Showing posts with label anak-anak. Show all posts
Showing posts with label anak-anak. Show all posts

Friday, August 3, 2012

Puasa Ramadan Anak Kecil

Nak puasa!

"Ummi, abang Ngah nak puasa!" Anak kedua memberitahuku penuh semangat. Dia baru berusia lima tahun.

"Kalau abang Ngah dah boleh solat lima kali sehari penuh baru abang Ngah boleh puasa. Ini solat Subuh tak pernah, macam mana nak puasa. Boleh ke?". Aku cuba mencabarnya.

"Takpe. Nak cuba juga puasa. Esok pagi, masa sahur ummi kejutkan abang Ngah tau." Dia menguap. Malam semakin pekat. Dia tertidur dengan niatnya untuk berpuasa. Aku mengelus rambutnya sambil membacakan tiga Qul lalu menyapukannya keseluruh tubuhnya.

---------------------------------------

Puasa anak yang berusia lima tahun hanya sekadar nama. Penat bermain, air dan makanan diminta tanpa segan. Melompat-lompat nak makan. Aku hanya ketawa geli hati. Semalam bukan main nak puasa. Jam baru pukul 9 pagi dah kebulur.

Teringat perbualan rakan-rakan berkenaan kes kematian seorang kanak-kanak bawah tujuh tahun akibat berpuasa.

"Kesian betul. Anaknya minta nak makan dan minum. Tapi sebab dah tinggal sejam lagi sebelum Maghrib, ibunya cakap, sayanglah.. sikit je lagi. Pergi tidur dulu."

"Itulah.. bila dah azan, kejut-kejut anak, tengok-tengok dah tak bangun-bangun dah."

"Ish, ish.. sayang betul.. Kesian. Mesti ibunya sedih sangat. Maklumlah, budak-budak ni kuat main. Berpeluh, jadi cepat pula dahaga. Dengar kata dehidrasi, kematian sebab tak cukup air dalam badan".

"Em, itulah.. dah ajal. Puasa tu jadi sebab je kan.."

"Ibu bapa sekarang ada juga yang lebih galakkan anak berpuasa daripada solat. Sedangkan dalam hadis Nabi, Nabi pesan umur 7 tahun suruh solat, 10 tahun pukul kalau tak solat. Takde pula suruh tekankan sangat puasa pada anak-anak kecil."

"Solat tiang agama. Solat yang patut ditekankan. Tapi kadang-kadang ibu bapa suka berbangga, kononnya nak cakap pada orang; anak saya umur lima tahun dah boleh puasa."

"Niat orang kita tak perlu teka. Biarlah antara dia dengan Tuhan. Kita ambil saja pengajarannya. Lain kali kalau anak kecil nak puasa, biarkan saja. Tapi kalau dia dah minta nak makan dan minum tu tak perlulah nak pujuk suruh sabar, tak perlu nak fikir sayang sebab dah tinggal sejam lagi ke setengah jam lagi ke.. Kita bagi je. Daripada mati sebab puasa.. bukan ke lagi sayang..".

"Tapi anak dia mati memang terus masuk Syurga. Maklumlah bersih daripada dosa. Nak-nak pula mati sebab puasa. Nanti anak dia tunggulah ibunya di pintu Syurga".



---------------------------------

Puasa Ramadan anak kecil hanya sekadar memeriahkan mereka dengan puasa sekejap kemudian makan dan minumlah bila anak mula memintanya.

Amat menarik apa yang dikongsikan oleh Dr. Muna di sini. Seawal manakah anak boleh berpuasa.

Apa yang penting, kita sebagai ibu dan bapa ini, bagaimanakah puasa kita? Solat kita? Ilmu kita? Akhlak kita?

Muhasabah bersama..

Selamat menyambut sepuluh akhir Ramadan tidak lama lagi. Mari pergiatkan ibadah dan amalan kebaikan sehari-hari!

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا

Tuesday, March 6, 2012

Kemuncup Anak-anak

Berlari ke sana sini. Bingit memekik. Suara kanak-kanak riang bermain. Tengah hari yang panas terik. Hari minggu yang ditunggu-tunggu. Bermain daripada pagi lagi.

