Thursday, July 28, 2011

Ayam goreng!


AYAM GORENG

“Kita terpaksa, kalau tak, nak buat macam mana lagi?” Izzat mengeluh panjang.
Aku hanya terdiam sambil memerhatikan bumi Universiti Jelapang Padi yang sekarang agak hingar-bingar dengan suara jemaah yang sedang keluar daripada masjid selepas selesai solat Jumaat. Aku kagum melihat jemaah daripada pelbagai negara, dengan pakaian yang berbeza, ragam yang berbeza, bahasa yang juga berbeza. Kalau bukan kerana sudah berjanji dengan Izzat untuk berbincang, aku lebih suka bersalaman dan berkenalan secara ringkas dengan mereka untuk mengutip mutiara kata dan pengalaman berharga. Ya, mengingatkanku kepada akhlak mulia Rasul tercinta yang sentiasa bermanis muka dan memberi salam kepada yang dikenali atau yang tidak. Ini jugalah pesan baginda buat umat tercinta.
Tangga masjid yang berhadapan dengan perpustakaan menjadi pilihan tempat untuk kami berbincang. Halaman yang terbentang luas ini benar-benar memberikanku pemandangan yang indah; di hadapanku manusia yang pelbagai, dan di atasku langit yang membiru, dipenuhi kepulan awan putih dengan pelbagai bentuk yang berarak perlahan mengikut arah angin. Subhanallah! Sungguh mengasyikkan.
“Eh, Amin! Kau dengar ke apa aku cakap ni?” Izzat menepuk bahuku. Sedikit tersentak, aku ketawa sambil memandang Izzat yang berada di sebelahku.
“Izzat, Izzat.. Terpaksa macam kita ni belum boleh menghalalkan yang haram lagi”, aku menjawab setenang yang boleh.
“Tapi nanti kita akan rugi besar dalam bisnes ayam goreng kita, Amin!” Izzat bersuara risau. Aku cuba menahan tawa. Kerisauannya amat kufahami. Memandangkan kami berada di tahun akhir pengajian, Izzat sudah mula mengumpul duit untuk membina kehidupan berkeluarga. Izzat sudahpun bertunang bulan lepas dan merancang untuk berkahwin akhir tahun ini sebaik sahaja tamat pengajian. Katanya, dia ingin merealisasikan hadith Nabi tercinta yang menyeru para pemuda yang sudah mampu untuk segera mendirikan rumah tangga bagi menjaga kehormatan dan pandangan mata.
“Izzat, kau ni risau rugi besar dalam bisnes ayam goreng kita ke, atau kau risau rugi besar tak dapat kahwin tahun ni?” Aku mengusiknya, dan Izzat ketawa ceria.
“Hahaha, pandai kau ya Amin.. Mestilah dua-dua aku risau, sebab kedua-duanya berkaitan. Kalau kita rugi besar dalam bisnes ayam goreng kita, alamatnya tak cukuplah duit aku nak membina masjid tahun ni juga”. Izzat mengeluh di akhir kata-katanya. Keluhannya lebih panjang dan lebih berat kali ini.   
Aku menepuk belakang Izzat sebelum menyentak ingatan dan hatinya. “Rugi besar dalam bisnes duniawi tak seteruk rugi besar dalam bisnes ukhrawi. Kita sama-sama dalam bidang pengajian Pendidikan Islam. Kau dan aku pun tahu, haram hukumnya melanggar perjanjian yang dah kita metrai, lagi pula dengan kelab kita sendiri; Kelab Pendidikan Islam. Kelab kita bagi kita berdua tempat berniaga di cafeteria pun dengan syarat kita membeli ayam daripada mereka Malah, perjanjian ni pun demi kebaikan semua sebab ayam kelab kita terjamin halal dan berkualiti. Berbeza dengan ayam pasar borong, walaupun lebih murah RM1 kita tak pasti sejauh mana proses sembelihan dan simpanan ayam terjamin halal”.
