Wednesday, August 31, 2011

PILIHAN

KITA membuat pilihan
faktor luaran
faktor dalaman
kita memilih untuk membenarkan
faktor-faktor itu mempengaruhi pilihan..

Tuhan berfirman
menceritakan perihal masa depan
kala penghuni neraka dihumban bersama syaitan
berkata syaitan
usahlah diriku kamu salahkan
dirimu sendirilah yang perlu disalahkan!

Inilah tanggungjawab sebuah pilihan
manusia diberi pilihan
namun setiap pilihan punya akibat dan kesan
pilihlah, esok kita pasti akan dipertanggungjawabkan..

Jari mungkin menunding cuba melepaskan
salah ibu ayahku yang memberi pendidikan
salah suamiku yang salah memberi ajaran
salah isteriku yang memberi hasutan
salah anakku yang menakut-nakutkan
salah itu ini dan..
tundingan tanpa sempadan..
Setiap orang akan ditanya berkenaan masing-masing punya pilihan
Pilihan anak Nabi Nuh memilih untuk mengikut telunjuk syaitan
Pilihan isteri nabi Nuh dan Nabi Luth melakukan pengkhianatan
Pilihan anak seorang penjahat untuk melakukan kejahatan
Pilihan anak seorang soleh untuk melakukan kebaikan
 Pilihan isteri seorang Firaun memilih untuk mengikut jalan kebenaran..

Maka bukti jelas menunjukkan
pilihan untuk menjadi jahat atau baik itu satu pilihan
pilihan setiap insan!


Tuesday, August 30, 2011

CARA MUDAH MEMAHAMI AL-QUR'AN -buat mereka yang tiada latar belakang bahasa Arab yang kuat

AL-QUR'AN itu mudah, Allah SWT memudahkan kepada semua untuk memahami dan mempelajari al-Qur'an. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah memudahkan al-Qur'an untuk menjadi peringatan, maka adakah yang mahu mengambil pelajaran" (Surah al-Qamar: 17, 22,32,40) Ayat ini diulang 4 kali di dalam surah al-Qamar.. Beberapa tips di bawah diharapkan bermanfaat untuk kita memahami al-Qur'an:

1. Membaca al-Qur'an sambil melihat maknanya.

Pastikan ketika kita membaca al-Qur'an kita memahami setiap perkataan itu dengan maknanya. Tahukah kita, terdapat banyak perkataan yang berulang di dalam al-Qur'an. Maka, pastikan bahawa setiap kali kita melihat perkataan dalam al-Qur'an kita memahaminya dalam bahasa Melayu.

2. Sentiasa cuba membanyakkan usaha menterjemahkan bahasa Arab yang terdapat dalam al-Qur'an ke dalam bahasa Melayu, dan bukan sebaliknya (jangan cuba menterjemahkan bahasa Melayu ke dalam bahasa Arab).

Ini kerana kita mahu menjimatkan lebih masa untuk memahami al-Qur'an. Maka banyakkan melihat perkataan bahasa Arab dalam al-Qur'an dan cuba terjemahkan dalam bahasa Melayu. Pastikan setiap perkataan bahasa Arab dalam al-Qur'an itu kita ketahui maknanya satu persatu..

3. Berusaha untuk menghafal perkataan bahasa Arab yang ada di dalam al-Qur'an dan 'abaikan' perkataan yang tiada di dalam al-Qur'an.

Bagi mempercepatkan usaha kita memahami al-Qur'an, abaikan dulu perkataan yang tiada dalam al-QUr'an, berilah prioriti untuk memahami bahasa Arab dalam al-Qur'an.

4. Mendengar bacaan al-Qur'an sambil meneliti makna al-Qur'an.

5. Buat gaya macam orang tengah bercerita ketika menghayati makna al-Qur'an. Contohnya: Bila al-Qur'an sebut berkenaan bukit, bayangkan bukit itu dan buat gaya bukit dll.. Ikut kreativiti ^_^

Selamat mencuba! ^_^


RM 1 & RM 50: 'Amal' tanpa sedar?

Seorang pemuda bernama Udin duduk tersengguk-sengguk mendengarkan Khutbah Raya.

Ketika kotak amal dihulurkan kepadanya ia pun membuka dompet & mengeluarkan wang RM1  lalu memasukkannya ke kotak amal.


Tiba-tiba seorang pakcik di belakangnya menghulurkan wang RM50 kepadanya.

Udin pun tolong memasukkan wang RM50 itu ke dalam kotak amal sambil tersenyum kagum kepada pakcik yg pemurah itu, pakcik itu turut tersenyum bangga kepada Udin.


Selesai khutbah Raya,ketika bersalaman si pakcik menghampiri & menepuk-nepuk belakang Udin seraya berkata : “Nak, wang RM50 tadi itu jatuh dari dompetmu, dan segera kamu sedekahkan, kamu memang anak yang pemurah”.

-----------------------

Hmm apakah yang patut dilakukan oleh Udin? Andai kita ditempat Udin, apakah yang akan kita lakukan? Hmm..

Pasrah menerima ketentuan bahawa kita telah 'tersedekahkan' RM50?

Ataupun pergi bertemu pihak masjid dan cuba meyakinkan mereka bahawa kita telah tersilap memasukkan wang RM50?

Andai bernasib baik, mungkin mereka akan mempercayainya, andai tidak, kita pula mungkin dituduh pembohong..

Hmm, dalam sedar atau tidak, kita mungkin sama seperti Udin. Walaupun dengan kisah berbeza serta peristiwa yang pelbagai rupa..

Kita tidak ingin derita, tapi ujian itu menderitakan kita, kita bersabar dalam terpaksa.. Tersenyum kelat menerimanya..

Kita tidak ingin berubah, tapi peristiwa itu mengubah kita, kita berubah dalam derita.. Menerima pujian dengan hati terpana..

Pernah secara tidak sengaja melakukan apa yang dilihat orang sebagai 'amal kebaikan' namun sayang, ia terjadi tanpa kemahuan..

"Wah, sabarnya kamu!" Mereka memuji atas kesabaran kita. Aduh! 

"Wah, kamu sudah jauh berubah!" Mereka memuji perubahan kita yang mengagumkan. Ah!

Sedang kita pernah dalam diam mengharapakan kita tidak melakukan 'amal' / 'kesabaran' / 'perubahan' itu..

Hmm peristiwa yang berbeza, namun intinya hampir sama dengan apa yang berlaku kepada Udin.. Udin menyedekahkan RM 50 dalam terpaksa.. Dia terpana saat menyedarinya.. Kita juga mungkin pernah turut terpana saat menyedarinya..

