Friday, December 19, 2014

Surah AL-BAYYINAH : البينة



Surah ini mempunyai 8 ayat, termasuk golongan surah-surah Madaniyah. Nama Al Bayyinah diambil dari kata Al-Bayyinah yang terdapat pada ayat pertama surat ini, ertinya “bukti yang jelas”. Selain nama al-Bayyinah, surah ini juga dinamakan surah ‘lam yakun’, al-Bariyyah dan al-Qayyimah.


Isi-isi penting surah:
Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW bersama-sama dengan wahyu al-Qur’an sebagai bukti yang jelas akan kebenaran Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan Nabi & Rasul terakhir yang meneruskan perjuangan para Nabi & Rasul terdahulu menyampaikan risalah Islam. Sesiapa yang menolak dan mendustakan baginda, maka merekalah sejahat-jahat dan seburuk-buruk makhluk yang akan dikembalikan ke neraka Jahannam. Manakala, sesiapa  yang menerima dan membenarkan baginda, maka merekalah sebaik-baik makhluk yang akan dikembalikan ke syurga yang kekal abadi…


98:11. Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata, -
101:298:2
101:22. Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci,


98:33. Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.

·        Apakah lembaran-lembaran suci itu?
Itulah al-Qur’an. Ada pelajaran, hukum-hakam dan panduan yang sangat bernilai sepanjang kehidupan…

Namun sayang…

98:44. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.

·        Ada juga orang yang bukunya sudah banyak dibaca, menjadi tempat rujukan orang ramai pula, tetapi apabila datang kebenaran yang jelas lagi nyata ini, mereka berpecah-belah disebabkan kesombongan dan kedengkian mereka…

Sedangkan…
98:55. Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama (cara hidup) yang benar.

·        Ibadah hanya kepada Allah.. Berdoa mohon pada Allah. Kepatuhan mutlak padaNya. Allah Maha Kuasa. Selain Allah, semuanya makhluk, dan makhluk tiada kuasa. Terus teguh mentauhidkan Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Semudah itulah cara hidup yang benar.

98:6
6. Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.

98:7
7. Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.

98:8
8. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

PENUTUP
1. Jadilah orang yang beriman dan selalu melakukan kebaikan dengan mengikhlaskan diri kerana Allah. Segala kebaikan yang kita lakukan adalah untuk kebahagiaan diri sendiri di akhirat nanti.
2. Kesungguhan mempelajari lembaran-lemabaran al-Qur’an itu penting untuk menjadi panduan hidup dan menambahkan keimanan setiap hari.





LELAKI JAHAT YANG MENGINTAI ANAK GADIS KITA

Post kali ini saya edit daripada post di facebook bertajuk:
"Lelaki-lelaki Jahat Yang Mengintai Anak Gadis Kita" oleh:
Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP.

Ada mata-mata liar yang jahat sedang memerhati wanita. Ada mata lelaki jahat yang melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan mata……yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru yang enak…Lalu lelaki jahat ini akan memulakan. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….Dan wanita sangat mudah termakan pujuk rayu…

Satu kisah benar untuk renungan kita bersama:

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau.
Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang haid yang tidak teratur.

Namun saya sengaja bertanya: "datang sebab haid tak teratur ke?"

Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh. Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh hitam.

Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata.

"Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa", katanya berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan sesak dan dia sangat gelisah.

Lalu saya menerjah: "mengandung ke anak Puan?"

Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah-tak dapat dibendung lagi.
Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3.
Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja.
Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ.

Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa beliau telah berzina.
Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zina.

"Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai.
Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”

Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya.

Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zina sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki.
Berbagai bangsa.
Berbagai umur.
Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bodoh seperti kata ibunya.

Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.
Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lucah.
Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pelacur’.

Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu, lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia seks dalam keadaan akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video lucah. Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa ketagihan.

Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini.
Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada lelaki tersebut.

Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.
Kata anak malang ini, --walaupun saya sudah tidak suka melakukannya, tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu menurut kemahuan lelaki tersebut-----
Dapat saya bayangkan bagaimana lelaki jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk memuaskan nafsu binatangnya.

Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak nampak atau tidak mahu percaya.

Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih berganti bersalin dan beliau yang menjaga.

Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah untuk menyampaikan kepada masyarakat.

Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak bongsunya ini masih ‘baby’.

Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan kita bersama:
1. bila anak meningkat remaja - perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya.
2. Jangan mengutuk. Berilah pujian supaya dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat.
3. Setiap wanita seolah-olah ada bauan atau haruman yang tersebar keluar dari dirinya - lalu menarik banyak ‘bugs’. Nasihatkan dia tentang nilai dirinya. Islam meletakkan wanita pada kedudukan terhormat. Tanamkan sifat malu pada dirinya. Perbetulkan pakaiannya. Jagalah dia.

Apa yang sudah berlalu, kita sucikan kembali dengan Taubat. Kembalilah kepada Allah. Solatlah. Sujud kepadaNya. Perbanyakkan amal kebaikan kerana kita tidak tahu amal yang mana satukah yang paling ikhlas dan diterimaNya.. Berbuat baiklah bila-bila masa, di mana saja kepada sesiapapun termasuk haiwan dan tumbuhan.. Bukankah sudah diceritakan di dalam Hadis Nabi bahawa wanita pelacur juga diampunkan dosanya kerana rasa kasihannya kepada seekor anjing yang kehausan.. Marilah kita saling bantu-membantu untuk kembali bertaubat kepadaNya.. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...

Berbahagialah kepada orang yang bertaubat.. kerana semua orang pernah jahat, namun amat rugi sekali kepada mereka yang pernah baik, namun kini memilih untuk menjadi jahat..


Monday, March 24, 2014

Tafsir Ringkas Surah al-Humazah



Surah Al Humazah terdiri atas 9 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah, diturunkan sesudah surah Al Qiyaamah. Dinamai Al Humazah (pengumpat) diambil dari perkataan Humazah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

Isi-isi penting:
Ancaman Allah terhadap orang-orang yang suka mengumpat, suka mencela dan suka mengumpulkan harta. Inilah orang yang mencintai dunia dan memburu dunia sehingga melupakan hari akhirat.

104:1
1.        Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, pencela,-

- Inilah ancaman buat orang yang suka menghina orang lain. Kecelakaan buat orang yang menjadikan kata-kata negatif menjadi ucapan harian. Apabila orang yang mahu dihina tidak berada di hadapannya, maka dia mengumpat. Apabila orang yang dihina ada di depan mata, dia mencaci dan mencelanya.

Kenapa begitu sekali sikapnya?
- Kerana inilah tanda kesombongan yang nyata. Merasa diri lebih mulia dan orang lain itu hina. Benarlah, tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.

104:2

2.        Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;
Kedekut dan tamak. Apa yang penting hanya dirinya. Harta menjadi buruan utama. Dia mencintai kehidupan dunia sehinggakan dia lupa bahawa dia pasti akan meninggal dunia.


104:3
3.        Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!
Sangkaan yang silap! DIa menutup mata hatinya daripada melihat kebenaran. DIa menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Doa dan permintaannya hanya bertumpu pada dunia.

104:4
4.        Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”.
104:5
5.        Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu?
104:6
6.        (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), -
104:7
7.        Yang naik menjulang ke hati;
104:8
8.        Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.
104:9
9.        (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang panjang.

- Inilah neraka Allah yang menyala dengan kepanasan yang sangat marak yang tidak akan pernah malap.
- Bayangkan pula ianya tertutup rapat. Kalau di dunia ini kita berada dalam sebuah bilik yang tertutup rapat pun akan menyesakkan dada. Apatah lagi dengan api dan asap dalam sebuat tempat tertutup. Terikat dan mustahil untuk mereka melepaskan diri.
- Itulah balasan yang setimpal buat mereka yang sombong, lupa diri, memburu dunia, menjadikan hawa nafsu tuhan yang dipatuhi dan sanggup menzalimi orang lain agar dirinya dapat bersukaria di dunia.


Thursday, March 13, 2014

Surah ad-Duha: Tafsir ringkas



Surah ad-Dhuha: الضحى



Surah ini mempunyai 11 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyah, diturunkan sesudah surah al-Fajr. Ad-Dhuhaa diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama, ertinya : waktu dhuha.

.



Isi-isi penting surah:

Allah s.w.t. sekali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang beriman. Ini ialah isyarat daripada Allah s.w.t. bahwa kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang; larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang meminta-minta dan perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah sebagai tanda bersyukur.



93:11. Demi waktu Dhuha



- Ayat pertama ini Allah SWT bersumpah dengan waktu Dhuha.



1. Apakah keistimewaan waktu Dhuha?

Ketika waktu Dhuha kita disunatkan untuk Solat Sunat Dhuha.

Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat & rezeki yang diberikan-Nya. Rasa syukur menambahkan lagi rezeki dunia & akhirat.

 لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ [إبراهيم : 7[

“Jika kamu bersyukur maka pasti Aku akan tambahkan (rezeki) kepadamu, jika kamu kufur (tidak bersyukur) sesungguhnya azab-Ku amat keras” (Ibrahim: 7)

- Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.

- Abu Hurairah pernah berkata bahawa Rasulullah SAW berwasiat kepadanya tiga amalan sunat, yang mana Abu Hurairah tidak pernah meninggalkan amalan ini sehingga mati iaitu: dua raka’at Dhuha, Witir sebelum tidur, dan puasa 3 hari setiap bulan. (Sahih Bukhari & Muslim).



2. Bilakah waktu Dhuha? sumber: http://shafiqolbu.wordpress.com/

- Pengiraan Waktu Dhuha secara astronomi/falak adalah berdasarkan formula:

Waktu Syuruk + satu pertiga (waktu Syuruk - waktu Subuh) atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk.

- Waktu afdal Solat Sunat Dhuha pula adalah 2/3 masa antara bermulanya Solat Sunat Dhuha sehingga masuk waktu Zuhur. (lebih kurang jam 10-11.30 pagi)

- Dan waktu tamat atau berakhir Solat Sunat Dhuha adalah ketika matahari tegak di atas kepala iaitu lebih kurang 9 minit sebelum masuknya waktu Zuhur.





93:2

101:22. dan malam apabila telah sunyi sepi



1. Apakah keistimewaan waktu malam yang sunyi sepi?

- Ketika malam yang sunyi sepi inilah waktu yang sangat mustajab doa yang mana kita disunatkan untuk Solat Sunat Tahajjud.



Secara ringkasnya, dalam ayat 1 dan 2, Allah SWT bersumpah dengan 2 waktu dalam surah ini: Dhuha dan malam yang sunyi sepi. Mari kita bertanya kepada diri sendiri..Adakah kita menggunakan 2 waktu ini dengan sebaiknya?

Ya, marilah kita menunaikan Solat Sunat Dhuha dan Solat Sunat Tahajjud. Paling kurang jika tidak larat untuk menunaikannya, mohonlah keampunan-Nya.. Ini kerana, para Ulama’ pernah berkata: “Rezeki daripada Allah itu banyak bentuk, antara rezeki yang paling utama ialah rezeki & nikmat untuk menunaikan ibadat. Kadang-kadang kita tidak mampu untuk menunaikan sesuatu ibadat disebabkan dosa kita”.

93:33. dan Tuhanmu tidak sekali-kali meninggalkan kamu dan tidak pula membenci kamu



- Jika kita sudah melakukan banyak amalan-amalan sunat. Kita sentiasa solat sunat Dhuha, solat sunat Tahajjud. Kita sudah berdoa dengan doa yang bersungguh-sungguh. Kita berdakwah. Kita bekerja untuk melihat kemenangan Islam dan orang-orang Islam. Tiba-tiba berlaku sesuatu yang diluar jangkaan kita manusia biasa..

- Hati kita terdetik: “Adakah Tuhan telah meninggalkan kita?”.. “Adakah Tuhan membenci kita?” Tidak! Sekali-kali tidak.. ayat ke-3 ini menerangkannya..

- Ayat ini menjadikan kita tenang, terharu dan bersyukur.. Alhamdulillah! Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana tidak pernah meninggalkan kita, tidak pernah membenci kita, hamba-hamba-Nya yang beriman. Ujian itu tanda cinta-Nya. Agar kita tidak terlalu mencintai dunia, agar kita terus-menerus berharap dan bergantung kepada-Nya, dan agar kita sentiasa rindu untuk bertemu-Nya dan menghuni syurga-Nya..





93:44. dan sesungguhnya (kehidupan) Akhirat itu lebih baik untuk kamu daripada (kehidupan) dunia,



- Ya.. berusahalah untuk kehidupan yang bahagia di akhirat.. Kerana akhirat itu jauh lebih baik, jauh lebih kekal.. Kehidupan akhirat abadi buat selama-lamanya..

- Ujian di dunia hanya sementara. Bagaimana kita menghadapi ujian hidup di dunia akan menentukan kebahagiaan hidup kita di akhirat sana..

 



93:55. dan Tuhanmu pasti akan memberikan kamu (kebahagiaan dunia & akhirat) lalu kamu merasa redha,



Bagaimana untuk bahagia?

