Sunday, November 27, 2011

Layanan

Kebaikan seseorang
tergambar pada lembutnya layanan
sesama makhluk Tuhan

Perasaan kasihan
pada yang lemahnya
seekor kucing yang kehujanan
atau anjing yang kelaparan
semuanya makhluk Tuhan..

Mereka yang tidak mengasihi yang di bumi,
pasti tidak dikasihi yang di langit
mengasihi maka pasti dikasihi
mencintai maka pasti dicintai




Syukur

"Syukur Alhamdulillah" Ungkapan itu bergema.
Seluruh alam turut brirama
Segala pujian buat yang Maha Esa..
NikmatNYA yang tak terhingga
Bantulah kami untuk mensyukuri
untuk menjadi hambaMU yang sentiasa bersyukur
dan mereka itu amat sedikit
maka
masukkanlah kami dalam kalangan yang sedikit itu..

Kematian itu mengingatkan
masa yang ada
nyawa yang bersisa
segalanya perlu digunakan sebaiknya
andai ini malam terakhir
andai ini hari terakhir
buat kita, kami, mereka,
aku, kau, dan dia..
di mana kita?
Semoga di taman syurga..

Friday, November 11, 2011

Mati= Akhir Hidup Duniawi

Bermula dengan pengakhiran. Bermula dengan menyedari bahawa kematian itu pasti. Akhir hidup di dunia ini ialah kematian. Menyedari dengan penuh keyakinan akan hal ini, mendorong seseorang untuk menyediakan bekalan buat hari selepas kematian.. ~Mati itu pasti.

Mengejar bahagia

"Banyak betul kerja yang kau buat? Sanggup kau ye?" Abu memandang Ali yang kelihatan penat berbaring di bilik asrama pekerja.
"Terpaksalah Abu oii.. Kerja banyak maknanya duit banyak, duit banyak maknanya bahagia.." Ali menjawab sambil memejam mata menunggu lena. Solat Maghrib entah ke mana. Yang penting dia perlu memulihkan tenaga yang hilang di siang hari untuk menyambung kerjanya esok hari.

---------------

Bahagia di dunia tidak boleh diukur dengan wang yang bertimbun. Andai Ali (dan sesiapa antara kita) yang bertungkus-lumus bekerja pagi petang, siang malam, hanya dengan pendapat bahawa duit itu membahagiakan, sedangkan jika dia mati pada ketika itu, tanpa solat Maghrib, tanpa menunaikan tugasnya sebagai seorang hamba Allah, bagaimanakah agaknya?

Kematian itu pasti. Maka bersedialah untuknya..


Pilihan Terbaik!

Jika ada 100 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia
Jika ada 10 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia
Jika ada 2 pilihan & antaranya adalah dia,
tentu aku akan memilih dia..
Bukan kerana kesempurnaannya pada pandanganku,
Bukan juga kerana ketiadaan pilihan selain dia,
Aku memilih dia
kerana aku menyenangi akhlaknya
kerana kelebihannya adalah kelemahanku
dan kelebihanku adalah kelemahannya

...

Pilihanku ini
adakah yang terbaik buatku?
diakah itu?
diakah itu?
hanya Tuhan Maha Tahu..

Namun, jika nanti
yang ada
hanyalah1 pilihan
dan tidak ada dia dalam pilihan itu
kala aku tidak lagi mampu memilih dia
Maka,
aku pun akan menerima sesiapa yang dipilih itu
sbg PMBERIAN TRBAIK dari Tuhanku..
Ya Allah, Ya Tuhanku,
Jadikanlah aku mencintai dan meredhai pilihan yang Engkau berikan
Jadikanlah aku menyayangi seikhlas hati pilihan yang Engkau amanahkan..
kerana aku sebelumnya
hanya memilih berdasarkan ilmu dan rasa seorang hamba..
maka
boleh jadi aku membenci sesuatu sedangkan ia baik buatku..
dan boleh jadi aku menyukai sesuatu sedangkan ia buruk buatku..

Ya Allah
Kami memohon cintaMU
cinta kepada mereka yang mencintaiMU
cinta kepada amalan yang mendekatkan diri kepadaMU
Ya Allah
Jadikanlah cintaMU
lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku, dan air yang nyaman..
Amin~




Thursday, November 10, 2011

Penantian satu kenikmatan?


Penantian itu boleh jadi menyeksakan
memenatkan
memeritkan
negatifkan satu sudut pandangan
Penantian satu penyeksaan?
Buat mereka yang merasakan..

Penantian itu boleh jadi mematangkan
mengujakan
melengkapkan kekurangan
positifkan satu sudut pandangan
Penantian satu kenikmatan?
Buat mereka yang merasakan..

Kita membuat pilihan
positif atau negatif suatu pemikiran..
Lalu aku memilih kebahagian perasaan..

Penantian satu ujian kesabaran
menambahkan kerinduan
bukti kesetiaan..

Kala dalam tempoh penantian
Diri ditingkatkan
Zikir digiatkan
Hingga masa yang berlalu itu jadi mengasyikkan
Tenang dalam keamanan
Senyum dalam kebahagiaan..


