Showing posts with label short story dan cerpen. Show all posts
Showing posts with label short story dan cerpen. Show all posts

Thursday, April 23, 2015

UNTUK IKHLAS


"Ustazah, macam mana nak pastikan diri kita ikhlas belajar kerana Allah?" Soalan cepu emas daripada pelajar.

Ustazah menelan air liur sendiri. Soalan susah! Ah, aku sendiri masih terkapai-kapai mencari. Detik hati ustazah sambil bibir menguntum senyum menyembunyikan rasa di hati. Berkat majlis ilmu, ilham datang mencurah-curah memberikan jawapan buat ustazah dan para pelajar.

"Mintalah sentiasa bantuan Allah. Rendahkan diri kita. Jangan sombong untuk meminta tolong daripadaNYa.." Ustazah memulakan jawapan. Kemudian menyambung:

"Jawapan yang paling realistik dan paling mudah untuk soalan 'macam mana nak ikhlas, macam mana nak sabar? macam mana nak syukur? macam mana nak redha? dan segala macam mana, macam mana, macam mana?'" jawapan ustazah terhenti dek gelak ketawa pelajar.

Kemudian ustazah kembali menyambung:
"Jawapannya ialah: Apa-apa mesti minta dari Dia. Tanda kita ini hambaNya. Sentiasa berharap padaNya."

Ustazah tersenyum sendiri bersyukur dengan ilham yang datang untuk memberikan jawapan kepada para pelajar yang setia mendengar.

"Doa je ke ustazah? Doa je ke usaha yang perlu dibuat untuk ikhlas?" Soal pelajar yang lain pula sambil berkerut dahi.

Ustazah tersenyum lagi. Gembira kerana pelajar-pelajarnya suka bertanya. Ini tanda minat dan tanda bersungguh-sungguh.

"Baguslah kamu semua ni, suka bertanya. Ustazah suka dan gembira sangat sebab soalan-soalan begini buat ustazah kembali berfikir. Malah, buat kamu semua turut berfikir. Sebelum ustazah bagi pandangan, ada sesiapa yang nak lontarkan buah fikiran?"

Ustazah mendepakan tangan. Membuka ruang bersuara kepada semua pelajar.

"Ustazah!" Seorang pelajar di belakang mengangkat tangan.

"Ya, silakan!" Kata ustazah sambil mengangguk.

"Doa' itu usaha. Tapi bukan sekadar berdoa je pastu tak buat apa-apa, hanya tidur, tengok movie, makan dan main 'game'. Kita kena buktikan bahawa kita sungguh-sungguh mengharapkan doa kita dimakbulkan Allah. Buktikanlah dengan cara hidup seharian kita.Adakah cara hidup kita daripada bangun tidur sampai tidur semula itu cara hidup Islam? Solat kita bagaimana? Kita berusaha untuk solat awal waktu atau makan awal waktu?" Pelajar itu melontarkan pendapat dengan penuh semangat.

Para pelajar yang lain mula tersenyum simpul.Ustazah tersenyum lebih lebar. Alhamdulillah, ada pelajar yang mampu menjawab.

"Bagus Ahmad! Ustazah setuju dengan apa yang kamu kata. Ya, akhirnya kita mesti muhasabah diri sendiri. Bagaimana amalan seharian kita? Jangan pula menunding jari kepada orang lain. Tanya dan tunding jari pada diri sendiri, macam ni," kata ustazah sambil jarinya ditundingkan kepada batang hidung sendiri.

Para pelajar ada yang tergelak kecil.

"Ustazah, jadi, untuk ikhlas, kita berusaha dengan doa merendah diri kepada Allah dan dalam masa yang sama kita berusaha untuk hidup dengan cara hidup Islam. Begitu kan?" Pelajar yang memulakan soalan membuat kesimpulan.

"Ya, tepat sekali!" balas ustazah sambil mengangkat ibu jari.

"Tapi tak semudah yang dikata" sambung ustazah sambil tersenyum penuh makna.

Kelas pagi itu ditamatkan dengan bacaan Surah Al-'Asr dan tasbih Kaffarah..

Untuk ikhlas
mujahadah harus tinggi
usaha harus digandai
doa dan amalan perlu selari
bukan sekadar bergoyang kaki..

Maka,
setiap hari
perlu 'refresh'
perlu 'recharge'
niat di hati.

Kenapa aku di sini?
Untuk apa aku begini?
Soal diri sendiri
setiap kali
merenung diri.

Ulang-ulang
lagi dan lagi
Ya Allah..
Bantulah aku
seorang pendosa ini
untuk membersihkan hati
kembali memurnikan niat diri
untuk melakukan segala
ikhlas demiMu..

Kemudian?
Baca kembali rangkap pertama sajak ini..
Begitulah kitarannya sehingga mati
menemui Ilahi..


 

Monday, December 31, 2012

Surat untuk suami..



Abang.. Ketahulah abang.. sayang tak akan minta intan permata.. satu dunia pun sayang tak akan minta.. sayang tak nak dunia.. sayang nak abang redha&maafkan sayang je.. redha&kemaafan abang sangat penting bagi sayang.. Doakan sayang dapat syahid.. Doakan sayang dapat 'raudhah min riyadhil jannah'... Redha Allah, adalah dengan redha Abang..


Alhamdulillah cukuplah sayang dapat jadi isteri abang.. Syukur alhamdulillah. Syukur sangat-sangat... Apa-apa yang abang dapat berikan pada sayang, sayang sangat-sangat berterima kasih.. Terima kasih abang.. Terima kasih atas segala-galanya..


sayang ingat lagi, sayang minta abang belikan sayang nasi dengan telur dadar isi kicap, tapi kicap tak ada. Kalau abang beritahu kicap tak ada, sayang tak kisah pun.. Tapi puas abang pusing-pusing carikan kicap untuk sayang...abang ni baik sangat.. Terima kasih abang.. sayang terharu sangat-sangat..Terima kasih abang..  T.T

sayang ingat lagi, sayang sakit, abang risaukan sayang lebih daripada sayang sendiri, abang belikan sayang makanan, carikan teh pudina, abang tak dapat tidur lena risaukan sayang.. abang nampak penat.. kesian abang..

sayang ingat lagi, sayang ajak abang teman sayang ke Mayban.. Penat abang jalan jauh-jauh dalam panas terik.. tapi rupa-rupanya tak sampai lagi agreement.. abang senyum je.. abang tak marah sayang sebab tak confirm dulu betul-betul.. kesian abang mesti lapar, abang ajak sayang makan pizza tapi sayang tak nak makan pizza.. abang ikut je sayang nak terus balik, kesian abang, abang pening & sakit kepala..tapi abang dengar je sayang bercakap banyak..

sayang ingat lagi, abang kata selimut ni nak kena basuh.. tapi sayang diam je (he2 sayang malas basuh), pastu abang kata tak apa, abang basuh selimut..