"Ummi! Air! Air!" Nuh berlari ke dapur. Masuk melalui pintu belakang. Berpeluh-peluh. Aku senyum lebar. Selebar mungkin. Meredakan geram yang mula bersarang. Apalagi melihat seluarnya yang dipenuhi kemuncup. Sabar je lah budak-budak ni..  Anak-anakku seorang lepas seorang masuk. Penat berlari, masuk minum air. Keluar semula. Berlari. Menjerit-jerit di padang permainan. Jarak yang lebih kurang 500 meter daripada rumah masih membolehkan suara mereka yang lantang itu didengari.

"Baca bismillah dulu", aku menyuakan botol air. Segera dideguk air yang diberi sambil mengucap bismillah antara dengar dan tidak. Gopoh. Lalu berlari semula bermain di luar rumah. Jam menunjukkan angka 11.45 pagi. Aku tersenyum lagi. Pasti dipenuhi kemuncup. Semua orang akan disuruh agar membuang kemuncup di seluar masing-masing. Suruhan perlu bernada lembut. Kalau enggan, aku akan melaporkan kepada suamiku, ayah mereka. Mudah sahaja.

-----------------

"Cepat! Sapa yang habis cabut dulu Ummi bagi hadiah!" Aku tersenyum kepada mereka.
Tekun mereka mencabut kemuncup. Penuh. Masing-masing dudk mengerumuni kotak yang aku sediakan khas untuk membuang kemuncup.

"Kenapalah..kemuncup ni suka melekat kat seluar orang.." Nuh membuka mulut.
"Ye la.. menyusahkan orang je.." Hud pula menyambung.
"Betul, betul.." Lut yang bongsu mengiakan saja.

Aku yang mendengar rasa teruja untuk mendidik mereka.
"Kemuncup tu tahu tugas dia. Memang itu pun kerjanya. Bagus dia taat pada Allah."
Aku mula memuji si kemuncup.

"Lah.. Kalau macam tu, buat apa susah-susah kena buang kemuncup ni. Susah-susah dia nak lekat, kita buang pula.." Hud anakku yang tengah mula memprotes. Aku terdiam. Senyuman ku lebarkan agar tidak stress menjawab sebarang soalan mereka.

"Pandai Hud. Faham betapa susahnya kemuncup nak lekat. Tapi kita sebagai manusia kena tolong dia, dia nak tumbuh. Kita kena letak kemuncup-kemuncup ni ditempat yang sepatutnya. Seluar kena dibersihkan. Sebab manusia ada akal. Kemuncup tak ada akal. Jadi dia lekat je kat seluar orang yang lalu dekat dia dan pijak dia.." Aku menjawab spontan.

"Ummi nak letak kat mana kemuncup-kemuncup ni?" Nuh pula bertanya.

"Nanti kita tanya abi ye..Em, mana ye tempat yang sesuai" Aku tersenyum. Dalam hati, aku sebenarnya ingin buang saja.

"Ha, kita letak dekat tempat orang jahat lalu, kalau dia lalu biar kemuncup ni lekat." Hud mula berangan.
"Betul, betul, nanti susah dia kena cabut, sibuk cabut, tak buat jahat." Lut menyambung idea abangnya.

Aku hanya tertawa ceria.



Friday, September 9, 2011

Mendidik anak: Tip no. 2

"Nuh, Maryam.. Main tepi tangga bahaya.. Nanti jatuh.." Sudah beberapa kali aku berpesan. Namun tidak diendahkan mereka berdua. Berlari naik dan turun tangga di rumah ayah dan ibuku. Mungkin kerana di rumah yang suami dan aku sewa kini tiada tangga, jadi mereka agak teruja setiap kali balik kampung. Asyik berlari, berlumba menaiki tangga kayu di sini. Aku menggeleng-gelngkan kepala. Risau juga melihat mereka yang baru berusia 3 tahun. Memanjat-manjat tangga sambil terlompat-lompat. Kalau jatuh bergolek takut terhantuk kepala. Bahaya juga. Emm tapi sampai bila hendak kularang. Biarlah mereka belajar daripada pengalaman. Walaupun dalam hati, asyik berdebar risau. Hanya doa yang mampu kupanjatkan.

"Waaaaaaaaa" Jeritan tangisan mula kedengaran. Maryam jatuh bergolek. Nuh tergamam berdiri. Aku pula berlari melihat Maryam. Aku menarik Nuh dan Maryam ke dalam riba sambil memeluk mereka erat bercampur geram. Tengok sekali lalu, tidak berdarah pun. Hmm okeylah. Budak-budak!

