Saturday, March 24, 2012

Detik-detik menuju pernikahan

Laili termenung. Sahabatnya Ina hanya menggeleng-gelengkan kepala. Laili tersenyum sendiri. Mula membuka mulut meluahkan bicara: "Macam mana ni Ina.. Laili rasa macam dah kena sakit angau ni.. Alamak.. Haaah.." Satu keluhan berat dilepaskan.

Ina hanya mampu tersenyum. Sudah beberapa kali ayat yang lebih kurang sama isinya itu diulang-ulang Laili kepadanya. Laili sedang angau, Laili sedang asyik, Laili rindu..

"Sabar je la Laili.. Kalau dah jodoh tu, tak ke mana.." Ina mengulang lagi nasihatnya. Nasihat yang sudah beberapa kali diingatkan. Ina tahu yang Laili pun tahu. Tapi...

"Apa kata kita jumpa ustazah Ainon. Mungkin ustazah boleh nasihatkan Laili," Ina memberi cadangan.

Perpustakaan universiti ditinggalkan buat sementara waktu. Walaupun berada dalam perpustakaan, fikiran Laili masih tidak dapat memberikan perhatian kepada tesis PhDnya. Satu idea pun tidak keluar. Baru 15 muka surat tesis PhD yang mampu Laili drafkan sejak tiga bulan lalu. Sekarang, mereka berdua menuju ke pejabat ustazah Ainon. Harap-harap ustazah berkelapangan. Ina dan Laili mengharap dalam hati.

"Assalamu'alaikum" Laili memberi salam setelah mengetuk pintu pejabat ustazah Ainon.

"Masuk", kedengaran suara ustazah Ainon sayup-sayup dari dalam. Laili segera membuka pintu. Sekali lagi dia memberi salam: "Assalamu'alaikum ustazah."

"Wa'alaikumussalam. Ya, Laili, Ina, jemput masuk" Ustazah tersenyum ceria. Tangan ustazah Ainon disalami dan dicium penuh hormat.

"Duduklah" Ustazah tersenyum sambil mempersilakan mereka berdua duduk.

"Ustazah sibuk ke? Nak tanya sesuatu sebenarnya" Laili memulakan perbualan. Ina hanya tersenyum di sisi.

"Tanyalah, ada apa ye? Berkenaan tesis ke?" Ustazah Ainon masih tersenyum.

Laili memandang Ina. Segan-segan. "Er..boleh tak nak tanya soalan peribadi.." Laili menjawab sambil tersenyum-senyum malu.

"Oh.. Boleh je.." Ustazah ketawa kecil. Ustazah Ainon dapat mengagak. Muka Laili yang merah padam memberi isyarat bahawa pelajarnya ini ingin bertanya tentang perkahwinannya yang dalam 8 bulan lagi.

"Akhir-akhir ni Laili tak dapat nak fokus pada tesis. Asyik teringat tunang saja. Rasanya 8 bulan tu macam 8 tahun saja.. Rasa lambat sangat. Macam mana nak buat ye?" Laili bertanya sambil tersengih-sengih malu. Ustazah Ainon ketawa ceria.

"Biasalah tu Laili.. Ustazah faham.. Bila wanita yang diambang usia 30 tahun, dan akan berkahwin, pasti terasa macam lama betul 8 bulan tu.. maklumlah, sudah lama menunggu untuk disunting.. dan kini setelah disunting, terpaksa menanti pula.." Ustazah Ainon masih tersenyum.  Ustazah Ainon teringat kisah perkenalan antara Laili dan tunangnya itu. Kedua-dua mereka adalah pelajarnya. Masing-masing sedang mencari pasangan hidup. Sebaik sahaja mengetahui berkenaan Laili daripada ustazah Ainon, pelajarnya yang bernama Soleh itu membawa keluarganya datang ke rumah Laili untuk meminang. Disebabkan Soleh belum mempunyai kerja tetap, keluarga Soleh menetapkan tempoh satu tahun untuk mereka berdua bertunang. Laili hanya mampu menerima keputusan mereka dengan pasrah. Walaupun ustazah Ainon tahu yang Laili tidak mahu bertunang selama itu. Kalau diikutkan Laili, sebulan saja sudah cukup.

"Ustazah faham, wanita mana yang tak merindui bakal suaminya. Cuma, untuk meredakan ledakan perasaan tu, untuk fokus pada apa yang ada pada hari ini, untuk tidak terasa panjangnya masa.. ada satu ubatnya, Laili boleh cuba.." Ustazah Ainon tersenyum. Berhenti seketika untuk memerhatikan reaksi Laili. Laili nampak teruja. Bersinar-sina matanya memandang ustazah Ainon. Laili dan Ina setia menanti bicara seterusnya. Laili cuba mengagak-agak. Menyibukkan diri sendiri dengan kerja atau belajar kot? Tapi Laili sudahpun cuba untuk baca banyak buku, terlibat dalam banyak program, dan macam-macam lagi. Tapi kesibukan itu hanya menebalkan lagi rasa rindunya untuk bergelar isteri dan ibu. Fitrah wanita..


