Monday, March 24, 2014

Tafsir Ringkas Surah al-Humazah



Surah Al Humazah terdiri atas 9 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah, diturunkan sesudah surah Al Qiyaamah. Dinamai Al Humazah (pengumpat) diambil dari perkataan Humazah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Isi-isi penting:
Ancaman Allah terhadap orang-orang yang suka mengumpat, suka mencela dan suka mengumpulkan harta. Inilah orang yang mencintai dunia dan memburu dunia sehingga melupakan hari akhirat.

104:1
1.        Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, pencela,-

- Inilah ancaman buat orang yang suka menghina orang lain. Kecelakaan buat orang yang menjadikan kata-kata negatif menjadi ucapan harian. Apabila orang yang mahu dihina tidak berada di hadapannya, maka dia mengumpat. Apabila orang yang dihina ada di depan mata, dia mencaci dan mencelanya.

Kenapa begitu sekali sikapnya?
- Kerana inilah tanda kesombongan yang nyata. Merasa diri lebih mulia dan orang lain itu hina. Benarlah, tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.

104:2

2.        Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;
Kedekut dan tamak. Apa yang penting hanya dirinya. Harta menjadi buruan utama. Dia mencintai kehidupan dunia sehinggakan dia lupa bahawa dia pasti akan meninggal dunia.


104:3
3.        Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!
Sangkaan yang silap! DIa menutup mata hatinya daripada melihat kebenaran. DIa menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Doa dan permintaannya hanya bertumpu pada dunia.

104:4
4.        Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”.
104:5
5.        Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu?
104:6
6.        (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), -
104:7
7.        Yang naik menjulang ke hati;
104:8
8.        Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.
104:9
9.        (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang panjang.

- Inilah neraka Allah yang menyala dengan kepanasan yang sangat marak yang tidak akan pernah malap.
- Bayangkan pula ianya tertutup rapat. Kalau di dunia ini kita berada dalam sebuah bilik yang tertutup rapat pun akan menyesakkan dada. Apatah lagi dengan api dan asap dalam sebuat tempat tertutup. Terikat dan mustahil untuk mereka melepaskan diri.
- Itulah balasan yang setimpal buat mereka yang sombong, lupa diri, memburu dunia, menjadikan hawa nafsu tuhan yang dipatuhi dan sanggup menzalimi orang lain agar dirinya dapat bersukaria di dunia.


Thursday, March 13, 2014

Surah ad-Duha: Tafsir ringkas



Surah ad-Dhuha: الضحى



Surah ini mempunyai 11 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyah, diturunkan sesudah surah al-Fajr. Ad-Dhuhaa diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama, ertinya : waktu dhuha.

.



Isi-isi penting surah:

Allah s.w.t. sekali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang beriman. Ini ialah isyarat daripada Allah s.w.t. bahwa kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang; larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang meminta-minta dan perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah sebagai tanda bersyukur.



93:11. Demi waktu Dhuha



- Ayat pertama ini Allah SWT bersumpah dengan waktu Dhuha.



1. Apakah keistimewaan waktu Dhuha?

Ketika waktu Dhuha kita disunatkan untuk Solat Sunat Dhuha.

Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat & rezeki yang diberikan-Nya. Rasa syukur menambahkan lagi rezeki dunia & akhirat.

 لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ [إبراهيم : 7[

“Jika kamu bersyukur maka pasti Aku akan tambahkan (rezeki) kepadamu, jika kamu kufur (tidak bersyukur) sesungguhnya azab-Ku amat keras” (Ibrahim: 7)

- Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.

- Abu Hurairah pernah berkata bahawa Rasulullah SAW berwasiat kepadanya tiga amalan sunat, yang mana Abu Hurairah tidak pernah meninggalkan amalan ini sehingga mati iaitu: dua raka’at Dhuha, Witir sebelum tidur, dan puasa 3 hari setiap bulan. (Sahih Bukhari & Muslim).



