Showing posts with label fiqh dan wanita. Show all posts
Showing posts with label fiqh dan wanita. Show all posts

Friday, December 19, 2014

LELAKI JAHAT YANG MENGINTAI ANAK GADIS KITA

Post kali ini saya edit daripada post di facebook bertajuk:
"Lelaki-lelaki Jahat Yang Mengintai Anak Gadis Kita" oleh:
Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP.

Ada mata-mata liar yang jahat sedang memerhati wanita. Ada mata lelaki jahat yang melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan mata……yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru yang enak…Lalu lelaki jahat ini akan memulakan. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….Dan wanita sangat mudah termakan pujuk rayu…

Satu kisah benar untuk renungan kita bersama:

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau.
Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang haid yang tidak teratur.

Namun saya sengaja bertanya: "datang sebab haid tak teratur ke?"

Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh. Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh hitam.

Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata.

"Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa", katanya berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan sesak dan dia sangat gelisah.

Lalu saya menerjah: "mengandung ke anak Puan?"

Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah-tak dapat dibendung lagi.
Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3.
Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja.
Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ.

Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa beliau telah berzina.
Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zina.

"Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai.
Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”

Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya.

Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zina sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki.
Berbagai bangsa.
Berbagai umur.
Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bodoh seperti kata ibunya.

Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.
Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lucah.
Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pelacur’.

Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu, lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia seks dalam keadaan akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video lucah. Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa ketagihan.

Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini.
Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada lelaki tersebut.

Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.
Kata anak malang ini, --walaupun saya sudah tidak suka melakukannya, tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu menurut kemahuan lelaki tersebut-----
Dapat saya bayangkan bagaimana lelaki jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk memuaskan nafsu binatangnya.

Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak nampak atau tidak mahu percaya.

Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih berganti bersalin dan beliau yang menjaga.

Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah untuk menyampaikan kepada masyarakat.

Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak bongsunya ini masih ‘baby’.

Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan kita bersama:
1. bila anak meningkat remaja - perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya.
2. Jangan mengutuk. Berilah pujian supaya dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat.
3. Setiap wanita seolah-olah ada bauan atau haruman yang tersebar keluar dari dirinya - lalu menarik banyak ‘bugs’. Nasihatkan dia tentang nilai dirinya. Islam meletakkan wanita pada kedudukan terhormat. Tanamkan sifat malu pada dirinya. Perbetulkan pakaiannya. Jagalah dia.

Apa yang sudah berlalu, kita sucikan kembali dengan Taubat. Kembalilah kepada Allah. Solatlah. Sujud kepadaNya. Perbanyakkan amal kebaikan kerana kita tidak tahu amal yang mana satukah yang paling ikhlas dan diterimaNya.. Berbuat baiklah bila-bila masa, di mana saja kepada sesiapapun termasuk haiwan dan tumbuhan.. Bukankah sudah diceritakan di dalam Hadis Nabi bahawa wanita pelacur juga diampunkan dosanya kerana rasa kasihannya kepada seekor anjing yang kehausan.. Marilah kita saling bantu-membantu untuk kembali bertaubat kepadaNya.. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...

Berbahagialah kepada orang yang bertaubat.. kerana semua orang pernah jahat, namun amat rugi sekali kepada mereka yang pernah baik, namun kini memilih untuk menjadi jahat..


Thursday, August 16, 2012

Ramadhan: Lailatul Qadar

Malam ganjil, tenang, tenteram.. Mungkinkah malam Ramadhan ini lailatul qadar..

Apapun yang penting teruskan berdoa & memohon ampun.. Memandangkan hari ini masih mendapat ABC (Allah Bagi Cuti), maka solat terawih tidak dapat ditunaikan.. Namun, masih terdapat pelbagai amalan lain yang boleh dilakukan oleh wanita yang didatangi haid..^_^  Ya! Alhamdulillah..Syukur..

Malam ni tak nak tidur lama. Nak tidur sekejap saja. Kemudian bangun malam. Minta ampun.. Menangis sepuas hati.. Itu rancangannya.. Semoga dibantu.. Ameen..

Mengingati mati.. Kematian itu pasti.. Mati.. Mati.. Perpindahan alam, episod perjalanan.. Ya Allah ampunilah kami.. T_T

Sunday, March 4, 2012

Takut untuk berkahwin

"Takutlah.."

"Seram sejuk rasanya.."

Luahan bakal pengantin baru..

Ya, perkahwinan ibarat lautan yang perlu diharungi..

Atau ibarat hutan belantara yang perlu diredahi..

Apa tujuannya? Andai tujuannya penting, segala cabaran dihadapi setabah mungkin..

Ibaratnya, orang yang mengharungi lautan untuk mendapatkan ikan segar.. atau ibarat orang yang meredahi hutan belantara untuk mendapatkan kayu jati bermutu..

Maka, fikirkan bersama, apa tujuan untuk kita melangkah ke alam perkahwinan..

Untuk mencapai redha Tuhan..

Mengutip pahala bersama insan tersayang..

Berjihad menempuh alam rumah tangga..

Sama ada menang atau syahid dalam melahirkan zuriat kebanggaan Nabi tercinta..

Pastikan tujuannya..matlamatnya..maka ketakutan itu dengan sendirinya akan terkawal..

Ya, ketakutan itu perkara normal lagi biasa.. ketakutan untuk menghadapi alam baru..

Cuma, imbangilah ia dengan rasa syukur.. rasa teruja dan gembira..


Friday, September 30, 2011

Bila Muslimah itu menegur ^_^

Tips 5 S..

Senyum..

Salam teguran.. 'Assalamu'alaikum' @ 'Hai..' (buat non-Muslim)

Soal sesuatu.. seperti: Apa khabar? Sihat? Nak ke mana ni ye? ..

Sentuhan.. (untuk yang sama jantina ye) Salam tangan atau tepuk bahu..

Sopan-santun..

Tips 5 S..

Senyum itu sedekah.. Em, cuma jangan senyum 'kambing' (walaupun kambing tak bersalah dalam hal ini) hehe yang penting jangan senyum mengejek..

Dakwah dan komunikasi

 Begitulah ketika kita ingin menegur, amar ma'ruf nahi munkar.. Buat yang Muslim atau yang bukan Muslim (mereka juga manusia yang kita sayangi)..

Contoh: Tiba-tiba kita terpandang gadis muda yang cantik jelita, bertudung litup, cuma sayang berpakaian sendat, dan kainnya pula terbelah. Alamak! Kasihan bercampur terkejut. Kalaulah itu anak kita sendiri..

Tapi dia bukan anak kita. Dia seseorang yang tidak dikenali, tapi disayangi kerana dia juga seorang manusia. Nak tegur? Atau hanya memandang dia atas bawah? Em.. Kalau dia berseorangan lebih mudah ditegur. Kalau berkumpulan? Alamak!

Kalau dia berseorangan mungkin boleh cuba cara ini:

Senyum..

Bagi salam..

Soal.. 'Boleh tahu sekarang pukul berapa ye? Macam pernah jumpa je awak ni kat mana-mana.." (hehe walaupun ini kali pertama kan..)

Tepuk bahunya, atau hulurkan tangan tanda perkenalan..