Wednesday, November 9, 2011

Terima kasih sahabat..

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti kegembiraan dan kebahagiaan
dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain..
-----------------

"Wah, cantiknya!" Aku teruja melihat poster-poster pemandangan yang dibawanya.
"Nini ambillah satu, kita hadiahkan satu untuk Nini ye. Pilihlah yang mana Nini suka", dia tersenyum lembut kepadaku.
"Eh, takpela.. Kan untuk dijual ni.." Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Takpe, ambil je, kita suka tengok orang lain gembira dan bahagia dengan pemberian kita.." Paksaan lembutnya yang masih bertali arus, membuatkan aku mengalah akhirnya dan memilih salah satu daripada poster-poster tersebut.
Diam-diam aku turut berazam untuk bergembira dan berbahagia dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain.
-----------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti sokongan dan kekuatan
dengan menyokong dan meniupkan kekuatan buat orang lain..
----------------

"Jom masuk pertandingan ucapan awam!" Aku mengajaknya menyertai dengan penuh semangat.
"Nini masuklah! Kita bagi sokongan ye.." Mukanya berseri-seri.
DI hari itu. Aku memberi ucapan dengan penuh keyakinan. Walaupun tidak ramai yang memberikan perhatian, namun aku dapat melihatnya tersenyum di belakang, penuh perhatian terhadap setiap patah kata yang kuucapkan.
Diam-diam aku berazam, aku juga ingin menjadi kuat, dengan memberi sokongan dan meniupkan kekuatan buat orang lain.
---------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti ketabahan dan pengorbanan
dengan mengorbankan kepentingan diri demi orang lain..
--------------

"Kenapa tak beratur ambil nasi percuma?" Aku bertanya kehairanan. Di bulan Ramadhan, nasi diberikan percuma kepada para pelajar. Cuma, kadang-kadang jumlahnya tidak mencukupi untuk semua.
"Takpelah, Nini pergilah beratur dulu ye. Kalau orang terakhir beratur dah dapat nasi, kalau ada lebih, baru kita ambil, kalau takde, tak mengapa. Kita beli roti pun dah kenyang sebenarnya".
"Oh~ takpelah, kita tunggu sama-samalah.." Aku menirunya.
------------

"Isteri kedua?" Aku terkejut.
"Tak apalah. Mak ayah kita nak salah seorang daripada anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki ni. Takde siapa antara adik beradik kita yang nak. Jadi, kita kata biar kita yang kahwin dengan dia. Tak mengapa, yang penting redha Allah dan redha kedua ibu bapa". Dia tersenyum manis.
"Sedihnya.. tak tahu nak cakap apa lagi..", mataku bergenang.
"Nini jangalah menangis.. Tengok, kita tak menangis pun.." Dia ketawa ceria.
------------

Berkahwin di usia muda. Ketika masih menuntut di IPTA. Aku mendoakan dia semoga sentiasa bahagia, di dunia dan di akhirat sana..

Sahabat..
Segala apa yang telah aku pelajari
daripada dirimu
semoga mengalir pahalanya buatmu jua
aku juga ingin kau bahagia
kerana aku bahagia melihatmu bahagia
sebagaimana kau berbahagia
dengan berbahagianya orang lain..
Terima kasih sahabat..
-------------

10 tahun berlalu. Kini kami dalam lingkungan 30-an. Saling berhubung menerusi emel, sms dan telefon, namun tidak bertemu muka. AKhirnya, berpeluang bertemunya semula di majlis reunion yang amat menggembirakan. Aku menangis dengan deraian air mata bahagia.
"Comelnya anak-anak Nini!" Dia mencium pipi dua orang anak perempuanku yang malu-malu.
"Ni anak perempuan kita.. Dah darjah tiga. Maklumlah, ibunya kahwin awal" Dia ketawa ceria.
"Mana ayah?" Aku bertanya anaknya mesra sebaik sahaja dia selesai menyalami dan mencium tanganku.
"Ayah dah meninggal dua tahun lepas.." Jawapannya mengejutkan diriku. Aku memandang sahabatku dengan wajah terkejut tidak percaya. Dia tidak pernah memberitahuku kala kami berhubung di alam maya.
"Kenapa senyap saja, kalau dengar berita orang meninggalkan kena cakap sesuatu, ke dah lupa?" Dia bersahaja, berkata dengan nada bergurau.
Aku perlahan mengucapkan istirja'. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNYA kita semua akan kembali..
--------------------