"Em, ustazah rasa ubat yang paling sesuai.. em..ubatnya ialah banyak mengingati mati.. Ya, ingat mati.. Bila kita ingat mati, kita lebih menghargai masa yang ada untuk kita pada ketika ini. Siapa tahu bila kita mati kan? Satu jam lepas ni? Dua jam? Selagi masih bernyawa, gunakanlah masa sebaiknya. Tingkatkan bekalan akhirat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ingat, rasai, hayati ayat-ayat al-Qur'an.." Ustazah Ainon tersenyum. Mata Laili bergenang. Laili tersentak. Bagai dipanah hatinya. Dia terlupa.. Mati.. Bila? Di mana? Ya, dia terlupa.

Ya, siapa tahu, mungkin dia mati hari ini. Kenapa dia harus merisaukan hari yang mendatang? kenapa dia harus mengira detik demi detik menuju tarikh pernikahan? Sedangkan, masih adakah esok baginya? Ya, hari ini harus digunakan sebaiknya! Laili kembali bersemangat. Mengingati mati itu, benar-benar menghidupkan hatinya!


Sunday, March 18, 2012

SubhanALLAH aku mencintaimu..


Hari-hari berlalu
hidup bersamamu
membina bersama
keluarga bahagia
di atas satu cinta
kerana-NYA..

SubhanAllah aku mencintaimu
SubhanAllah aku menyayangimu
SubhanAllah aku mengasihimu
kaulah suami
selalu di hatiku..

Semoga cinta ini
membawa kita bersama
ke syurga-NYA yang abadi..

Cinta ini bukan semata cinta kepada cinta itu sendiri, bahkan cinta antara suami dan isteri itu adalah kurniaan Tuhan Yang Maha Mencintai lagi Maha Mengasihi hamba-hamba-NYA.. Demi membolehkan pasangan suami isteri membentuk keluarga bahagia dalam ketenangan, kasih sayang, dan keamanan.. 

Di kala terluka, di kala cinta itu diuji, kita kembali kepada-NYA, mencari penyelesaian.. Sesungguhnya wahai suamiku, aku kini sedang menghitung kembali, memuhasabah diri, daripada aku tega mengeluarkan kata-kata yang mungkin bakal menyakitkan hatimu, lebih baik bagiku untuk membaca Kalam-NYA dan menghayati ayat-ayat-NYA..

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
 [الروم : 21]
"Dan di antara tanda-tanda-NYA, Dia telah menciptakan bagimu daripada dirimu sendiri pasangan-pasangan agar kamu tenang kepadanya, dan dia telah menjadikan antara kamu mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (ar-Rum: 21)

Kala menghayati ayat ini, aku kembali bersemangat. Wahai suamiku, ya, aku ingin menjadi pendampingmu yang sentiasa menenangkan, agar terbentuklah mawaddah dan rahmah itu dalam keluarga kita.. Dan ia pastinya bukan sekadar memiliki anak-anak dengan nama Mawaddah, Rahmah mahupun Sakinah, bahkan lebih daripada itu.. ^_^


Sunday, March 11, 2012

Puisi buat wanita beriman

Puisi: Buat Wanita Beriman


Buat yang bergelar wanita beriman,

Dikau ibarat sekuntum mawar,
Lembut, indah dan cantik di pandangan,
mengharumkan dan menyerikan alam,
dengan semerbak senyuman kesyukuran,
yang sering dihiasi air mata kesabaran..
 

Ketahuilah sayang,
pohon mawar itu,
terus tumbuh segar mewangi,
bukanlah dengan baja emas dan berlian,

yang berupa kemewahan kebendaan,
bukan jua dengan siraman wangian,

yang berupa pujian yang melalaikan.


Sedarlah sayang,
bahawa pohon mawar yang berkualiti itu,
mampu terus hidup subur,
dengan baja-baja buangan,
serta gerimis dan lebatnya hujan..

Begitulah ujian kehidupan,
menumbuhkan dan mendewasakan,
seorang wanita yang beriman..

Kudoakan,
semoga Allah memudahkan
segala urusan 

dunia dan akhiratmu..
bukanlah yang dipohon itu agar dikecilkan ujian,
namun yang dipohon itu adalah
semoga hati yang tenang dan tabah itu
menjadi milikmu..

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

^_^

Apa yang dapat kita harapkan,
daripada seorang insan,
hanyalah nasihat dan doa berterusan,
Maka..
Nasihat dan doalah,
yang kini menjadi dua hadiah,
yang dapat sering kukirimkan,
buat dirimu wanita beriman..










