Cerpen:
Kiriman seorang rakan, untuk manfaat bersama ^_^
Menuju Greenwood bersama Kak Ma.
"Lepas ni, apa perancangan Ratna?" Kak Ma bertanya mesra. Hanya kami berdua yang berada di dalam MPV menuju Greenwood.
"Ratna nak jadi macam mak Ratna". Aku menjawab penuh bangga. Bangga untuk mencontohi ibu. Bangga mempunyai ibu sepertinya. Maka, aku bercita-cita untuk menjadi seperti ibu.
"Oh, mak Ratna kerja apa?" Pertanyaan kak Ma memecahkan sedikit ketawaku. 'Suri rumah tu pun satu kerjaya juga..' Hatiku berbisik.
"Suri rumah". Aku menjawab sambil tergelak kecil. Kak Ma turut ketawa. Aku melihat raut wajahnya yang manis. Comel sungguh orangnya.
"Oo, Ratna dah ada orang ke?" Kak Ma memberi satu soalan cepu emas sambil mengerling seketika ke arahku, kemudian kembali memandang ke hadapan, bimbang keretanya tercium kereta hadapan.
"Emm dah ada..Rashid namanya", aku menjawab tanpa selindung lagi.
Entah mengapa mudah betul lidahku ini menuturkan namanya setiap kali bertemu sesiapa yang kukenali. 'Rashid, kenal tak?' Itulah soalan yang sering kutanyakan apabila bertemu orang yang kukenali.
Motif soalan? Mungkin ingin mendengar orang bercerita tentangnya jika dia dikenali, atau mungkin aku ingin bercerita tentangnya jika dia tidak dikenali. Malah aku kira, tidak salah aku bercerita atau mencari cerita berkenaan tunang sendiri. Bukankah diriku ini sudah bertunang dengannya?
Setahuku kalau seorang lelaki sudah berjanji untuk menjadikan seorang wanita itu isterinya, dan bertemu keluarga wanita tersebut, itu sudah dikira satu pertunangan, kerana 'khithbah' itu ialah 'wa'dun' yakni janji. Maka mulutku yang agak becok ini menuturkan kata-kata seterusnya yang mengejutkan:
"Ratna dah bertunang".
"Ha! Ye ke? Alhamdulillah! Tahniah! Kalau dah bertunang mesti ada tandanya kan? Mana tandanya?" Kak Ma semakin teruja. Aku menelan air liur sendiri. Ha? Alamak. Tanda? Cincin ke? Aku terperangkap dan terjerat sendiri.
"Ni!" Aku secara spontan terus menunjukkan tangan kananku.
Kak Ma memberhentikan MPVnya berhampiran tempat menunggu bas di Greenwood. Kami telah tiba ke destinasi. Tepat sungguh waktunya.
Kak Ma memegang tangan kananku sambil mengamati cincin di tangan. Debaran dalam hatiku, hanya Tuhan yang tahu. Betapa aku menyumpah-nyumpah diri sendiri kerana perlakuan yang kini semakin kusesali.
Kak Ma mungkin akan menganggap cincin ini pemberian Rashid, sedangkan cincin ini kubeli sendiri dengan harga RM5. Bagiku, cincin ini tanda aku sudah berpunya. Lagipun Kak Ma tidak bertanya apa yang Rashid bagi. Ah, aku tidak bersalah! Aku tidak berbohong! Cincin in memang tandanya, cuma dibeli oleh diriku sendiri dan bukan tunangku.. Diriku berbahas sendiri. Cuba membenarkan dan meredakan resah hati.
Harap-harap kak Ma tidak boleh membezakan antara kaca dan permata! Hatiku berdoa! Resah melihatnya membolak-balikkan tanganku mengamati permata yang terdapat di cincin.
"Comel!" Kak Ma akhirnya melepaskan tangan kananku.
Aku ketawa kecil penuh lega. Fuuuuuh…alhamdulillah.. Hatiku berbisik.
"Tapi kalau bertunang, orang biasanya pakai tangan kanan ke tangan kiri?" Satu lagi soalan yang tidak kusangka-sangka ditanya. Erk!!
Seperti biasa, aku membalas jawapan spontan: "Entahlah, kadang-kadang Ratna pakai tangan kanan, kadang-kadang tangan kiri, hehehe". Aku hanya tersenyum-senyum memandangnya.
Kak Ma hanya tertawa.
'Fuh! Selamat lagi.. hehe pandai, pandai... pandai betul menjawab.' Hatiku berbisik memerli diri sendiri. =P
Kak ngah ni dah bertunang kan?!
Setelah beberapa hari sampai ke 'rumahku syurgaku', aku menceritakan peristiwa yang berlaku antaraku dengan kak Ma kepada ibu dan ayah tercinta.
