Saturday, October 29, 2011

Hati merintih pilu..

Hati merintih pilu.. "Ya Allah, sebarang apa yang Engkau anugerahkan kepadaku berupa kebaikan, maka aku amat memerlukannya sekarang.. Ya Allah, bantulah hamba-MU ini.." Selawat ke atas Nabi mula meniti di bibirku..
Terimbas kala ini mutiara kata seorang Ustaz.
-----------------------------
"Apa makna Selawat ke atas Nabi", Ustaz tersenyum-senyum memandang kami semua, menunggu jawapan anak muridnya.
"Kita mendoakan kesejahteraan buat Nabi" Jawab seorang murid.
"Ya, betul. Soalan seterusnya, kenapa kita mendoakan kesejahteraan buat Nabi? Bukankah Nabi manusia yang paling sejahtera, selamat dan hampir kepada Allah?"
"Sebab Allah suruh kita selawat, Allah dan para malaikat pun selawat kepada Nabi.."
"Em, betul, tapi jawapan yang saya nak beritahu ialah.. Allah suruh kita solat, tapi adakah kerana Allah berhajat atau perlukan kepada solat kita? Tidak! Allah tidak berhajat atau perlukan solat kita. Dia Maha Agung walaupun tanpa solat kita. Tapi kenapa dia suruh kita solat? Jawapannya, itu untuk kebaikan diri kita sendiri. Sama juga, Nabi s.a.w. tidak berhajat pun pada selawat kita, tanpa selawat kita, Nabi tetap manusia teragung.. Sebab tu Nabi kata; Siapa yang berselawat kepadaku maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali", jadi kenapa kita selawat? Untuk kebaikan kita, siapa selawat bermakna dia dapat selawat 10 kali daripada Allah sendiri. Ha, untung tak siapa yang selawat? Siapa yang tak selawat diri dia sendirilah yang rugi.."

--------------------------

Kini aku berselawat. Ya, 1 selawat bersamaan 10 kali Allah Yang Maha Pengasih mengurniakan rahmatNYA kepadaku. Aku hampir menangis. Hari semakin gelap. Berseorangan di perhentian bas, amat menakutkan. Bimbang apa-apa terjadi. Alhamdulillah, tiba-tiba Ustazah menelefonku. "Laila ke yang duduk dekat bus stand tu?"
"Ya, ustazah, eh? ustazah kat mana ni?"
"Tunggu je kat situ, ustazah datang ambil, ustazah nampak macam Laili, ni just nak confirmkan je"..

Alhamdulillah! Terima kasih ya Allah.. Ya Allah, bantulah aku untuk mensyukuri nikmatMU..

اللهم ما أمسى بي من نعمة أو بأحد من خلقك فمنك وحدك لا شريك لك فلك الحمد ولك الشكر

Ya Allah, segala apa yang aku rasai pada petang ini daripada nikmatMU atau daripada salah seorang makhlukmu maka ia adalah daripadaMU jua satu-satunya, tiada sekutu bagiMU, maka untukMU segala pujian dan kesyukuran..


Thursday, October 27, 2011

Kenapa kena mandi lagi?

"Kenapa kena mandi lagi?" Anak lelakiku yang baru berumur 5 tahun itu bertanya.
"Kan dah berpeluh-peluh main tadi, kena la mandi lagi.." Aku menerangkan.
Dia berkerut. "Ala..tadi Nuh dah mandi dah.. tadi kan Nuh sabun bersih-bersih dah.."
Aku bersabar. Aku menjawab lagi. "Tu tadi. Sekarang ni dah kotor balik, kena mandi balik lah.."

------------------------------

Analogi mudah. Kita mungkin sudah bertaubat, menyesali segala dosa, tapi selagi masih hidup, taubat itu satu proses yang berterusan. Jangan jadi seperti budak yang merengek tidak mahu mandi kerana sudahpun mandi. Walau kita telah bertaubat, menangis sepenuh hati, namun taubat itu juga seperti mandi yang perlu dilakukan berterusan. Bukan sekali mandi, akan terus bersih buat selamanya. Bukan juga sekali taubat, maka dosa akan hilang selamanya..