2. Bilakah waktu Dhuha? sumber: http://shafiqolbu.wordpress.com/

- Pengiraan Waktu Dhuha secara astronomi/falak adalah berdasarkan formula:

Waktu Syuruk + satu pertiga (waktu Syuruk - waktu Subuh) atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk.

- Waktu afdal Solat Sunat Dhuha pula adalah 2/3 masa antara bermulanya Solat Sunat Dhuha sehingga masuk waktu Zuhur. (lebih kurang jam 10-11.30 pagi)

- Dan waktu tamat atau berakhir Solat Sunat Dhuha adalah ketika matahari tegak di atas kepala iaitu lebih kurang 9 minit sebelum masuknya waktu Zuhur.





93:2

101:22. dan malam apabila telah sunyi sepi



1. Apakah keistimewaan waktu malam yang sunyi sepi?

- Ketika malam yang sunyi sepi inilah waktu yang sangat mustajab doa yang mana kita disunatkan untuk Solat Sunat Tahajjud.



Secara ringkasnya, dalam ayat 1 dan 2, Allah SWT bersumpah dengan 2 waktu dalam surah ini: Dhuha dan malam yang sunyi sepi. Mari kita bertanya kepada diri sendiri..Adakah kita menggunakan 2 waktu ini dengan sebaiknya?

Ya, marilah kita menunaikan Solat Sunat Dhuha dan Solat Sunat Tahajjud. Paling kurang jika tidak larat untuk menunaikannya, mohonlah keampunan-Nya.. Ini kerana, para Ulama’ pernah berkata: “Rezeki daripada Allah itu banyak bentuk, antara rezeki yang paling utama ialah rezeki & nikmat untuk menunaikan ibadat. Kadang-kadang kita tidak mampu untuk menunaikan sesuatu ibadat disebabkan dosa kita”.

93:33. dan Tuhanmu tidak sekali-kali meninggalkan kamu dan tidak pula membenci kamu



- Jika kita sudah melakukan banyak amalan-amalan sunat. Kita sentiasa solat sunat Dhuha, solat sunat Tahajjud. Kita sudah berdoa dengan doa yang bersungguh-sungguh. Kita berdakwah. Kita bekerja untuk melihat kemenangan Islam dan orang-orang Islam. Tiba-tiba berlaku sesuatu yang diluar jangkaan kita manusia biasa..

- Hati kita terdetik: “Adakah Tuhan telah meninggalkan kita?”.. “Adakah Tuhan membenci kita?” Tidak! Sekali-kali tidak.. ayat ke-3 ini menerangkannya..

- Ayat ini menjadikan kita tenang, terharu dan bersyukur.. Alhamdulillah! Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana tidak pernah meninggalkan kita, tidak pernah membenci kita, hamba-hamba-Nya yang beriman. Ujian itu tanda cinta-Nya. Agar kita tidak terlalu mencintai dunia, agar kita terus-menerus berharap dan bergantung kepada-Nya, dan agar kita sentiasa rindu untuk bertemu-Nya dan menghuni syurga-Nya..





93:44. dan sesungguhnya (kehidupan) Akhirat itu lebih baik untuk kamu daripada (kehidupan) dunia,



- Ya.. berusahalah untuk kehidupan yang bahagia di akhirat.. Kerana akhirat itu jauh lebih baik, jauh lebih kekal.. Kehidupan akhirat abadi buat selama-lamanya..

- Ujian di dunia hanya sementara. Bagaimana kita menghadapi ujian hidup di dunia akan menentukan kebahagiaan hidup kita di akhirat sana..

 



93:55. dan Tuhanmu pasti akan memberikan kamu (kebahagiaan dunia & akhirat) lalu kamu merasa redha,



Bagaimana untuk bahagia?

- Bahagia itu di hati. Bila hati rasa redha dengan segala pemberian Allah SWT -pahit atau manis, baik atau buruk pada pandangan kita- ketahuilah, segala apa yang berlaku, telah berlaku dan akan berlaku menjadikan kita orang yang bahagia. Ini kerana kita yakin bahawa segalanya daripada Dia.

