dan kedengaran anak-anaknya berkata, bestnya kalau ada ayahkan? Kala itu, dia di dapur membuatkan air untukku. Walau telah aku tolak, namun dia berkata, "Tak sudi ke minum air yang kita buat?" Apa lagi, air yang dibuatnya kuminum sehingga licin. Wang yang ditolaknya, kuberikan kepada anak-anaknya sahaja.
-----------------

"Abang nak kahwin lagi tak?"
Tersembur air teh yang diminum suamiku kala mendengar pertanyaan itu.
"Eh, kenapa tiba-tiba cakap macam ni?" Dia bertanya kehairanan. Suasana petang yang indah itu memberikanku kekuatan untuk melahirkan rasa hatiku. Kuceritakan perihal sahabatku. Sejak dulu hingga kini.
"Kalau macam tu sikap kawan Nini, mesti dia sendiri pun tak nak kahwin dengan abang..Takkanlah dia nak ambil suami sahabat sendiri.." Suamiku kembali menghirup teh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ketawa kecilnya masih bersisa. Aku hanya tersenyum di sisinya. Sudah 5 tahun kami berkahwin dengan dikurniakan dua orang cahaya mata. Alhamdulillah!
----------------

Puas kupujuk dia. Kepakaranku dalam bidang psikologi digunakan sebaiknya. Ah~ air pun boleh melembutkan batu, apatah lagi aku seorang sahabat. Dia, akhirnya bersetuju. Menjadi maduku, menjadi ibu buat anak-anakku sebagaimana aku akan menjadi ibu buat anak-anaknya. Anak-anaknya yang turut berada di situ bersorak riang. Mereka akan punya ayah! Alhamdulillah!
---------------

"Abang.. Please.. Abang.." Aku merayu-rayu. Tidak kusangka, suamiku tidak mahu.
"Abang.. abang tak kesian ke kat Nini, letih-letih Nini pujuk sahabat Nini.. Tolonglah bang.. dia dah pun setuju bang.. anak-anak dia pun dah happy sangat dah.. tolonglah.." Mengalir air mataku. Tak dapat kubayangkan betapa hancurnya hatiku bila suamiku menolak.
"Bagi abang masa seminggu untuk berfikir.. Perkara besar macam ni, bukan senang-senang je.. Nini, Nini, kenapa Nini tak tanya abang dulu?" Suamiku kelihatan resah. Dia memegang kepalanya lagak orang kepeningan.
"Nini kan dah tanya. Abang kata, sahabat Nini yang tak mahu. Abang tak katapun yang abang tak mahu.." Aku meneruskan pujukan dengan air mata.
"Alahai Nini, kenapalah Nini buat macam ni.. Abang tak kata abang tak mahu, tak bermakna abang mahu.." Dia memejamkan matanya kejap. Mungkin tidak mahu memandang wajahku yang bermadikan air mata.. Oleh kerana aku tidak dapat menayangkan wajahku yang bermandikan air mata, esakan tangisku dikuatkan sedikit. Semoga telinganya yang mendengar esakan ini, dapat melembutkan hatinya. 
---------------

bersambung..

Tuesday, November 1, 2011

Wahai Suamiku


يا زوجي
Wahai suamiku
أنعم الله علي بك
Allah telah mengurniakan kepadaku nikmatNYA melaluimu
أنت في قلبي
Dirimu dalam hatiku
صابر
Seorang yang sabar
صالح
Seorang yang soleh
سبحان الله الذي خلقك
Maha Suci Allah yang telah menciptakanmu
وجعلك إمامي
dan menjadikan dirimu Imamku
الحمد لله الذي أهداني ووهبني أنت
Segala puji bagi Allah yang telah menghadiahkan dirimu buatku
يا زوجي
Wahai suamiku
أنت تسمو في عيني
Dirimu amat mulia pada pandanganku
كل يوم يزداد حبي وشوقي لك
Setiap hari cinta dan rinduku padamu makin bertambah
أنت حبيبي بعد حب الله ورسوله
Dirimu adalah cintaku selepas cinta kepada Allah dan RasulNYA
اليوم
Hari ini
اليوم عرسنا
Adalah hari perkahwinan kita
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون مخلصة
untuk menjadi seorang isteri yang ikhlas
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون وفية
untuk menjadi seorang isteri yang setia
أمام كل أقاربنا
di hadapan semua kaum kerabat kita
أمام كل عشيرتنا
di hadapan semua ahli keluarga kita
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون زوجة صالحة
untuk menjadi seorang isteri yang solehah
أشهد الله أني راضية عنك
Aku bersaksi kepada Allah, sesungguhnya aku meredhai dirimu..
وأرجو أنك راض عني
dan aku berharap semoga dirimu juga turut meredhaiku..
يا زوجي
Wahai suamiku
أحبك في الله
Aku mencintaimu kerana Allah ^_^