Sopan-santun.. "Maaf ye.." (banyakkan ucapan maaf, walaupun kita tidak bersalah) kalau boleh saya nak cakap.. emm saya risau tengok ada orang lelaki tadi tenung je awak.. huhu kalau boleh lain kali pakai pakaian yang longgar ye, yang menutup aurat ye.. maaf ye.."

Kalau yang non-Muslim, kita minta dia pakai yang sopan ke.. huhu dia pun (sepatutnya) gembira kalau kita ambil berat.. terutama bila sebut "i risau pula kat you ni..ada lelaki mana entah tadi, dia tenung je you tau.. bimbang juga i ni dibuatnya..hati-hati ye dear.."

Senyum dan berlalu pergi..


Kalau berkumpulan??

Bagi je la handbills.. hehe macam nak promot sesuatu. (Em promoter barangan selalu bagi handbills kan.. biasa je, tak malu pun, kita pun nak malu apa kan? sebar benda baik apa..)

Dalam handbills tu tertulis sedikit nasihat.. apa-apa saja.. cuma jangan bernada kasar, jangan ada ayat al-Qur'an.. huhu maklumlah, bimbang pula dibuang merata-rata kan..

Bila ada yang tanya..

"Buat apa nak susah-susah tegur orang yang tak mahu berubah??" (Aik? Macam mana boleh tahu dia tak mahu berubah? Em, pelik bin ajaib..)

Kita jawab:

"Sebab nak minta maaf pada Tuhan.. hanya ini yang mampu dilakukan, dan semoga mereka bertaqwa kepada-NYA".. Kita hanya menyampaikan, hanya Tuhan yang memberikan kesedaran..


Tuesday, September 6, 2011

Hidup dalam monogami, poligami, cerai dan cemburu.. Siapakah antara kita yang paling bertaqwa?

Semoga apa yang dikongsikan di sini mendapat keberkatanNYA..ameen.

Sedikit perkembangan pandangan saya ^_^: Wanita itu ada 3 golongan, hehe sekarang dapat ilham baru pula nak tambah satu lagi golongan.. (Sebelum ini saya lebih fokus membicaran dua golongan sahaja).

Tiga golongan / pendirian ini ialah:
1. golongan yang mensyaratkan cerai dalam isu poligami (Jika suami ingin bernikah lagi, suami perlu menceraikan isteri).
2. golongan yang menggalakkan poligami.
3. golongan yang tidak menggalakkan poligami dan tidak pula mahu mensyaratkan cerai.

Taqwa
 
Ketiga-tiga golongan wanita ini sama sahaja, semua keputusan yang dibuat masih dalam lingkungan perbuatan yang dibenarkan dalam Islam. Yang menambahkan kemulian mereka hanyalah Taqwa kepada Allah s.w.t.
Alhamdulillah Islam meraikan ketiga-tiga golongan ini dengan kesesuaian fitrah masing-masing ^_^.."

Saling terasa (?)

Kewujudan golongan pertama dan kedua menimbulkan situasi akan ada saja golongan wanita yang agak 'sinis' dengan golongan pertama.. sebagaimana golongan pertama juga agak 'sensitif' dengan golongan kedua.

Saya ada beberapa kawan wanita yang berada dalam golongan pertama, cemburu & sensitif dlm soal poligami, saya mencadangkan dia membaca blog sebarkan bahagia dan alhamdulillah, dia ingin mengaplikasikan syarat ta'liq ini berkenaan poligami (hehe malah beliau sedang memikirkan apa-apa syarat tambahan lain pula ^_^)

Saya juga ada beberapa kawan wanita yang berada dalam golongan kedua yang menginginkan poligami, sering menyokong poligami, sambil kekadang tertawa kecil berkenaan poligami kerana sangat positif berkenaan poligami, sehingga kawan-kwan saya dalam golongan pertama sering terasa hati dan menganggap kawan-kawan saya yang daripada golongan kedua ini sedang berjenaka dan menyindir mereka. Saya tahu golongan kedua kawan saya ini bukan berniat menyindir atau sinis, namun fitrah mereka yang sukakan keterbukaan dan memandang positif poligami menyebabkan golongan pertama yang cemburu terasa jauh hati.

Sebagai contoh, memandangkan masing-masing sudah berkahwin, ketika kami bertemu: Wanita daripada golongan kedua bercerita: "Ana dah suruh Abg Ana tu kahwin lain, kesian kat ramai perempuan lain yang belum berkahwin ni, Abang Ana cakap nanti-nanti lah bila dah stable sikit" katanya sambil ketawa kecil.

Kata-kata ini dianggap oleh golongan pertama sebagai satu kata-kata yang 'pelik' kepada golongan pertama.

Maka setiap kali saya post sesuatu daripada blog 'sebarkan bahagia' ke fb saya contohnya, maka amat ramai kawan-kawan daripada golongan pertama yang memberi komen2 positif, manakala, gologan kedua jarang memberi komen dan kadangkala ada komen yang bernada terasa @ 'terluka'.

Manakala golongan kedua pasti akan memberikan komen2 positif dan golongan pertama biasanya senyap dan kadang2 memberi komen bernada terasa @'terluka' apabila saya post sesuatu daripada blog yang menyokong poligami: http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

Sebagaimana rakan-rakan saya daripada golongan pertama bersetuju bahawa bahagia itu adalah daripada faktor dalaman 'inner peace' maka mereka mahu mengaplikasikan syarat ta'liq ini, agar tenang hati mereka..
Begitu juga rakan-rakan saya daripada golongan kedua menginginkan poligami kerana bersetuju bahawa bahagia itu adalah faktor dalaman bukannya luaran.

Dan di antara golongan pertama dan kedua, ada 'golongan ketiga' (kalau boleh saya golongkan mereka ^_^) Mereka tidaklah menggalakkan suami mereka berpoligami, namun tidak pula mahu meletakkan sebarang syarat ta'liq. Mereka memilih poligami berbanding cerai. Pada saya antara contoh penulisan yang menggambarkan prinsip golongan ini ialah blog: http://ummuhusna99.blogspot.com/2010/12/menjadi-yang-terbaik-memberi-yang.html

Fitrah dan personaliti yang berbeza.

Kepelbagaian personaliti wanita diraikan dalam Islam, maka, hak mereka untuk menerima poligami atau tidak berdasarkan fitrah masing-masing..Alhamdulillah.

Ada yang mungkin mengatakan bahawa seorang isteri itu menggalakkan suami berpoligami kerana tiada rasa cemburu. Benarkah? Jika tiada rasa cemburu ini, mungkinkah mereka lebih hebat daripada para isteri Rasulullah?