"Kak ngah ni dah bertunang kan?!" Aku mengakhiri ceritaku dengan soalan berbisa. Ayah dan ibu sedikit terlopong mendengar kisah dan pernyataan melulu dariku.
"Bertunang? Eh, awak belum bertunang lagi.. Rashid hari tu baru datang nak ta'aruf je.." Ibu nampaknya sedikit marah. Ooops nampaknya aku tersilap bercerita.
"Belum kira bertunang lagi tu.. Kena ada orang tua datang baru kira bertunang. Ni dia datang dengan kawan dia je. Sekurang-kurangnya kenalah bawa abang dia ke, kakak dia ke, baru boleh nak kira bertunang". Ibu berhujjah.
Aku menggeleng-gelengkan kepala. "Dalam Islam orang lelaki mana perlukan orang tua untuk meminang. Dia sendiri pun boleh meminang kalau nak datang seorang diri."Aku membalas hujjah.
"Tapi..masa dia datang hari tu, dia langsung tak sebut pasal dia nak meminang awak, tak sebut pun nak jadikan awak isteri, langsung tak sebut pasal bertunang, langsung tak ada janji apa-apa dengan ummi dan abi.." Ibu semakin beremosi. Aku hanya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
"Ye la, walaupun dia tak cakap, tapi kita semua tahu tujuan dia datang. Dia datang rumah kita sebab nak ambil kak ngah sebagai isterilah.. Kalau tak, buat apa dia datang kan? Kak ngah anggap dah kira janji lah tu", aku masih menganggap dia tunangku. Aku memandang ayah. Aku menganggap ayah sebagai hakim antara hujjah yang diberikan ibu dan hujjah yang diberikan olehku.
"Belum. Belum kira tunang lagi". Ayah bersuara tenang. Aku tersentak. Bagai direnjat elektrik!! Belum??!
Walimah di cuti sekolah
Banyak betul jemputan walimah. Namun aku tidak pergi mengikut ayah dan ibu. Aku takut untuk keluar rumah. Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata ibu: "Kalau ada siapa-siapa tanya ummi & abi pasal awak, ummi kata awak belum ada sesiapa. Kalau ada calon sesuai yang dekat-dekat sini berkenan, ummi lagi suka".
Jadi aku membuat keputusan; lebih baik aku duduk di rumah! Takut juga ada sesiapa yang berkenan bertanya.
Alahai..Rashid.. Dia ni kenapa senyap je.. Nak ke tak? Kalau ada orang tanya, apa aku nak jawab? Dah bertunang? Dia belum janji apa-apa.
"Kak ngah emel Rashid tanya dia ye?" Aku meminta izin ibu. Ibu tersenyum manis. "Ha, tanyalah.." Inilah emel yang kuhantar:
Abi & umi kirim salam. Abi & umi minta Ratna tanya khabar berita daripada Rashid. Hari tu Rashid emel beritahu yang abah Rashid suruh balik, Rashid dah balik ke? Abah & ummi Rashid dah tengok gambar ke? Apa kata abah & ummi Rashid? Apa-apa keputusan abah & keluarga Rashid, Ratna sekeluarga terima dengan redha & lapang hati, insya Allah.. ^_^ (10 Jun 2011)
Baru balik Kedah
Setelah seharian menunggu emel balas Rashid yang tak kunjung tiba, keesokan harinya hampir jam 7 malam dia menghanta sms. Katanya dia baru ada peluang pulang ke Kedah. Apa-apa berita dia akan sms saja sebab di kampung tiada komputer.
Kasihan betul dirinya. Sudahlah terkejar-kejar hendak menyelesaikan tesis Master, kini terpaksa pula berkejar balik ke Kedah untuk bertanyakan ayah dan ibu di kampung. Alahai, kesiannya..kesiannya.. Hmm, kesiankan??
Namun, sampai hari ini belum ada sms daripadanya. Aku asyik melihat telefon bimbitku. Hampa. Tiada apa-apa.
Hmm..kalau dah jodoh tak ke mana.. ^_^
Kerja
"Ummi & Abi nak awak kerja. Pohon academic trainee kat uia utk PhD nanti. Kalau tak dapat kat UIA, mohon kat UMP ke.. UiTM Jengka ke..". Ayah dan ibu memandangku penuh harap.
Perbincangan yang sejak lama dulu, kini dibangkitkan semula. Mungkin kerana ayah dan ibu memerhatikan yang aku ini asyik kelihatan berada di awanan.. Asyik bercerita tentang Rashid dan perancangan kahwin saja..serta menanti sms daripadanya.. Aduhai..
"Kalau dapat jadi pensyarah di UIA lagi bagus. Dapat timba ilmu dan pengalaman lebih", ayah kembali menyambung.
