Thursday, April 23, 2015

UNTUK IKHLAS


"Ustazah, macam mana nak pastikan diri kita ikhlas belajar kerana Allah?" Soalan cepu emas daripada pelajar.

Ustazah menelan air liur sendiri. Soalan susah! Ah, aku sendiri masih terkapai-kapai mencari. Detik hati ustazah sambil bibir menguntum senyum menyembunyikan rasa di hati. Berkat majlis ilmu, ilham datang mencurah-curah memberikan jawapan buat ustazah dan para pelajar.

"Mintalah sentiasa bantuan Allah. Rendahkan diri kita. Jangan sombong untuk meminta tolong daripadaNYa.." Ustazah memulakan jawapan. Kemudian menyambung:

"Jawapan yang paling realistik dan paling mudah untuk soalan 'macam mana nak ikhlas, macam mana nak sabar? macam mana nak syukur? macam mana nak redha? dan segala macam mana, macam mana, macam mana?'" jawapan ustazah terhenti dek gelak ketawa pelajar.

Kemudian ustazah kembali menyambung:
"Jawapannya ialah: Apa-apa mesti minta dari Dia. Tanda kita ini hambaNya. Sentiasa berharap padaNya."

Ustazah tersenyum sendiri bersyukur dengan ilham yang datang untuk memberikan jawapan kepada para pelajar yang setia mendengar.

"Doa je ke ustazah? Doa je ke usaha yang perlu dibuat untuk ikhlas?" Soal pelajar yang lain pula sambil berkerut dahi.

Ustazah tersenyum lagi. Gembira kerana pelajar-pelajarnya suka bertanya. Ini tanda minat dan tanda bersungguh-sungguh.

"Baguslah kamu semua ni, suka bertanya. Ustazah suka dan gembira sangat sebab soalan-soalan begini buat ustazah kembali berfikir. Malah, buat kamu semua turut berfikir. Sebelum ustazah bagi pandangan, ada sesiapa yang nak lontarkan buah fikiran?"

Ustazah mendepakan tangan. Membuka ruang bersuara kepada semua pelajar.

"Ustazah!" Seorang pelajar di belakang mengangkat tangan.

"Ya, silakan!" Kata ustazah sambil mengangguk.

"Doa' itu usaha. Tapi bukan sekadar berdoa je pastu tak buat apa-apa, hanya tidur, tengok movie, makan dan main 'game'. Kita kena buktikan bahawa kita sungguh-sungguh mengharapkan doa kita dimakbulkan Allah. Buktikanlah dengan cara hidup seharian kita.Adakah cara hidup kita daripada bangun tidur sampai tidur semula itu cara hidup Islam? Solat kita bagaimana? Kita berusaha untuk solat awal waktu atau makan awal waktu?" Pelajar itu melontarkan pendapat dengan penuh semangat.

Para pelajar yang lain mula tersenyum simpul.Ustazah tersenyum lebih lebar. Alhamdulillah, ada pelajar yang mampu menjawab.

"Bagus Ahmad! Ustazah setuju dengan apa yang kamu kata. Ya, akhirnya kita mesti muhasabah diri sendiri. Bagaimana amalan seharian kita? Jangan pula menunding jari kepada orang lain. Tanya dan tunding jari pada diri sendiri, macam ni," kata ustazah sambil jarinya ditundingkan kepada batang hidung sendiri.

Para pelajar ada yang tergelak kecil.

"Ustazah, jadi, untuk ikhlas, kita berusaha dengan doa merendah diri kepada Allah dan dalam masa yang sama kita berusaha untuk hidup dengan cara hidup Islam. Begitu kan?" Pelajar yang memulakan soalan membuat kesimpulan.

"Ya, tepat sekali!" balas ustazah sambil mengangkat ibu jari.

"Tapi tak semudah yang dikata" sambung ustazah sambil tersenyum penuh makna.

Kelas pagi itu ditamatkan dengan bacaan Surah Al-'Asr dan tasbih Kaffarah..

Untuk ikhlas
mujahadah harus tinggi
usaha harus digandai
doa dan amalan perlu selari
bukan sekadar bergoyang kaki..

Maka,
setiap hari
perlu 'refresh'
perlu 'recharge'
niat di hati.

Kenapa aku di sini?
Untuk apa aku begini?
Soal diri sendiri
setiap kali
merenung diri.

Ulang-ulang
lagi dan lagi
Ya Allah..
Bantulah aku
seorang pendosa ini
untuk membersihkan hati
kembali memurnikan niat diri
untuk melakukan segala
ikhlas demiMu..

Kemudian?
Baca kembali rangkap pertama sajak ini..
Begitulah kitarannya sehingga mati
menemui Ilahi..