Menjawab persoalan di atas:

Mmm berdasarkan pandangan saya, golongan kedua ini, menggalakkan suami berpoligami bukan kerana tiada rasa cemburu, ya cemburu itu ada.. sebab ia fitrah semua manusia. Cuma tahap cemburu itu tidak setinggi golongan pertama. Bagi saya, sifat semulajadi seperti cemburu, marah, cerdik dikurniakan oleh Allah dengan tahap dan kadar berbeza dengan penuh hikmah. Ia adalah satu kurniaan dalam masa yang sama satu bentuk ujian. Alhamdulillah^_^

Ada orang dikurniakan kecerdikan yang tinggi, sekali baca boleh faham & ingat sesuatu ilmu, ia satu kurniaan & ujian untuk menguji ketaqwaan. Selagi mana kecerdikan digunakan dalam jalan yang dibenarkan Islam, ia satu bentuk kesyukuran. Begitu juga dengan kecemburuan yang tinggi, sekali merasakan apa2 yang boleh mencederakan emosi dan hati, perasaan mereka terus 'dihujani' cemburu, ia juga satu kurniaan & ujian untuk menguji ketaqwaan. Selagi mana kecemburuan ini digunakan dalam jalan yang dibenarkan oleh Islam; termasuklah dengan meletakkan syarat ta'liq agar suami tidak berpoligami, maka ia satu bentuk kesyukuran. Alhamdulillah.^_^

'Golongan kedua' yang saya maksudkan, mempunyai rasa cemburu cuma tidak terlalu tinggi (atas sebab yang pelbagai; antaranya disebabkan sifat semulajadinya atau mungkin kecemburuannya tinggi namun dengan usaha mengawal cemburu & menyibukkan diri dengan urusan lebih penting dll) sehingga mereka mampu menggalakkan suami berpoligami.. dan kecemburuan yang tidak terlalu tinggi ini tidaklah dianggap sebagai satu kelebihan yang memuliakan seorang manusia, apatah lagi untuk mengatakan mereka ini lebih mulia daripada para isteri Nabi s.a.w. Kerana sesungguhnya kemuliaan itu hanya diukur dengan Taqwa, dan kadar Taqwa seseorang itu hanya diketahui oleh Allah dan boleh diperakui oleh Allah. Alhamdulillah^_^,

Contoh wanita bertakwa

Sebagaimana Maryam, Khadijah, Fatimah, dan Isteri Firaun (biasanya dikenali sebagai Asiah) telah diperakui oleh Allah & RasulNYA sebagai wanita paling bertakwa (dan mereka tidak diuji dengan poligami tetapi diuji dengan pelbagai ujian lain yang lebih berat yang membuktikan ketaqwaan mereka serta mengangkat martabat mereka sebegitu tinggi), begitu juga para isteri Nabi diperakui sebagai wanita yang bertakwa (dan mereka diuji dengan poligami dan pelbagai ujian lain sehingga mengangkat martabat mereka lebih tinggi daripada para muslimah lain), Alhamdulillah.^_^

Apapun, apa yang ingin saya tekankan di sini, kemuliaan mereka yang amat tinggi tersebut adalah atas dasar ketaqwaan mereka dan bukan kerana mereka berpoligami atau tidak.^_^

Berkenaan kisah cemburu para isteri Rasulullah s.a.w. jelas menunjukkan kadar cemburu yang berbeza terhadap individu yang berbeza. Kecemburuan yang tidak terlalu tinggi antara Aishah r.a. & Hafsah r.a. sehingga mereka berdua boleh berkongsi rahsia. Namun, kecemburuan yang tinggi berlaku antara Aishah r.a. dan Zainab al-Jahsyi, tetapi kecemburuan ini kecemburuan fitrah yang tidak menjejaskan ketaqwaan mereka.

Contohnya: Hadis berkenaan Berita bohong (al-Ifk) Bukhari :: Book 3 :: Volume 48 :: Hadith 829

Narrated by Aisha r.a.
Allah's Apostle also asked Zainab bint Jahsh (i.e. the Prophet's wife about me saying, 'What do you know and what did you see?' She replied, 'O Allah's Apostle! I refrain to claim hearing or seeing what I have not heard or seen. By Allah, I know nothing except goodness about Aisha." Aisha further added "Zainab was competing with me (in her beauty and the Prophet's love), yet Allah protected her (from being malicious), for she had piety (Taqwa)."
(http://www.quranexplorer.com/hadith/English/index.html)

Ini menunjukkan wujudnya perbezaan kadar rasa cemburu antara wanita, dan ini adalah fitrah cemburu. Berbeza daripada individu kepada individu. Bahkan jelas bahawa Taqwa itulah yang utama, alhamdulillah^_^

Berdasarkan sedikit sebanyak pengalaman saya bersahabat dengan golongan kedua, mereka juga punya rasa cemburu, namun kecemburuan itu tidak menghalang mereka untuk menggalakkan suami berpoligami (dan ini bukan menjadikan mereka lebih mulia daripada wanita lain, kerana apa yang penting ialah Taqwa..) ^_^.

Kenapa menggalakkan suami berpoligami kalau rasa cemburu ye?? Soalan itu pernah saya utarakan kepada beberapa orang sahabat saya daripada golongan kedua. Jawapannya sangat panjang dan apa yang penting ialah setiap wanita yang berada dalam golongan kedua pasti ada sebab tersendiri untuk menggalakkan poligami dan ia banyak dibincangkan oleh para wanita dalam blog ini: http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

Namun sekali lagi saya nyatakan bahawa ketiga-tiga golongan yang saya sebutkan sebelum ini; sama ada yang menggalakkan monogami, atau yang menggalakkan poligami, atau yang rela berpoligami daripada bercerai, ketiga-tiga golongan ini bagi saya sama sahaja, yang menambahkan kemuliaan mereka adalah Taqwa.. Semoga Allah menjadikan kita semua hamba-hambaNYA yang bertaqwa..ameen..^_^

Cemburu itu Fitrah

Saya amat bersetuju bahawa soal cemburu itu fitrah.. Tiada manusia yang tidak cemburu.. Begitu juga wanita..
Namun, kadar cemburu ini berbeza atas setiap individu berbeza, dan kadarnya juga berbeza daripada individu kepada individu yang berbeza..

Cuma..bukanlah kadar/ukuran kemuliaan sesorang itu pada kadar cemburu, bukanlah juga kadar/ukuran kecintaan seseorang itu pada kadar cemburu, sesungguhnya ukuran kemuliaan dan kecintaan itu adalah Taqwa..

Kecintaan Nabi s.a.w. kepada orang-orang yang dicintai baginda seperti Khadijah r.a., Fatimah r.a., Aishah r.a., bukanlah atas dasar tahap cemburu, namun ia adalah atas dasar Taqwa..

Wanita yang menggalakkan monogami dan meletakkan syarat ta'liq agar suami tidak berpoligami boleh jadi bertaqwa kerana niat mulianya untuk mendapat Redha Ilahi, boleh jadi juga tidak bertaqwa kerana niat buruknya yang tersembunyi..

Wanita yang menggalakkan poligami boleh jadi bertaqwa kerana niat mulianya untuk mendapat Redha Ilahi, boleh jadi juga tidak bertaqwa kerana niat buruknya yang tersembunyi.. (contohnya agar orang lain mengatakan dia wanita hebat kerana sanggup berpoligami).

Wanita yang rela hidup berpoligami daripada hidup sendiri atau bercerai boleh jadi bertaqwa kerana niat mulianya untuk mendapat Redha Ilahi, boleh jadi juga tidak bertaqwa kerana niat buruknya yang tersembunyi..

Dan Taqwa itu, biarlah Allah SWT sahaja yang mengukurnya..

ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم

Surah al-Hasyr: Ayat 10, maksudnya: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau jadikan rasa kedengkian dalam hati-hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang..