Bersihkan diri, hati, jiwa, secara berterusan.. Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan istiqamah dalam meneruskan proses taubat sepanjang hayat..


Wednesday, October 26, 2011

Antara cita-cita ibu dan diriku

Antara cita-cita ibu dan diriku
mana satu yang patut kuturutkan
keliru memikirkan
antara keinginanku dan ibu..

Ibu ingin aku bahagia
menggapai kejayaan di mata dunia
berkhidmat kepada agama dan negara
menjadi permata yang kilauannya dikagumi semua..

Aku juga ingin bahagia
menggapai kejayaan tanpa sesiapa yang menduga
berkhidmat kepada agama dan negara
menjadi mutiara yang jauh tersembunyi di dasar lautan sana..

Cara kami berbeza
Pandangan kami berbeza

Antara cita-cita ibu dan diriku
Aku serahkan kepada Tuhan yang menciptakan ibu dan aku
Kadang-kadang aku sangka itu yang terbaik buatku
sedang itu bukanlah yang terbaik buatku
كل ميسر لما خلق له
Setiap sesuatu dimudahkan untuk apa ia diciptakan
dan ketentuan Ilahi itu pastilah yang terbaik buat hamba-hambaNYA..

Antara permata dan mutiara
apa yang lebih bermakna
adalah RedhaNYA..

Ya Allah
Kami memohon redhaMU..
dan syurgaMU..

Sunday, October 23, 2011

Kala cinta itu hadir

Kala cinta itu hadir
Senyuman terukir
manis di bibir
cinta yang secebis cuma
bagai sudah tak tertanggung
melimpah-limpah

cinta yang secebis cuma
dibahagi-bahagi antara makhlukNYA
dan dengan cinta ini
kala melihat anak kecil
cinta itu turut melimpah-ruah
kala melihat si ibu kucing
menjilat-jilat si comel penuh kasih
ah~betapa cinta itu tak bertepi

Ya Allah..
Aku memohon cintaMU
cinta sesiapa yang mencintaiMU
dan cinta akan amalan yang mendekatkan diriku pada cintaMU
Ya Allah..
Jadikanlah cintaMU sesuatu yang lebih aku cintai
berbanding cintaku pada diriku
berbanding cintaku pada keluargaku
berbanding cintaku pada air yang nyaman..

Kala cinta itu hadir
kusedari ia hanya setitis daripada luasnya lautan cinta Tuhan
namun masih tak tertanggung
melimpah ruah
penuh cinta dan kasih..


Menganggur?

"Sebenarnya tiada istilah menganggur dalam kamus hidup seorang Muslim" Ustaz memulakan bicara.

Kami mengangguk. Menunggu bicara seterusnya.

"Kenapa? Kerana setiap Muslim itu bekerja.. Bekerja untuk mentaati Allah.."

Ustaz menyambung lagi: "Sesiapa yang kata dia sedang menganggur, maksudnya.. em, maksudnya, dia tak datang kelas Ustaz.."

Hahaha.. kami satu kelas tergelak.

-----------------------------

Ya, mengejar kerja bukan kerja seorang Muslim. Seorang Muslim itu mengejar taat, ingin mendekat kepada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kerja sebagai ibadat, bukan sebagai tempat mengejar dunia..bahkan ia sebagai jambatan amal bekalan buat kehidupan akhirat.. Menganggur? Hanya istilah persepsi yang menganggap pekerjaan itu hanya pekerjaan yang diiktiraf dunia sementara..


Membersihkan hati daripada kekotoran dosa..
Satu proses yang berterusan
Kerana kita manusia pendosa
Yang sentiasa berusaha membersihkan
kalau kita tidak berusaha membersihkan
maka
kita sebenarnya sedang berusaha mengotorkan
maka perhatikanlah
apakah kita sedang membersihkan
ataukah sedang mengotorkan..
Menganggur?
Hanya persepsi semata
Kita hakikatnya sedang bekerja..

Ya Allah bantulah kami untuk mengingatiMU, mensyukuriMU, dan memperbaiki ibadat kepadaMU..


Important webs for Islamic Finance

Alhamdulillah.. I'm in the process of writing about Islamic finance..

Here, I would like to share the webs:

1. MIFC

2. ISRA



Association of Islamic Banking Institutions Malaysia.