Abang terlalu baik.. baik sangat-sangat.. selalu jaga hati sayang.. sayang jadi sangat-sangat teharu.. sebab tu sayang menangis.. bila sayang teringat sabda Nabi s.a.w.:
رفقا بالقوارير
استوصوا بالنساء خيرا
خيركم خيركم لأهليكم
sayang bersaksi, abang telah dan sedang melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.. Abang seorang yang sangat baik dan berlemah lembut pada ahli keluarga..

Abang suami yang sangat sayang hormati dan sayang..sayang sangat..

Tapi.. abang bukan milik sayang, maka sayang relakan kalau suatu hari nanti abang nak cari isteri lain, kerana sayang sedar, sayang banyak kekurangan, sayang bukan setenang dan sesopan yang abang sangka sebelum berkahwin dengan sayang, sayang tidak seaman nama sayang, sayang terlalu banyak kekurangan sebagaimana yang sayang jelaskan sebelum ini.. maka sayang doakan semoga abang akan bertemu isteri yang lebih baik daripada sayang.. sayang lebih rela bermadu daripada berpisah.. bagi sayang, polygamy is a lot better than divorce.. kerana sesiapa yang dapat berkahwin dengan abang, sayang yakin, dia pasti akan sangat bahagia.. dan sayang sekarang sangat bahagia.. abang terlalu baik, melayan sayang penuh keikhlasan, menyantuni sayang dengan penuh kelembutan, walau sayang penuh dengan kekurangan dan kelemahan.. Terima kasih abang, sayang mencintai dan menyayangi abang sepenuh hati dan jiwa.. 

Hati abang bukanlah milik sayang..
Mana milik sayang?
Tidak ada milik sayang
Abang bukan milik sayang
hati abang pun bukan milik sayang..

Mengapa sayang perlu sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa sayang tidak malu
mahu memiliki abang untuk diri sayang seorang

Apa yang ada pada sayang?
Kalau Allah tidak beri
sayang tidak punya apa-apa..

Semua yang ada
Allah yang punya
sayang patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Mana milik sayang?
Tiada..
Tiada milik sayang .. T.T
(adaptasi daripada lagu Rabbani: "Mana Milik Kita?")

Terima kasih kerana mencintai sayang. Terima kasih kerana memperisterikan sayang.
..
abang mencintai dan menyayangi sayang dengan penuh kebaikan
abang memberikan semesta cinta dengan segala keikhlasan
abang santuni sayang dengan kelembutan
abang layani sayang dengan kesabaran
abang memberi sayang segala keperluan
abang membantu sayang tanpa rungutan
abang menemani sayang pada setiap kesempatan

Suamiku, sesungguhnya diri ini bersaksi
sayang sangat bahagia di sisi abang
sayang mencintai abang dengan sepenuh cinta, sepenuh jiwa
bawalah sayang bersama abang
Menjalani dunia hingga beroleh syurga-Nya…



Daripada isteri yang terlalu mencintai dan menyayangimu..
maaf zahir batin
sayang sayang abang
terima kasih abang atas segalanya..
أحبك في الله
^_^

Friday, August 3, 2012

Mas kahwin daripada suami?


"Okey, soalan cepu emas! Mahar atau mas kahwin ni hadiah daripada siapa untuk siapa?"
Semua pelajar tersenyum, lalu semua serentak menjawab:
"daripada SUAMI untuk ISTERI!" semua menjawab penuh yakin.

"Ya ke?" Ustaz cuba menimbulkan keraguan di hati.
"Ya la ustaz.. Suamilah yang kena bagi isteri mahar.." Salah seorang daripada kami menjawab.
"Ya ke?" Ustaz mengulang soalan yang sama.
"Ya ke?" Sekali lagi soalan yang sama diulang-ulang.

Kami terdiam. Wajah ustaz serius dan setegas soalan beliau. Hendak dikatakan sengaja buat serius namun semacam tidak. Kami terkedu dan kelu. Salahkah jawapan kami? Bukankah mahar ini merupakan pemberian suami untuk isteri? Lagipun, jelas tertulis dalam buku kami; 'mahar ialah pemberian yang wajib ke atas suami kepada isteri..' Betullah jawapan kami? Kenapa cara ustaz bertanya seolah-olah kami salah? Adakah ustaz sengaja hendak menguji kami? Tiba-tiba terasa geli hati melihat cara ustaz cuba meragukan kami terhadap perkara yang telah jelas tertulis dalam buku.

"Ya ke? Hadiah daripada suami ke? Ya ke?" Ustaz menyoal dengan serius.
"Ya la ustaz..habis tu hadiah daripada siapa lagi kalau bukan suami?" Salah seorang daripada pelajar cuba menjawab sekali lagi, penuh yakin.

Memandangkan tiada siapa yang memberi jawapan yang tepat, ustaz memberikan jawapan:
"Kamu semua tahu tak, mahar ni sebenarnya bukan hadiah daripada suami! Mahar ni ialah hadiah daripada ALLAH buat isteri yg diWAJIBkan ke atas suami! Kamu ingat, kalau tak diwajibkan, ada ke suami nak bagi mahar pada isteri? Ada ke?" Ustaz menjawab jelas dan terang, serius dan tegas.