آمين يا رب العالمين

Thursday, August 25, 2011

PEMBEDAHAN PLASTIK: PERUBATAN ATAU KECANTIKAN



Sudah menjadi fitrah manusia dan sifat semulajadinya; suka akan kecantikan dan ingin kelihatan cantik. Oleh itu, Islam tidak melarang umatnya daripada berhias dan mencantikkan diri, selagimana ia tidak melampaui batasan syariat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai anak cucu Adam! Pakailah perhiasanmu (pakaianmu yang bagus) pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan melampaui batas. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan milik Allah yang telah Dia sediakan untuk hamba-hamba-Nya dan rezeki yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang-orang beriman dalam kehidupan dunia, dan khusus (buat mereka) pada hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui” (al-A’raf: 31-32).

Namun, persoalannya sekarang; adakah menjalani pembedahan plastik untuk menjadi cantik dibenarkan dalam Islam? Adakah mencantikkan diri melalui pembedahan plastik dianggap melampaui batasan syariat? 

Jawapannya; tidak semua pembedahan plastik yang dibuat untuk mencantikkan diri dianggap melampaui batasan syariat. Pembedahan plastik yang tidak melampaui batas dibenarkan dalam Islam. Hanya pembedahan plastik dengan tujuan menjadi cantik yang melampau sahaja yang diharamkan dan dilarang dalam Islam demi mejaga kebajikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. 

Malah, pembedahan plastik ini sebenarnya adalah suatu proses kecantikan yang sudah berkembang sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. 

Antara bentuk pembedahan plastik yang jelas dibenarkan sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan untuk menghilangkan aib daripada badan dan wajah akibat kemalangan atau penyakit atau yang wujud sejak lahir. 

Contohnya membuat hidung daripada emas dan perak untuk menggantikan hidung yang telah cacat, seperti yang dilakukan oleh seorang sahabat yang bernama ‘Arfajah bin As’ad r.a. Hidung beliau telah cacat ketika peperangan, maka beliau telah membuat hidung daripada perak, lalu keluar bau yang kurang menyenangkan, maka Nabi s.a.w. pun bersabda: “Kenapa kamu tidak menggunakan hidung daripada emas?” (riwayat at-Tirmizi). 

Manakala, bentuk rawatan kecantikan yang dilarang sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan melampau yang mengubah ciptaan Allah s.w.t. dan menipu manusia. 

Antara contoh rawatan kecantikan yang dilarang ini ialah perbuatan melukis tatu pada badan, membuang bulu roma yang tidak menimbulkan aib, merenggangkan gigi dan apa-apa bentuk rawatan kecantikan yang membawa kepada pengubahan ciptaan Allah s.w.t. dan penipuan.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu, orang yang membuang bulu roma dan orang yang meminta bulu roma dibuang, serta orang yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik (secara melampau) yang mengubah ciptaan Allah” (riwayat Muslim).  

Disebabkan pembedahan plastik pada hari ini sudah semakin moden dan canggih, maka amat penting untuk kita mengetahui apakah bentuk pembedahan plastik moden yang dibenarkan dalam Islam? Dan apakah pula bentuk pembedahan plastik melampau yang diharamkan dalam Islam?  Jawapan kepada persoalan ini boleh dilihat daripada segi tujuan dan kesan pembedahan plastik ini.

Pertama, pembedahan plastik yang tidak melampau yang dibenarkan dalam Islam

Tujuan pembedahan plastik ini adalah untuk mencantikkan mana-mana bahagian badan akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir. 

Misalnya; telinga yang terlalu besar yang diluar kebiasaan, hidung yang senget, terlebih jari tangan atau kaki, bibir yang sumbing, dan apa-apa keaiban yang terdapat pada muka dan badan yang menarik perhatian ramai lalu menyebabkan seseorang merasa malu dan hilang keyakinan diri. 

Oleh itu, sekiranya seseorang dilahirkan dalam keadaan bibir yang sumbing misalnya, maka Islam membenarkannya untuk menjalani pembedahan plastik bagi mencantikkan bibir. Begitu juga, bagi wanita yang mengidap kanser payudara lalu payudaranya terpaksa dibuang, maka Islam membenarkan wanita ini untuk menjalani pembedahan plastik untuk menggantikan payudaranya. Malah, sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan muka seseorang melecur, maka Islam membenarkannya menjalani pembedahan plastik untuk mencantikkan bahagian muka yang melecur. 

Asas kepada bentuk pembedahan plastik yang dibenarkan dalam Islam ini ialah:

1. Pembedahan plastik ini bertujuan untuk kembali kepada fitrah asal ciptaan Allah s.w.t. yang sememangnya cantik dan indah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (at-Tin: 4). 

2. Pembedahan plastik ini juga memberi kesan yang positif kepada pesakit dengan menghilangkan rasa segan dan tekanan perasaan  akibat kecacatan yang dialami.

3. Pembedahan plastik ini ialah suatu bentuk pembaikpulihan serta pengubatan, dan bukannya suatu bentuk pengubahan kepada ciptaan Allah s.w.t. Sebagaimana orang yang demam diberi ubat demam untuk pulih, begitulah juga orang yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, atau penyakit, atau sejak lahir dipulihkan dan diubati melalui pembedahan plastik ini.

Oleh itu, seseorang yang ingin menghilangkan kecacatan dan keaiban (akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir) melalui pembedahan plastik, pesakit mestilah memastikan bahawa pembedahan yang akan dijalani selamat, tidak membahayakan diri, serta tidak memberikan kesan yang lebih buruk berbanding dengan apa yang dihadapinya sekarang. 

Begitulah luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang membenarkan pembedahan plastik ini bagi memastikan ketenangan hidup manusia agar kita tidak merasa tertekan dengan kecacatan dan keaiban yang dialami. 

Namun begitu, amat penting untuk diingati bahawa sebarang keaiban yang berlaku secara semulajadi dan tidak dianggap sebagai suatu bentuk penyakit oleh pakar perubatan, maka Islam melarang sama sekali untuk kita menjalani pembedahan plastik bagi menghilangkan keaiban tersebut.

Contohnya, apabila muka kita berkedut akibat proses penuaan, maka kita tidak dibenarkan menjalani pembedahan plastik untuk menghilangkan kedutan tersebut. Begitu juga, apabila payudara seorang wanita mengendur akibat usia yang semakin meningkat, maka Islam melarangnya daripada menjalani pembedahan plastik terhadap payudaranya. Ini kerana perbuatan menghilangkan keaiban akibat proses semulajadi melalui pembedahan plastik termasuk dalam pembedahan plastik  bahagian kedua yang melampau dan tidak dibenarkan dalam Islam.

Kedua, pembedahan plastik yang melampau yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Antara bukti luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t maka Dia telah mengharamkan pembedahan plastik melampau yang memberikan kesan negatif yang besar terhadap manusia itu sendiri. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan segala perbuatan keji yang terlihat dan yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan melampau tanpa alasan yang benar, dan perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu sedangkan Dia tidak menurunkan alasan untuk itu, dan (Dia mengharamkan) kamu membicarakan tentang Allah dengan apa yang tidak kamu ketahui” (al-A’raf: 33).