- Rancang & niatkan untuk melakukan amalan yang baik. Walaupun mengkin kita tidak dapat melakukannya nanti, sekurang-kurangnya kita sudahpun mendapat pahala kerana merancang dan berniat untuk melakukan kebaikan.

- Amalkan membaca: رضيت بالله ربا، وبالإسلام دينا، وبمحمد نبيا ورسولا

“Aku redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama/cara hidup, dan Nabi Muhammad sebagai Nabi & Rasul..”



- Kiralah dan hitunglah nikmat pemberian Allah.. Terlalu banyak.. Antaranya:





93:66. Bukankah Dia mendapatimu seorang yatim lalu Dia memberikan perlindungan kepadamu,



- Ya, ayat & surah ini ditujukan kepada Nabi Muhammad r untuk menghiburkan dan menenangkan hati baginda.

- Dalam masa yang sama ayat ini juga untuk menenangkan orang-orang yang beriman.

- Kita mungkin pernah sunyi, tiada sesiapa.. Lalu Allah SWT hadirkan seseorang atau sahabat handai untuk kita..



93:7

7. dan Dia mendapatimu sesat lalu Dia memberikan hidayah/petunjuk



- Ya, dulu mungkin kita jahil tentang agama.. Lalu dia berikan kita hidayah.. Kita di sini, di dalam masjid untuk menuntut ilmu agama dan kembali kepada-Nya..



93:8

8. dan Dia mendapatimu susah lalu Dia memberikanmu kecukupan,



- Ya, dulu mungkin kita seorang yang susah. Sekarang kita mempunyai keperluan yang cukup. Cukup makan, cukup pakai..



Lalu, bagaimanakah cara untuk membuktikan kesyukuran kita?



93:9

9. Maka, adapun anak yatim janganlah kamu bersikap kasar (dengannya),



Bagaimanakah cara untuk membuktikan kesyukuran kita?

- Ya, bila bertemu anak yatim jangan kasari mereka walau bagaimanapun sikap mereka.   

- Mungkin anak yatim itu tiada adab. Dia tiada bapa yang hendak mendisiplinkan dirinya.

- Sebagai orang yang lebih tua, nasihatilah dengan lemah lembut..



93:10

10. dan adapun orang yang meminta-minta janganlah kamu mengherdik-herdik,

- Ya, bila ada yang meminta-minta kepada kita usah mengherdik dan menengkingnya.

- Jika tidak mahu memberi apa yang diminta, sekurang-kurangnya sedekahkan senyuman kita buatnya.

93:11

11. dan adapun dengan nikmat Tuhanmu maka sebut-sebutkanlah (sebagai tanda bersyukur).

- Ya, kiralah nikmat Tuhan dan bersyukurlah.

- Kadang-kadang, kita lebih suka menyebut-nyebut kesusahan-kesusahan yang kita alami. Kita mengeluh. Syaitan pula membisikkan lebih banyak lagi sehingga kita merasakan diri kitalah orang yang paling malang di dunia. Kita lupa nikmat-Nya.

- Ya, sikap seperti ini perlu diubah kepada menyebut-nyebut nikmat Tuhan. Inilah antara cara untuk hati kita sentiasa redah dan sentiasa bahagia.



Penutup

Surat Ad-Dhuhaa, menerangkan tentang bimbingan pemeliharaan Allah s.w.t. terhadap Nabi Muhammad r dan orang beriman dengan cara yang pelbagai dan mengandung pula perintah kepada kita supaya mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya antaranya dengan cara:

1. Solat Sunat Dhuha dan Tahajjud.

2. Berlemah lembut dengan anak yatim dan orang yang meminta-minta.

3. Menyebut-nyebut nikmat Allah SWT. 
 
HUBUNGAN SURAT AD-DHUHAA DENGAN SURAH ALAM NASYRAH
1. Kedua-dua surah ini amat erat hubungannya kerana sama-sama ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan orang beriman untuk menghiburkan dan menenangkan hati kita
2. Kedua-dua surah ini sama-sama menerangkan nikmat Allah dan memerintahkan kepada kita untuk mensyukuri nikmat tersebut.