Saturday, July 30, 2011

TERJEMAHAN TAFSIR SURAH AL-BAQARAH

TERJEMAHAN TAFSIR SURAH AL-BAQARAH
oleh Dr. Abdullah Darraz

Walaupun surah al-Baqarah merupakan surah yang terpanjang di dalam al-Qur’an, namun, keseluruhan surah saling berkait rapat antara satu sama lain dengan:
a. satu pendahuluan,
b. empat objektif,
c. dan satu penutup.

A. PENDAHULUAN: Ayat 1-20 (20 ayat)
Pengenalan kepada al-Qur’an, serta penerangan bahawa al-Qur’an mengandungi hidayah dan petunjuk yang amat jelas yang tiada keraguan padanya buat hati yang sihat. Keraguan hanya timbul buat hati yang sakit atau hati yang mati.

B. EMPAT OBJEKTIF: Ayat 21-284 (264 ayat)
Objektif pertama: Berdakwah kepada seluruh manusia agar memeluk Islam. (21-39) 19 ayat.
Objektif kedua: Berdakwah dengan dakwah khas kepada ahli Kitab agar meninggalkan kebatilan dan memeluk agama Islam. (40-162) 123 ayat.
Permulaan kepada objektif ketiga. (163-177) 15 ayat.
Objektif ketiga: Membentangkan syariat Islam secara terperinci. (178-283) 106 ayat.
Objektif keempat: Menyebut faktor utama agama yang membawa kepada aplikasi berterusan terhadap syariat. (284) 1 ayat.

C. PENUTUP: Ayat 285 dan 286 (2 ayat)
Pengenalan kepada golongan yang telah menyahut dakwah (seruan) yang merangkumi keseluruhan objektif tersebut, serta penerangan mengenai ganjaran buat mereka di dunia dan di akhirat.
-------------------------------------------

A. PENDAHULUAN: Ayat 1-20 (20 ayat)
Pengenalan kepada al-Qur’an, serta penerangan bahawa al-Qur’an mengandungi hidayah dan petunjuk yang amat jelas yang tiada keraguan padanya buat hati yang sihat. Keraguan hanya timbul buat hati yang sakit atau hati yang mati.
1. Ayat bermula dengan 3 huruf Arab: alif, lam, mim.
2. 3 huruf ini diikuti dengan 3 isi penting: Isi pertama ialah pengumuman bahawa al-Qur’an merupakan sebaik-baik kitab. Manakala isi kedua dan ketiga adalah berkenaan buktinya iaitu; tiada kebatilan serta sumber hidayah.
3. Dalam berhadapan dengan al-Qur’an dan hidayahnya, terdapat 3 golongan manusia: Golongan pertama ialah orang beriman, golongan kedua ialah orang kafir, dan golongan ketiga ialah orang munafiq.
4. Oleh itu, hanya orang yang bertakwa sahaja yang akan mendapat manfaat dengan hidayah al-Qur’an.
5. Manakala, golongan kedua dan ketiga, adalah sama sahaja, mereka jauh daripada hidayah.
6. Al-Qur’an menceritakan hakikat ketiga-tiga golongan, sebab dan akibatnya.
7. Al-Qur’an turut memberikan perumpamaan dalam menerangkan keadaan golongan kedua dan ketiga agar keadaan mereka nampak lebih jelas.

Setelah jelas keadaan 3 golongan dalam menerima al-Qur’an, maka tibalah masanya al-Qur’an menyeru manusia sepertimana yang terkandung dalam 4 objektif.

B. EMPAT OBJEKTIF:
Objektif pertama: Berdakwah kepada seluruh manusia agar memeluk Islam. (21-39) 19 ayat.
Ayat 21-25 (5 ayat)
Kelima-lima ayat mengandungi seruan yang kuat terhadap seluruh alam dengan 3 permintaan:
1. Jangan menyembah selain Allah dan jangan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apapun.
2. Berimanlah dengan kitab yang telah diturunkan kepada hamba-Nya (Nabi-Nya).
3. Takutlah kepada azab-Nya yang pedih (neraka), dan carilah ganjaran-Nya yang melimpah (syurga).