Pembedahan plastik dianggap melampau disebabkan dua keadaan: 

Pertama, apabila tidak terdapat sebarang kecacatan atau keaiban pada diri seseorang yang diiktiraf oleh pakar perubatan, namun seseorang itu tetap melakukan pembedahan plastik ini. 

Kedua, apabila keaiban yang berlaku adalah akibat proses penuaan yang berlaku secara semulajadi, dan seseorang itu menjalani pembedahan plastik demi menghilangkan tanda-tanda penuaan. 

Dengan kata lain, sekiranya keaiban yang terjadi bukan disebabkan  kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir, maka hukum menjalani pembedahan plastik ini adalah haram sama sekali.

Ini kerana, pengharaman ini mempunyai hikmah dan rahsianya yang tersendiri, dan asas kepada pengharaman pembedahan plastik yang melampau  ini ialah:

1. Pembedahan plastik dijalankan dengan melukakan anggota badan seseorang, jadi sebarang bentuk perbuatan yang melukakan anggota badan pada asalnya adalah haram. 

2. Pembedahan plastik ini mengubah ciptaan Allah s.w.t.

3. Pembedahan plastik ini merupakan satu bentuk penipuan.

Antara contoh pembedahan plastik haram yang semakin banyak dilakukan adalah seperti pembedahan plastik untuk memancungkan hidung, menegangkan kulit, membesarkan payudara, menukar warna kulit, menukar jantina, dan sebagainya… 

Sayang sekali, pada zaman yang semakin moden ini, ramai yang lupa bahawa adalah mustahil bagi manusia untuk kekal muda dan cantik di dunia yang sementara ini. Syaitan telah membisikkan cita-cita dalam hati manusia untuk menjadi cantik dengan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Maka, bertambah ramai manusia yang amat mementingkan kecantikan luaran sehingga banyak wang dibazirkan demi menjalani pembedahan plastik yang diharamkan oleh Islam, yang mengubah ciptaan Allah s.w.t., yang menipu dan membohongi diri sendiri dan orang lain. 

Iblis dan syaitan telah menipu mereka sebagaimana yang digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud: 
“dan syaitan berkata: dan aku pasti akan mengambil bahagian tertentu daripada hamba-hamba-Mu, dan aku pasti akan menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong dalam diri mereka, dan pasti aku akan menyuruh mereka memotong telinga-teling binatang ternak, dan aku pasti akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah (lalu mereka akan mematuhinya). Barang siapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia telah menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu terus-menerus memberikan janji-janji kosong kepada mereka dan membangkitkan angan-angan dalam diri mereka, padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan penipuan semata-mata” (an-Nisa’: 118-120).    
   
Oleh itu, andai ada di antara kita yang terlibat dalam pembedahan plastik melampau, atau mempunyai keinginan untuk menjalaninya, atau mengenali sesiapa yang terlibat dengan pembedahan plastik melampau ini… Sedarlah, dan sedarkanlah mereka bahawa pembedahan plastik melampau ini hanya akan menipu diri sendiri, menyebabkan diri sendiri menyangka bahawa dirinya semakin muda, semakin cantik, semakin dipuji dan dipuja, lalu terus alpa dan leka dalam kehidupan dunia yang sementara… 

Marilah kita perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam (manusia) agar kamu tidak menyembah syaitan (dengan mematuhi bisikannya)? Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata bagimu” (Yasin: 60). 

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk menyedarkan mereka yang tertipu dan memberi jawapan kepada persoalan yang dibisikkan oleh syaitan yang sering bermain di fikiran mereka, seperti;  adakah salah untuk menukar jantina atau menukar bahagian badan sendiri atau kelihatan muda sentiasa?  Bukankah ini badan saya? Sayalah yang menanggung akibatnya? Kenapa perlu ada orang lain yang campur tangan? Saya tahu siapa saya dan apa yang saya mahu dan apa yang terbaik buat diri saya… 

Syaitan telah menjadikan mereka lupa bahawa anggota badan mereka ialah milik Allah, amanah Allah kepada manusia, dan syaitan menjadikan mereka lupa bahawa Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaan-Nya. 

Dialah yang menjadikan seseorang itu lelaki atau wanita, hitam atau putih, muda dan kemudiaanya tua, dengan pelbagai bentuk dan rupa… dengan penuh rahmat, hikmah, dan sebagai ujian daripada-Nya. Pastilah Dia yang Maha Pencipta lebih mengetahui apa yang terbaik buat makhluk ciptaan-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu menurut ukuran” (al-Qamar: 48).

Andai ada yang sudah terlanjur menjalani pembedahan plastik yang dilarang ini, andai yang lelaki sudah bertukar seolah-olah wanita, wanita seolah-olah lelaki, tua seolah-olah muda, dan seumpamanya… maka selagi hayat masih ada, maka pintu taubat masih terbuka. 

Bertaubatlah, dengan menyesali segala dosa. Sedarlah bahawa kecantikan yang abadi dan hakiki hanya dapat diperolehi di syurga nanti. Sediakanlah bekal dengan melakukan amal soleh, dan menjauhi segala dosa. 

Ingatlah bahawa dalam kehidupan dunia yang sementara ini, tiada kecantikan yang akan kekal. Semuanya akan musnah dan kembali menjadi tanah. 

Carilah para Ulama’ yang diyakini dapat membantu kita mengenali diri sebagai hamba-Nya, pergilah ke masjid-masjid, ke majlis-majlis ilmu, kerana ilmu itu ialah cahaya-Nya yang dapat melenyapkan kejahilan dan kesesatan, dan berdoalah kepada-Nya agar memudahkan segala usaha kita ke arah mencapai keampunan dan redha-Nya.

Marilah kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. (iaitu) orang yang membelanjakan harta (besedekah), ketika waktu lapang dan sempit, orang-orang yang menahan dirinya daripada marah, orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain, dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka kembali mengingati Allah, lalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya, dan siapakah lagi yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal” (Ali Imran: 133-136). 




Saturday, August 6, 2011

CINTA DAN POLIGAMI

Poligami 
sememangnya menyakitkan hati isteri, 
tapi 
andai suami yang dicintai lagi diyakini 
ingin menikah lagi,
tegakah diri ini 
meminta perpisahan
setelah sekian lama 
berkongsi serba-serbi, 
sanggupkah hati ini kehilangan 
orang yang dikasihi..
ini bukan soal poligami atau monogami,
tapi ini soal cerai atau poligami..
kuimbau kenangan lalu 
sebelum bernikah dulu
sanggupkah diriku 
meletakkan syarat 
agar diri ini 
diceraikan 
jika orang yang kukasihi 
lagi kuyakini dan kuhormati 
ingin menikah lagi, 
bagai ada tanda sangsi dalam diri..
bagai ada nada sinis buat bakal suami 
yang mungkin tidak akan pernah berpoligami..
cerai atau poligami, 
yang mana satukah pilihan hati? 
berteraskan iman dalam diri 
atau sekadar memuaskan emosi diri? 

Alkisah...

Kalau saya letakkan syarat: "kalau abang kahwin lain ceraikan saya..saya tak kisah abang nak kahwin lain, tapi ceraikan saya"..