Aku tidak bertanya kenapa dia merahsiakan khabar ini kepadaku. Aku tidak bertanya kerana aku tahu jawapannya. Dia, mahu aku bahagia. Dia, tidak mahu aku bersedih disebabkan dia. Aku memahaminya. Aku kagum pada dirinya. Setelah itu, aku mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai guru ganti dan menjual pisang goreng di waktu petang untuk menyara tiga orang anaknya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Kesusahannya dipendamkan sendiri. Aku cuba menghulurkan sedikit bantuan kewangan memandangkan aku mempunyai pekerjaan yang tetap lagi lumayan, namun ditolaknya dengan baik. Aku melawat ke rumahnya, dan kedengaran anak-anaknya berkata, bestnya kalau ada ayahkan? Kala itu, dia di dapur membuatkan air untukku. Walau telah aku tolak, namun dia berkata, "Tak sudi ke minum air yang kita buat?" Apa lagi, air yang dibuatnya kuminum sehingga licin. Wang yang ditolaknya, kuberikan kepada anak-anaknya sahaja.
-----------------

"Abang nak kahwin lagi tak?"
Tersembur air teh yang diminum suamiku kala mendengar pertanyaan itu.
"Eh, kenapa tiba-tiba cakap macam ni?" Dia bertanya kehairanan. Suasana petang yang indah itu memberikanku kekuatan untuk melahirkan rasa hatiku. Kuceritakan perihal sahabatku. Sejak dulu hingga kini.
"Kalau macam tu sikap kawan Nini, mesti dia sendiri pun tak nak kahwin dengan abang..Takkanlah dia nak ambil suami sahabat sendiri.." Suamiku kembali menghirup teh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ketawa kecilnya masih bersisa. Aku hanya tersenyum di sisinya. Sudah 5 tahun kami berkahwin dengan dikurniakan dua orang cahaya mata. Alhamdulillah!
----------------

Puas kupujuk dia. Kepakaranku dalam bidang psikologi digunakan sebaiknya. Ah~ air pun boleh melembutkan batu, apatah lagi aku seorang sahabat. Dia, akhirnya bersetuju. Menjadi maduku, menjadi ibu buat anak-anakku sebagaimana aku akan menjadi ibu buat anak-anaknya. Anak-anaknya yang turut berada di situ bersorak riang. Mereka akan punya ayah! Alhamdulillah!
---------------

"Abang.. Please.. Abang.." Aku merayu-rayu. Tidak kusangka, suamiku tidak mahu.
"Abang.. abang tak kesian ke kat Nini, letih-letih Nini pujuk sahabat Nini.. Tolonglah bang.. dia dah pun setuju bang.. anak-anak dia pun dah happy sangat dah.. tolonglah.." Mengalir air mataku. Tak dapat kubayangkan betapa hancurnya hatiku bila suamiku menolak.
"Bagi abang masa seminggu untuk berfikir.. Perkara besar macam ni, bukan senang-senang je.. Nini, Nini, kenapa Nini tak tanya abang dulu?" Suamiku kelihatan resah. Dia memegang kepalanya lagak orang kepeningan.
"Nini kan dah tanya. Abang kata, sahabat Nini yang tak mahu. Abang tak katapun yang abang tak mahu.." Aku meneruskan pujukan dengan air mata.
"Alahai Nini, kenapalah Nini buat macam ni.. Abang tak kata abang tak mahu, tak bermakna abang mahu.." Dia memejamkan matanya kejap. Mungkin tidak mahu memandang wajahku yang bermadikan air mata.. Oleh kerana aku tidak dapat menayangkan wajahku yang bermandikan air mata, esakan tangisku dikuatkan sedikit. Semoga telinganya yang mendengar esakan ini, dapat melembutkan hatinya. 
---------------

bersambung..

Tuesday, November 1, 2011

Wahai Suamiku


يا زوجي
Wahai suamiku
أنعم الله علي بك
Allah telah mengurniakan kepadaku nikmatNYA melaluimu
أنت في قلبي
Dirimu dalam hatiku
صابر
Seorang yang sabar
صالح
Seorang yang soleh
سبحان الله الذي خلقك
Maha Suci Allah yang telah menciptakanmu
وجعلك إمامي
dan menjadikan dirimu Imamku
الحمد لله الذي أهداني ووهبني أنت
Segala puji bagi Allah yang telah menghadiahkan dirimu buatku
يا زوجي
Wahai suamiku
أنت تسمو في عيني
Dirimu amat mulia pada pandanganku
كل يوم يزداد حبي وشوقي لك
Setiap hari cinta dan rinduku padamu makin bertambah
أنت حبيبي بعد حب الله ورسوله
Dirimu adalah cintaku selepas cinta kepada Allah dan RasulNYA
اليوم
Hari ini
اليوم عرسنا
Adalah hari perkahwinan kita
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون مخلصة
untuk menjadi seorang isteri yang ikhlas
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون وفية
untuk menjadi seorang isteri yang setia
أمام كل أقاربنا
di hadapan semua kaum kerabat kita
أمام كل عشيرتنا
di hadapan semua ahli keluarga kita
أعاهد الله
Aku berjanji kepada Allah
أن أكون زوجة صالحة
untuk menjadi seorang isteri yang solehah
أشهد الله أني راضية عنك
Aku bersaksi kepada Allah, sesungguhnya aku meredhai dirimu..
وأرجو أنك راض عني
dan aku berharap semoga dirimu juga turut meredhaiku..
يا زوجي
Wahai suamiku
أحبك في الله
Aku mencintaimu kerana Allah ^_^