Saturday, July 30, 2011

PANDUAN SOLAT KETIKA BERMUSAFIR


PANDUAN SOLAT KETIKA BERMUSAFIR

بسم الله الرحمن الرحيم
Pendahuluan
Islam memberikan pelbagai keistimewaan serta kemudahan kepada orang yang bermusafir, antaranya diharuskan solat secara Qasar dan Jama’. Memandangkan solat sebagai tiang agama dan rukun Islam yang kedua, maka amat penting untuk kita membahaskan tajuk ‘Panduan Solat ketika Musafir’ secara terperinci. Ini kerana terdapat banyak kekeliruan serta persoalan yang timbul di kalangan masyarakat berkaitan solat ketika mereka bermusafir.
Dalam penulisan ini, penulis cenderung untuk membincangkan tajuk berdasarkan Mazhab Empat iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e, dan Hanbali, tanpa mentarjihkan mana-mana pendapat. Maka, penulisan ini diharap dapat membentangkan kepada masyarakat di Malaysia pendapat-pendapat para Ulama’ Mu’tabar daripada Mazhab Empat ini serta membuka minda mereka terhadap perbezaan pendapat di kalangan Ulama’ yang bersandarkan kepada dalil dan hujjah mereka yang tersendiri. Dengan ini juga diharapkan masyarakat Islam di Malaysia lebih prihatin dalam menunaikan solat mereka khususnya ketika bermusafir dengan lebih sempurna tanpa rasa was-was.

Bab 1: Musafir

1.1 Definisi:
Daripada segi bahasa: ‘bermusafir’ daripada segi bahasa ialah; melalui suatu kadar perjalanan, dan ‘bermusafir’ adalah kata lawan bagi ‘berada di suatu tempat’, kerana dalam kata ‘bermusafir’ terdapat makna pergi dan datang. 

Imam Az-Zuhri mengatakan bahawa orang yang bermusafir dinamakan Musafir kerana perjalanan ini dapat menampakkan rupa-rupa sebenar para musafir serta akhlak mereka, lalu terserlahlah apa yang tersembunyi daripada mereka[1].
Dengan kata lain, seorang musafir bermakna orang yang berjalan jauh atau mengembara, sama ada dengan berjalan kaki atau berkenderaan, sama ada melalui daratan, lautan, atau udara[2].

Daripada segi syara’: Para Ulama’ sependapat dalam mendefinisikan ‘bermusafir’ sebagai: “melalui suatu kadar perjalanan dengan niat bermusafir”. 

Namun, para Ulama’ berbeza pendapat mengenai jarak perjalanan yang membolehkan seseorang mendapat kelonggaran (rukhsoh) sebagai seorang musafir. Isu ini akan dibincangkan dalam bahagian yang seterusnya[3].

1.2   Jarak Perjalanan Seorang Musafir
Para Ulama’ telah berbeza pendapat mengenai jarak perjalanan yang dinamakan sebagai ‘bermusafir’ sehingga terdapat lebih kurang 20 pendapat dalam isu ini. Namun kita hanya akan memerincikan kepada empat pendapat[4]:

Pendapat pertama: Menurut Mazhab Hanafi: Jaraknya ialah perjalanan sejauh tiga hari tiga malam dengan perjalanan yang sederhana. Menurut buku ’Multaqa al-Abhur’: ”Sesiapa yang melangkaui rumah-rumah di negerinya, keluarnya adalah untuk perjalanan sederhana selama tiga hari, maka dia boleh mengqasarkan solat Fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat”[5].

Dalil yang menjadi hujah Mazhab Hanafi ialah seperti berikut:
1. Riwayat Ibn Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: ”Seorang wanita tidak boleh bermusafir selama tiga hari kecuali bersama mahramnya” (Muttafaq ’Alaih).

Jika tempoh yang ditetapkan selama tiga hari itu tidak mempunyai sebarang makna dan tujuan, maka apa perlunya disebutkan secara khusus ’tiga hari’. Ini bermakna, tempoh masa yang dianggap sebagai bermusafir adalah selama tiga hari.

Namun, hujah menggunakan hadis ini ditolak oleh Jumhur, kerana hadis ini bukan berkaitan dengan tempoh masa bermusafir adalah selama tiga hari, tetapi hadis ini berkaitan dengan haramnya seorang wanita bermusafir selama tiga hari tanpa mahramnya.