Apa yg saya syaratkan ini sebenarnya hanya sebagai ugutan dan 'drama merajuk saya' sahaja, supaya suami tidak kahwin lain. Tapi dalam masa yg sama, saya tahu saya lebih sanggup berpoligami daripada bercerai. Maklumlah, memikirkan dia suami yang baik dan mampu.. cuma kalau boleh poligami tu 'is the last choice' lah kan..

Kalau suami saya ikut pujukan saya dan melafazkan: "Ok, kalau abang kahwin lain, isteri abang ni automatik akan tertalaq!"

Erk, terkejut saya!  Memikirkan lafaz ini, takut pula saya kena cerai ta'liq..bukan kerana saya terlalu bergantung kepada suami serta bukan kerana saya melebihkan cinta suami di atas cinta Allah dan Rasul..cuma saya tahu, sayalah yang akan rugi kehilangan suami sepertinya, lagi-lagi memikirkan anak-anak yg amat menyayanginya..

Alhamdulillah, ustazah Fatimah Syarha dalam blog beliau (sebarkan bahagia) dah berikan jawapannya, cara lafaz syarat ta'liq tu kena ada perkataan "tanpa kerelaan isteri", ^_^ hehe..tak terfikir pula saya perkataan 'magic' ni. Jadi, contoh syarat ta'liq yang baik, "Saya berjanji jika saya berkahwin lagi tanpa kerelaan isteri saya, maka jatuhlah talaq satu ke atas isteri saya itu." Daripada syarat ini,jika isteri 'rela' suami bernikah lagi, maka talaq tidak jatuh ke atasnya. Jika dia 'tidak rela' barulah talaq itu jatuh.

Apapun saya amat tertarik dan bersetuju dengan kesimpulan ustazah:
"Namun, hak berpoligami atau tidak adalah hak individu yang kedua-duanya patut diraikan kerana kedua-duanya mempunyai maslahah masing-masing. Wallahua'lam."
Yusuf al-Qaradhawi walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat yang menyeru kepada mengharamkan poligami. Biarlah hukumnya kekal harus, bukan haram kerana melihat kepada maslahat yang pelbagai.
-Orang yang mahu melakukan poligami perlu berkeyakinan mampu berlaku adil tanpa khuatir terjatuh dalam kezaliman seperti keterangan surah al-Nisa’, ayat 3.
-Isteri pertama memiliki kemaslahatan agar tiada yang mengganggu suami dan keluarganya, maka dia ada hak menolak untuk dimadu.
-Suami memiliki kemaslahatan takut terjebak ke dalam zina dan kemaslahatan bagi mendapatkan zuriat, maka dia ada hak dalam isu poligami.
-Isteri kedua memiliki kemaslahatan untuk tidak hidup menjadi anak dara tua ataupun menjanda, maka dia juga ada hak dalam isu poligami.
-Begitu juga masyarakat, mereka memiliki kemaslahatan bagi melindungi warganya, maka mereka ada hak menyokong pernikahan yang bertanggungjawab dan sebaliknya. ~
sebarkan bahagia

Maka yg dapat saya simpulkan kini:
wanita itu 
ada dua golongan
dalam isu poligami. 
golongan pertama ialah mereka
yang secara fitrahnya
amat cemburu,
sangat menjaga hati dan agama mereka,
maka mereka sanggup bercerai
daripada hidup di alam poligami
demi menjaga hati dan agama 
daripada dirosakkan rasa cemburu.
Mereka berasa lebih tenang begitu.
Indahnya Islam!
Islam meraikan situasi mereka, 
dan membenarkan mereka 
 membuat pilihan
untuk melakukan apa yang mereka rasakan
adalah jalan terbaik untuk mereka
mencari Redha Allah s.w.t.

Manakala, golongan kedua 
ialah wanita yang secara fitrahnya 
dapat bersabar hidup berpoligami 
bersama suami tercinta 
demi menjaga hati dan agama mereka 
daripada dirosakkan rasa tamak dan ananiyyah. 
Mereka lebih tenang begitu.
Indahnya Islam!
Islam meraikan situasi mereka, 
dan membenarkan mereka 
membuat pilihan
untuk melakukan apa yang mereka rasakan 
adalah jalan terbaik untuk mereka 
mencari Redha Allah s.w.t. 

Kedua-dua golongan ini 
wujud sejak zaman Salafussoleh.. 
Golongan pertama, yang ingin kekal dalam monogami 
ada contoh terbaik 
daripada Khadijah dan Fatimah, r.a. 
yang merupakan model utama 
serta penghulu syurga 
sebagaimana yg dianjurkan oleh Nabi s.a.w. 
yang mana mereka menghembuskan nafas terakhir 
dalam keluarga monogami. 
Golongan kedua pula, 
yang sanggup hidup berpoligami 
ada contoh terbaik
daripada para isteri Nabi, dan isteri para sahabat 
yang mampu bahagia 
dalam keluarga poligami. 

Kedua-dua golongan wanita ini sama sahaja, 
yang menambahkan kemulian mereka 
hanyalah Taqwa kepada Allah s.w.t. 
Siapa antara kita yang lebih mulia? 
Hanya Allah yang Maha Tahu. 
Kerana kemuliaan seorang wanita 
bukanlah diukur dengan kesanggupannya berpoligami 
atau tidak.. 
Alhamdulillah 
Islam meraikan
kedua-dua golongan ini 
dengan kesesuaian fitrah masing-masing ^_^..

SAYA AMAT MENCINTAINYA. ADAKAH PERBUATAN SAYA INI SALAH??

Apakah jawapan terbaik yang dapat Ummu Nuh berikan untuk adik (saudara seIslam) Ummu Nuh. Entah mengapa bila membaca soalan ini, terbit rasa kasihan serta rasa sayang buatnya:

"SAYA SEORANG PEREMPUAN YANG BERUSIA 26 TAHUN DAN SEDANG BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG...SAYA SUDAH BERSAMANYA 3 TAHUN....DIA CAKAP AKAN MENGANWINI SAYA..TAPI SAYA XTAHU BILA...SAYA AMAT MENCINTAINYA..ADAKAH PERBUATAN SAYA INI SALAH????PERITKAH MENJADI ISTERI KEDUA???"

Hanya jawapan ini yang mampu Ummu Nuh berikan:

Sesungguhnya wahai adikku..  Kakakmu ini menyayangimu. Semoga Allah menjadikan kasih dan sayang yang terbit ini hanya keranaNYA. Andai dirimu berada di sisiku tika ini, pasti kuusap lembut ubun-ubunmu. Memelukmu untuk meredakan resah hatimu. Kerana di hati kakak, kakak ingin melihat dirimu bahagia, tenang dan damai. Dan ketahulah adikku, kebahagiaan, ketenangan, dan kedamaian itu hanya akan diperolehi dengan meminta & merintih kepada Ilahi, mengikut petunjuk serta hidayahNYA, mengikut aturan dan jalanNYA, kerana Dia Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani kepada hamba-hambaNYA..

Alhamdulillah kan dik? Kita ini MUSLIM dan MUSLIM itu bermaksud orang yang berserah diri kepadaNYA.. kepada cara hidupNYA.. dan semuanya boleh adik dapati dalam al-Qur'an.. Bacalah al-Qur'an sambil menghayati terjemahannya. Semoga ia menenangkan dirimu.