Kami bagaikan baru disimbah air, bagai terkejut bangun daripada tidur, bagai tertampar pipi, bagai terpanah hati sendiri, bagai baru mendengar bom meletup. Kami sememangnya benar-benar terkejut. Ternganga mulut. Tidak dapat digambarkan betapa terkejutnya mendengar jawapan yang merupakan satu hakikat. Hakikat yang tak terfikir oleh kami para pelajar. Inilah hakikatnya. Ya, kami mula sedar, bahawa setiap kewajipan adalah satu hadiah daripada Allah s.w.t. buat hamba-Nya.
Mahar juga ialah satu kewajipan yang menjadi hadiah daripada Allah s.w.t. buat isteri yang diwajibkan ke atas suami. Mahar sebagai tanda penghormatan Islam terhadap seorang wanita. Maka suami diwajibkan untuk memberikan mas kahwin kepada isteri sebagai tanda memuliakan seorang wanita yang bergelar isteri. Siapalah wanita tanpa Islam. Tanpa Islam, wanita ditindas sebagai kaum yang lemah, diinjak harga diri dan maruah, tiada tempat, pangkat dan darjat. Namun, Islam datang penuh rahmat untuk seluruh alam. Subhanallah, indahnya Islam! Alhamdulillah, atas nikmat Islam!

Saturday, March 24, 2012

Detik-detik menuju pernikahan

Laili termenung. Sahabatnya Ina hanya menggeleng-gelengkan kepala. Laili tersenyum sendiri. Mula membuka mulut meluahkan bicara: "Macam mana ni Ina.. Laili rasa macam dah kena sakit angau ni.. Alamak.. Haaah.." Satu keluhan berat dilepaskan.

Ina hanya mampu tersenyum. Sudah beberapa kali ayat yang lebih kurang sama isinya itu diulang-ulang Laili kepadanya. Laili sedang angau, Laili sedang asyik, Laili rindu..

"Sabar je la Laili.. Kalau dah jodoh tu, tak ke mana.." Ina mengulang lagi nasihatnya. Nasihat yang sudah beberapa kali diingatkan. Ina tahu yang Laili pun tahu. Tapi...

"Apa kata kita jumpa ustazah Ainon. Mungkin ustazah boleh nasihatkan Laili," Ina memberi cadangan.

Perpustakaan universiti ditinggalkan buat sementara waktu. Walaupun berada dalam perpustakaan, fikiran Laili masih tidak dapat memberikan perhatian kepada tesis PhDnya. Satu idea pun tidak keluar. Baru 15 muka surat tesis PhD yang mampu Laili drafkan sejak tiga bulan lalu. Sekarang, mereka berdua menuju ke pejabat ustazah Ainon. Harap-harap ustazah berkelapangan. Ina dan Laili mengharap dalam hati.

"Assalamu'alaikum" Laili memberi salam setelah mengetuk pintu pejabat ustazah Ainon.

"Masuk", kedengaran suara ustazah Ainon sayup-sayup dari dalam. Laili segera membuka pintu. Sekali lagi dia memberi salam: "Assalamu'alaikum ustazah."

"Wa'alaikumussalam. Ya, Laili, Ina, jemput masuk" Ustazah tersenyum ceria. Tangan ustazah Ainon disalami dan dicium penuh hormat.

"Duduklah" Ustazah tersenyum sambil mempersilakan mereka berdua duduk.

"Ustazah sibuk ke? Nak tanya sesuatu sebenarnya" Laili memulakan perbualan. Ina hanya tersenyum di sisi.

"Tanyalah, ada apa ye? Berkenaan tesis ke?" Ustazah Ainon masih tersenyum.

Laili memandang Ina. Segan-segan. "Er..boleh tak nak tanya soalan peribadi.." Laili menjawab sambil tersenyum-senyum malu.

"Oh.. Boleh je.." Ustazah ketawa kecil. Ustazah Ainon dapat mengagak. Muka Laili yang merah padam memberi isyarat bahawa pelajarnya ini ingin bertanya tentang perkahwinannya yang dalam 8 bulan lagi.

"Akhir-akhir ni Laili tak dapat nak fokus pada tesis. Asyik teringat tunang saja. Rasanya 8 bulan tu macam 8 tahun saja.. Rasa lambat sangat. Macam mana nak buat ye?" Laili bertanya sambil tersengih-sengih malu. Ustazah Ainon ketawa ceria.

"Biasalah tu Laili.. Ustazah faham.. Bila wanita yang diambang usia 30 tahun, dan akan berkahwin, pasti terasa macam lama betul 8 bulan tu.. maklumlah, sudah lama menunggu untuk disunting.. dan kini setelah disunting, terpaksa menanti pula.." Ustazah Ainon masih tersenyum.  Ustazah Ainon teringat kisah perkenalan antara Laili dan tunangnya itu. Kedua-dua mereka adalah pelajarnya. Masing-masing sedang mencari pasangan hidup. Sebaik sahaja mengetahui berkenaan Laili daripada ustazah Ainon, pelajarnya yang bernama Soleh itu membawa keluarganya datang ke rumah Laili untuk meminang. Disebabkan Soleh belum mempunyai kerja tetap, keluarga Soleh menetapkan tempoh satu tahun untuk mereka berdua bertunang. Laili hanya mampu menerima keputusan mereka dengan pasrah. Walaupun ustazah Ainon tahu yang Laili tidak mahu bertunang selama itu. Kalau diikutkan Laili, sebulan saja sudah cukup.

"Ustazah faham, wanita mana yang tak merindui bakal suaminya. Cuma, untuk meredakan ledakan perasaan tu, untuk fokus pada apa yang ada pada hari ini, untuk tidak terasa panjangnya masa.. ada satu ubatnya, Laili boleh cuba.." Ustazah Ainon tersenyum. Berhenti seketika untuk memerhatikan reaksi Laili. Laili nampak teruja. Bersinar-sina matanya memandang ustazah Ainon. Laili dan Ina setia menanti bicara seterusnya. Laili cuba mengagak-agak. Menyibukkan diri sendiri dengan kerja atau belajar kot? Tapi Laili sudahpun cuba untuk baca banyak buku, terlibat dalam banyak program, dan macam-macam lagi. Tapi kesibukan itu hanya menebalkan lagi rasa rindunya untuk bergelar isteri dan ibu. Fitrah wanita..


"Em, ustazah rasa ubat yang paling sesuai.. em..ubatnya ialah banyak mengingati mati.. Ya, ingat mati.. Bila kita ingat mati, kita lebih menghargai masa yang ada untuk kita pada ketika ini. Siapa tahu bila kita mati kan? Satu jam lepas ni? Dua jam? Selagi masih bernyawa, gunakanlah masa sebaiknya. Tingkatkan bekalan akhirat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ingat, rasai, hayati ayat-ayat al-Qur'an.." Ustazah Ainon tersenyum. Mata Laili bergenang. Laili tersentak. Bagai dipanah hatinya. Dia terlupa.. Mati.. Bila? Di mana? Ya, dia terlupa.