- Bahagia itu di hati. Bila hati rasa redha dengan segala pemberian Allah SWT -pahit atau manis, baik atau buruk pada pandangan kita- ketahuilah, segala apa yang berlaku, telah berlaku dan akan berlaku menjadikan kita orang yang bahagia. Ini kerana kita yakin bahawa segalanya daripada Dia.

- Rancang & niatkan untuk melakukan amalan yang baik. Walaupun mengkin kita tidak dapat melakukannya nanti, sekurang-kurangnya kita sudahpun mendapat pahala kerana merancang dan berniat untuk melakukan kebaikan.

- Amalkan membaca: رضيت بالله ربا، وبالإسلام دينا، وبمحمد نبيا ورسولا

“Aku redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama/cara hidup, dan Nabi Muhammad sebagai Nabi & Rasul..”



- Kiralah dan hitunglah nikmat pemberian Allah.. Terlalu banyak.. Antaranya:





93:66. Bukankah Dia mendapatimu seorang yatim lalu Dia memberikan perlindungan kepadamu,



- Ya, ayat & surah ini ditujukan kepada Nabi Muhammad r untuk menghiburkan dan menenangkan hati baginda.

- Dalam masa yang sama ayat ini juga untuk menenangkan orang-orang yang beriman.

- Kita mungkin pernah sunyi, tiada sesiapa.. Lalu Allah SWT hadirkan seseorang atau sahabat handai untuk kita..



93:7

7. dan Dia mendapatimu sesat lalu Dia memberikan hidayah/petunjuk



- Ya, dulu mungkin kita jahil tentang agama.. Lalu dia berikan kita hidayah.. Kita di sini, di dalam masjid untuk menuntut ilmu agama dan kembali kepada-Nya..



93:8

8. dan Dia mendapatimu susah lalu Dia memberikanmu kecukupan,



- Ya, dulu mungkin kita seorang yang susah. Sekarang kita mempunyai keperluan yang cukup. Cukup makan, cukup pakai..



Lalu, bagaimanakah cara untuk membuktikan kesyukuran kita?



93:9

9. Maka, adapun anak yatim janganlah kamu bersikap kasar (dengannya),



Bagaimanakah cara untuk membuktikan kesyukuran kita?

- Ya, bila bertemu anak yatim jangan kasari mereka walau bagaimanapun sikap mereka.   

- Mungkin anak yatim itu tiada adab. Dia tiada bapa yang hendak mendisiplinkan dirinya.

- Sebagai orang yang lebih tua, nasihatilah dengan lemah lembut..



93:10

10. dan adapun orang yang meminta-minta janganlah kamu mengherdik-herdik,

- Ya, bila ada yang meminta-minta kepada kita usah mengherdik dan menengkingnya.

- Jika tidak mahu memberi apa yang diminta, sekurang-kurangnya sedekahkan senyuman kita buatnya.

93:11

11. dan adapun dengan nikmat Tuhanmu maka sebut-sebutkanlah (sebagai tanda bersyukur).

- Ya, kiralah nikmat Tuhan dan bersyukurlah.

- Kadang-kadang, kita lebih suka menyebut-nyebut kesusahan-kesusahan yang kita alami. Kita mengeluh. Syaitan pula membisikkan lebih banyak lagi sehingga kita merasakan diri kitalah orang yang paling malang di dunia. Kita lupa nikmat-Nya.

- Ya, sikap seperti ini perlu diubah kepada menyebut-nyebut nikmat Tuhan. Inilah antara cara untuk hati kita sentiasa redah dan sentiasa bahagia.



Penutup

Surat Ad-Dhuhaa, menerangkan tentang bimbingan pemeliharaan Allah s.w.t. terhadap Nabi Muhammad r dan orang beriman dengan cara yang pelbagai dan mengandung pula perintah kepada kita supaya mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya antaranya dengan cara:

1. Solat Sunat Dhuha dan Tahajjud.

2. Berlemah lembut dengan anak yatim dan orang yang meminta-minta.

3. Menyebut-nyebut nikmat Allah SWT. 
 
HUBUNGAN SURAT AD-DHUHAA DENGAN SURAH ALAM NASYRAH
1. Kedua-dua surah ini amat erat hubungannya kerana sama-sama ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan orang beriman untuk menghiburkan dan menenangkan hati kita
2. Kedua-dua surah ini sama-sama menerangkan nikmat Allah dan memerintahkan kepada kita untuk mensyukuri nikmat tersebut.