Adikku, kakak tidak tahu sejauh mana perhubunganmu dengan 'suami orang' yang diceritakan ini. Apapun, akak doakan semoga dia segera mengahwini dan menikahi adik. Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap janji manis yang ditaburkan.

Kuatkan dan tabahkan dirimu untuk menilai; adakah lelaki itu benar-benar mencintaimu? Tahukah adik, apakah penilaian yang tepat untuk mengetahui bahawa lelaki itu mencintai adik? Penilaian yang tepat adalah dengan menilai, adakah lelaki itu membawa adik hampir kepada redha Allah dan syurgaNYA? Ataukah dia hanya menjadikan adik alat untuk berhibur lalu membawa adik bersamanya kepada murka Allah dan nerakaNYA? (kita minta dijauhkan Allah daripada murka dan nerakaNYA)

Adikku, nilailah adikku. Semoga Allah melimpahkan cahayaNYA kepada adik untuk melihat kebenaran. Melihat yang batil itu sebagai batil dan yang hak itu sebagai hak.

Adikku, ketahuilah, cinta yang diredhai Allah itu menenangkan jiwamu. Menjadikan hatimu terasa amat bahagia kerana dirimu berada dekat dengan redhaNYA..


Namun, cinta nafsu itu adalah satu ketagihan yang menderitakan. Ibarat penagih dadah yang amat mencintai dadahnya. Atau ibarat penagih rokok yang mencintai rokoknya. Dia bahagia dan amat 'setia' dengan ketagihannya sehingga memusnahkan diri sendiri. Maka, perhatikanlah adik, di mana letaknya cintamu itu..


Andai cintamu itu mendamaikan hatimu, maka syukur alhamdulillah..


Namun, andai ia menderitakan jiwamu, menjadikan jiwamu sempit, terhiris, pedih, bagai dipanah dan ditikam-tikam..Maka berjuanglah adik! Berjuanglah untuk membebaskan dirimu daripada belenggu perhambaan kepada cinta selain Allah. Bebaskan dirimu! Merdekakan dirimu! Jadilah hamba Allah yang sebenarnya. Kerana hamba Allah itu bebas merdeka daripada belenggu dunia yang menipu. Manakala, manusia yang ingin merdeka dan bebas daripada menjadi hamba Allah akan menjadi hamba nafsu, iblis, syaitan, harta, dan segala benda yang akan membinasakan. Kerana Iblis dan syaitan itu musuh manusia, membenci manusia, menginginkan kemusnahan abadi buat manusia agar bersamanya dalam murka dan neraka.

Sedangkan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Dia memberi kita kebebasan untuk memilih.. dan bersamanya ada tanggungjawab..ada kesannya. Dia menganugerahkan UtusanNYA para Rasul dan utusan terakhir ialah Nabi Muhammad s.a.w. bersama mukjizat al-Qur'an, yang mengandungi petunjuk buat kita semua. Ikutilah petunjukNYA, maka pasti kita bahagia. Manakala orang yang berpaling & membenci petunjukNYA, maka mereka itulah orang-orang yang celaka..


Adikku, senyumlah! Hitunglah nikmat-nikmat Tuhan buatmu! Mungkin tika ini ujian menimpamu, tapi tetaplah bersyukur dan bersabar! Berjuanglah, jangan berputus asa! Jangan pernah berputus asa daripada keampunan dan rahmat Allah..tapi berputus asalah daripada dosa dan janji manis Iblis dan syaitan. Kerana syaitan itu sering membisikkan kepada manusia: "Berbuatlah dosa, nanti kemudian kau bertaubat!" Namun setelah manusia pendosa jatuh ke dalam dosa, syaitan membisikkan dengan penuh licik: "Berputus asalah engkau! Engkau memang manusia pendosa!" Usah percaya pada bisikan syaitan yang menipu. Adikku, usah biarkan dirimu diketawakan Iblis dan syaitan ketika melihatmu menangis.  Untuk itu, sentiasalah dekatkan dirimu dengan ilmu dan para guru yang solehah. Semoga Allah membantumu..ameen.

Ketahuilah adikku, setiap yang bernama insan itu pasti diuji. Kakak dengan ujian kakak, adik dengan ujian adik. Selagi bernafas, kita sentiasa diuji. Maka berjuanglah adikku! Mari kita sama-sama berjuang! Biarpun kalah, kalah, kalah, menang, kalah, menang, menang kembali! Satu perjuangan yang berterusan.. Apa yang penting jangan berputus asa, dan sentiasalah meminta bantuan Ilahi.. Kakak sentiasa mendoakan kebahagiaan buatmu di dunia dan di akhirat.. ameen.. ^_^


Semoga bermanfaat..

Adikku, mungkin laman-laman web/blog ini juga dapat membantumu, insya Allah:

mencari cinta Ilahi

langit Ilahi



Friday, August 5, 2011

DIVORCE, POLYGAMY AND WOMEN IN ISLAM



There are two types of women
in facing polygamy and divorce:
First type are those
who cannot bear their jealousy
due to their nature
due to protect their Deen
willing to stay away from the harm of jealousy
willing to sacrifice their husband for a peaceful heart
they feel better to ask for divorce
than to live in a polygamous family
Islam allows them to do as they wish
Islam allows them to choose 
whatever they feel better for them
as this is their nature
and Allah knows the best!

Second type are those
who can bear their jealousy
they feel better to stay in a polygamous family
than to live separately after divorce
due to their nature
feeling deep love for their husband
willing to share
willing to sacrifice
with a peaceful heart
Islam allows polygamy for them
Islam allows them to choose
whatever they feel better for them
as this is their nature
and Allah knows the best!

These two types of women
have their models in Islam
Fatimah the daughter of the Prophet
is the best model of the first type
who stay in a monogamous family
until her last breath.
Wives of the Prophet
are the best models of the second type
who stay in a polygamous family
until the Prophet's last breath.

No offence
Both types are in their own special ways
to achieve the pleasure of Allah
Islam gives freedom for them
Islam understands their needs
Honoring them with the complete regulations
due to their natures..

Asking Divorce
in order to stay in a monogamous family
or
Asking Just
in order to stay in a polygamous family
it is their choice!
Alhamdulillah!


Saturday, July 30, 2011

TEMPOH IDDAH WANITA DAN HUKUMNYA


IDDAH & IHDAD ~ المفصل في أحكام المرأة والبيت المسلم ج9

Definisi Iddah

Definisi iddah menurut istilah: Suatu tempoh tertentu yang ditetapkan oleh Syara’ ke atas wanita yang mesti dipatuhi hukum-hakamnya setelah berlaku perpisahan antara suami isteri.

Dalil pensyariatan iddah
Hukum iddah adalah wajib menurut al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijma’.
Al-Qur’an:
Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru' (al-Baqarah: 228).
Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari (al-Baqarah: 234).
Dan perempuan-perempuan yang putus haidh (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haidh. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya (al-Thalaq: 4).
Al-Sunnah: Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa hukum iddah itu wajib, antaranya sabda Nabi s.a.w. kepada Fatimah bt Qis: “Ber’iddahlah kamu di rumah Ibn Ummi Maktum”.
Ijma’: Seluruh umat telah bersepakat bahawa hukum iddah itu wajib.

Iddah dalam Pernikahan yang Sah
1. Iddah ketika hayat suami.
2. Iddah kematian suami.