“Tapi modal tak cukup. Modal kita hanya cukup untuk beli ayam pasar borong. Kalau nak beli juga, terpaksalah berhutang dengan kelab. Bukan apa Amin, aku paling tak suka berhutang ni!” Izzat kelihatannya sedang beralasan.
“Berhutang itu halal, Izzat. Rasulullah pun pernah berhutang. Tapi ingat Izzat, Rasulullah tak pernah berkhianat!” Aku mengeraskan sikit nadaku pada perkataan ‘berkhianat’. Izzat tertunduk memandang tangga masjid. Kami berdua terdiam buat seketika.
“Huh, entahlah Amin! Tapi geram betul aku pada pencuri laknat tu! Kalaulah dia tak curi ayam yang dah kita beli dengan kelab, aku pun tak perlu fikir nak ganti dengan beli ayam pasar borong. Betul cakap kau Amin, Khianat itu haram! Walaupun kelab tak tahu yang kita pergi beli ayam pasar borong untuk ganti ayam yang dah kena curi, tapi Allah Maha Tahu. Memang aku akan tuntut dengan pencuri tu kat akhirat kelak. Siaplah!” Izzat menggenggam penumbuk.
Aku menepuk-nepuk belakang Izzat. Kes kecurian ayam memang mengejutkan kami berdua semalam. Sejak sebulan berniaga di cafeteria Kelab Pendidikan Islam, inilah kali pertama kami menghadapi situasi sebegini. Namun, ini juga akibat kecuaian kami sendiri. Kami terlupa mengunci pintu belakang cafeteria dan peti tempat kami menyimpan ayam. Mungkin kerana malam tersebut kami balik agak lewat memandangkan gerai ayam goreng kami dipenuhi pelanggan yang datang tak putus-putus, terutamanya pelanggan lelaki daripada luar negara. Mereka gemar meratah ayam nampaknya.
“Dah jadi takdir. Asal kita tak menyalahkan takdir sudahlah. Apa yang berlaku jadi pengajaran. Lain kali kita lebih berhati-hati. Mungkin kejadian ini besar hikmahnya. Dengan kecurian ayam ini, kita dapat mengelak kecurian yang lebih besar, sebab kita akan lebih berwaspada. Ujian Izzat. Dunia ni tempat kita diuji. Baru kita akan merindui akhirat kan?” Aku tersenyum memandangnya. Teringat kata-kata Izzat sebentar tadi yang menggambarkan seolah-olah dia tidak sabar bertemu pencuri tersebut di akhirat.
“Hahaha betul, betul”. Izzat mengangguk dengan deraian ketawa.
“Jadi siapa yang nak beritahu Ustaz pasal ni?” Izzat kembali bertanya.
Aku terdiam. Kami berdua berpandangan. Kami kehilangan bahasa kata untuk menjelaskan bahasa rasa. Alamak, habislah!
--------------------------------------------
“Kami minta maaf Ustaz”.
Entah kali ke berapa Izzat menuturkan kalimah keramat tersebut. Aku memandang jam di tangan. Sudah jam 4.15 petang. Sejak pukul 2.30 petang tadi hingga sekarang Ustaz masih lagi bercakap, memberi pesan, menyuntik motivasi perniagaan, memberi cadangan dan pelbagai nasihat lagi. Nampak gayanya, Ustaz tidak akan mengakhiri ayat-ayat nasihat sehinggalah azan Asar berkumandang. Apapun, Alhamdulillah, Ustaz langsung tidak marah. Hanya kami yang takut dan terbayang-bayang akan dimarahi. Mungkin ini mainan syaitan dalam usahanya menggoda agar kami tidak menjadi peniaga yang jujur dan amanah.
“Ustaz bukan apa, Amin, Izzat. Ustaz kasihan dengan kamu berdua. Lain kali kena ingat kunci. Penting tu. Dah nama pencuri, kalau kita kunci pun dia cuba pecah masuk, ini pula tak kunci, lagilah seronok dia buat kerja” Ustaz menggeleng-gelengkan kepala.
“Ustaz, ni ibarat ayah kamu. Ustaz bukan marah. Tapi Ustaz nak ingatkan kamu, dalam cafeteria tu bukan ada gerai ayam goreng kamu saja. Alhamdulillah, hanya ayam kamu yang diangkut. Kita kena fikirkan untuk keselamatan harta orang lain juga. Lain kali buat penggera ke untuk ingatkan kamu berdua supaya kunci cafeteria kita tu”.