"Anak awak nanti boleh hantar kat nursery. Susu boleh perah simpan. Tengok ustazah Aminah, kerja juga. Bila dah kahwin nanti banyak perlukan duit, lampin anak, sekolah anak lagi". Ibu menambah. Senarai panjang keperluan material disebut satu persatu.
"Lagipun rasanya terikat tak adalah lama sangat. 8, 10 tahun tu rasa sekejap je berlalu". Ayah pula menyokong.
Aku sekali-sekala menjawab juga. Namun perbincangan dua lawan satu, memang pasti natijahnya; aku yang kalah, apatah lagi berlawan kata dengan ibu ayah.
"Insya Allah, kalau ada rezeki, kak ngah ikut je, sayang ummi". Akhirnya setelah perbincangan yang panjang, aku menjawab lemah, kupaksakan senyuman di bibir sambil mencium pipi ibu penuh kasih.
Ibu, aku menyayangimu sepenuh hati. Semoga Allah mengasihi ibu ayah sebgaimana ibu ayah mengasihiku ketika kecil. Betapa besar kasih ibu ayah.
Aku kembali menyoal diri sendiri; sukar sangatkah untuk diriku menunaikan harapan mereka berdua? Sanggupkah aku mengecewakan mereka berdua hanya demi memuaskan kehendak hati sendiri?
Di dunia ini, kita tidak mungkin dapat semua yang kita suka, mustahil untuk kita berbuat sesedap rasa, seenak cita. Walaupun cita-citaku adalah untuk tidak bekerja dan tidak terikat dengan perjanjian kerja, malah, aku ingin berkahwin awal, beranak ramai dan menjadi seorang suri rumah seperti ibu, namun Allah Maha Tahu apa yang terbaik untukku. Berdasarkan pengalaman lepas, selagimana aku menurut arahan ibu dan ayah, urusanku biasanya amat mudah. Walau hati terasa berat.. Tapi, boleh jadi aku membenci sesuatu, tetapi ia baik untukku, dan boleh jadi aku menyukai sesuatu, tetapi ia buruk untukku.
Ya, kita hidup di dunia, kita perlu melihat sesuatu dengan sudut positif, baru bertambah syukur. Firman Allah yang maksudnya; 'Jika kamu bersyukur maka Aku pasti akan menambahkan (keberkatan) kepadamu..". Ya, aku berazam agar berusaha dan sentiasa berusaha untuk sentiasa bersyukur.. alhamdulillah atas nikmat iman dan islam.. Masih ramai orang yang mendapat ujian lebih berat.
Ibarat kata Ustaz Pahrol: Di dunia pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Kita berusaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus hati segala takdir.
Katanya lagi: Satu kesilapan besar apabila seseorang merasakan hanya dirinya sahaja yang ditimpa masalah dan ujian. Ingatlah Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap yang bernama insan pasti diuji dan ditimpa masalah sesuai dengan kemampuan dan titik kelemahan masing-masing. Sebagai hamba Ilahi, kita sentiasa layak diuji. Soalnya; adalah bagaimana setiap daripada kita menangani ujian dan masalah yang menimpa diri.
Letakkan dunia ditangan, namun biar akhirat tetap di hati. Bila akhirat jadi tujuan, dunia seolah-olah kelihatan mengikut kita dan mengejar kita kerana hakikatnya kita sedang sedaya upaya cuba menjauhi dunia daripada bertakhta di hati. Bila rezeki dunia di tangan, itu satu ujian Tuhan, untuk melihat ke mana dan bagaimana rezeki itu digunakan.
Terngiang-ngiang kata-kata Prof Muhaya: Kenapa kita suka mengeluh (tidak redha) bila sakit, lupakah kita yang Allah bagi kita sihat dah berapa tahun? Sakit baru sehari dua. Kalau mata kita buta, tengoklah tangan kaki dan segala anggota tubuh lain yang masih berfungsi dengan baik.
Ya, usah ditanya kenapa Dia menguji kita sebegini, tapi tanyalah kenapa kita sebagai hamba Ilahi tidak mahu bersabar dengan ujian ini!
Maka, bersyukurlah! Usah dihitung ujian yang menimpa, tapi hitunglah dan hitunglah dan hitunglah, betapa banyak nikmat TuhanMU. Maka, nikmat TuhanMU yang manakah yang hendak engkau dustakan??!
~~~~~~
Alhamdulillah, selesai mengarang cerita yang panjang..sebagai perkongsian dan peringatan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat yang dikasihi..
..semua yang baik itu daripada Allah..manakala apa-apa kekurangan kesilapan yang ada daripada kelemahan kita sebagai insan..
No comments:
Post a Comment