These 3 webs give links to other valuable webs.. Nice ^_^..

Wednesday, October 19, 2011

Perasan!



"perasan"! 
rupanya
aku silap mengira
berasa bangga
aku sangka aku hidup
sehingga tercapai segala cita
siapa sangka
mungkin esok ajal menjelma
apalagi yang ingin dikejar di dunia
apalagi..
tiada apa
cuma taqwa harap menjadi bekal..

aduh..pedih dalam hati
mengingat mati
apa akan jadi
rehat yang abadi?
atau
sengsara hakiki
apa yang sudah aku sediakan
untuk esok hari
bekal apa?
aku pendusta
demi mencapai apa yang dicita
ah~ apa yang patut kucuba
untuk mencapai yang dicita
akhirnya lebur binasa..

cita-cita
bahagia hingga ke syurga
tak semudah yang dikata
tak semudah yang dijangka
syukur aku masih diberi nyawa
modal untuk mengumpul bekal taqwa
semoga Dia mengurniakannya..

Hisab diri


kenapa?
apa lagi?
hei, sedar diri tu sikit!

aku kaku
tanpa kata
hanya air mata
mengalir laju
menghisab diri..

kata-kata itu pedih
ucapan buat diri sendiri
tika diri mula mengeji
mengutuk diri sendiri
menghisab diri..

ya
air mata itu
mengalir laju
cukup buatkan aku bahagia
aku punya hati
yang menangisi
takut akan diri sendiri
risau diri dikata
“penipu!!!!”
di hari pengadilan nanti..

Ilmu?
untuk apa?
untuk manfaat manusia..
demiMU wahai Tuhanku..
Kau penipu!!!!
Kala bergema seruan itu
apa lagi yang mampu kukata
lemah seluruh raga
bayangan itu menakutkan
aku kaku
aku lesu..
kala menghisab diri..
ah~ terlalu banyak nikmat
apa sudah aku mensyukuri?
apa sudah aku sedari?
kala segala nikmat ini ditanya
apa harus kukata?

aku ingin syahid di jalanNYA
kenapa?
agar aku tidak dihisab di sana..
mudahkah untuk syahid?
ah~ semudah itukah aku menutur kata..

Friday, October 14, 2011

Ketika yang paling bahagia..

Ketika yang paling bahagia
Adalah tika ini
Bila sedar satu hakikat
Petikan kata-kata Ustazah Noraslina Jusin:

"Insafilah, hakikat kebahagiaan itu dinilai dari sebesar mana rasa syukur kita terhadap apa yang dimiliki, kebahagiaan juga terletak pada setinggi mana keredaan kita terhadap kehendak ILAHI. Tanpa kita melupakan, bahawa kebahagiaan itu turut terpancar pada sesabar mana kita berhadapan ujian/cabaran kehidupan dan pada sebesar mana sifat Qana'ah ( cukup ) terhadap pemberian ar Rahman".. 


Maka, berusahalah mengundang rahmat Tuhan..





Monday, October 10, 2011

Mata berkaca

Mata berkaca
titik-titik jernih itu bersuara
kita manusia biasa
punya hati dan jiwa
dan air mata itu antara tandanya..

Mata berkaca
ditahan sekuat rasa
namun empangan itu pecah jua
menggetarkan seluruh raga..

Tangisan suka duka
pengalaman yang bertukar rasa
mengiringi diri sepanjang usia
nikmat Tuhan buat manusia
untuk merasa
suka duka
dalam jiwa..


Mata berkaca, tanda kita berjiwa~

Friday, October 7, 2011

Bila bukti cinta menyalahi budaya..

Saya sedang makan di cafe asrama perempuan. Suasana agak lengang. Tidak sampai sepuluh orang pelajar yang sedang makan di sini. Jam menunjukkan pukul 3.30 pm. Namun, hujan lebat menyuramkan suasana cafe. Kehadiran pasangan yang berjalan beriringan ke meja makan di hadapan, menarik perhatian saya. Lelaki itu seorang warga asing berkulit putih, orang Eropah. Manakala, wanita itu pula bertudung labuh, orang Melayu. Em, suami isteri.. Desis saya sendirian.

