Saturday, July 30, 2011

Perlumbaan


Aku mengusap kepala mereka. Nyenyak sungguh mereka berdua tidur. Nuh dan Maryam sepasang kembar lelaki dan perempuan. Alhamdulillah! Nikmat yang tidak terhingga kurniaan Ilahi disertai tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kami suami isteri. Kucium pipi mereka. Masya Allah! Indah sungguh ciptaan Tuhan. Manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Subuh yang hening ini amat indah. Suamiku masih belum pulang daripada masjid. Teringat kata-kata seorang ustaz: “Lelaki amat digalakkan berjemaah di masjid, manakala wanita, Allah bagi keistimewaan digalakkan solat di rumah, tapi apa yang bestnya, kalau dia menggalakkan suami pergi masjid, isteri yang solat di rumah turut mendapat pahala suami yang pergi ke masjid dan pahala  suami sedikitpun tidak berkurang!” Aku tersenyum sendirian. Teringat perbualanku dan suami sebentar tadi.
“Abang, cepat bang! Dah iqamat dah tu..”
“Sabarlah cik Nisa’! Abang tengah bersiaplah ni..”
“Yelah, tapi jangan slow motion sangat. Cergas sikitlah. Nanti tak sempat solat jemaah. Bukan apa, Nisa’ kesian kat abang je.. kalau tak berjemaah tak dapatlah pahala berganda nanti”. Aku mencebik.
“Ye la tu.. kesian kat abang konon, macam risau tak dapat pahala abang je..”. Jawab suamiku sambil ketawa kecil dan bergegas keluar. Basikal dikayuh laju pergi meninggalkan perkarangan rumah kami.
------------------------------
“Eh, makan duduk!” Aku menguatkan suara sambil tersenyum. Arahan itu dipatuhi mereka berdua. Namun, hanya seketika. Mereka berdua kemudian berlari terkedek-kedek dengan pisang emas yang masih kemas dipegang dan dikunyah mereka. Comel! Berguling-guling bermain. Bising dengan omelan mereka. Suasana ini amat mencuit hatiku. Kalau bukan suamiku akan pulang daripada tempat kerjanya seketika nanti, mungkin aku juga sudah terguling-guling bermain bersama mereka. Aku mengangkat hidangan tengah hari ke ruang makan. Secara tiba-tiba, aku diterpa. Hampir-hampir terlepas mangkuk yang berisi kari ayam. Aku beristighfar panjang. Segera kuletakkan mangkuk itu ke atas meja dan memandang mereka berdua yang sedang erat memelukku. Maryam, Nuh! Aku hanya menjerit marah di dalam hati. Tidak kuluahkan kegeramanku kepada mereka. Anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Baru berusia dua tahun lebih. Aku tersenyum sambil mengusap kepala mereka. Mereka selalu begitu. Berlumba lari dan berlumba siapa yang lebih dahulu sampai dan dapat memelukku.
“Siapa? Siapa?” Kedua-dua mereka pelat bertanya dan menanti jawapanku. Siapa yang sampai dahulu. Akulah hakim mereka setiap kali, dan setiap kali itulah aku mencium mereka berdua lalu menjawab: “Sama-sama sampai”.  Mereka berdua pasti akan ketawa gembira. 
“Baik anak-anak Ummi!” Aku memuji sambil mencium mereka lagi. Memang aku tidak pernah bosan untuk mencium mereka. SubhanAllah, comel benar ciptaan Allah! 
“Ok, ummi bilang sampai tiga, Nuh dan Maryam kutip kulit pisang tu dan buang dalam bakul sampah kat dapur ok?”
Mereka berdua mengangguk.
“Satu, dua,…” Belum sempat aku menyebut tiga mereka berdua sudah berlari terkedek-kedek mengambil kulit pisang masing-masing. Aku hanya tertawa geli hati melihat perlumbaan mereka. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Aku dan suami juga menyukai perlumbaan sebegini. Ya, perlumbaan dalam kebaikan!

__________________

Moral cerpen:

1. Firman Allah swt: وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ [المطففين : 26]

"Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba."

Berlumba dalam melakukan kebaikan.

2. Menyatakan kasih sayang kepada anak-anak dengan memberi ciuman dan galakan.

3. Jauhkan daripada penggunaan 'jangan' kepada anak-anak ketika memberi arahan, kerana anak-anak kecil lebih cepat belajar dengan gambaran. Contoh: Jangan bising! (hanya bising yang tergambar di otak mereka, sedangkan perkataan 'jangan' tiada gambaran. Sebaliknya gunakan ayat seperti: 'Senyap!' sambil meletakkan jari ke mulut. Anak-anak akan lebih cepat memahami arahan dan mematuhinya. Insya Allah!

No comments:

Post a Comment