"Sakit?" Tanyaku bersahaja. Maryam hanya merengek-rengek. Nuh terdiam tak terkata. "Nuh tolak!" Maryam menambah. Nuh hanya terdiam pucat.

"Sebab itulah kena dengar cakap Ummi. Bila tak mahu dengar cakap Ummi, syaitan suka. Syaitan suruh main lagi kuat, Nuh pun tertolak Maryam. Maryam jatuh. Nuh dan Maryam pun bergaduh. Syaitan sukalah kalau Maryam dan Nuh bergaduh.." Aku menerangkan panjang lebar.

"Nuh tak bergaduh pun dengan Maryam.." Nuh menjawab membela diri.

"Baguslah kalau tak bergaduh. Salam. Minta maaf." Aku memberikan arahan. Nuh dan Maryam bersalaman.

"Minta maaf". Nuh dan Maryam bersuara.

Aku mencium mereka berdua.
-----------------------

Realiti itu adalah sebaik-baik guru. Biarkan anak-anak mengutip mutiara pengalaman mereka yang tersendiri..

Thursday, September 8, 2011

Mendidik anak mendengar kata: Tip no. 1

"Tak nak! Tak nak!". Maryam anakku yang berumur 3 tahun itu mula membentak. Aku menyuruhnya meletakkan semula permainan-permainan 'baby doll' yang dipegangnya itu. Membawa anak-anak ke pusat membeli-belah adalah satu cabaran buat para ibu bapa. Lagi pula, suamiku tiada untuk membantuku tika ini kerana ada urusan kerja di luar negara. Aku memaksakan senyumku. Malu juga kalau Maryam mula menangis dan menjerit-jerit nanti.

Aku menarik nafas panjang, melancarkan lidah mengucap "La ilaha illallah!" (Tiada Tuhan melainkan Allah!) Makhraj hurufnya yang hanya di hujung lidah membolehkan aku menyebut Kalimah mulia ini berkali-kali tanpa perlu menggerakkan bibir. Tenang sedikit. Aku memeluk dan mencium pipi Maryam. Strategi memujuknya bermula. Aku membacakan 3 Qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Naas) dan meniupkan ayat-ayat ini ke ubun-ubunnya. Maryam mula merengek sambil mendengar bacaanku. Aku meneruskan pula dengan ayat Kursi. Maklumlah, syaitan suka mengacau kanak-kanak dan menggoda mereka agar mahu yang bukan-bukan. 

"Ummi sayang Maryam. Maryam sayang Ummi?" Soalan itu sering kuulang sejak dia kecil lagi sehingga sekarang.

"Sayang!" Jawapan itu juga yang kuulang dan kuajarkan Maryam agar menuturkannya sejak dulu. Kini, Maryam sendiri yang akan menjawab begitu tanpa perlu lagi kusebutkan.

"Sayang, Ummi nak minta tolong Maryam boleh?" Aku tersenyum memandang Maryam.

"Boleh!" Maryam segera menjawab.

"Bagi Ummi ye" Aku berkata sambil cuba menarik permainan yang dipegangnya perlahan-lahan. Walaupun agak sukar melepaskannya, akhirnya permainan itu dilepaskan juga dan aku segera meletakkan semula permainan itu di tempatnya.

"Terima kasih Maryam sayang! Ummi sayang Maryam!" Aku mengakhiri kata-kataku dengan menghadiahkan dirinya satu ciuman.

Aku segera bergegas ke tempat pembayaran bersama Maryam.

---------------------------

Malam itu, sebelum tidur, seperti biasa:

"Ummi sayang Maryam.. Maryam sayang Ummi?"

"Sayang!"

"Ummi nak minta tolong Maryam boleh?"

"Boleh!"

"Cium Ummi ye.." Aku mendekatkan pipiku ke bibirnya. Satu ciuman hinggap ke pipiku. Aku tersenyum.

"Terima kasih Maryam sayang! Ummi sayang Maryam!" Aku mengakhiri kata-kataku dengan menghadiahkan dirinya satu ciuman.

Kemudian, aku membacakan 3 Qul, ayat Kursi, dan doa sebelum tidur sambil diraupkan ke seluruh tubuhnya. Maryam terlena di sampingku sambil mendengarkan alunan ayat Qur'an yang aku bacakan untuknya. Setelah penat membacakan al-Qur'an. Aku memasang MP3 ayat-ayat al-Qur'an bacaan Syeikh Misyari al-Affasi..dan turut terlelap bersamanya..