Lelaki itu mengambil air, sementara wanita itu duduk menunggu di meja makan sambil meletakkan pinggan yang sudah terisi. Lelaki itu menuju meja makan daripada arah belakang wanita itu, lalu tunduk sedikit dan mencium pipinya. Saya yang berada di meja belakang mereka sedikit terkejut. Terus mengalihkan mata ke pinggan nasi saya sambil terkebil-kebil memandang nasi yang sudah hampir habis di makan. Ops!

Kedengaran si wanita itu sepertinya tidak suka. Si lelaki dengan nada sedikit marah berkata: "We're already married!" Dan mulut mula berbalas bicara. Ketegangan yang terhasil menghilangkan selera yang saya ada. Segera saya meninggalkan cafe.. Em, macam-macam..

Adat suami isteri yang berbeza boleh membawa pergaduhan andai tidak dikawal oleh pasangan.. Suaminya kelihatan gembira, namun apabila perbuatannya (sebagai bukti cinta) dipersoalkan si isteri, dia rasa bagai diperlekeh.. Em.. budaya berbeza.. Bila bukti cinta menyalahi budaya, ia menjadi tak kena.. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.. Selagi tak bersalahan dengan ajaran Islam, bertolak ansurlah.. Alhamdulillah 'ala kulli hal..


Wednesday, October 5, 2011

Bila ketua salah guna kuasa

Ran mendengus, lalu berkata: "Tu lah.. salah guna kusa betul!!!"

"Teruk betul ketua macam tu! Kalau kau jadi ketua janganlah buat macam tu.." Ed pula membalas.

Hin yang daripada tadi asyik mendengar akhirnya bersuara: "Ituah ketua yang paling teruk pernah aku jumpa.."

------------------------------

Semua kita ialah Ketua

Menyedari hakikat ini, akhirnya semua perlian di atas kembali kepada diri sendiri.. Usah terus menunding jari ke arah orang. Bangkit, dan pikul tanggungjawab sendiri sebaik yang boleh..Ya, kerana kita semua ialah ketua untuk diri masing-masing. Kita diberi kebebasan memilih. Kita diberi amanah. Kita ada tanggungjawab. Kita adalah ketua yang memimpin segala perilaku. Kita ialah ketua yang memilih segala keputusan.


Jangan seperti Iblis

Jangan tiru Iblis. Iblis menyalahkan Tuhan kala Tuhan mengeluarkan dirinya daripada syurga. Dengan bentakan penuh dendam dan bongkak Iblis bersuara: "Kerana Engkau telah 'menyesatkan' aku, maka aku pasti akan berusaha menyesatkan manusia!!" Janji iblis bergema penuh angkuh.
(Rujuk terjemahan surah al-A'raf 7: ayat 10-30)
Angkuh menyalahkan Tuhan sedang Iblis sendiri yang memilih kesesatan. Merasakan dirinya lebih baik atas dasar perbandingan fizikal. "Aku Engkau ciptakan daripada api, sedang dia engkau ciptakan daripada tanah!!" Perbandingan yang sememangnya silap! Kemuliaan tidak pernah diukur dengan aspek fizikal. Kekayaan, darjat, pangkat, keturunan tidak pernah menjadi sebab kemuliaan. Kemuliaan itu hanya TAQWA dan TAQWA itu, hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Mengetahui. Kita hamba tidak punya ilmu untuk menghukum.. Kita hanya mampu menyangka..

Kisah Nabi Adam a.s. sebagai contoh

Perkenalan antara Adam a.s. dan Iblis adalah melalui pengalaman .Ya, manusia mudah lupa jika diberitahu, tapi amat sukar untuk lupa bila merasai pengalaman itu sendiri. Jika kita diberitahu, 'A' itu jahat, kita mungkin lupa kejahatannya. Tapi bila kita sendiri berpengalaman merasai sendiri tamparan 'A' yang menyakitkan, pasti pengalaman itu tidak dapat dilupakan.

Latihan sebelum ke dunia

Usahlah kita menyalahkan Nabi Adam a.s. atas apa yang terjadi. Kita manusia pendosa yang tidak lari daripada kesalahan. Kita manusia. Pasti ada melakukan kesilapan. Jadi, bangkitlah kembali bertaubat. Kerana dosa itu menanggalkan pakaian Taqwa, maka sarunglah kembali pakaian itu kala kesedaran menjelma..