Ayat 26-39: Kembali kepada pendahuluan
1. Sebagaimana yang telah diketahui, ayat dalam surah ini bermula dengan menceritakan tentang al-Qur’an sebagai hidayah serta 3 golongan manusia dalam berhadapan dengan al-Qur’an. Malah, al-Qur’an turut membuat perumpamaan kepada golongan kafir dan munafiq. Maka dalam bahagian ini, al-Qur’an kembali mengingatkan bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja sebaik-baik Pemberi perumpamaan yang tiada sekutu bagi-Nya. Lalu diterangkan pula perumpamaan neraka yang dijanjikan buat orang kafir dan perumpamaan syurga yang dijanjikan buat orang beriman. Jadi inilah dia antara cara al-Qur’an dalam memberi hidayah; dengan memberi perumpamaan, menjelaskan kebenaran, meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya, tidak kira sama ada besar atau kecil perkara tersebut. Sesungguhnya Allah tidak malu dalam memberi perumpamaan daripada perkara sekecil nyamuk hinggalah perkara yang lebih besar daripada itu…
2. Kemudian al-Qur’an kembali menyentuh 3 permintaan yang terdapat dalam objektif pertama secara lebih terperinci.

Lalu ayat seterusnya dimulakan dengan ayat seruan kepada ahli Kitab (objektif kedua).
 
Objektif kedua: Berdakwah dengan dakwah khas kepada ahli Kitab agar meninggalkan kebatilan dan memeluk agama Islam.
Ayat 40-162 (123 ayat)
Ayat 40: Ayat permulaan yang merangkumi maksud keseluruhan tujuan ayat-ayat selepasnya. Ayat ini menyeru mereka dengan nama yang paling mereka sukai dan nasab yang paling mulia buat mereka, serta mengingatkan mereka terhadap nikmat yang telah Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka sebelum ini secara umum, lalu dengan ini mereka diseru agar memenuhi janji mereka, maka mereka diingatkan dengan ganjaran (jika mereka memenuhi janji) dan ancaman (jika mereka memungkiri janji).

Kemudian, tujuan-tujuan ayat diterangkan secara berperingkat, yang mana dijelaskan berkenaan janji yang perlu mereka tunaikan dalam 6 ayat (41-46). Seterusnya diterangkan ganjaran nikmat yang diberikan kepada mereka (47) serta ancaman azab pada ayat seterusnya (48).

Ayat-ayat yang seterusnya pula terbahagi kepada 4 bahagian:
Bahagian pertama: (49-74) Cerita berkenaan orang Yahudi zaman dahulukala sejak Nabi Musa a.s. diutuskan.
Bahagian kedua: (75-121) Cerita berkenaan orang Yahudi semasa; iaitu ketika Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan.
Bahagian ketiga: (122-134) Cerita berkenaan orang Islam dahulukala sejak Nabi Ibrahim a.s. diutuskan.
Bahagian keempat: (135-162) Cerita berkenaan orang Islam semasa; iaitu ketika Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan.

(163-177) 15 ayat: Permulaan bagi objektif ketiga: Terdapat 3 peringkat:
Peringkat pertama: Penetapan terhadap keesaan Allah yang Maha Menciptakan lagi Maha Disembah
Peringkat kedua: Penetapan terhadap keesaan Allah yang Maha Memerintah lagi Maha Ditaati
Peringkat ketiga: Senarai umum berkenaan arahan-arahan yang mesti ditaati.
Objektif ketiga: Membentangkan syariat Islam secara terperinci. (178-283) 106 ayat.

Objektif keempat: Menyebut asas agama yang membawa kepada aplikasi berterusan terhadap syariat. Ayat (284) 1 ayat.
Ayat-ayat sebelumnya telahpun menerangkan mengenai hakikat Iman dan syariat Islam, maka ayat ini menerangkan berkenaan Ihsan: “Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehandaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.


C. PENUTUP: (285 dan 286)
Pengenalan kepada golongan yang telah menyahut dakwah (seruan) yang merangkumi keseluruhan objektif tersebut, serta penerangan mengenai ganjaran buat mereka di dunia dan di akhirat.






1 comment:

  1. Assalammualaikum wbt,

    Terima kasih diatas posting diatas. Untuk surah yang lain ada lagi tak?

    TQ

    ReplyDelete