“Tapi, janganlah kamu berdua lemah semangat pula. Biasalah berniaga ni banyak ujiannya. Ini baru sikit. Ada orang rugi berbilion ringgit. Ini baru berapa ratus. tapi ratus tu banyak juga buat pelajar macam kamu. Tapi tak apa. Ayam tu kamu ambil dulu, nanti bila dah dapat pulangannya baru bayar. Ustaz tak ambil kira sangat dengan pelajar kelab kita. Sebab kelab kita memang ditubuhkan untuk melatih dan membantu pelajar berniaga. Malah, Rasulullah selalu berpesan agar memudahkan urusan orang terutamanya sesama saudara seagama”.
Kami berdua mengangguk perlahan.
“Orang Melayu tak boleh layu, tak boleh cuai. Jadikan pengajaran. Lain kali kena lebih berhati-hati. Kamu berdua ni lelaki. Kena lasak sikit. Kalau ramai sangat pelanggan, kamu tidur saja dalam cafeteria, dekat gerai ayam goreng kamu tu. Malam-malam bangun solat malam kat situ. Pencuri pun takut nak masuk kalau tengok ada dua ‘Ustaz’ masih ada dalam café”.
Kami berdua ketawa. Sungguh ke Ustaz ni!
“Ustaz bukan cakap main-main. Ni cabaran Ustaz buat kamu berdua. Bawalah dua tiga buku. Kamu berdua buat ‘study group’ kat situ pun tak apa”.
Kami tersenyum memandang Ustaz. Cadangan yang menarik!
“Rasulullah dulu berniaga ke Syam, naik unta, merentas padang pasir untuk berniaga. Kita sekarang naik kereta. Duduk berniaga ada kipas, ada lampu. Cuba kita contohi sikit sikap Rasulullah yang kuat berusaha. Kalau Rasulullah tak berusaha takkan boleh sampai bawa balik keuntungan berlipat kali ganda sampai menawan hati Khadijah melihatkan betapa ‘amin’ dan jujurnya baginda. Amin kenalah benar-benar besifat amin lagi amanah”. Aku tersenyum simpul mendengar namaku disebut. Izzat hanya mengerling memandangku.
“Izzat pun kena ada ‘izzah’ kebanggaan dengan agama. Kena berani kerana benar. Barulah boleh jadi peniaga berjaya dunia akhirat, dan menawan hati Khadijah! Tunang kamu namanya Khadijah bukan?”
Izzat mengangguk malu-malu. Aku dan Ustaz hanya ketawa melihat reaksinya.
----------------------------------
Hari-hari seterusnya, perniagaan kami semakin maju. Alhamdulillah. Amat terasa berkahnya apabila berniaga mengikut acuan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah.
“Lima ayam goreng!” Seorang pelajar Sudan berbahasa Melayu denga bunyi yang agak pelat.
“Siap!” Hanya dalam masa beberapa saat aku memasukkan ayam goreng ke dalam bungkusan. Izzat pula sedang memasukkan beberapa ketul ayam yang sudah disaluti tepung ke dalam kuali. Berdesir bunyi minyak sebaik sahaja ketulan ayam dimasukkan.
“Eh, ini ada enam ayam goreng!” Pelajar Sudan berkenaan berkata sambil melihat ke dalam bungkusan.
“Percuma satu untuk enta ya sheikh Ali!” Aku berkata sambil tersenyum memandangnya. Pelajar Sudan yang bernama Ali tersebut sememangnya pelanggan setia kami.
“Alhamdulillah! Barakah! Semoga perniagaan syeikh Amin dan syeikh Izzat diberkati”. Ali mendoakan kami dalam bahasa Arab dengan penuh semangat. Aku dan Izzat meng’amin’kan doanya. Dia dan rakan-rakannya beredar dengan riang. Aku dan Izzat turut berbunga bahagia melihat kegembiraan mereka. Ya, antara ajaran Rasul tercinta ialah bersifat pemurah dan sering bersedekah, kerana di situ ada keberkahan yang melimpah.  