Ya, siapa tahu, mungkin dia mati hari ini. Kenapa dia harus merisaukan hari yang mendatang? kenapa dia harus mengira detik demi detik menuju tarikh pernikahan? Sedangkan, masih adakah esok baginya? Ya, hari ini harus digunakan sebaiknya! Laili kembali bersemangat. Mengingati mati itu, benar-benar menghidupkan hatinya!


Tuesday, January 24, 2012

Cinta si Tua

Lawatan ke rumah orang Tua

Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di sini mengikut program bersama berbelas rakan seperjuangan yang lain. Orang-orang tua yang sebaya ibu tercinta, amat memilukan hati sendiri. Salah seorang daripada mereka terbaring lesu tak bermaya. Perlahan aku menghampiri sambil mengelus lembut kepalanya. Lalu terus mencium dahinya penuh cinta. Dia adalah masa depanku. Aku tak pasti bila ajal akan tiba. Andai berumur panjang beginilah agaknya rupaku. Berkedut seribu. Terbaring lesu.

Lebih baik jaga lembu

Tiba-tiba telingaku menangkap bicara beberapa orang rakanku bersama seorang nenek tua. Nenek itu bertanya: "Anak-anak ni belajar lagi ke?"
Rakan-rakanku menjawab: "Ya, masih belajar kat universiti"
Nenek itu terdiam seketika, lalu mula bercerita dengan suara sebak. "Anak mak cik semua belajar di universiti terkemuka di luar negara. Kat USA, kat UK, semua sekarang kaya raya. Dulu mak cik duduk rumah besar. Mak cik dulu buka catering. Masa kenduri kahwin anak mak cik, mak ciklah yang masak semuanya. Tapi sekarang..." AIr matanya mula mengalir. Rakan-rakanku mengusap belakang mak cik tua, memujuk dia.. Aku masih duduk terpaku di sisi nenek tua yang terbaring, tanganku masih mengelus lembut kepalanya, sambil telingaku menangkap bicara mereka.. Ah.. nenek-nenek tua di sini, semua mereka.. pasti ada cerita tersendiri, sehingga akhirnya terlantar di sini, tanpa anak-anak di sisi..
"Kalau nenek tau, lebih baik jaga lembu! Tak perlu susah-susah jaga anak yang tak mengenang budi!" Kata-katanya yang tiba-tiba tersembur keluar bersama air mata, menyentap tangkai hati sesiapa yang mendengarnya. Ya Allah, siapakah anak-anak nenek ini? Sampai hati mereka buat begini.. Tidak takutkah mereka menderhaka kepada ibu yang begitu makbul doanya..


Cinta si Tua

Kami berada di rumah orang tua itu selama hampir 4 jam. Jam 1 petang kami mula berangkat pulang. Pelbagai cerita yang dikongsikan si nenek tua. Ustazku pernah berpesan;

sayangilah dan cintailah kanak-kanak, ketahuilah, mereka adalah bayangan masa silammu.. sayangilah dan cintailah orang-orang tua, ketahuilah, mereka adalah bayangan masa tuamu.. Cintailah si Tua, kerana dia, bayangan masa tua kita semua..

Persiapkan anak-anak

"Em, pendidkan memainkan peranan besar kan?" Seorang rakanku bersuara.
Seorang lagi menjawab: "Betul tu..Kalau ikutkan cerita nenek tadi, anak-anak dia semua belajar kat Western, dan Westerners terkenal dengan rumah orang-orang tua ni..Habis madu sepah dibuang.."
Em..aku terdiam. Memikirkan anak-anak sendiri. Patutlah sekolah agama sekarang semakin mendapat sambutan.. Alhamdulillah.. mungkin kesedaran ibu bapa hari ini semakin meningkat.. Ya, apabila ditanya nenek-nenek tua tadi, semua anak-anak mereka adalah daripada golongan yang berpendidikan tinggi, namun pendidkan mereka tinggi sekularnya, tiada pelajaran agama yang diterapkan, semuanya lebih kepada material semata-mata.. ALhamdulillah, tiada lagi kami bertemu, anak-anak yang berpendidikan agama meletakkan orang tua mereka di rumah orang-orang tua..
Maka, persiapkanlah anak-anak kita sebagai anak-anak soleh, bekalan hakiki buat negeri abadi..

Anak aset ke syurga.. video yang amat menarik untuk direnung bersama..
 

Sunday, December 11, 2011

Boleh ke perempuan berkawan dengan lelaki dalam Islam?

"Ustazah, dalam Islam, orang perempuan boleh tak kawan dengan orang lelaki?"
Pertanyaan kawan sekelasku menarik perhatian semua. Kelas yang terdiri daripada wanita sahaja menjadikan kami lebih bebas melontarkan persoalan kepada Ustazah yang kami kasihi.

Ustazah tersenyum. Seperti biasa.

"Em, apa maksud berkawan tu ye? Kalau kawan yang maksudnya lelaki dan wanita dalam Islam itu bukan musuh, maka jawapannya YA, wanita adalah kawan lelaki, boleh berkawan maksudnya kita bukan bermusuh. Dengan kata lain, wanita dan lelaki berkawan dalam saling bantu-membantu menyuruh kepada yang makruf, menegah yang mungkar seperti firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ  
التوبة : 71
Maksudnya: dan orang-orang beriman; lelaki dan wanita sebahagian mereka adalah pembantu kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang dirahmati oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

"Oo jadinya, kita bolehlah berkawan dengan lelaki kalau nak buat program ke.. dalam kelas ke.. masa kelas, belajar sama-sama ke.." Seorang lagi rakanku memberi soalan dalam bentuk kenyataan. Aku hanya menjadi pendengar setia, cuba memahami dan meneliti.
Ustazah tersenyum lagi lalu menjawab; "Ha~ tapi kita ingat.. Dalam Islam semua perkara dan urusan ada batas dan limitasi. Ya, kita ini berkawan dan bukan memusuhi lelaki, tapi ada batas pergaulan dan batas berkawan. Okey, sebelum kita bincang apa batas berkawan dengan lelaki, ustazah nak tanya, ada tak batas pergaulan dan batas berkawan wanita dengan wanita?" 

"Mana ada.."
"Eh, ada, ada.."
"Ada la sikit.."
"Eh, ada ke?"
Kelas sedikit hingar bingar dengan pelbagai jawapan. Ustazah di hadapan hanya tersenyum.