Tapi takdir Tuhan, mahu memberikan kita peluang beramal. Amal tanpa sedar! Terpulang kita untuk redha menerimanya, atau berkeluh-kesah sepanjang masa saat kita menyedarinya.. Ah, berbahagialah buat mereka yang sentiasa sabar & syukur.. Berbahagialah!

Kadang-kadang hati kita terluka..
Kita tidak suka..
Sedang di sebalik setiap peristiwa
pasti hikmah besar tersedia
yang belum tersingkap di depan mata.

Adakah kita memilih redha,
ataukah kita memilih untuk berkeluh kesah menyalahkan semua?
Itu pilihan kita.
Andai redha, sabar & syukur Alhamdulillah..

Mari kita muhasabah bersama.

Andai kita pernah terpana, mari kita kembali mengubah niat di hati kita, kembali bertaubat, bersabar dan syukur kepada Yang Maha Esa..

Semoga Allah menerima segala amalan kita.. Ameen..

تقبل الله منا ومنكم

كل عام وأنتم بخير


Friday, August 26, 2011

LAKARAN MASA DEPAN KITA DI DALAM AL-QUR'AN

Islam Melakar Masa Depan Manusia

(Diolah daripada buku Indahnya Islam: Dr. Amilah bt Awang Abd Rahman) 





Seorang manusia yang waras akan sentiasa mencari masa depan untuk kehidupannya. Dia akan berusaha untuk memiliki masa depan yang cemerlang dengan memerhatikan lakaran dan peta masa depan kehidupannya. 
Dia akan menghitung hari dan sentiasa bertanya; adakah hidupnya berada di landasan yang betul ataupun tidak? Apakah asas untuk menempah kejayaan dalam hidup? Apakah cita-cita dan impiannya? Bagaimanakah cara untuk mendapatkan masa depan yang cerah?.

1 Kepentingan masa

Islam menyuruh kita menggunakan masa yang ada sebaik-baiknya. Kepentingan masa dijelaskan di dalam al-Qur’an melalui pelbagai ayat. Malah, Allah s.w.t. telah bersumpah dengan masa dan yang seumpamanya seperti waktu malam, siang, dan waktu dhuha. Pentingnya masa kerana masa tidak dapat dijual beli. Waktu yang disia-siakan pasti tidak akan kembali lagi. Oleh itu, Islam menyuruh manusia agar menggunakan masa dengan amal soleh yang dapat membawa kita menuju redha Ilahi. Firman Allah s.w.t.:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran” (al-‘Asr: 1-3).

Masa ini ialah umur yang dikurniakan kepada manusia. Umur manusia ini berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain. Ada antara mereka yang mempunyai umur yang lama dan ada pula yang singkat. Oleh itu, Islam menyuruh kita merebut dan memanfaatkan peluang masa serta umur yang ada dengan sebaik-baiknya, sabda Nabi s.a.w.:
 اغتنم خمسا قبل خمس: شبابك قبل هرمك وغناك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وصحتك قبل سقمك وحياتك قبل موتك  )رواه الحاكم.(
“Rebutlah lima (keadaan) sebelum lima, masa muda sebelum tiba masa tua, masa sihat sebelum tiba masa sakit, masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa kaya sebelum tiba masa papa, dan masa hidup sebelum tiba masa mati.”  

Justeru, umur manusia dianggap sebagai modalnya di dunia yang patut digunakan untuk mencapai masa depan yang bahagia di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t.:

 )وَٱبْتَغِ فِيمَآ آتَاكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلآخِرَةَ وَلاَ تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ وَلاَ تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِي ٱلأَرْضِ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ (
“Dan carilah (pahala) hari akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu, namun janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan” (al-Qasas: 77).

Justeru, Islam melakarkan kepada manusia masa depannya, menceritakan fasa kehidupan yang akan kita lalui, dan menjelaskan masa depan terakhir ketika di akhirat.

2 Fasa-fasa masa kehidupan manusia

Islam melakarkan masa depan manusia dengan menceritakan secara jelas peringkat-peringkat atau fsa-fasa masa yang akan dihadapi oleh manusia, daripada muda remaja, kemudiannya tua. Walau macam mana yakin dengan kehidupan kita, kita pasti melihat perubahan zaman dan peredaran masa. Umur kita yang dulunya masih mentah menjadi semakin dewasa dan perubahan demi perubahan berlaku pada tubuh badan, dan seterusnya dimamah usia. Ada pula yang mati sebelum itu, kerana kematian sememangnya tidak mengenal usia.

 )ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلاً ثُمَّ لِتَـبْلُغُوۤاْ أَشُدَّكُـمْ ثُمَّ لِتَكُـونُواْ شُيُوخاً وَمِنكُمْ مَّن يُتَوَفَّىٰ مِن قَبْلُ وَلِتَبْلُغُوۤاْ أَجَلاً مُّسَمًّى وَلَعَلَّـكُمْ تَعْقِلُونَ ( 
“Kemudian itu Kami mengeluarkan kamu sebagai bayi, kemudian kamu menjadi dewasa, kemudian kamu menjadi tua, dan di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu, dan supaya kamu sampai kepada waktu yang ditentukan (tua bangka), mudah-mudahan kamu mengerti” (Al-Mu’min: 67).

Dalam fasa dan peringkat taklif (tanggugjawab) yang berbeza ini; remaja, dewasa, dan tua, ada antara manusia yang menggunakan masa dan umur mereka dengan kebaikan, dan ada pula yang mengabaikan serta mensia-siakan masa dan umur mereka dengan kejahatan. Islam melakarkan secara jelas bahawa masa depan yang cemerlang hanya akan dianugerahkan kepada manusia yang memanfaatkan fasa masa kehidupan mereka. Manakala, orang-orang yang menghabiskan umur mereka dengan kezaliman, maksiat dan dosa, maka masa depan mereka ialah neraka dan azab yang hina.

3 Remaja

Al-Qur’an telah memberikan gambaran yang jelas tentang fasa kehidupan remaja. Inilah umur di mana manusia mula diberikan tanggungjawab. Di umur remaja pelbagai pengalaman dan ilmu ditimba. Malaikat juga mula mencatat segala pahala dan dosa manusia sebaik sahaja seorang budak menjadi remaja, dengan kata lain apabila manusia mula baligh. Ini kerana, remaja sudah mempunyai akal yang sempurna untuk berfikir.  
رفع القلم عن ثلاثة: عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يشب، وعن المعتوه حتى يعقل (رواه الترمذي).
ٍDiangkat pena (tidak dicatat dosa) daripada tiga (keadaan): daripada seorang yang tidur sehinggalah dia terjaga, daripada seorang budak sehinggalah dia remaja, daripada orang gila sehingga dia boleh berfikir” (riwayat at-Tirmizi).

Sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya dalam hidup manusia adalah ketika di alam remaja. Ini kerana dalam usia muda remaja, ketika inilah tubuh badan manusia cergas dan kuat, ketika inilah badannya hampir sentiasa sihat, tenaganya padu, akal, pendengaran, dan penglihatannya tajam serta sempurna. Ketika inilah seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk bersiap sedia menghadapi masa depannya. Oleh itu, umur pada sebaik-baik peringkat ini perlulah digunakan oleh remaja untuk bergerak aktif melakukan kabaikan dan memperbanyak amal salih seperti menuntut ilmu, menghafal al-Qur’an, dan berpuasa.

Namun, cabaran yang dihadapi oleh remaja ini tidak kurang hebatnya. Pada peringkat inilah manusia mudah terpesong dengan melakukan perbuatan yang tidak baik yang seterusnya mencorakkan gaya hidup yang gelap di masa hadapan. Betapa ramai remaja tergelincir ke dalam budaya songsang, remaja yang leka dengan kecantikan dan keremajaan diri serta tidak tahu menghargainya dengan cara yang sepatutnya. Mereka ini sebenarnya dalam kejahilan, mereka alpa dan leka daripada melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan mereka. Maka, mereka mengabaikan dan mensia-siakan masa remaja.

Oleh itu, sedarlah wahai remaja! Kecantikan dan keremajaan yang abadi dan hakiki hanya dapat diperolehi di syurga nanti. Sediakanlah bekal dengan melakukan amal soleh, dan menjauhi segala dosa. Ingatlah bahawa dalam kehidupan dunia yang sementara ini, tiada keremajaan yang akan kekal. Semuanya akan musnah dan kembali menjadi tanah.

Beruntunglah sesiapa yang berjaya menghadapi cabaran-cabaran di alam remaja! Beruntunglah remaja yang berjaya melepasi godaan-godaan serta rintangan-rintangan kehidupan remaja dan mengisi usia remajanya dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat, dan negara! Mereka dijanjikan tempat yang tinggi di sisi Allah Taala. Malah, mereka merupakan antara tujuh golongan yang berada di bawah lindungan ‘arasy Allah sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: الإمام العادل، وشاب نشأ في عبادة الله، ورجل قلبه معلق في المساجد، ورجلان تحابا في الله، اجتمعا عليه وتفرقا عليه، ورجل طلبته امرأة ذات منصب وجمال فقال: إني أخاف الله، ورجل تصدق، بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه، ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه (متفق عليه).
"Tujuh golongan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; pemerintah yang adil, remaja yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang digoda oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk melakukan maksiat dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya” (Muttafaq ‘alaih).

Remaja yang hidupnya adalah dengan beribadat kepada Allah bukanlah suatu perkara yang mustahil. Al-Qur’an turut menceritakan kisah sekumpulan remaja yang dikenali sebagai Ashabul Kahfi, sebagai model remaja al-Qur’an yang unggul, mereka berjuang dan berkorban demi mempertahan akidah Islam yang murni. Mereka terpaksa bersembunyi di dalam gua untuk menyelamatkan diri mereka daripada pemerintah yang kejam, firman Allah s.w.t.:

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُواْ مِنْ آيَاتِنَا عَجَباً   إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّىءْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَداً
“Apakah kamu mengira bahawa Ashabul Kahfi (orang yag mendiami gua) dan Raqim itu sebagai tand-tanda kebesaran Kami yng menakjubkan? Ingatlah, ketika remaja-remaja itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami” (Al-Kahfi: 9-10).

Malah, terdapat ramai sahabat Nabi s.a.w. lelaki dan wanita, yang ketika usia remaja, mereka berjuang dan berkorban di jalan Allah s.w.t., menuntut ilmu, dan banyak beramal ibadat seperti Saidina Ali Karramallahu wajhah, Ibnu Abbas r.a., Saidatina Aisyah r.a., dan Asma’ binti Abu Bakr.

Begitu juga, di abad ke-20 terdapat remaja yang terkenal dengan usaha beliau menegakkan agama Allah s.w.t. iaitu Hassan al-Banna yang telah menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin ketika usia beliau baru mencecah 23 tahun.

Inilah antara remaja contoh yang hidup mereka dipenuhi dengan amal ibadat kepada Allah s.w.t. Para remaja hari ini perlulah mengkaji kehidupan model-model remaja ini, atau sekurang-kurangnya membaca kisah hidup mereka, sebagai suatu pedoman dan galakan untuk menghadapi usia remaja yang penuh cabaran.     

4 Dewasa

Manusia akan sampai kepada peringkat atau fasa dewasa ketika berumur 40 tahun. Ini kerana umur 40 adalah usia yang matang bagi seseorang dalam berfikir dan bertindak. Pada umur ini, seorang manusia itu sudah mempunyai banyak pengalaman, yang didapati ketika usia remaja, lalu mencorakkan kehidupan dewasanya.

Jika usia remaja digunakan dengan sebaiknya, maka jadilah manusia itu seorang dewasa yang sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t., sebagaimana firman Allah s.w.t.:
)حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِيۤ أَنْ أَشكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِيۤ أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحاً تَرْضَٰهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِيۤ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ (

“Sehingga apabila dia (manusia) menjadi dewasa dan cukup umurnya empat puluh tahun, berkatalah ia: Ya Tuhanku! Berikanlah aku daya untuk mensyukuri kurniaMu yang telah Engkau kurniakannya kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku, dan dorongkanlah aku untuk membuat amalan salih yang Engkau meredainya, dan baikkanlah untukku zuriat keturunanku, sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang Islam” (Al-Ahqaf: 15).

Pada usia inilah, manusia mempunyai pengalaman dan ilmu yang cukup, yang menjadikannya mampu untuk memikul beban tugas yang berat. Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan kebanyakan Anbiya’ a.s. diangkat menjadi Rasul tepat pada umur 40 tahun. Ini kerana untuk memikul tugas besar dan berat memerlukan kepada kematangan fikiran dan kekuatan fizikal yang tinggi. Ketika peringkat ini jugalah Nabi Musa a.s. dianugerahkan kebijaksanaan dan ilmu yang sempurna, firman Allah s.w.t.:

)وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَٱسْتَوَىٰ آتَيْنَاهُ حُكْماً وَعِلْماً وَكَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ  (
“Dan setelah dia (Musa) menjadi dewasa dan cukup umurnya, Kami anugerahkan baginya kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang suka melakukan kebajikan” (Al-Qasas: 14).

