Monday, March 18, 2013

Tafsir Ringkas Surah An-Nasr النصر



Surah an-Nasr:

Surah An Nasr terdiri daripada 3 ayat, termasuk golongan surah-surah Madaniyyah yang diturunkan di Mekah sesudah surah At Taubah. Dinamai An Nasr (pertolongan) diambil dari perkataan Nasr yang terdapat pada ayat pertama surat ini.

Isi-isi penting:
Janji bahawa pertolongan Allah akan datang dan Islam akan mendapat kemenangan; perintah dari Tuhan agar bertasbih memuji-Nya, dan meminta ampun kepada-Nya di kala terjadi peristiwa yang menggembirakan.


Sebab turun: Ketika Rasulullah saw. masuk kota Makkah pada waktu Fathu Makkah, dan memperoleh kemenangan maka berbondong-bondonglah kaum Quraisy masuk Islam. Surah ini turun berkenaan dengan peristiwa itu sebagai perintah untuk memuji syukur dengan me-Maha Sucikan Allah atas kemenangannya dan meminta ampunan atas segala kesalahan.


110:11. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -

Apakah pegangan/aqidah kita dalam menghadapi kemenangan?
- Yakinlah hanya Allah Tuhan yang Maha Kuasa untuk memberikan kemenangan. Kita sebagai manusia perlu berusaha mendapatkan kejayaan.
- Orang beriman perlu berusaha mencapai kemenangan dengan mengikut panduan al-Qur’an dan as-Sunnah agar segala usaha membuahkan pahala. Sama ada kita menang atau syahid di jalan-Nya.  
- Kejayaan dan kegagalan adalah ujian hidup di dunia. Ujian untuk melihat, adakah kita bersyukur apabila berjaya? Adakah kita bersabar apabila gagal? Akhirnya, kemenangan hakiki itu adalah apabila memiliki hati yang tenang dan mendapat redha dan syurga Allah di akhirat sana.


110:22. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -
- Ketika Nabi Muhammad s.a.w melihat manusia masuk Islam beramai-ramai, betapa gembiranya baginda, betapa baginda rasa bahagia. Manusia yang dahulunya menentang Islam, kini kembali ke pangkal jalan. Umat Islam yang dahulunya sedikit kini bertambah ramai. Kembali kepada Islam beramai-ramai.
- Ayat ini memberikan kepada kita satu gambaran bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. melihat kemenangan itu adalah apabila manusia kembali kepada Islam. Nabi s.a.w. gembira dan bahagia dengan kebahagian ummat baginda. Kerana tiada kebahagian kecuali dengan Islam.
- Ayat ini juga menyebut Islam sebagai ‘agama Allah’, maka Islam adalah satu-satunya jalan untuk mencapai kebahagiaan dunia & akhirat.


110:33. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.

- Maka Allah s.w.t. sendiri mengajar kita apa yang patut kita lakukan apabila mencapai kemenangan iaitu: bertasbih dengan memuji Tuhan Yang Maha Suci dan meminta ampun kepada-Nya, andai ada terselit rasa bangga, andai ada terselit rasa riya’ dan ‘ujub.
- Kerana syaitan tidak pernah melepaskan peluang untuk membisikkan kata-kata seperti: aku berjaya kerana aku berusaha! Sehingga terlupa ia adalah kurniaan daripada Tuhan yang Maha Kuasa.
- Maka kita memohon keampunan-Nya, dan Dia Tuhan yang Maha Pengampun, terlebih dahulu mengumumkan dalam ayat ini bahawa Dia akan mengampunkan dosa kita kerana Dia Maha Penerima taubat hamba-Nya yang bertaubat/kembali kepada-Nya.
- Begitulah Islam mengajar kita agar sentiasa mengingati Allah s.w.t. dalam senang dan susah, dalam menang dan kalah. Kerana hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

Tafsir sahabat: Sayyidina Umar bin al-Khattab dan Ibnu ‘Abbas r.a. menafsirkan surah ini sebagai tanda kewafatan Nabi s.a.w. di mana Allah s.w.t. sendiri memberitahu Nabi s.a.w. bahawa kewafatan baginda sudah semakin hampir.

Apakah antara perkara yang patut kita rasai setelah membaca surah an-Naas?:
1. Yakin akan pertolongan daripada Allah SWT. Lambat atau cepat, kita hanya berusaha, kerana niat & usaha yang baik itulah yang dikira pahala untuk bekalan ke syurga.
2. Yakin bahawa Islam itu adalah satu-satunya agama yang diterima Allah, maka kita hendaklah perpegang teguh dan sentiasa mencari ilmu untuk terus memantapkan aqidah/pegangan umat Islam.
3. Mencintai & mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat dengan mempelajari sirah baginda dan para sahabat. Tak kenal maka tak cinta.

Antara Sunnah Rasulullah SAW berkaitan surah an-Nasr:

- Nabi s.a.w. banyak membaca: " سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ أَسْتَغْفِرُ اللهِ وَأَتُوبُ إِلَيْه ", dan ketika hari Pembukaan Kota Mekah, Nabi s.a.w. membacanya dengan lebih banyak. Maksudnya: “Maha Suci Allah dan segala pujian baginya, aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.” 