Ustazah memberi jawapannya; "Jawapannya; ada.. Bila kita berkawan dengan sesama wanita, kita boleh pegang, boleh tenung, boleh bergurau senda, bertepuk tampar, selagi mana tidak melampaui batas. Apa batasnya: 
1. Aurat. Kena jaga aurat sesama wanita. Paling minima, pusat ke lutut, jangan dedah peha, masa mandi kat kolah asrama tu, jaga aurat. Masa tidur pun, pastikan aurat tak terbuka, eloknya pakai seluar panjang ye.. Jangan memandang dengan nafsu syahwat.
2. Sentuhan, jangan sentuh bahagian aurat dan bahagian yang menaikkan nafsu syahwat. 

Ustazah menuliskan dua point di hadapan kelas. 

"Kita sekarang di zaman Lesbian dan Gay sudah mula diberi pengiktirafan dalam dunia barat. FIlem-filem, bahan media yang menyokong juga dah berlambak dalam internet. Kena jaga dan lebih berhati-hati.." 

Kalau dengan lelaki yang bukan mahram pula, batasnya ialah:
1. Aurat: Seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Ha~ ni semua dah tahu kan..
2. Sentuhan: Haram menyentuh.
3. Suara: Haram melunakkan suara, sengaja memanjakan suara..
4. Aktiviti bersama tanpa keperluan (Ikhtilat) percampuran bebas dalam permainan, dan sebagainya.
5. Wangian. Tak boleh pakai minyak wangi sehingga boleh terhidu oleh lelaki.

"Ha? habis bedak pun ada pewangi ustazah.. Syampu, sabun.." Seorang pelajar pula memberi komen.

Ustazah masih dengan senyuman manisnya. "Kalau bau bedak/sabun/syampu dan yang seumpamanya tu.. itu kalau duduk dekat-dekat baru bau kan? Sebab tu tak boleh duduk dekat-dekat dengan lelaki. Ha, bagus soalan kamu tu, ustazah tambah lagi satu point.."

6. Jarak. Tak boleh duduk dekat-dekat dengan sengaja.

Kami semua ketawa geli hati. 

Ustazah menyambung lagi: "Ini secara ringkasnya. Jadi, nak belajar bersama-sama, kalau ada keperluan perbincangan dalam kumpulan kena ada Ustazah atau Ustaz yang memantau. Jangan berlebih-lebihan. Seelok-eloknya belajar bersama-sama rakan wanita.. Em, tapi kenapa ye kita rasa lebih seronok nak belajar dengan lelaki bukan mahram? Seronok boleh bergurau senda? Bergelak ketawa bersama-sama? Ha~ dalam Islam, semua benda yang membawa kepada nafsu syahwat itu haram ye sayang.. bahaya.. Sebab itu Allah larang kita mendekati zina.. dan segala pintu-pintunya. Bukan bermakna kita bermusuh dengan lelaki, tapi kita berkawan dengan mereka, menjaga hati mereka, sama-sama ke syurga dengan redhaNya..Batas-batas ini bukanlah kongkongan, tapi ini untuk menjaga lelaki dan wanita agar sama-sama berjaya di dunia dan di akhirat.."

Semua pelajar hanya mengangguk-anggukkan kepala. FIkiran masing-masing dengan persoalan masing-masing. Lebih senang bertanya secara personal. Ada juga yang bertemu Ustazah selepas kelas untuk bertanya lanjut. Aku hanya terdiam memerhati dalam hingar bingar kelas yang baru ditamatkan.

Em~ kesimpulannya, kalau betul seorang Muslimah ingin berkawan dengan seorang Muslim, mahukan teman yang boleh bermesra, kawan yang boleh diluahkan isi hati, bergurau senda, berkongsi pahit manis, suka dan duka.. kena berkahwin dulu, atas akad yang sah yang menghalalkan segala.. Menyalurkan tuntutan nafsu secara fitrah lagi diredhai-Nya.. kalau tidak, kalau bukan dengan akad pernikahan, maka seorang Muslim dan Muslimah itu kena jagalah batas-batas berkawan dengan lelaki ni ye..^_^


Wednesday, November 9, 2011

Terima kasih sahabat..

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti kegembiraan dan kebahagiaan
dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain..
-----------------

"Wah, cantiknya!" Aku teruja melihat poster-poster pemandangan yang dibawanya.
"Nini ambillah satu, kita hadiahkan satu untuk Nini ye. Pilihlah yang mana Nini suka", dia tersenyum lembut kepadaku.
"Eh, takpela.. Kan untuk dijual ni.." Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Takpe, ambil je, kita suka tengok orang lain gembira dan bahagia dengan pemberian kita.." Paksaan lembutnya yang masih bertali arus, membuatkan aku mengalah akhirnya dan memilih salah satu daripada poster-poster tersebut.
Diam-diam aku turut berazam untuk bergembira dan berbahagia dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain.
-----------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti sokongan dan kekuatan
dengan menyokong dan meniupkan kekuatan buat orang lain..
----------------

"Jom masuk pertandingan ucapan awam!" Aku mengajaknya menyertai dengan penuh semangat.
"Nini masuklah! Kita bagi sokongan ye.." Mukanya berseri-seri.
DI hari itu. Aku memberi ucapan dengan penuh keyakinan. Walaupun tidak ramai yang memberikan perhatian, namun aku dapat melihatnya tersenyum di belakang, penuh perhatian terhadap setiap patah kata yang kuucapkan.
Diam-diam aku berazam, aku juga ingin menjadi kuat, dengan memberi sokongan dan meniupkan kekuatan buat orang lain.
---------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti ketabahan dan pengorbanan
dengan mengorbankan kepentingan diri demi orang lain..
--------------

"Kenapa tak beratur ambil nasi percuma?" Aku bertanya kehairanan. Di bulan Ramadhan, nasi diberikan percuma kepada para pelajar. Cuma, kadang-kadang jumlahnya tidak mencukupi untuk semua.
"Takpelah, Nini pergilah beratur dulu ye. Kalau orang terakhir beratur dah dapat nasi, kalau ada lebih, baru kita ambil, kalau takde, tak mengapa. Kita beli roti pun dah kenyang sebenarnya".
"Oh~ takpelah, kita tunggu sama-samalah.." Aku menirunya.
------------

"Isteri kedua?" Aku terkejut.
"Tak apalah. Mak ayah kita nak salah seorang daripada anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki ni. Takde siapa antara adik beradik kita yang nak. Jadi, kita kata biar kita yang kahwin dengan dia. Tak mengapa, yang penting redha Allah dan redha kedua ibu bapa". Dia tersenyum manis.
"Sedihnya.. tak tahu nak cakap apa lagi..", mataku bergenang.
"Nini jangalah menangis.. Tengok, kita tak menangis pun.." Dia ketawa ceria.
------------

Berkahwin di usia muda. Ketika masih menuntut di IPTA. Aku mendoakan dia semoga sentiasa bahagia, di dunia dan di akhirat sana..