Peringkat dewasa ini ialah hasil kematangan seorang manusia setelah melalui pelbagai rintangan ketika remaja. Setelah dewasa manusia mempunyai tanggungjawab yang semakin besar terhadap keluarga dan masyarakat. Dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu bapa yang semakin tua dan anak-anak yang mungkin telah meningkat ke usia remaja. Seorang dewasa ini memegang pelbagai peranan penting, seperti peranan sebagai suami atau isteri, peranan sebagai ayah atau ibu, peranan sebagai anak, peranan sebagai pendakwah atau pekerja, peranan sebagai guru dan pelajar atau yang seumpamanya.

Namun begitu, pada ketika ini jugalah keinginan nafsu manusia turut menjadi semakin matang dan dewasa. Sabda Nabi s.a.w.:
يكبر ابن آدم، ويكبر معه اثنان: حب المال، وطول العمر (متفق عليه).
“Anak adam (manusia) semakin membesar, dan membesar bersamanya dua perkara: Cinta harta dan cintakan umur yang panjang” (Muttafaq ‘alaih).

Oleh itu, orang dewasa yang gagal mengawal nafsu mereka akan terjerumus dalam maksiat dan dosa yang berterusan, lalu menjadi penentang dan musuh Islam yang kuat. Antara nama musuh-musuh Islam dewasa yang terkenal adalah seperti Firaun dan Haman yang menentang Nabi Musa a.s. serta Abu Jahal dan Abu Lahab yang memusuhi Nabi Muhammad s.a.w.  Malah al-Qur’an telah mencela seorang pemimpin Quraisy yang bernama al-Walid bin al-Mughirah. Ini kerana, Allah s.w.t. telah mencukupkan nikmat-Nya kepada al-Walid ketika dia dewasa, namun sebaliknya dia menentang Islam kerana tamakkan harta dan dunia yang fana. Firman Allah s.w.t.:
 
“Biarkanlah Aku (yang bertindak) terhadap orang yang Aku sendiri telah menciptakannya. Dan Aku berikan kepadanya kekayaan yang melimpah. Dan anak-anak yang selalu bersamanya. Dan Aku lapangkan (kehidupan) untuknya selapang-lapangnya. Kemudian dia merasa tamak agar Aku terus menambahnya. Tidak! Sesungguhnya dia merupakan penentang ayat-ayat Kami. Aku akan membebaninya dengan pendakian yang memayahkan” (Al-Muddassir: 11-17).

5 Tua

Pada peringkat dan fasa ini mucullah tanda-tanda kelemahan manusia, kekuatannya mula merosot sedikit demi sedikit dengan meningkatnya umur. Uban mula memenuhi kepala, kulit mula berkedut dan kendur, tulang belulangnya mula terasa lemah, dan tenaganya mula susut dan menghilang. Umur tua biasanya sekitar enam puluh tahun. Ketika inilah, ramai manusia yang akan menemui kematian sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
أعمار أمتي بين الستين إلى السبعين، وأقلُّهم من يجوز ذلك (رواه الترمذي وابن ماجه). 
“Umur umatku adalah antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun, dan amat sedikit daripada mereka yang melampaui umur tersebut” (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Pada ketika inilah manusia yang sudah tua kembali semula ke alam kanak-kanak kecil yang memerlukan jagaan ibu bapanya. Orang tua amat memerlukan jagaan dan kasih sayang daripada anak-anak mereka. Oleh itu, Islam menyuruh umatnya agar berbuat baik kepada orang tua mereka, menjaga mereka dengan penuh kasih sayang, berbakti kepada mereka dan sentiasa mendoakan kebaikan buat mereka. Firman Allah s.w.t.:
 )وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُوۤاْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً ( * ) وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً (
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya telah sampai usia tua berada di sisimu (dalam pemeliharaanmu), maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah!’ dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan katakanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku ketika aku kecil” (Al-Isra’: 23-24).

Islam sangat mengasihi warga emas ini, maka terdapat beberapa perkara yang diringankan untuk mereka. Wanita tua misalnya dibolehkan tidak memakai tudung kepala tanpa niat untuk berhias diri, firman Allah s.w.t.:
) وَٱلْقَوَاعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّلاَتِي لاَ يَرْجُونَ نِكَاحاً فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عِلِيمٌ  (
“Dan para perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin menikah lagi, maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian luar mereka dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan; tetapi memelihara kehormatan adalah lebih baik bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui” (An-Nur: 60).

Malahan, warga tua baik lelaki mahupun perempuan yang sudah lemah dan tidak mampu berpuasa dikecualikan daripada kewajipan berpuasa, kerana dikhuatiri akan membahayakan kesihatan mereka. Islam menggantikan kewajipan ibadah puasa ini dengan bayaran fidyah yang boleh dibayar oleh anaknya atau salah seorang ahli keluarganya agar mereka yang tua ini masih mendapat ganjaran pahala yang berterusan.

Islam sememangnya agama yang amat menghormati orang tua. Penghormatan yang penuh diberikan kepada warga emas ini. Sabda Nabi s.a.w.:
"ليس منّا من لم يرحم صغيرنا، ويجلّ كبيرنا "(رواه الطبراني).
“Bukanlah di kalangan kami (umat Islam) orang yang tidak mengasihi yang kecil, dan orang yang tidak menghormati yang tua” (riwayat at-Tobrani).

Maka, umur tua bukanlah suatu keaiban dalam Islam. Malah, Nabi Syuaib a.s. sendiri hidup sehingga usia tua sebagaimana firman Allah s.w.t.; menceritakan kata-kata anak gadis Nabi Syuaib yang menyifatkan baginda sebagai seorang tua yang sudah lanjut usia:
 )وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ (
“Dan ayah kami adalah orang tua yang sudah lanjut usia” (al-Qasas: 23).

Begitu juga Nabi Zakaria a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. hidup sehingga usia tua, firman Allah s.w.t. yang menceritakan kata-kata Nabi Zakaria a.s. ketika mendapat tahu bahawa baginda akan dikurniakan anak:
 )قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلاَمٌ وَقَدْ بَلَغَنِي ٱلْكِبَرُ وَٱمْرَأَتِي عَاقِرٌ قَالَ كَذَلِكَ ٱللَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ (
“Baginda (Nabi Zakaria) berkata: ‘Tuhanku, bagaimana mungkin aku mendapat seorang anak sedangkan aku sudahpun sampai ke usia tua serta isteriku pula seorang yang mandul’. Dia (Allah) berfirman: ‘Demikianlah, Allah berbuat apa yang Dia kehendaki” (Ali Imran: 40).

Begitu juga Nabi Ibrahim a.s. dikurniakan anak setelah tua sebagaimana firman Allah s.w.t. yang menceritakan doa baginda a.s.:
 )ٱلْحَمْدُ للَّهِ ٱلَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى ٱلْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ  (
“Segala pujian bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku setelah aku tua Ismail dan Ishak, sesungguhnya Tuhanku benar-benar mendengar (dan mengabulkan) doa” (Ibrahim: 39).

Orang yang beriman, ketika usia tuanya semakin menjauhi larangan Allah s.w.t., sentiasa memohon keampunan dan mengharapkan keredhaan-Nya dengan memperbanyak amal ibadat dan doa. Itulah yang dilakukan oleh para Anbiya’ dan orang-orang soleh yang dilanjutkan usia mereka oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. menceritakan doa Nabi Zakaria a.s. yang terus menerus berdoa mengharapkan rahmat-Nya:
 )قَالَ رَبِّ إِنَّي وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّي وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْباً وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيّاً (
“Baginda (Nabi Zakaria) berkata: ‘Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, namun aku belum pernah kecewa dalam berdoa’ kepada-Mu, ya Tuhanku” (Maryam: 4).

Namun, malang sekali, masih terdapat orang tua yang terus leka dan alpa dalam dosa, mereka merasakan bahawa mereka masih muda, mereka mengabaikan tanda-tanda penuaan yang menjadi amaran kepada umur mereka yang semakin singkat, maka akan hilanglah segala alasan mereka di hadapan Allah nanti. Firman Allah s.w.t. kepada ahli neraka yang dilanjutkan usia namun masih rakus melakukan maksiat dan dosa ketika hidup di dunia:

 )  وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً غَيْرَ ٱلَّذِي كُـنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَآءَكُمُ ٱلنَّذِيرُ فَذُوقُواْ فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ (
“dan mereka (ahli neraka) berteriak di dalam neraka: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka), kami pasti akan melakukan kebajikan, yang berlainan dengan yang telah kami lakukan dahulu’ (ketika hidup di dunia). (Dikatakan kepada mereka): ‘Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu, sehingga orang yang mahu mengingat dapat mengambil peringatan dalam masa itu, dan telah tiba pembawa ingatan? Maka rasakanlah (azab)’. Lalu tidak ada seorang penolongpun bagi orang-orang yang zalim itu” (Fatir: 37).

6 Kematian merupakan masa depan manusia yang pasti

Islam telah menyediakan jawapan yang jelas dan jitu tentang hakikat kehidupan manusia. Kehidupan manusia pasti diakhiri dengan kematian. Kematian yang bermakna berpisahnya roh daripada badan duniawi, meninggalkan dunia ini ke alam yang seterusnya iaitu alam kubur, menunggu masa untuk dihidupkan semula pergi ke alam akhirat yang kekal selamanya. Inilah masa depan seorang manusia. Kematian adalah masa depan manusia yang pasti. Semua manusia akan menemui kematian adalah hakikat yang tidak dapat disangkal lagi. Firman Allah s.w.t.:
 )كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما ٱلْحَيَاةُ ٱلدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ ٱلْغُرُورِ (
Maksudnya: Setiap yang bernyawa akan merasakan mati, dan hanya pada hari kiamatlah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang menipu (Ali-Imran: 185).

Malah, segala usaha manusia untuk kekal hidup adalah sia-sia. Kalau ada manusia yang mengatakan bahawa “saya mempunyai ubat dan alat untuk kekal hidup” atau “saya mampu menyelamatkan diri saya daripada kematian”, maka ketahuilah bahawa itu semua hanyalah angan-angan kosong, yang tidak mungkin dicapai oleh sesiapa. Firman Allah s.w.t.:
 )أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ (
“Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh” (An-Nisa’: 78).

Malah, kematian yang mereka ingin lari daripadanya, pasti akan mendapatkan mereka, firman Allah s.w.t.:
 )قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاَقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ (
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya kematian yang kamu ingin lari daripadanya pasti akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Tuhan) yang mengetahui perkara yang tersembunyi dan nyata, lalu Dia akan memberitahu kepadamu apa yang telah kamu lakukan (ketika di dunia)” (Al-Jumu’ah: 8).

7 Masa depan manusia: syurga atau neraka

Masa depan seorang manusia mungkin berakhir di syurga dan mungkin pula di neraka. Islam mengingatkan setiap daripada kita agar memerhatikan masa depannya ini. Adakah dia mahu ke syurga atau ke neraka? Firman Allah s.w.t.:
 )يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah! Dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah dia sediakan untuk hari esok (masa depannya di akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan (Al-Hasyr: 18).

Jika syurga pilihannya, maka ketika hidup di dunia dia mestilah berusaha ke arah mencapai keredhaan Allah s.w.t. dengan beriman kepada-Nya dan melakukan amal salih, firman Allah s.w.t.:  
 )وَٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ ٱلْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (
“Dan orang-orang yang beriman dan melakukan amal-amal salih, mereka itulah ahli-ahli syurga, mereka kekal di dalamnya” (al-Baqarah: 82).

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang menjadi penghuni syurga. Mereka inilah yang mempunyai masa depan yang gemilang, firman Allah s.w.t.:
 )لاَ يَسْتَوِيۤ أَصْحَابُ ٱلنَّارِ وَأَصْحَابُ ٱلْجَنَّةِ أَصْحَابُ ٱلْجَنَّةِ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ (
“Tidak sama antara ahli neraka dan ahli syurga, dan ahli-ahli syurga merekalah orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr: 20).

Oleh itu, Islam terus-menerus menggalakkan manusia untuk sentiasa berusaha gigih untuk menjadi calon ahli syurga, firman Allah s.w.t.:
 )وَسَارِعُوۤاْ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (   
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu serta syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (Ali Imran: 133).

Namun, jika masa hidup manusia digunakan untuk memuaskan nafsunya semata-mata, berseronok melakukan dosa, mengkufuri nikmat Allah, dia mengikut sepenuhnya ajakan syaitan dan iblis, tertipu dengan kehidupan dunia, lalu dia menjual kehidupan akhiratnya yang kekal abadi demi mendapat kehidupan dunia yang segera dan sementara, maka nerakalah yang akan menjadi masa depannya…

 )وَٱلَّذِينَ كَفَرواْ وَكَذَّبُواْ بِآيَٰتِنَآ أُولَـٰئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ (
“Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah ahli-ahli neraka, mereka kekal di dalamnya” (Al-Baqarah: 39).

  )بَلَىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيـۤئَتُهُ فَأُوْلَـۤئِكَ أَصْحَابُ ٱلنَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (
“Bahkan sesiapa yang melakukan kejahatan dan dosanya telah meliputinya, maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya” (Al-Baqarah: 81).

 )وَيَوْمَ يُعْرَضُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ عَلَى ٱلنَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَـٰتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ ٱلدُّنْيَا وَٱسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي ٱلأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَبِمَا كُنتُمْ تَفْسُقُونَ (
“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (lalu dikatakan kepada mereka): ‘Kamu telah menghabiskan kebaikan-kebaikan kamu ketika hidup di dunia, dan kamu telah menikmatinya (dengan dosa), maka pada hari ini kamu dibalasi dengan azab yang menghinakan kerana kamu sombong di muka bumi tanpa menghiraukan kebenaran, dan kerana kamu sentiasa menderhaka (berbuat dosa kepad Allah)” (Al-Ahqaf: 20).

Inilah antara gambaran masa depan yang menakutkan bagi ahli-ahli neraka, yang ketika hidup di dunia mereka menghabiskan umur dan masa mereka dengan perbuatan dosa, maksiat, kezaliman, dan kesombongan. Inilah balasan yang setimpal bagi mereka. Firman Allah s.w.t.:
 )ٱلْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَـسَبَتْ لاَ ظُلْمَ ٱلْيَوْمَ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ (
“Pada hari ini setiap jiwa diberi balasan setimpal dengan apa yang telah ia lakukan. Tiada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya” (Al-Mukmin: 17).

8 Kesimpulan

Indahnya Islam… Islam melakarkan kepada manusia masa depannya. Islam menjelaskan kepentingan memanfaatkan masa. Islam menceritakan fasa peringkat hidup manusia, agar nyata di fikiran kita akan rancangan di masa hadapan. Apa yang perlu kita lakukan pada setiap peringkat; remaja, dewasa, dan tua, serta apa yang mesti kita laksanakan dan jauhkan pada setiap peringkat ini agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Indahnya Islam… Islam menjadikan seorang manusia itu sedar akan pentingnya masa depan yang cemerlang. Islam menggalakkan kita agar bekerja, berproduktif, mencari kekuatan, membuat persediaan…semuanya di jalan Allah. Ini kerana, dunia adalah masa untuk berusaha dan akhirat adalah masa depan hasil usaha kita di dunia. Konsep ini menyebabkan orang Islam meyakini bahawa mana-mana pekerjaan mereka tidak mungkin terkeluar dari jalan akhirat apabila ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keimanan yang bermatlamatkan keredhaan Allah.

Indahnya Islam… Islam mengingatkan manusia akan kematian. Kematian yang tidak mengenal usia, waktu, dan ketika. Justeru, kita perlulah menghargai masa yang ada dan menghargai masa kita bersama orang tersayang; ibu, ayah, anak, adik, kakak, abang, kawan… mereka mungkin meninggalkan kita bila-bila masa, dan kita mungkin meninggalkan mereka bila-bila masa. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian. Agar kita mampu bertenang dan bersabar dengan kematian yang datang tiba-tiba, sama ada kematian diri kita sendiri ataupun orang lain.

Indahnya Islam… Islam menyediakan jalan yang terang dan jelas untuk manusia mencapai masa depan yang gemilang. Dunia tidak menyibukkan seseorang Muslim itu daripada mengingati akhirat dan dia juga tidak disibukkan oleh akhirat daripada mengingati dunia. Ini disebabkan kedua-duanya hanyalah satu jalan yang tidak terpisah. Setiap manusia mesti melalui jalan kehidupan dunia sebelum sampai ke akhirat. Maka beruntunglah orang yang melalui jalan hidup di dunia dengan penuh keimanan dan ketakwaan, kerana hanya merekalah yang akan mempunyai masa depan yang cerah di akhirat.

Indahnya Islam!




Baju Raya! Cantik Menarik..


"Maryam nak baju raya yang paling cantik dan menarik!" Ujar anak yang baru berusia empat tahun itu.
"Untuk apa Maryam nak baju yang paling cantik dan menarik?" Tanya seorang ibu untuk menduga.
"Mmm sebab Maryam suka yang cantik-cantik..macam dalam gambar ni!" Jawabnya dengan senyuman yang semakin melebar sambil menunjukkan kepada ibunya gambar kartun seorang budak perempuan comel dengan pakaiannya yang amat menarik perhatian.

Apabila manusia berpakaian untuk menunjukkan kecantikan
Untuk menunjukkan kehebatan
Takut-takut pakaian itu membawanya ke neraka Tuhan
takut-takut pakaian itu melalaikan
daripada tujuan
aurat untuk ditutup bukan untuk pameran umum
pakaian untuk menjaga diri bukan berbangga diri
alangkah berbeza
manusia yang berpakaian untuk menunjuk berbangga kepada manusia
dengan manusia yang berpakaian untuk mendapat keredhaan Tuhannya..
dan sesungguhnya pakaian Taqwa itu adalah yang sebaik-baiknya..

"Boleh, tapi kena pakai kat rumah sajalah.." Jawab ibu itu.
"Eh, kenapa pula Ummi?" Maryam terkebil-kebil memandang ibunya.
"Maryam kan cantik sangat, kalau pakai macam ni kat luar Ummi takut orang jahat tertarik dengan Maryam, dan culik Maryam..pakai kat rumah saja baru selamat" Ibunya menjawab.
"Oooh okey! Yang penting nak pakai baju cantik macam ni, kat dalam rumah pun okeylah" Maryam menjawab gembira.

Berpakaianlah dengan bersederhana..
Pakaian biasa itu indah bila pemakainya bertaqwa dan berakhlak mulia..
Sentiasalah memilih akhlak yang cantik..
^_^ 


Thursday, August 25, 2011

PEMBEDAHAN PLASTIK: PERUBATAN ATAU KECANTIKAN



Sudah menjadi fitrah manusia dan sifat semulajadinya; suka akan kecantikan dan ingin kelihatan cantik. Oleh itu, Islam tidak melarang umatnya daripada berhias dan mencantikkan diri, selagimana ia tidak melampaui batasan syariat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai anak cucu Adam! Pakailah perhiasanmu (pakaianmu yang bagus) pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan melampaui batas. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan milik Allah yang telah Dia sediakan untuk hamba-hamba-Nya dan rezeki yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang-orang beriman dalam kehidupan dunia, dan khusus (buat mereka) pada hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui” (al-A’raf: 31-32).

Namun, persoalannya sekarang; adakah menjalani pembedahan plastik untuk menjadi cantik dibenarkan dalam Islam? Adakah mencantikkan diri melalui pembedahan plastik dianggap melampaui batasan syariat? 

Jawapannya; tidak semua pembedahan plastik yang dibuat untuk mencantikkan diri dianggap melampaui batasan syariat. Pembedahan plastik yang tidak melampaui batas dibenarkan dalam Islam. Hanya pembedahan plastik dengan tujuan menjadi cantik yang melampau sahaja yang diharamkan dan dilarang dalam Islam demi mejaga kebajikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. 

Malah, pembedahan plastik ini sebenarnya adalah suatu proses kecantikan yang sudah berkembang sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. 

Antara bentuk pembedahan plastik yang jelas dibenarkan sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan untuk menghilangkan aib daripada badan dan wajah akibat kemalangan atau penyakit atau yang wujud sejak lahir. 

Contohnya membuat hidung daripada emas dan perak untuk menggantikan hidung yang telah cacat, seperti yang dilakukan oleh seorang sahabat yang bernama ‘Arfajah bin As’ad r.a. Hidung beliau telah cacat ketika peperangan, maka beliau telah membuat hidung daripada perak, lalu keluar bau yang kurang menyenangkan, maka Nabi s.a.w. pun bersabda: “Kenapa kamu tidak menggunakan hidung daripada emas?” (riwayat at-Tirmizi). 

Manakala, bentuk rawatan kecantikan yang dilarang sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan melampau yang mengubah ciptaan Allah s.w.t. dan menipu manusia. 

Antara contoh rawatan kecantikan yang dilarang ini ialah perbuatan melukis tatu pada badan, membuang bulu roma yang tidak menimbulkan aib, merenggangkan gigi dan apa-apa bentuk rawatan kecantikan yang membawa kepada pengubahan ciptaan Allah s.w.t. dan penipuan.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu, orang yang membuang bulu roma dan orang yang meminta bulu roma dibuang, serta orang yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik (secara melampau) yang mengubah ciptaan Allah” (riwayat Muslim).  

Disebabkan pembedahan plastik pada hari ini sudah semakin moden dan canggih, maka amat penting untuk kita mengetahui apakah bentuk pembedahan plastik moden yang dibenarkan dalam Islam? Dan apakah pula bentuk pembedahan plastik melampau yang diharamkan dalam Islam?  Jawapan kepada persoalan ini boleh dilihat daripada segi tujuan dan kesan pembedahan plastik ini.

Pertama, pembedahan plastik yang tidak melampau yang dibenarkan dalam Islam

Tujuan pembedahan plastik ini adalah untuk mencantikkan mana-mana bahagian badan akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir. 

Misalnya; telinga yang terlalu besar yang diluar kebiasaan, hidung yang senget, terlebih jari tangan atau kaki, bibir yang sumbing, dan apa-apa keaiban yang terdapat pada muka dan badan yang menarik perhatian ramai lalu menyebabkan seseorang merasa malu dan hilang keyakinan diri. 

Oleh itu, sekiranya seseorang dilahirkan dalam keadaan bibir yang sumbing misalnya, maka Islam membenarkannya untuk menjalani pembedahan plastik bagi mencantikkan bibir. Begitu juga, bagi wanita yang mengidap kanser payudara lalu payudaranya terpaksa dibuang, maka Islam membenarkan wanita ini untuk menjalani pembedahan plastik untuk menggantikan payudaranya. Malah, sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan muka seseorang melecur, maka Islam membenarkannya menjalani pembedahan plastik untuk mencantikkan bahagian muka yang melecur. 

Asas kepada bentuk pembedahan plastik yang dibenarkan dalam Islam ini ialah:

1. Pembedahan plastik ini bertujuan untuk kembali kepada fitrah asal ciptaan Allah s.w.t. yang sememangnya cantik dan indah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (at-Tin: 4). 

2. Pembedahan plastik ini juga memberi kesan yang positif kepada pesakit dengan menghilangkan rasa segan dan tekanan perasaan  akibat kecacatan yang dialami.

3. Pembedahan plastik ini ialah suatu bentuk pembaikpulihan serta pengubatan, dan bukannya suatu bentuk pengubahan kepada ciptaan Allah s.w.t. Sebagaimana orang yang demam diberi ubat demam untuk pulih, begitulah juga orang yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, atau penyakit, atau sejak lahir dipulihkan dan diubati melalui pembedahan plastik ini.

Oleh itu, seseorang yang ingin menghilangkan kecacatan dan keaiban (akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir) melalui pembedahan plastik, pesakit mestilah memastikan bahawa pembedahan yang akan dijalani selamat, tidak membahayakan diri, serta tidak memberikan kesan yang lebih buruk berbanding dengan apa yang dihadapinya sekarang. 

Begitulah luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang membenarkan pembedahan plastik ini bagi memastikan ketenangan hidup manusia agar kita tidak merasa tertekan dengan kecacatan dan keaiban yang dialami. 

Namun begitu, amat penting untuk diingati bahawa sebarang keaiban yang berlaku secara semulajadi dan tidak dianggap sebagai suatu bentuk penyakit oleh pakar perubatan, maka Islam melarang sama sekali untuk kita menjalani pembedahan plastik bagi menghilangkan keaiban tersebut.

Contohnya, apabila muka kita berkedut akibat proses penuaan, maka kita tidak dibenarkan menjalani pembedahan plastik untuk menghilangkan kedutan tersebut. Begitu juga, apabila payudara seorang wanita mengendur akibat usia yang semakin meningkat, maka Islam melarangnya daripada menjalani pembedahan plastik terhadap payudaranya. Ini kerana perbuatan menghilangkan keaiban akibat proses semulajadi melalui pembedahan plastik termasuk dalam pembedahan plastik  bahagian kedua yang melampau dan tidak dibenarkan dalam Islam.

Kedua, pembedahan plastik yang melampau yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Antara bukti luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t maka Dia telah mengharamkan pembedahan plastik melampau yang memberikan kesan negatif yang besar terhadap manusia itu sendiri. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan segala perbuatan keji yang terlihat dan yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan melampau tanpa alasan yang benar, dan perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu sedangkan Dia tidak menurunkan alasan untuk itu, dan (Dia mengharamkan) kamu membicarakan tentang Allah dengan apa yang tidak kamu ketahui” (al-A’raf: 33).

Pembedahan plastik dianggap melampau disebabkan dua keadaan: 

Pertama, apabila tidak terdapat sebarang kecacatan atau keaiban pada diri seseorang yang diiktiraf oleh pakar perubatan, namun seseorang itu tetap melakukan pembedahan plastik ini. 

Kedua, apabila keaiban yang berlaku adalah akibat proses penuaan yang berlaku secara semulajadi, dan seseorang itu menjalani pembedahan plastik demi menghilangkan tanda-tanda penuaan. 

Dengan kata lain, sekiranya keaiban yang terjadi bukan disebabkan  kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir, maka hukum menjalani pembedahan plastik ini adalah haram sama sekali.

Ini kerana, pengharaman ini mempunyai hikmah dan rahsianya yang tersendiri, dan asas kepada pengharaman pembedahan plastik yang melampau  ini ialah:

1. Pembedahan plastik dijalankan dengan melukakan anggota badan seseorang, jadi sebarang bentuk perbuatan yang melukakan anggota badan pada asalnya adalah haram. 

2. Pembedahan plastik ini mengubah ciptaan Allah s.w.t.

3. Pembedahan plastik ini merupakan satu bentuk penipuan.

Antara contoh pembedahan plastik haram yang semakin banyak dilakukan adalah seperti pembedahan plastik untuk memancungkan hidung, menegangkan kulit, membesarkan payudara, menukar warna kulit, menukar jantina, dan sebagainya… 

Sayang sekali, pada zaman yang semakin moden ini, ramai yang lupa bahawa adalah mustahil bagi manusia untuk kekal muda dan cantik di dunia yang sementara ini. Syaitan telah membisikkan cita-cita dalam hati manusia untuk menjadi cantik dengan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Maka, bertambah ramai manusia yang amat mementingkan kecantikan luaran sehingga banyak wang dibazirkan demi menjalani pembedahan plastik yang diharamkan oleh Islam, yang mengubah ciptaan Allah s.w.t., yang menipu dan membohongi diri sendiri dan orang lain. 

Iblis dan syaitan telah menipu mereka sebagaimana yang digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud: 
“dan syaitan berkata: dan aku pasti akan mengambil bahagian tertentu daripada hamba-hamba-Mu, dan aku pasti akan menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong dalam diri mereka, dan pasti aku akan menyuruh mereka memotong telinga-teling binatang ternak, dan aku pasti akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah (lalu mereka akan mematuhinya). Barang siapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia telah menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu terus-menerus memberikan janji-janji kosong kepada mereka dan membangkitkan angan-angan dalam diri mereka, padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan penipuan semata-mata” (an-Nisa’: 118-120).    
   
Oleh itu, andai ada di antara kita yang terlibat dalam pembedahan plastik melampau, atau mempunyai keinginan untuk menjalaninya, atau mengenali sesiapa yang terlibat dengan pembedahan plastik melampau ini… Sedarlah, dan sedarkanlah mereka bahawa pembedahan plastik melampau ini hanya akan menipu diri sendiri, menyebabkan diri sendiri menyangka bahawa dirinya semakin muda, semakin cantik, semakin dipuji dan dipuja, lalu terus alpa dan leka dalam kehidupan dunia yang sementara… 

Marilah kita perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam (manusia) agar kamu tidak menyembah syaitan (dengan mematuhi bisikannya)? Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata bagimu” (Yasin: 60). 

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk menyedarkan mereka yang tertipu dan memberi jawapan kepada persoalan yang dibisikkan oleh syaitan yang sering bermain di fikiran mereka, seperti;  adakah salah untuk menukar jantina atau menukar bahagian badan sendiri atau kelihatan muda sentiasa?  Bukankah ini badan saya? Sayalah yang menanggung akibatnya? Kenapa perlu ada orang lain yang campur tangan? Saya tahu siapa saya dan apa yang saya mahu dan apa yang terbaik buat diri saya… 

Syaitan telah menjadikan mereka lupa bahawa anggota badan mereka ialah milik Allah, amanah Allah kepada manusia, dan syaitan menjadikan mereka lupa bahawa Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaan-Nya. 

Dialah yang menjadikan seseorang itu lelaki atau wanita, hitam atau putih, muda dan kemudiaanya tua, dengan pelbagai bentuk dan rupa… dengan penuh rahmat, hikmah, dan sebagai ujian daripada-Nya. Pastilah Dia yang Maha Pencipta lebih mengetahui apa yang terbaik buat makhluk ciptaan-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu menurut ukuran” (al-Qamar: 48).

Andai ada yang sudah terlanjur menjalani pembedahan plastik yang dilarang ini, andai yang lelaki sudah bertukar seolah-olah wanita, wanita seolah-olah lelaki, tua seolah-olah muda, dan seumpamanya… maka selagi hayat masih ada, maka pintu taubat masih terbuka. 

Bertaubatlah, dengan menyesali segala dosa. Sedarlah bahawa kecantikan yang abadi dan hakiki hanya dapat diperolehi di syurga nanti. Sediakanlah bekal dengan melakukan amal soleh, dan menjauhi segala dosa. 

Ingatlah bahawa dalam kehidupan dunia yang sementara ini, tiada kecantikan yang akan kekal. Semuanya akan musnah dan kembali menjadi tanah. 

Carilah para Ulama’ yang diyakini dapat membantu kita mengenali diri sebagai hamba-Nya, pergilah ke masjid-masjid, ke majlis-majlis ilmu, kerana ilmu itu ialah cahaya-Nya yang dapat melenyapkan kejahilan dan kesesatan, dan berdoalah kepada-Nya agar memudahkan segala usaha kita ke arah mencapai keampunan dan redha-Nya.

Marilah kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. (iaitu) orang yang membelanjakan harta (besedekah), ketika waktu lapang dan sempit, orang-orang yang menahan dirinya daripada marah, orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain, dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka kembali mengingati Allah, lalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya, dan siapakah lagi yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal” (Ali Imran: 133-136).