Wednesday, January 2, 2013

Tafsir ringkas surah al-Falaq




Surah al-Falaq

Surah ini mempunyai 5 ayat. Merupakan surah Makkiyah, diturunkan sesudah surat Al Fiil. Nama Al-Falaq diambil dari perkataaan Al-Falaq yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang bermaksud waktu subuh.
Isi penting surah:
Perintah agar kita berlindung dengan Allah s.w.t. dari segala macam kejahatan.

Sebab turun: Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa Rasulullah saw. pernah sakit yang agak parah, sehingga datanglah kepadanya dua malaikat, yang satu duduk di sebelah kepalanya dan yang satu lagi duduk di sebelah kakinya. Berkatalah malaikat yang berada di sebelah kakinya kepada malaikat yang berada di sebelah kepalanya: "Apa yang engkau lihat?" Ia berkata: "Dia kena guna-guna." "Apa guna-guna itu?" "Guna-guna itu sihir." "Siapa yang membuat sihirnya?" Ia menjawab: "Labid bin al-A’syam Alyahudi yang sihirnya berupa gulungan yang disimpan di sumur keluarga Si Fulan di bawah sebuah batu besar. Datanglah ke sumur itu, timbalah airnya dan angkat batunya kemudian ambillah gulungannya dan bakarlah." Pada pagi hari Rasulullah saw. Mengutus Ammar bin Yasir dengan kawan-kawannya. Setibanya di sumur itu tampaklah airnya yang merah seperti pacar. Air itu ditimbanya dan diangkat batunya serta dikeluarkan gulungan itu ada tali yang terdiri atas sebelas simpul. Surah al-Falaq dan an-Nas turun berkenaan dengan peristiwa itu. Setiap kali Rasulullah saw. mengucapkan satu ayat terbukalah simpulnya.
(Penguat hadith ini turut terdapat dalam riwayat Sahih Bukhari).


[قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ]
1. Katakanlah: Aku berlindung dengan Tuhan Yang Menguasai subuh.

- Hanya Allah Tuhan yang Maha Kuasa untuk melindungi diri kita dan seluruh makhluk-Nya.
- Subuh itu hadir setelah malam yang gelap-gelita. Begitu juga ujian hidup bersilih-ganti, dan semakin hebat kesukaran menandakan semakin hampirnya kemudahan sebagaimana apabila semakin pekatnya malam menandakan semakin hampirnya waktu Subuh.


[مِن شَرِّ مَا خَلَقَ]
2. dari kejahatan apa yang telah Dia ciptakan.

- Segala sesuatu bergantung kepada-Nya kerana Dialah yang menciptakan segala sesuatu. Dialah al-Khaliq (الخالِق), dan selain daripada-Nya adalah makhluk (المخلوق).  
-Maka sebagai makhluk dan ciptaan-Nya kepada siapakah kita memohon perlindungan? Hanya Allah Tuhan yang Maha Pencipta, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
- Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi diri, keluarga, masyarakat dan negara contohnya, apa-apa pun yang ingin kita lindungi, kita meletakkan sepenuh harapan kita kepada-Nya. Meyakni dan mempercayai kuasa-Nya. Apapun yang berlaku, kita reda dengan takdir dan ketetapan-Nya.

[وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ]
3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita

- Ayat ini menggambarkan bahawa malam yang gelap gulita itu merupakan masa orang-orang jahat dan segala kejahatan bermula. Ini kerana kejahatan itu bersifat gelap dan tersembunyi.
- Oleh itu, selain berhati-hati di waktu malam dengan langkah-langkah keselamatan, kita mestilah sering berdoa dan membaca surah ini untuk meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. daripada segala kejahatan dan bahaya.


[وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ]
4. dan dari kejahatan wanita-wanita (sihir) yang menghembus pada ikatan-ikatan.

- Ayat ini menggambarkan kejahatan sihir yang mana kaum wanita melebihi kaum lelaki dalam bab ini. Ini kerana wanita mempunyai fizikal yang lemah dan emosi yang tinggi. Maka, selalunya ketidak puasan hati menyebabkan mereka menggunakan sihir. Berbeza dengan lelaki yang menunjukkan ketidakpuiasan hati selalunya menggunakan pergaduhan fizikal.
 

[وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ]
4. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki.

- Dengki/hasad itu bermaksud apabila seseorang membenci nikmat yang diberikan kepada orang lain dan selalu berharap agar nikmat itu hilang.
- Orang yang dengki sanggup melakukan apa sahaja agar orang yang didengkinya merana.
- Oleh itu, Allah s.w.t. mengajar kita agar meminta pertolongan dan perlindungan kepada-Nya kerana hanya Dia yang Maha Berkuasa untuk melindungi makhluk-Nya daripada segala bahaya.

Antara Sunnah Rasulullah SAW berkaitan surah al-Falaq:
1. Membaca surah al-Falaq 3 kali sebelum tidur (bersama surah al-Ikhlas dan an-Nas)
2. Membaca surah al-Falaq 3 kali di waktu pagi dan petang (bersama surah al-Ikhlas dan an-Nas)
3. Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas dalam rakaat terakhir witir.


 Usah berdengki kerana dunia ~