Imam al-Baihaqi berkata: ”Riwayat-riwayat berkaitan dengan bermusafir selama tiga hari, dua hari, dan tiga hari, semuanya adalah riwayat yang sahih, ini kerana Nabi s.a.w. seolah-olahnya ditanya mengenai perihal seorang wanita yang bermusafir selama tiga hari tanpa mahram? Maka baginda menjawab: Tidak, lalu ditanya jika wanita itu bermusafir selama dua hari tanpa mahram? Baginda menjawab: Tidak, dan ditanya mengenai sehari, baginda mehjawab: Tidak. Maka terjadilah riwayat yang berbeza-beza, namun tiada satupun daripada riwayat-riwayat tersebut yang meletakkan had tertentu untuk bermusafir[6].

2. Riwayat Ali bin Abi Thalib r.a. mengenai menyapu di atas sepatu: “Sesungguhnya baginda s.a.w. meletakkan tempoh tiga hari dan tiga malam bagi seorang musafir, dan sehari semalam bagi orang yang bermukim” (Muslim).
Namun, dalil ini merupakan dalil bagi tempoh maksima bagi menyapu di atas sepatu, dan bukannya tempoh musafir, maka hujah menggunakan dalil ini tidak diterima oleh Jumhur[7]

Pendapat kedua: menurut Jumhur (Majoriti) Ulama’ yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafi’e, dan Hambali: Jaraknya ialah perjalanan sejauh dua marhalah dengan perjalanan yang lambat, iaitu dalam dua atau sehari semalam dengan unta yang membawa muatan berat (penuh). Jaraknya bersamaan 16 farsakh, bersamaan 4 barid; iaitu 48 batu yang bersamaan dengan 88 km 704 m[8]. Maka, menurut Jumhur, jarak perjalanan yang kurang daripada dua marhalah tidak dikira sebagai bermusafir dari segi syara’ serta tidak mendapat keringanan dan kemudahan seorang yang bermusafir[9].

Dalil yang menjadi hujah Jumhur Ulama’ adalah seperti berikut:
1. Daripada Ibn Abbas r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda: ”Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu semua mengqasarkan solat (bagi jarak perjalanan) yang kurang daripada 4 barid (2 marhalah) dari Mekah ke ’Asfan” (Hadis riwayat al-Baihaqi, at-Tobrani, dan ad-Daruqutni).
Namun,  hadis ini adalah hadis yang lemah.

2. Riwayat al-Bukhari: ”Ibn Abbas dan Ibn Umar mengqasarkan solat dan berbuka puasa pada jarak perjalanan 4 barid iaitu 16 farsakh (2 marhalah)”. 

Namun, dalil ini merupakan daripada Atsar sahabat dan bukannya hadis Nabi s.a.w. Malah, terdapat beberapa perkara yang dapat diperhatikan daripada dalil ini:

  1. Riwayat ini membuktikan bahawa Ibn Abbas dan Ibn Umar r.a. mengqasarkan solat pada jarak 4 barid tetapi mereka berdua tidak pula melarang mengqasarkan solat bagi jarak perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut.
  2. Terdapat riwayat lain daripada mereka berdua (Ibn Abbas dan Ibn Umar) yang menceritakan bahawa mereka mengqasarkan solat pada jarak perjalanan 4 barid (2 marhalah) dan yang kurang daripada 2 marhalah.
  3. Terdapat riwayat daripada sahabat-sahabat lain yang berbeza daripada Ibn Abbas dan Ibn Umar. Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat tidak menetapkan jarak perjalanan atau masa yang tertentu bagi semua Musafir, tetapi mereka menjawab berdasarkan situasi orang yang bertanya, siapa yang mereka lihat sebagai seorang Musafir maka mereka menetapkan hukum Safar (sebagai Musafir), jika mereka tidak melihatnya sebagai seorang Musafir, maka mereka tidak memberi kelonggaran kepadanya sebagai seorang Musafir. Oleh sebab itulah, maka terdapat perbezaan dalam riwayat-riwayat para sahabat mengenai jarak dan masa perjalanan seorang Musafir.
3. Jarak perjalanan 2 marhalah megumpulkan segala kesusahan yang terdapat ketika bermusafir, disebabkan inilah maka dibenarkan Qasar, dan tidak dibolehkan pada jarak perjalanan yang kurang daripada ini kerana tidak terdapat sebarang dalil yang boleh menjadi bukti.