Tuhan mengajar kita daripada peristiwa perkenalan Iblis dan Adam a.s. ini beberapa perkara penting:
1. Pengalaman adalah guru terbaik.
2. Andai seorang lelaki itu kuat imannya, maka isterinya menjadi sasaran seterusnya.
3. Lelaki dan wanita sama-sama bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat.
4. Dosa itu memberi kesan; antara yang jelas ialah terlucutnya 'pakaian fizikal' (menjatuhkan maruah) dan turut melucutkan 'pakaian spiritual' iaitu Taqwa.
5. Setelah menyedari kesalahan segera bertaubat dan kembali kepada Tuhan.. Jangan berputus asa daripada rahmat Tuhan. Jangan terus bersabar dalam maksiat. Keluarlah daripada jurang maksiat. Terus berusaha. Terus bertaubat.
6. Kita dihantar ke dunia dalam kehinaan, maka dunia bukan tujuan, tujuan kita adalah untuk kembali meraih redha dan syurga Tuhan..dunia hanya tempat ujian..
7. Tuhan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Allah swt terus mengumumkan keampunan-NYa kepada Nabi Adam a.s. setelah Nabi Adam bertaubat. Maka, yakinlah akan keluasan keampunan-NYA.. Jangan berputus asa.

Jangan salah guna kuasa

Kita dihantar ke dunia sebagai:
1. Hamba Allah
2. Khalifah Allah (Ketua, paling kurang ialah ketua kepada diri sendiri)
3. Sebaik-baik ummat (dengan jawatan ini kita ada tnaggungjawab)

Bertanggungjawablah! Laksanakan tanggungjawab dan amanah kita. Usah persoalkan tanggungjawab orang lain terhadap kita. "Dia sepatutnya bagi aku benda ni, tapi tak pun.." Ya, tanya diri sendiri apa yang belum kita lakukan. Ingatlah, di hari akhirat nanti, setiap kita tidak ditanya berkenaan hak yang patut kita dapat, tetapi setiap kita pasti ditanya berkenaan tanggungjawab kita, apa yang kita telah abaikan..

 

Apa yang dikejar?

Apa yang dikejar?
Di dunia yang sementara
Pangkat dan nama
hanya alat bukan matlamat..

Apa yang dikejar?
Harta bertimbun
Ilmu akhirat ditangguh-tangguh
sedang kematian itu pasti
yang datang tanpa disedari

Apa yang dikejar?
Apa yang dikejar?
Apa yang dikejar?
Keliru datang bertandang
bagaimana lagi mampu dijelaskan
bila ramai mula mengharap
orang lain turut mengejar
apa yang mereka kejar..

Saturday, October 1, 2011

Kutukan itu menghentak..

Kutukan itu menghentak
lalu jiwa menjadi retak
sukar dielak
pecah dibentak
Kutukan itu menghentak
hati menjadi bengkak
pipi bagai disepak
kutukan itu mendengarkan yang pekak
oleh diri yang dikutuk..

Ketika kutukan diri sendiri menghentak
berderet kutukan mengutuk
untuk apa diri terus mengutuk
diri menjawab teruk
kerana aku ingin berubah baik
kerana aku ingin diri jadi celik
membina kukuhnya teratak buruk
dengan dasar yang sukar ditetak..

Biar mereka mengutuk
kerana aku sendiri lebih dahulu mengutuk
Biar mereka mengutuk
kerana kutukan mereka tidak sekuat aku yang mengutuk
kerana kutukan mereka itu satu ketukan luaran yang mengetuk
sedang kutukanku itu satu hentakan dalaman yang menghentak..

Tuhan sendiri bersumpah demi jiwa yang mengutuk
maka teruskan mengutuk
jiwa yang mengutuk atas kejahatan yang menyentak
biar hapus dosa disentak
biar hilang noda yang membengkak
biar jiwa jadi sejuk
biar ketabahan itu terus dipeluk..
lalu kutukan mereka hanya mengetuk
sedang kutukan diri sendiri itu terus menghentak..