Malam semakin tua. Nampak gayanya kami berdua akan tidur sahaja di cafeteria malam ini. Dua buah buku sudah kami bawa di sini memandangkan musim peperiksaan akan tiba seminggu sahaja lagi.
“Malam ni nak buat operasi tak?” Izzat mengangkat kening.
“Operasi apa pula?” Aku memandangnya ingin tahu. Izzat ada sahaja idea baru yang menarik.
“Operasi perangkap pencuri!” Mata Izzat bercahaya sebaik sahaja mengunggkapkan operasi yang bermain di fikirannya.
Aku tersentak. Ya tak ya! Idea yang menarik. Aku benar-benar teruja. Aku menganggukkan kepala tanda setuju.
Setelah semua gerai di dalam cafeteria ditutup oleh pemilik masing-masing. Aku dan Izzat menutup lampu dan kipas. Namun, pintu belakang tidak kami kunci. Kami membiarkan cafeteria kelihatan kosong, seolah-olah kami terlupa mengunci pintu belakang buat kali kedua!
Dalam samar-samar gelap malam yang hanya diterangi lampu jalan di luar cafeteria, aku dan Izzat solat malam di sudut gerai ayam goreng kami yang terlindung. Kami berdoa semoga pencuri yang membuat hal di cafeteria Kelab Pendidikan Islam ini berjaya ditangkap dengan jayanya. Semoga tidak berlaku sebarang pertumpahan darah. Aku teringat betapa banyak kes kecurian yang dilaporkan di dada akhbar berkenaan pencuri yang mencederakan mangsa. Tiba-tiba kemarahanku meluap naik. Ya, sebagai seorang pemuda, aku tidak takut! Ya, aku bukan pengecut! Penjenayah mesti diberkas!     
Jam menunjukkan jam 2.30 pagi. Mata kami berdua terasa segar malam ini. Alhamdulillah dengan kiizinan-Nya kami tidak dihinggapi rasa kantuk. Maha Suci Allah yang tidak mengantuk dan tidak pula tidur.
Tiba-tiba kami mendengar bunyi tapak kasut sedang berlegar-legar di luar kawasan cafeteria yang sunyi. Aku segera mencapai pisau pemotong ayam. Izzat membulatkan matanya. Namun, aku tidak mengendahkannya. Aku tahu Izzat pasti terkejut melihat aku memegang pisau pemotong ayamnya. Pintu belakang dibuka perlahan. Gerai ayam goreng kami merupakan gerai yang paling hampir dengan pintu belakang. Aku dapat melihat kelibat pencuri yang dengan jelas cuba membuka peti ais gerai kami yang dipenuhi kotak ayam segar. Bismillah! Aku terus membuka langkah. Silat gayung yang kumahiri mengunci mati pergerakan lelaki tersebut.
“Arghh!”
“Izzat, buka lampu!”
Izzat yang berada berhampiran suis segera menekan suis lampu, dan cafeteria kini kembali terang benderang.
Pencuri itu tersembam di atas lantai cafeteria dan aku berada di atasnya. Lututku menekan tangan kanannya, manakala tangan kirinya kusimpulakn kebelakang dengan tangan kiriku. Pisau pemotong ayam yang berkilau kugenggam dengan tangan kananku berhampiran lehernya.
“Jangan bergerak kalau tak nak tercedera!” Aku mengugut.
“Izzat! Ikat kaki dia!”
Dalam hanya beberapa saat, Izzat selesai mengikat kakinya menggunakan tali raffia.
“Amin! Dia tak bersenjata! Jauhkanlah pisau tu.” Izzat kelihatan risau.
Aku tersenyum. Baru aku sedari, kini aku yang kelihatan seperti penjenayah pula. Secepat kilat kugantikan pisau dengan tali raffia dan mengikat tangannya lalu ikatan itu kusambung ke kaki. Aku bangun dan memandang pencuri tersebut. Dia berpeluh-peluh. Rambutnya dipenuhi uban. Oh, orang tua?! Aku melihat wajahnya yang berkerut seribu. Pak Mat!
“Pak Mat!” Aku dan Izzat menjerit serentak. Pak Mat merupakan tukang kebun di sekitar kawasan cafeteria. Kami bagai tidak percaya.
“Tolonglah pak cik, nak! Pak cik janji, pak cik tak akan mencuri lagi. Ini kali pertama pak cik cuba masuk. Pak cik tak berniat nak mencuri pun. Pak cik cuma nak cari makan saja. Pak cik ni orang miskin. Lepaskanlah pak cik, nak..” Mata Pak Mat berkaca. Menangis nampaknya dia untuk meminta simpati.
“Amin, kesian Pak Mat, aku rasa ni baru pertama kali Pak Mat buat silap. Kita maafkan saja” Izzat sememangnya lembut hati.
“Izzat, hari tu kau pun pernah kata, yang kau takkan lepaskan pencuri tu”. Aku cuba mengingatkannya.
“Itu kat akhiratlah. Lagipun mungkin yang dulu tu orang lain kot”. Izzat cuba menduga.
“Betul, betul.. ini kali pertama pak cik cuba masuk. Pak cik orang susah. Lepaskanlah pak cik..” Pak Mat masih merayu.
“Pak cik! Saya yakin ini bukan kali pertama pak cik masuk! Saya terpaksa laporkan pada pihak ‘security’ segera”. Aku segera menelefon Encik Wahab daripada bahagian keselamatan UNIVERSITI.
“Tolonglah nak! Tolonglah! Tolonglah pak cik!” Pak Mat menangis tersedu-sedu.
Izzat kelihatan serba salah. Nampaknya, Izzat benar-benar mempercayai segala dakwaan Pak Mat.
“Encik Wahab, saya Amin daripada café Kelab Pendidikan Islam. Saya dan kawan saya Izzat berjaya tangkap seorang pencuri yang cuba pecah masuk dalam café.. Baik! Saya tunggu di sini”. Aku berasa lega. Dalam masa beberapa minit lagi Encik Wahab dan rakan-rakannya akan sampai ke sini memandangkan kedudukan café yang berhampiran dengan bahagian keselamatan.
“Harap pak cik bertaubatlah! Hentikan pembohongan dan kegiatan mencuri! Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar di sini, yang ingin melihat bumi UNIVERSITI aman damai!” Aku berkata dengan tegas.
--------------------------------------
Minggu peperiksaan yang sudah berlalu melegakan semua pelajar. Izzat dan aku terasa lebih bersemangat meneruskan perniagaan ayam goreng kami yang semakin menampakkan hasilnya. Malah, kes Pak Mat sudah pun selesai. Pak Mat disahkan pernah memecah masuk cafeteria dan beberapa bangunan lain di UNIVERSITI bersama beberapa orang rakannya yang lain. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya satu kumpulan pencuri berjaya diberkas.
“Amin, macam mana kau boleh tahu yang malam tu bukan malam pertama Pak Mat pecah masuk?” Izzat mengajukan soalan cepu emasnya ketika kami selesai solat Asar berjemaah di masjid.
“Izzat, kau pernah tak dengar cerita masa zaman pemerintahan Sayyidina Umar ibn al-Khattab kalau aku tak silapla. Masa tu ada orang ditangkap kerana mencuri. Jadi si pencuri ni minta Sayyidina Umar lepaskannya sebab itu adalah kali pertama dia mencuri. Masa tu, Sayyidina Ali ada bersama. Sayyidina Ali mengatakan bahawa pencuri itu berbohong. Ini kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Menutup Aib ‘As-Sattar’. Jadi, pastinya Allah menutup aibnya jika itu pertama kali. Setelah diminta bersumpah, maka pencuri itu mengaku, bahawa itu adalah kali ke-21 dia mencuri dan setelah 20 kali terlepas, kali ke-21 dia tertangkap. Maka, tangannya dipotong sebagai hukuman”.
“Masya Allah! Menarik betul kisah tersebut.” Izzat nampaknya baru pertama kali mendengarnya.
“Izzat, aku pun sebenarnya tak pasti sejauh mana kebenaran kisah tu. Tapi apa yang penting keyakinan bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penutup Aib ‘As-Sattar’, jadi aku yakin Pak Mat dah berkali-kali pecah masuk, tapi sayang Pak Mat tak menyesal dan tak bertaubat, maka Allah akhirnya buka kesalahannya di khalayak ramai. Apapun kita doakan semoga Pak Mat kembali bertaubat. Semoga taubat Pak Mat dan kita semua diterima oleh-Nya yang Maha Pengampun”.
“Oh, ya! Masa untuk buka kedai!” Izzat mengingatkanku dengan penuh semangat. Kami berdua segera berlari-lari anak menuju cafeteria. Sambil menikmati keindahan alam semulajadi mulut kami berdua terkumat-kamit membaca zikir ‘Ma’thurat’ yang diamalkan oleh baginda Rasulullah. Hati terasa begitu tenang menghayati makna doa’ dan zikir-zikir yang begitu indah.
Seperti biasa gerai ayam goreng kami mula dibuka tepat jam 5.00 petang. Nasyid selawat Nabi turut dipasang seperti biasa. Ya, sekali kita berselawat kepada baginda, sepuluh kali Allah s.w.t akan memberikan ganjarannya. Subhanallah, besar sungguh fadhilat dan kelebihan berselawat!
Desiran bunyi minyak panas mula kedengaran nyaring senada dengan selawat dendangan Sami Yusuf. Bau ayam goreng semerbak mengeroncongkan perut sesiapa yang menghidunya.
“Ustaz!” Aku terkejut sebaik sahaja ternampak Ustaz daripada kejauhan menuju gerai kami.
Izzat turut terkejut mendengar kalimah ‘Ustaz’. Kami berdua tersengih-sengih menunggu kedatangan Ustaz. Ustaz mula melihat sekeliling gerai ayam goreng kami. Hatiku berdebar-debar. Masih segar diingatanku minggu pertama kami mula berniaga di sini. Ustaz datang membuat lawatan mengejut. Memandangkan kami belum biasa, ada minyak dan tepung yang tertumpah di sana sini, menjadikan gerai kami kelihatan agak tidak bersih. Ustaz memarahi kami ibarat seorang ayah memarahi anaknya yang menumpahkan makanan.
“Bagus! Lebih bersih daripada hari mula-mula Ustaz tengok dulu. Alhamdulillah, macam inilah peniaga Muslim! Bersih, kemas! Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Ustaz menepuk-nepuk bahu Izzat yang berada berhampiran Ustaz.
“Ustaz nak beli lima ayam goreng ni. Nak bawa balik rumah, biar orang rumah Ustaz rasa sikit air tangan anak didik Ustaz”.
Aku dengan segera membungkus lima ayam goreng untuk Ustaz. Sekeping not RM50 diberikan.
“Tak perlu baki. Hadiah inisiatif untuk kamu berdua!” Ustaz menepuk bahuku.
“Syukran Ustaz”. Aku dan Izzat serentak berterima kasih.
“Oh, ya! Ini tahun akhir kamu berdua kan? Berapa CGPA kamu?” Ustaz mengajukan soalan cepu emas.
“Alhamdulillah Ustaz, 3.6” Aku menjawab sambil tersenyum.
“Izzat?” Ustaz memandang Izzat yang sedang sibuk mengangkat ayam goreng yang sudah masak.
“Alhamdulillah, 3.7” Izzat menjawab sambil tersengih-sengih.
“Masya Allah! Bagus, bagus! Bak sabda Nabi, sesungguhnya Allah menyukai orang yang apabila melakukan sebarang kerja, dia melakukannya dengan cemerlang. Jadi kita kena cemerlang dalam semua aspek; cemerlang dalam akhlak, cemerlang dalam akademik, cemerlang dalam berniaga!” Ustaz mengakhiri sesi pertemuan kami kali ini dengan satu lagi motivasi.
----------------------------------------
Malam ini kami tidur di cafeteria. Kami bergilir-gilir solat malam. Ketika Izzat solat. Aku duduk bersandar di dinding. Terasa agak lenguh kaki ini yang lama berdiri. Ketika mengurut tapak kakiku yang terasa sedikit lenguh, terlintas di memoriku pertanya isteri Rasulullah, Aisyah r.a. ketika beliau melihat kaki baginda yang pecah-pecah akibat terlalu lama berdiri ketika solat: Kenapa perlu sampai begini? Bukankah dosamu telah diampuni? Lalu baginda menjawab: Maka tidak sepatutnyakah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?
Subhanallah! Begitu mulia peribadi baginda. Begitu tinggi sifat kehambaan baginda. Menghabiskan malam hari beribadat dengan tekun. Siangnya berdakwah. Keluarga baginda dipenuhi kasih sayang. Baginda menjadi contoh dalam semua aspek; sebagai bapa, suami, pendakwah, pemerintah, sahabat… Cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Ya, akhlak baginda ialah al-Qur’an.
Teringat kealpaan dan kelalaian diriku sewaktu dulu. Malam dihabiskan dengan permainan komputer dan cerita komik yang sia-sia. Siang dihabiskan dengan berbual dan bermain tanpa ada arah tujuan. Alhamdulillah, tiba di taman ilmu dan budi, UNIVERSITI, aku dikenalkan tentang cara hidup Rasulullah dan para sahabat. Minat terhadap perniagaan ditanam melalui program keusahawanan yang dianjurkan oleh Kelab Pendidikan Islam. Ya, dulu aku pernah mencemuh bidang perniagaan yang kuanggap sebagai jalan terakhir buatku jika tiada pekerjaan. Namun, setelah mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh kelab, baru kusedar, perniagaan merupakan hasil usaha utama di zaman Rasulullah dan para sahabat. Ya, dengan berniaga aku belajar berdikari, aku belajar erti jujur dan sabar, erti penat dan lelah, erti usaha dan tawakkal, erti redha dan syukur, erti rendah diri dan saling memberi, erti mu’amalah dan perhubungan secara Islam. Melalui perniagaan, lebih ramai yang kukenal, lebih bertambah Ukhuwwah melalui pelanggan yang datang dan urusan jual beli yang menguntungkan.
Ah, indah sungguh! Aku ingin mencontohi baginda Rasulullah dalam setiap aspek kehidupanku. Perniagaan hanya salah satu daripadanya. Aku ingin menjadi peniaga yang jujur, yang benar, kerana peniaga yang benar akan bersama para Nabi dan para Syuhada’, di bawah naungan ‘Arasy-Nya. Teringat sabda junjungan mulia: Sesungguhnya aku merindui saudara-saudaraku.. Ya Rasul Allah, sesungguhnya kami umat akhir zaman ini, yang beriman kepadamu walaupun tidak sempat melihat wajahmu, yang berusaha mengikuti Sunnahmu walau tidak sempat mendengar tuturkatamu, kami di sini turut merinduimu. Sangat-sangat merinduimu! Ya Rasul Allah, aku rindu padamu!

_____________________

Moral cerpen: 


1. Firman Allah swt:

َويْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُواْ عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ (3) أَلَا يَظُنُّ أُولَئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ (4) لِيَوْمٍ عَظِيمٍ (5) يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (6)

(Surah al-Muthaffifin: 1-6)

"Celakalah bagi orang yang curang (dalam perniagaan). iaitu orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain mereka minta dipenuhkan. dan apabila mereka menimbang untuk orang lain mereka mengurangi. tidakkah mereka itu mengira bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan. pada satu hari yang besar. pada hari ketika semua orang bangkit menghadap Tuhan seluruh alam."

Peringatan buat para peniaga..


  

No comments:

Post a Comment