Namun, kata-kata ini ditolak oleh beberapa orang Ulama’ selain Jumhur, kerana mereka mempunyai dalil yang menjadi bukti bagi membolehkan seorang yang bermusafir kurang daripada jarak 2 marhalah untuk mengqasarkan solat[10].

Pendapat ketiga: Mazhab az-Zohiri: jarak perjalanan minima yang membolehkan seseorang musafir mendapat kelonggaran sebagai seorang musafir ialah 3 mil (5 km 544 m).

Dalil yang menjadi hujah mereka ialah seperti berikut:
Riwayat Anas bin Malik r.a., beliau berkata: ”Rasulullah s.a.w. apabila keluar sejauh 3 mil atau 3 farsakh perjalanan (Syu’bah perawi hadis ini tidak pasti sama ada 3 mil atau 3 farsakh) maka baginda solat dua rakaat” (Muslim).

Namun, Jumhur menolak hujah menggunakan hadis ini kerana hadis ini menceritakan jarak perjalanan yang menjadi permulaan baginda untuk solat Qasar dan bukannya jarak minima perjalanan yang dinamakan sebagai musafir[11]

Pendapat keempat: Pendapat beberapa orang Ulama’ seperti Janah Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, dan al-Muwaffaq ibn Qudamah, serta beberapa orang Ulama’ lain. Menurut mereka, tidak terdapat sebarang jarak perjalanan yang dihadkan atau yang ditentukan bagi membolehkan seorang musafir mendapat kelonggaran sebagai musafir. Oleh itu, adalah harus bagi seseorang yang dinamakan  musafir secara bahasa dan ‘Uruf atau kebiasaan adat setempat, yang mana seorang musafir itu perlu keluar ke padang pasir, perlu membawa bekalan makanan, menyediakan kenderaan, atau melakukan apa-apa sahaja persediaan sebagai seorang musafir[12]

Dalil yang menjadi hujah mereka adalah seperti berikut:

1. Daripada al-Qur’an:
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan apabila kamu bermusafir di bumi, maka tidaklah berdosa untuk kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu” (an-Nisa’ 101).

Ayat al-Qur’an ini menyebutkan secara mutlak tentang keharusan mengqasarkan solat bagi seorang musafir, maka tidak boleh kita mensyaratkan apa-apa syarat tanpa dalil,  kerana al-Qur’an sendiri tidak menetapkan apa-apa jarak tertentu bagi seorang musafir, namun syarat ‘jika kamu takut diserang oleh orang kafir’ maka syarat ini telahpun gugur dengan riwayat Yu’la bin Umaiyah r.a.[13], maka ayat ini kekal merangkumi semua perjalanan yang dinamakan sebagai bermusafir.

2. Daripada as-Sunnah:

a. Dalam beberapa hadis menceritakan keharusan mendapat kelonggaran (rukhsoh) bagi seorang musafir secara mutlak tanpa meletakkan sebarang syarat mengenai jarak perjalanan tertentu, antaranya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a., beliau berkata: “Allah mewajibkan solat melalui lisan Nabimu s.a.w. bagi orang bermukim empat rakaat dan bagi musafir dua rakaat” (Muslim).

b. Ketika penduduk Mekah solat bersama Nabi s.a.w., dan Nabi s.a.w. solat secara Qasar dan Jama’, tidak terdapat sebarang riwayat daripada Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa baginda melarang mereka di Arafah, tidak juga di Muzdalifah dan tidak pula di Mina, baginda cuma berkata: “Wahai penduduk Mekah, sempurnakanlah solat kamu, kerana kami ini kaum yang bermusafir”, baginda berkata sedemikian di Mekah ketika Tahun Pembukaan Kota Mekah[14]

Ibn Taimiyah berkata: “Tidak syak lagi bahawa Qasar merupakan antara kelonggaran yang diberikan kepada musafir, dan ia bukan disebabkan ibadah haji…dan Allah tidak memberikan kelonggaran dalam solat menjadi dua rakaat kecuali bagi orang yang bermusafir…”[15].

1.3   Persoalan-persoalan berkaitan Jarak

1)      Adakah jarak perjalanan yang ditetapkan oleh para Ulama’ ini merupakan satu had yang tetap atau satu had anggaran? Jika jarak tersebut terkurang sedikit adakah sesorang itu masih boleh mendapat kelonggaran bermusafir?