Sahabat..
Segala apa yang telah aku pelajari
daripada dirimu
semoga mengalir pahalanya buatmu jua
aku juga ingin kau bahagia
kerana aku bahagia melihatmu bahagia
sebagaimana kau berbahagia
dengan berbahagianya orang lain..
Terima kasih sahabat..
-------------

10 tahun berlalu. Kini kami dalam lingkungan 30-an. Saling berhubung menerusi emel, sms dan telefon, namun tidak bertemu muka. AKhirnya, berpeluang bertemunya semula di majlis reunion yang amat menggembirakan. Aku menangis dengan deraian air mata bahagia.
"Comelnya anak-anak Nini!" Dia mencium pipi dua orang anak perempuanku yang malu-malu.
"Ni anak perempuan kita.. Dah darjah tiga. Maklumlah, ibunya kahwin awal" Dia ketawa ceria.
"Mana ayah?" Aku bertanya anaknya mesra sebaik sahaja dia selesai menyalami dan mencium tanganku.
"Ayah dah meninggal dua tahun lepas.." Jawapannya mengejutkan diriku. Aku memandang sahabatku dengan wajah terkejut tidak percaya. Dia tidak pernah memberitahuku kala kami berhubung di alam maya.
"Kenapa senyap saja, kalau dengar berita orang meninggalkan kena cakap sesuatu, ke dah lupa?" Dia bersahaja, berkata dengan nada bergurau.
Aku perlahan mengucapkan istirja'. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNYA kita semua akan kembali..
--------------------

Aku tidak bertanya kenapa dia merahsiakan khabar ini kepadaku. Aku tidak bertanya kerana aku tahu jawapannya. Dia, mahu aku bahagia. Dia, tidak mahu aku bersedih disebabkan dia. Aku memahaminya. Aku kagum pada dirinya. Setelah itu, aku mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai guru ganti dan menjual pisang goreng di waktu petang untuk menyara tiga orang anaknya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Kesusahannya dipendamkan sendiri. Aku cuba menghulurkan sedikit bantuan kewangan memandangkan aku mempunyai pekerjaan yang tetap lagi lumayan, namun ditolaknya dengan baik. Aku melawat ke rumahnya, dan kedengaran anak-anaknya berkata, bestnya kalau ada ayahkan? Kala itu, dia di dapur membuatkan air untukku. Walau telah aku tolak, namun dia berkata, "Tak sudi ke minum air yang kita buat?" Apa lagi, air yang dibuatnya kuminum sehingga licin. Wang yang ditolaknya, kuberikan kepada anak-anaknya sahaja.
-----------------

"Abang nak kahwin lagi tak?"
Tersembur air teh yang diminum suamiku kala mendengar pertanyaan itu.
"Eh, kenapa tiba-tiba cakap macam ni?" Dia bertanya kehairanan. Suasana petang yang indah itu memberikanku kekuatan untuk melahirkan rasa hatiku. Kuceritakan perihal sahabatku. Sejak dulu hingga kini.
"Kalau macam tu sikap kawan Nini, mesti dia sendiri pun tak nak kahwin dengan abang..Takkanlah dia nak ambil suami sahabat sendiri.." Suamiku kembali menghirup teh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ketawa kecilnya masih bersisa. Aku hanya tersenyum di sisinya. Sudah 5 tahun kami berkahwin dengan dikurniakan dua orang cahaya mata. Alhamdulillah!
----------------

Puas kupujuk dia. Kepakaranku dalam bidang psikologi digunakan sebaiknya. Ah~ air pun boleh melembutkan batu, apatah lagi aku seorang sahabat. Dia, akhirnya bersetuju. Menjadi maduku, menjadi ibu buat anak-anakku sebagaimana aku akan menjadi ibu buat anak-anaknya. Anak-anaknya yang turut berada di situ bersorak riang. Mereka akan punya ayah! Alhamdulillah!
---------------

"Abang.. Please.. Abang.." Aku merayu-rayu. Tidak kusangka, suamiku tidak mahu.
"Abang.. abang tak kesian ke kat Nini, letih-letih Nini pujuk sahabat Nini.. Tolonglah bang.. dia dah pun setuju bang.. anak-anak dia pun dah happy sangat dah.. tolonglah.." Mengalir air mataku. Tak dapat kubayangkan betapa hancurnya hatiku bila suamiku menolak.
"Bagi abang masa seminggu untuk berfikir.. Perkara besar macam ni, bukan senang-senang je.. Nini, Nini, kenapa Nini tak tanya abang dulu?" Suamiku kelihatan resah. Dia memegang kepalanya lagak orang kepeningan.
"Nini kan dah tanya. Abang kata, sahabat Nini yang tak mahu. Abang tak katapun yang abang tak mahu.." Aku meneruskan pujukan dengan air mata.
"Alahai Nini, kenapalah Nini buat macam ni.. Abang tak kata abang tak mahu, tak bermakna abang mahu.." Dia memejamkan matanya kejap. Mungkin tidak mahu memandang wajahku yang bermadikan air mata.. Oleh kerana aku tidak dapat menayangkan wajahku yang bermandikan air mata, esakan tangisku dikuatkan sedikit. Semoga telinganya yang mendengar esakan ini, dapat melembutkan hatinya. 
---------------

bersambung..

Saturday, October 29, 2011

Hati merintih pilu..