1. Iddah ketika hayat suami.
- Penting untuk diingatkan bahawa tiada iddah yang diwajibkan ke atas isteri jika perpisahan terjadi ketika hayat suami sebelum adanya persetubuhan antara suami dan isteri tersebut. Firman Allah s.w.t.:
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka 'iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya (al-Ahzab: 49).
- Perpisahan selepas berlaku persetubuhan mewajibkan iddah: Perpisahan yang berlaku ketika hayat pasangan setelah adanya persetubuhan mewajibkan isteri ber’iddah. Ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang telah disebutkan di atas.
2. Iddah kematian suami.
Firman Allah s.w.t.:
Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari (al-Baqarah: 234).
- Seluruh Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa iddah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari adalah wajib ke atas isteri sama ada kematian tersebut berlaku setelah persetubuhan atau sebelum persetubuhan.
- Seluruh Ulama’ juga bersepakat mengatakan bahawa jika kematian suami terjadi ketika isteri masih berada dalam tempoh ‘iddah talak ruj’ii maka isteri tersebut wajib ber’iddah dengan iddah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari.
- Manakala, seorang wanita yang berada dalam tempoh iddah talak ba’in tidak perlu ber’iddah dengan iddah 4 bulan 10 hari kerana antara mereka sudah tidak wujud hubungan suami isteri.

Iddah quru’
Firman Allah s.w.t.:
Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru' (al-Baqarah: 228).
‘Wanita-wanita yang ditalak’ dalam ayat di atas ialah mereka yang ditalak setelah berlakunya persetubuhan serta tidak hamil dan masih mempunyai kitaran haidh.

Maksud quru’
Ulama’ berbeza pendapat mengenai maksud quru’ kepada dua; suci atau haidh.

Pendapat pertama: Quru’ ialah suci
Ulama’ yang berpendapat bahawa maksud quru’ ialah suci adalah Imam Malik, Imam Syafie, majoriti Ulama’ Madinah dan Abu Thur.

Pendapat Kedua: Quru’ ialah haidh
Ulama’ yang berpendapat bahawa maksud quru’ ialah haidh adalah Imam Abu Hanifah, Imam al-Thawri, Imam al-Awza’I, dan Imam Ibn Abi Laila serta mazhab Hanbali.

Tempoh masa iddah quru’
Ulama’ sepakat mengatakan bahawa tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan setelah adanya persetubuhan dan mempunyai kitaran haidh ialah 3 kali quru’, bagi yang berpendapat quru’ ialah suci, maka tempoh iddah ialah 3 kali suci, manakala yang berpendapat quru’ ialah haidh, maka tempoh iddah ialah 3 kali haidh.

Tempoh iddah bagi Khulu’
Ulama’ berbeza pendapat berkenaan tempoh iddah bagi khulu’ (wanita menebus diri dengan bayaran kepada suami) kepada dua pendapat; majoriti Ulama’ seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ibn Qudamah, mengatakan tempoh iddah bagi khulu’ adalah sama dengan tempoh iddah bagi cerai/talak. Pendapat kedua seperti Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn al-Qayyim mengatakan tempoh iddah bagi khulu’ ialah satu kali haidh.

Iddah 3 bulan  
Dan perempuan-perempuan yang putus haidh (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haidh (al-Thalaq: 4).

Siapakah wanita yang putus haidh (menopause)?
Wanita yang putus haidh ialah wanita yang telah mencapai satu tahap umur di mana secara kebiasaannya wanita tidak lagi didatangi haidh.

Umur Wanita yang Putus Haidh
Mazhab Hanafi: 50, 55, 60 tahun, atau lebih.
Mazhab Maliki: Antara 50 hingga 70 tahun.
Mazhab Syafie dan Hanbali: 50, 60,  atau 62 tahun atau mengikut kebiasaan ahli keluarga wanita.

Siapakah gadis yang belum didatangi haidh?
Gadis yang belum didatangi haidh ialah kanak-kanak yang belum datang haidh kerana umur yang masih muda, maka iddahnya ialah 3 bulan.

Iddah Kehamilan
Iddah wanita hamil ialah sehingga wanita tersebut melahirkan kandungannya.
Iddah wanita hamil yang kematian suami
Terdapat 2 pendapat Ulama’ berkenaan iddah wanita yang hamil dan kematian suami.
Jumhur/majoriti Ulama’ mengatakan bahawa iddah wanita tersebut berakhir setelah melahirkan kandungannya. Manakala Ulama’ lain berpendapat iddah wanita tersebut berakhir melihat kepada tempoh masa yang paling lama.

Ihdad/Berkabung

Definisi Ihdad:
Daripada segi bahasa: Ihdad ialah perbuatan meninggalkan wangian dan perhiasan.
Daripada segi istilah: Ihdad ialah perbuatan meninggalkan perhiasan, wangian dan yang seumpamanya kerana iddah kematian suami.

Hukum Ihdad
- Ulama’ sepakat mengatakan hukum ihdad adalah wajib kepada wanita yang kematian suami. Sepanjang iddahnya iaitu 4 bulan 10 hari, wanita tersebut wajib ber’ihdad.
- Namun, ihdad tidak diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan dengan talak ruj’I, bahkan wanita tersebut digalakkan berhias dan memakai wangi-wangian untuk suaminya.
- Manakala, bagi wanita yang berpisah dengan suami dengan talak ba’in, Ulama’ berbeza pendapat; pendapat pertama yang merupakan pendapat jumhur/majoriti ulama’ mengatakan ihdad tidak wajib ke atas wanita tersebut, dan pendapat kedua yang merupakan pendapat mazhab Hanafi dan beberapa orang Ulama’ lain mengatakan bahawa ihdad itu wajib.

Ihdad itu adalah dengan meninggalkan wangian dan perhiasan
1. Meninggalkan wangian dan semua yang berkaitan dengannya
- Maksud ihdad dengan meniggalkan wangian sebagaimana yang didefinisikan oleh mazhab Syafie ialah: Diharamkan ke atas wanita tersebut daripada menggunakan wangian di badan, pakaian, dan makanan. Maka, setiap wangian yang diharamkan ke atas orang yang berihram ketika Haji adalah juga haram ketika ihdad.
- Namun terdapat beberapa perkara yang tidak termasuk dalam wangian yang diharamkan iaitu: membersihkan dan memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu yang disunatkan mencukurnya, mandi dengan air sidir dan lain-lain yang bertujuan untuk membersihkan dan bukan untuk berwangi-wangian.
2. Meninggalkan perhiasan dan segala yang berkaitan dengannya
- Iaitu meninggalkan perhiasan pada badan seperti berinai, bercelak, berbedak, dan segala apa yang digunakan oleh wanita untuk menghias wajah mereka, meninggalkan perhiasan pada pakaian seperti pakaian bewarna; mazhab Syafie menetapkan bahawa semua pakaian yang diwarnakan dengan tujuan perhiasan adalah haram, hanya pakaian yang diwarnakan tanpa tujuan berhias adalah dibenarkan, maka apa-apa warna seperti hitam, hijau atau biru lusuh yang dipakai tanpa niat berhias adalah dibenarkan, serta meninggalkan perhiasan seperti gelang, cincin, dan yang seumpamanya.