Mengikut pendapat Jumhur Ulama’, mazhab Hanafi, sebahagian mazhab Maliki, dan salah satu pendapat mazhab Syafi’e, dan pendapat yang sohih dalam mazhab Hanbali; jarak yang ditetapkan ini merupakan had anggaran sahaja, dan bukannya had yang tetap.
Namun, mazhab Maliki, Imam an-Nawawi, dan Abu Ya’la daripada mazhab Hanbali menganggap jarak perjalanan yang ditentukan itu adalah satu had yang tetap dan bukannya had anggaran. Ini kerana penetapan jarak menggunakan mil adalah tsabit (terbukti) daripada para sahabat r.a. Maka, tidak boleh berlaku sebarang pengurangan daripada jarak yang telahpun ditetapkan.

Kesan daripada pendapat yang mengatakan bahawa; jarak yang ditetapkan ini merupakan had anggaran sahaja, dan bukannya had yang tetap, maka, jika berlaku sebarang pengurangan daripada jarak yang telah ditetapkan (yang mana dianggarkan sebagai jarak bermusafir), maka masih ada ruang jarak yang boleh dimaafkan dan seseorang itu masih mendapat kelonggaran sebagai seorang musafir.

Ibn Rusyd daripada mazhab Maliki mengatakan, sekiranya seseorang solat Qasar dalam jarak lebih kurang 40 hingga 48 mil, maka dia tidak perlu mengulangi solatnya. Sebahagian Ulama’ mazhab Syafi’e pula meletakkan ruang jarak yang masih boleh dimaafkan (yang boleh berlaku pengurangan) adalah 2 mil[16] (maka jarak minimanya ialah 46 mil), dan sebahagiannya mengatakan 6 mil (maka jarak minimanya ialah 42 mil)[17].

2)      Perlukah seorang yang bermusafir mempunyai niat untuk bermusafir pada jarak perjalanan yang dikira sebagai bermusafir sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para Ulama’?

Ya, seorang yang bermusafir mestilah mempunyai niat[18] untuk bermusafir pada jarak perjalanan yang dikira sebagai bermusafir sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para Ulama’.

Ulama’ yang mengehadkan jarak tertentu[19] mensyaratkan bahawa; untuk seorang musafir mendapat kelonggaran ketika bermusafir, maka sebelum keluar bermusafir dia perlulah mempunyai niat untuk bermusafir sekurang-kurangnya pada jarak yang telah ditentukan. Walaupun dia kemungkinan tidak sempat bermusafir hingga ke jarak tersebut atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, jika seseorang keluar dengan niat untuk bermusafir hingga ke jarak yang membolehkan dia mendapat kelonggaran sebagai bermusafir, lalu diapun solat Qasar, namun sebelum sempat sampai ke jarak tersebut, dia terpaksa pulang kembali, maka solat Qasarnya tetap sah.

Begitu juga Ulama’ yang meletakkan ‘Uruf sebagai kayu ukur, mensyaratkan agar seseorang itu mempunyai niat untuk bermusafir hingga ke jarak yang secara ‘Urufnya dianggap sebagai musafir. Oleh itu, sekiranya seorang musafir itu pulang kembali, maka dia boleh mengqasarkan solatnya jika secara ‘Urufnya jarak itu dikenali sebagai bermusafir[20].

3)      Jika seseorang tidak pasti mengenai jarak perjalanannya, adakah dia boleh mendapat kelonggaran yang diberikan kepada seorang musafir?

      Persoalan ini adalah berkaitan dengan rasa syak terhadap jarak perjalanan. Ini bermakna, jika seseorang itu berasa syak, sama ada jarak perjalanannya ini telah sampai kepada jarak yang membolehkan dia mendapat kelonggaran sebagai musafir atau belum, maka terdapat dua pendapat dalam masalah ini:

      Pendapat pertama: Jumhur Ulama’ berpendapat bahawa: Dia tidak mendapat sebarang kelonggaran yang diberikan kepada seorang musafir. Ini kerana, pada asalnya, seseorang itu wajib mengerjakan solat secara sempurna, maka perkara yang asal (solat 4 rakaat) tetap kekal dan tidak boleh diubah atau dipendekkan dengan rasa syak. Oleh itu, jika dia mengqasarkan solatnya dalam keadaan dia merasa syak mengenai jarak perjalanannya, maka solatnya itu tidak sah, walaupun setelah itu dia mendapati bahawa jarak perjalanannya itu sememangnya jauh. Ini kerana dia solat dalam keadaan syak, maka hukumnya adalah sama seperti orang yang solat dalam keadaan dia syak sama ada telah masuk waktu atau belum.