Tuesday, March 6, 2012

Kemuncup Anak-anak

Berlari ke sana sini. Bingit memekik. Suara kanak-kanak riang bermain. Tengah hari yang panas terik. Hari minggu yang ditunggu-tunggu. Bermain daripada pagi lagi.

"Ummi! Air! Air!" Nuh berlari ke dapur. Masuk melalui pintu belakang. Berpeluh-peluh. Aku senyum lebar. Selebar mungkin. Meredakan geram yang mula bersarang. Apalagi melihat seluarnya yang dipenuhi kemuncup. Sabar je lah budak-budak ni..  Anak-anakku seorang lepas seorang masuk. Penat berlari, masuk minum air. Keluar semula. Berlari. Menjerit-jerit di padang permainan. Jarak yang lebih kurang 500 meter daripada rumah masih membolehkan suara mereka yang lantang itu didengari.

"Baca bismillah dulu", aku menyuakan botol air. Segera dideguk air yang diberi sambil mengucap bismillah antara dengar dan tidak. Gopoh. Lalu berlari semula bermain di luar rumah. Jam menunjukkan angka 11.45 pagi. Aku tersenyum lagi. Pasti dipenuhi kemuncup. Semua orang akan disuruh agar membuang kemuncup di seluar masing-masing. Suruhan perlu bernada lembut. Kalau enggan, aku akan melaporkan kepada suamiku, ayah mereka. Mudah sahaja.

-----------------

"Cepat! Sapa yang habis cabut dulu Ummi bagi hadiah!" Aku tersenyum kepada mereka.
Tekun mereka mencabut kemuncup. Penuh. Masing-masing dudk mengerumuni kotak yang aku sediakan khas untuk membuang kemuncup.

"Kenapalah..kemuncup ni suka melekat kat seluar orang.." Nuh membuka mulut.
"Ye la.. menyusahkan orang je.." Hud pula menyambung.
"Betul, betul.." Lut yang bongsu mengiakan saja.

Aku yang mendengar rasa teruja untuk mendidik mereka.
"Kemuncup tu tahu tugas dia. Memang itu pun kerjanya. Bagus dia taat pada Allah."
Aku mula memuji si kemuncup.

"Lah.. Kalau macam tu, buat apa susah-susah kena buang kemuncup ni. Susah-susah dia nak lekat, kita buang pula.." Hud anakku yang tengah mula memprotes. Aku terdiam. Senyuman ku lebarkan agar tidak stress menjawab sebarang soalan mereka.

"Pandai Hud. Faham betapa susahnya kemuncup nak lekat. Tapi kita sebagai manusia kena tolong dia, dia nak tumbuh. Kita kena letak kemuncup-kemuncup ni ditempat yang sepatutnya. Seluar kena dibersihkan. Sebab manusia ada akal. Kemuncup tak ada akal. Jadi dia lekat je kat seluar orang yang lalu dekat dia dan pijak dia.." Aku menjawab spontan.

"Ummi nak letak kat mana kemuncup-kemuncup ni?" Nuh pula bertanya.

"Nanti kita tanya abi ye..Em, mana ye tempat yang sesuai" Aku tersenyum. Dalam hati, aku sebenarnya ingin buang saja.

"Ha, kita letak dekat tempat orang jahat lalu, kalau dia lalu biar kemuncup ni lekat." Hud mula berangan.
"Betul, betul, nanti susah dia kena cabut, sibuk cabut, tak buat jahat." Lut menyambung idea abangnya.

Aku hanya tertawa ceria.



Sunday, March 4, 2012

Takut untuk berkahwin

"Takutlah.."

"Seram sejuk rasanya.."

Luahan bakal pengantin baru..

Ya, perkahwinan ibarat lautan yang perlu diharungi..

Atau ibarat hutan belantara yang perlu diredahi..

Apa tujuannya? Andai tujuannya penting, segala cabaran dihadapi setabah mungkin..

Ibaratnya, orang yang mengharungi lautan untuk mendapatkan ikan segar.. atau ibarat orang yang meredahi hutan belantara untuk mendapatkan kayu jati bermutu..

Maka, fikirkan bersama, apa tujuan untuk kita melangkah ke alam perkahwinan..

Untuk mencapai redha Tuhan..

Mengutip pahala bersama insan tersayang..

Berjihad menempuh alam rumah tangga..

Sama ada menang atau syahid dalam melahirkan zuriat kebanggaan Nabi tercinta..

Pastikan tujuannya..matlamatnya..maka ketakutan itu dengan sendirinya akan terkawal..

Ya, ketakutan itu perkara normal lagi biasa.. ketakutan untuk menghadapi alam baru..

Cuma, imbangilah ia dengan rasa syukur.. rasa teruja dan gembira..