Hati merintih pilu.. "Ya Allah, sebarang apa yang Engkau anugerahkan kepadaku berupa kebaikan, maka aku amat memerlukannya sekarang.. Ya Allah, bantulah hamba-MU ini.." Selawat ke atas Nabi mula meniti di bibirku..
Terimbas kala ini mutiara kata seorang Ustaz.
-----------------------------
"Apa makna Selawat ke atas Nabi", Ustaz tersenyum-senyum memandang kami semua, menunggu jawapan anak muridnya.
"Kita mendoakan kesejahteraan buat Nabi" Jawab seorang murid.
"Ya, betul. Soalan seterusnya, kenapa kita mendoakan kesejahteraan buat Nabi? Bukankah Nabi manusia yang paling sejahtera, selamat dan hampir kepada Allah?"
"Sebab Allah suruh kita selawat, Allah dan para malaikat pun selawat kepada Nabi.."
"Em, betul, tapi jawapan yang saya nak beritahu ialah.. Allah suruh kita solat, tapi adakah kerana Allah berhajat atau perlukan kepada solat kita? Tidak! Allah tidak berhajat atau perlukan solat kita. Dia Maha Agung walaupun tanpa solat kita. Tapi kenapa dia suruh kita solat? Jawapannya, itu untuk kebaikan diri kita sendiri. Sama juga, Nabi s.a.w. tidak berhajat pun pada selawat kita, tanpa selawat kita, Nabi tetap manusia teragung.. Sebab tu Nabi kata; Siapa yang berselawat kepadaku maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali", jadi kenapa kita selawat? Untuk kebaikan kita, siapa selawat bermakna dia dapat selawat 10 kali daripada Allah sendiri. Ha, untung tak siapa yang selawat? Siapa yang tak selawat diri dia sendirilah yang rugi.."

--------------------------

Kini aku berselawat. Ya, 1 selawat bersamaan 10 kali Allah Yang Maha Pengasih mengurniakan rahmatNYA kepadaku. Aku hampir menangis. Hari semakin gelap. Berseorangan di perhentian bas, amat menakutkan. Bimbang apa-apa terjadi. Alhamdulillah, tiba-tiba Ustazah menelefonku. "Laila ke yang duduk dekat bus stand tu?"
"Ya, ustazah, eh? ustazah kat mana ni?"
"Tunggu je kat situ, ustazah datang ambil, ustazah nampak macam Laili, ni just nak confirmkan je"..

Alhamdulillah! Terima kasih ya Allah.. Ya Allah, bantulah aku untuk mensyukuri nikmatMU..

اللهم ما أمسى بي من نعمة أو بأحد من خلقك فمنك وحدك لا شريك لك فلك الحمد ولك الشكر

Ya Allah, segala apa yang aku rasai pada petang ini daripada nikmatMU atau daripada salah seorang makhlukmu maka ia adalah daripadaMU jua satu-satunya, tiada sekutu bagiMU, maka untukMU segala pujian dan kesyukuran..


Friday, October 7, 2011

Bila bukti cinta menyalahi budaya..

Saya sedang makan di cafe asrama perempuan. Suasana agak lengang. Tidak sampai sepuluh orang pelajar yang sedang makan di sini. Jam menunjukkan pukul 3.30 pm. Namun, hujan lebat menyuramkan suasana cafe. Kehadiran pasangan yang berjalan beriringan ke meja makan di hadapan, menarik perhatian saya. Lelaki itu seorang warga asing berkulit putih, orang Eropah. Manakala, wanita itu pula bertudung labuh, orang Melayu. Em, suami isteri.. Desis saya sendirian.

Lelaki itu mengambil air, sementara wanita itu duduk menunggu di meja makan sambil meletakkan pinggan yang sudah terisi. Lelaki itu menuju meja makan daripada arah belakang wanita itu, lalu tunduk sedikit dan mencium pipinya. Saya yang berada di meja belakang mereka sedikit terkejut. Terus mengalihkan mata ke pinggan nasi saya sambil terkebil-kebil memandang nasi yang sudah hampir habis di makan. Ops!

Kedengaran si wanita itu sepertinya tidak suka. Si lelaki dengan nada sedikit marah berkata: "We're already married!" Dan mulut mula berbalas bicara. Ketegangan yang terhasil menghilangkan selera yang saya ada. Segera saya meninggalkan cafe.. Em, macam-macam..

Adat suami isteri yang berbeza boleh membawa pergaduhan andai tidak dikawal oleh pasangan.. Suaminya kelihatan gembira, namun apabila perbuatannya (sebagai bukti cinta) dipersoalkan si isteri, dia rasa bagai diperlekeh.. Em.. budaya berbeza.. Bila bukti cinta menyalahi budaya, ia menjadi tak kena.. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.. Selagi tak bersalahan dengan ajaran Islam, bertolak ansurlah.. Alhamdulillah 'ala kulli hal..


Thursday, September 29, 2011

Tika sudah asyik bercinta..


Maryam kembali membaca emel yang dikirimnya beberapa tahun lepas. Dia tersenyum sendiri. Memori lalu kembali bermain di ingatan.. Emel itu ditatap:
-----------------------------------

Semalam ada talk: “Love, heart matters..” kat dewan  lepas isya’ for sisters only. (Siapa nama ustaz penceramah ye?.. he2, lupa namanya..) Tapi ustaz tu ada bacakan hadis berkenaan: ‘the best cure for those who are in love is marriage’ he2 lebih kurang macam ni ustaz cakap.. Maryam pernah dengar juga hadis ni dulu.. tapi bila ustaz tu cakap semalam, entah kenapa rasa macam tertampar pipi sendiri pula :D Tiba-tiba terdetik pula, em hadis sahih ke ni ye?.. jadi Maryam cari dalam maktabah  shamilah, dan jeng-jeng:

- حدثنا محمد بن يحيى . حدثنا سعيد بن سليمان . حدثنا محمد بن مسلم . حدثنا إبراهيم ابن ميسرة عن طاوس عن ابن عباس قال: - قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: (لم نر ( ير ) للمتحابين مثل النكاح)
 في الزوائد إسناده صحيح ورجاله ثقات
 [ ش ( لم نر للمتحابين مثل النكاح ) لفظ متحابين يحتمل التثنية والجمع ] .
قال الشيخ الألباني : صحيح
أراد: أن أعظم الأدوية التي يعالج بها العشق، النكاح. فهو علاجه الذي لا يعدل عنه لغيره إذا وجد إليه سبيلا ( ه ك عن ابن عباس ) بإسناد صحيح.
ويعبر العشق بالجنون ، والجنون بالعشق

Wah! Hadis sahih rupanya! Masya Allah! He2 patutlah bila ustaz tu sebut hadis ni terus masuk ke hati.. Em, agaknya, kalau dalam bahasa Melayunya he2 ubat kepada sakit “angau” ialah nikah.. عشق ni “angau” kot..he2 entahlah..

Kenapa Maryam cakap pasal ni ye? Em..bila Maryam dah mula seyum memanjang sorang2, gelak sorang2, ulang baca emel Khairi entah berapa kali sehari, taip emel berjam2..simpan sms2 Khairi..tulis dan mengarang sajak entah apa2..buat apa-apa pun asyik teringat Khairi saja.. kalau Maryam terjumpa Khairi, jadi macam tak tentu hala, nak control buat biasa saja, tapi macam semuanya di luar kawalan Maryam (bila Khairi cakap Maryam nampak malu2, muka naik merah..Maryam tak tahupun muka Maryam merah, maklumlah Maryam tak dapat tengok muka sendiri..he2 semua tu berlaku di luar kawalan) he2 macam2 la.. segan nak cerita..(tapi cerita juga :P)  He2 jadinya sahabat-sahabat Maryam cakap, Maryam ni macam dah kena sakit ‘angau’ dan ‘jiwang’ (jiwa melayang kot :D)! (ye ke? he2) Jadi, em macam mana Maryam nak cakap ye.. he2.. Maryam nak suruh Khairi kena segera bertanggungjawablah kalau macam ni.. :P

Cakap pasal tanggungjawab..he2 Maryam ni senang je suruh Khairi kan? kesian pula pada Khairi, yang berat kena pikulnya ialah Khairi.. maklumlah, Khairi yang kena ambil ‘aqad’ nikah daripada abi, aqad yang berat sangat sampai disebut dalam al-Qur’an “ميثاقا غليظا tambah pula tanggungjawab nafqah keluarga & sebagainya.. bila fikir balik, tak sampai hati pula T_T em..kesian pula nak desak-desak Khairi suruh cepat kahwin dengan Maryam (tapi tulis juga :P)..  

Maryam dan keluarga pernah bincang dulu, selepas Khairi datang rumah jumpa abi & umi (he2 cerita di sebalik tabir), ada dua perkara penting yang dibincangkan:

1. Status Maryam

Em, Maryam ni dikira tunangan Khairi atau belum. He2 Maryam kata kat abi & umi, Maryam anggap Maryam ni dah jadi tunang Khairi. Maka orang lain dah tak boleh masuk meminang Maryam.. sebab setahu Maryam, kalau seorang lelaki berjanji untuk menjadikan seorang wanita itu isterinya dan wanita serta keluarga wanita tersebut bersetuju maka dah dikira sebagai tunang.. (em, ye ke? he2 Khairi ada janji nak jadikan Maryam isteri ke.. ke Khairi datang untuk ziarah rumah Maryam saja, em tapi takkan pula datang ziarah rumah Maryam tanpa apa-apa niat untuk kahwin dengan Maryam (huhu ke Maryam je yang salah faham..T_T)

Jadi, semua emel & sms Maryam pada Khairi, Maryam anggap sebagai taaruf kita sebagai tunang.. (tak pernah seumur hidup Maryam, Maryam sms & emel macam ni pada lelaki ajnabi kecuali Khairi..(he2 abi, umi &  abang long serta Nini  &  Lili boleh jadi saksinya,he2 :D )

2. Perbelanjaan perkahwinan

Memandangkan Maryam dan keluarga tak nak susahkan Khairi, majlis tunang tak ada pun tak mengapa, terus datang rombongan untuk kahwin rasanya lebih menjimatkan perbelanjaan Khairi.. lagipun, abi umi kata, tak kisah nak bagi berapa hantaran & mahar, mana yang mudah buat Khairi & setakat yang Khairi mampu je, kalau boleh biar bersederhana, sebab yang paling penting perkahwinan yang berkat, dan perkahwinan itu berkat bila urusannya mudah..tambahan pula, perancangan kewangan selepas kahwin lebih penting berbanding perbelanjaan majlis kahwin yang hanya sehari, kerana perbelanjaan selepas majlis perkahwinan akan berterusan sehingga akhir hayat..

Memandangkan keredhaan ibu bapa amat penting sebab tu dulu abi & umi suruh Maryam sms tanya Khairi yang Khairi dah tunjuk gambar dan tanya abah Khairi ke?.. akhirnya, Khairi sms beritahu yang keluarga Khairi setuju cuma suruh tunggu habis belajar dan ada kerja tetap dulu..tak mengapalah.. Alhamdulillah ‘ala kulli hal..kalau begitu kehendak keluarga Khairi, nak buat macam mana kan..redha ibu bapa dan keluarga amat penting bagi sesebuah perkahwinan yang mencari redha Allah swt...he2 jadi Maryam dan keluarga Maryam setia menunggu Khairi sekeluarga sahajalah.. :D (Sebenarnya Maryam tak kisahpun kalau Khairi nak kahwin dengan Maryam sebelum ada kerja tetap, orang kata perkahwinan ni menambahkan keberkatan hidup..harapnya lepas kita kahwin segalanya lebih berkat..amin)

Maaf sangat2 kalau emel Maryam ni menambahkan beban di fikiran Khairi (huhu kesian Khairi kena fikir banyak benda, nak siapkan tesis, buat part-time kat perpustakaan, kat pusat membeli-belah lagi..nak cari kerja tetap lagi..keluarga lagi, macam2 perkara lagi..pastu kena fikir pasal Maryam lagi.. maaf ye..T_T)

Apapun, semoga sakit ‘angau’ dan sakit 'asyik' bercinta ini diberikan kesembuhan oleh-NYA.. Hanya Dia yang mampu memberikan kesembuhan yang hakiki.. Semoga segala yang kita usahakan ini dikira sebagai jihad serta ibadah dalam menuju redha-NYA..AMIN..^_^

اللهم إنا نسألك حبك، وحب من يحبك، وحب عمل يقربنا إلى حبك.
 اللهم اجعل حبك أحب إليّ من نفسي وأهلي ومن الماء البارد.
 اللهم آمين

-----------------------
Emel itu ditutup. Semalam adalah memori lalu.  Esok adalah misteri yang hanya dalam pengetahuan Ilahi. Hari ini adalah satu kurniaannya, dan Maryam memilih hari ini untuk disyukuri sepenuhnya