     Pendapat kedua: Mazhab Syafi’e berpendapat: Sesiapa yang syak dalam jarak perjalanan maka dia hendaklah berijtihad tentang jarak tersebut, adapun kata-kata Imam al-Shafi’e dalam kitab beliau ‘al-Umm’: “Sesiapa yang syak dalam jarak, maka dia tidak boleh mengqasarkan solat” kata-kata ini menurut Imam Nawawi adalah sekiranya sesorang itu tidak dapat berijtihad. Oleh itu, mazhab Syafi’e berpegang bahawa orang yang syak tentang jarak perjalanannya perlulah berijtihad, sebagaimana apabila seseorang itu syak mengenai arah kiblat, maka dia hendaklah berijtihad dan solat mengikut arah kiblat yang diijtihadkannya[21].

4)      Apabila terdapat dua jalan ke tempat yang dituju; satu jalan dekat dan tidak membolehkan dia mendapat kelonggaran sebagai seorang musafir, dan satu lagi jalan jauh yang membolehkan dia mendapat kelonggaran sebagai seorang musafir. Jika dia memilih jalan yang jauh, bolehkah dia mendapat kelonggaran yang diberikan kepada seorang musafir?
        Jika dia memilih jalan jauh atas sebab-sebab tertentu seperti kerana jalan jauh lebih selamat, jalan tersebut lebih banyak kemudahan, untuk melawat, dan sebagainya.. maka, semua Ulama’ sependapat mengatakan bahawa dia mendapat kelonggaran sebagai seorang musafir.
Namun, jika dia memilih jalan jauh tersebut semata-mata untuk mendapatkan kemudahan sebagai seorang musafir, maka di sini terdapat dua pendapat:
Pendapat pertama: Mazhab Hanafi, mazhab Syafi’e (dalam salah satu pendapatnya), mazhab Hanbali. Para Ulama’ ini berpendapat bahawa dia mendapat kemudahan sebagai seorang musafir.
Pendapat kedua: Mazhab Maliki, mazhab Syafi’e (pendapat yang lebih nyata) yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’e sendiri dalam buku beliau ‘al-Umm’, dan pendapat beberapa orang Ulama’ Hanbali. Para Ulama’ ini berpendapat bahawa dia tidak mendapat kemudahan sebagai seorang musafir. Ini kerana, dia sengaja memilih jalan yang jauh tanpa sebarang sebab, maka seolah-olah dia melalui jalan yang dekat, cuma dia berjalan ke kanan dan ke kiri hanya untuk memanjangkan perjalanan[22].

1.4   Kesimpulan

Secara ringkasnya ‘bermusafir’ ialah mengembara dalam suatu kadar perjalanan dengan niat bermusafir. Namun, para Ulama’ berbeza pendapat mengenai jarak perjalanan yang membolehkan seseorang mendapat kelonggaran (rukhsoh) sebagai seorang musafir. Oleh itu, kita dapati bahawa terdapat dua golongan Ulama’ dalam menentukan jarak perjalanan seorang musafir: golongan pertama ialah para Ulama’ yang mengehadkan jarak tertentu bagi seseorang musafir mendapat kelonggaran ketika bermusafir, dan ini merupakan pendapat majoriti Ulama’; mazhab Hanafi menetapkan perjalanan sejauh tiga hari tiga malam, Jumhur menetapkan perjalanan sejauh 2 marhalah (88 km 704 m), dan mazhab az-Zohiri menetapakn perjalanan sejauh 3 mil (5 km 544 m); dan golongan kedua ialah para Ulama’ yang tidak menetukan sebarang jarak tertentu serta meletakkan kayu ukur jarak seorang musafir itu berdasarkan ‘Uruf atau kebiasaan setempat. Maka, para Ulama’ turut berbeza pendapat dalam persoalan-persoalan berkaitan jarak perjalanan seorang musafir sebagaimana yang telah dinyatakan dalam bahagian 1.3.

Islam sebgai suatu agama yang penuh rahmat, mudah dan praktikal memberikan kelonggaran kepada seseorang yang dikira sebagai musafir. Kelonggaran ini  termasuklah; keharusan berbuka puasa di bulan Ramadhan, meyapu di atas sepatu selama tiga hari tiga malam, serta solat Qasar dan Jama’. Namun, penulis akan menfokuskan kepada isu-isu solat, antaranya solat Qasar dan Jama’ dalam bab-bab yang seterusnya.


[1] Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa. al-Musafir wa ma yakhtassu bihi min ahkam al-‘Ibadat. Mekah :Ummul Qura, m.s. 7.
[2] Haji Ahmad bin Awang. Sembahyang Musafir Qasar dan Jama’. Johor: Jabatan Agama Johor, m.s. 
[3] Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa, m.s. 8.
[4] Musa’id bin Qasim al-Falih. 1415h. Iqamat al-Musafir wa Safar al-Muqim. Arab Saudi: Dar al-‘Ashimah, m.s. 15-35.
[5] Ibid., m.s.23.
[6] Ibid., m.s.25.
[7] Ibid., m.s.27.
[8] Istilah-istilah yang digunapakai oleh para Fuqaha’ zaman dahulu dapat diterangkan menggunakan istilah moden, istilah-istilah tersebut adalah seperti berikut:
Marhalah: Kadarnya adalah dua barid.
Barid: Kadarnya adalah empat farsakh.
Farsakh: Kadarnya adalah tiga mail.
Mil: Kadarnya pada zaman moden adalah bersamaan 1848 meter.
Oleh itu, satu marhalah bersamaan 44 km 352 m, dan satu barid bersamaan 22 km 176 m, dan satu farsakh bersamaan 5 km 544 m. (Ahmad Abdur Razzaq al-Kabisa: al-Musafir wa ma yakhtassu bihi min ahkam al-‘Ibadat).
[9] Ibid., Musa’id bin Qasim al-Falih, m.s.16-17.
[10] Ibid., m.s.19-23.
[11] Ibid., m.s.27.
[12] Ibid., m.s.29.
[13] Beliau berkata: aku bertanya kepada Umar bin al-Khattob: (Allah berfirman yang maksudnya): “maka tidaklah berdosa untuk kamu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir”, tetapi sekarang kita telahpun aman, (maka adakah kita masih boleh mengqasarkan solat?) Umar pun menjawab: Dahulupun aku pernah tertanya-tanya sebagaimana dirimu, lalu akupun bertanya Nabi s.a.w. mengenai perkara tersebut, lalu Nabi s.a.w. menjawab: “Inilah sedekah (rukhsoh @ kelonggaran) yang disedekahkan oleh Allah kepadamu, maka terimalah sedekah-Nya” (Muslim).
[14] Daripada ‘Umran bin Hushain r.a. beliau berkata: “Aku berperang bersama Nabi s.a.w.dan aku melihat Pembukaan Kota Mekah, baginda berada di Mekah selama 18 malam dan baginda tidak solat (solat yang 4 rakaat) kecuali dengan dua rakaat, dan baginda berkata: “Wahai penduduk negeri ini, solatlah empat rakaat, kerana kami kaum yang bermusafir (kami solat dua rakaat)” (Sunan Abi Daud).
[15] Ibid., 30-32.
[16] 2 marhalah bersamaan 48 mil dan 1 mil bersamaan 1848 meter.
[17] Ibid., m.s.40-41.
[18] Ulama’ mensyaratkan bahawa; niat untuk keluar bermusafir mestilah bersama-sama dengan perbuatan keluar bermusafir. Jika seseorang itu keluar tetapi tanpa sebarang niat bermusafir atau berniat untuk bermusafir tetapi tidak keluar bermusafir, maka ini tidak dikira sebgai bermusafir.
[19] Mazhab Hanafi menetapkan perjalanan sejauh tiga hari tiga malam, Jumhur menetapkan perjalanan sejauh 2 marhalah (88 km 704 m), dan mazhab az-Zohiri menetapakn perjalanan sejauh 3 mil (5 km 544 m).
[20] Ibid., m.s.36-37.
[21] Ibid., m.s.38-39.
[22] Ibid., m.s.42-43.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment