Saturday, July 30, 2011

TEMPOH IDDAH WANITA DAN HUKUMNYA


IDDAH & IHDAD ~ المفصل في أحكام المرأة والبيت المسلم ج9

Definisi Iddah

Definisi iddah menurut istilah: Suatu tempoh tertentu yang ditetapkan oleh Syara’ ke atas wanita yang mesti dipatuhi hukum-hakamnya setelah berlaku perpisahan antara suami isteri.

Dalil pensyariatan iddah
Hukum iddah adalah wajib menurut al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijma’.
Al-Qur’an:
Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru' (al-Baqarah: 228).
Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari (al-Baqarah: 234).
Dan perempuan-perempuan yang putus haidh (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haidh. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya (al-Thalaq: 4).
Al-Sunnah: Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa hukum iddah itu wajib, antaranya sabda Nabi s.a.w. kepada Fatimah bt Qis: “Ber’iddahlah kamu di rumah Ibn Ummi Maktum”.
Ijma’: Seluruh umat telah bersepakat bahawa hukum iddah itu wajib.

Iddah dalam Pernikahan yang Sah
1. Iddah ketika hayat suami.
2. Iddah kematian suami.

1. Iddah ketika hayat suami.
- Penting untuk diingatkan bahawa tiada iddah yang diwajibkan ke atas isteri jika perpisahan terjadi ketika hayat suami sebelum adanya persetubuhan antara suami dan isteri tersebut. Firman Allah s.w.t.:
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka 'iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya (al-Ahzab: 49).
- Perpisahan selepas berlaku persetubuhan mewajibkan iddah: Perpisahan yang berlaku ketika hayat pasangan setelah adanya persetubuhan mewajibkan isteri ber’iddah. Ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang telah disebutkan di atas.
2. Iddah kematian suami.
Firman Allah s.w.t.:
Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari (al-Baqarah: 234).
- Seluruh Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa iddah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari adalah wajib ke atas isteri sama ada kematian tersebut berlaku setelah persetubuhan atau sebelum persetubuhan.
- Seluruh Ulama’ juga bersepakat mengatakan bahawa jika kematian suami terjadi ketika isteri masih berada dalam tempoh ‘iddah talak ruj’ii maka isteri tersebut wajib ber’iddah dengan iddah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari.
- Manakala, seorang wanita yang berada dalam tempoh iddah talak ba’in tidak perlu ber’iddah dengan iddah 4 bulan 10 hari kerana antara mereka sudah tidak wujud hubungan suami isteri.

Iddah quru’
Firman Allah s.w.t.:
Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru' (al-Baqarah: 228).
‘Wanita-wanita yang ditalak’ dalam ayat di atas ialah mereka yang ditalak setelah berlakunya persetubuhan serta tidak hamil dan masih mempunyai kitaran haidh.

Maksud quru’
Ulama’ berbeza pendapat mengenai maksud quru’ kepada dua; suci atau haidh.

Pendapat pertama: Quru’ ialah suci
Ulama’ yang berpendapat bahawa maksud quru’ ialah suci adalah Imam Malik, Imam Syafie, majoriti Ulama’ Madinah dan Abu Thur.

Pendapat Kedua: Quru’ ialah haidh
Ulama’ yang berpendapat bahawa maksud quru’ ialah haidh adalah Imam Abu Hanifah, Imam al-Thawri, Imam al-Awza’I, dan Imam Ibn Abi Laila serta mazhab Hanbali.

Tempoh masa iddah quru’
Ulama’ sepakat mengatakan bahawa tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan setelah adanya persetubuhan dan mempunyai kitaran haidh ialah 3 kali quru’, bagi yang berpendapat quru’ ialah suci, maka tempoh iddah ialah 3 kali suci, manakala yang berpendapat quru’ ialah haidh, maka tempoh iddah ialah 3 kali haidh.

Tempoh iddah bagi Khulu’
Ulama’ berbeza pendapat berkenaan tempoh iddah bagi khulu’ (wanita menebus diri dengan bayaran kepada suami) kepada dua pendapat; majoriti Ulama’ seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ibn Qudamah, mengatakan tempoh iddah bagi khulu’ adalah sama dengan tempoh iddah bagi cerai/talak. Pendapat kedua seperti Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn al-Qayyim mengatakan tempoh iddah bagi khulu’ ialah satu kali haidh.

Iddah 3 bulan  
Dan perempuan-perempuan yang putus haidh (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haidh (al-Thalaq: 4).

Siapakah wanita yang putus haidh (menopause)?
Wanita yang putus haidh ialah wanita yang telah mencapai satu tahap umur di mana secara kebiasaannya wanita tidak lagi didatangi haidh.

Umur Wanita yang Putus Haidh
Mazhab Hanafi: 50, 55, 60 tahun, atau lebih.
Mazhab Maliki: Antara 50 hingga 70 tahun.
Mazhab Syafie dan Hanbali: 50, 60,  atau 62 tahun atau mengikut kebiasaan ahli keluarga wanita.

Siapakah gadis yang belum didatangi haidh?
Gadis yang belum didatangi haidh ialah kanak-kanak yang belum datang haidh kerana umur yang masih muda, maka iddahnya ialah 3 bulan.

Iddah Kehamilan
Iddah wanita hamil ialah sehingga wanita tersebut melahirkan kandungannya.
Iddah wanita hamil yang kematian suami
Terdapat 2 pendapat Ulama’ berkenaan iddah wanita yang hamil dan kematian suami.
Jumhur/majoriti Ulama’ mengatakan bahawa iddah wanita tersebut berakhir setelah melahirkan kandungannya. Manakala Ulama’ lain berpendapat iddah wanita tersebut berakhir melihat kepada tempoh masa yang paling lama.

Ihdad/Berkabung

Definisi Ihdad:
Daripada segi bahasa: Ihdad ialah perbuatan meninggalkan wangian dan perhiasan.
Daripada segi istilah: Ihdad ialah perbuatan meninggalkan perhiasan, wangian dan yang seumpamanya kerana iddah kematian suami.

Hukum Ihdad
- Ulama’ sepakat mengatakan hukum ihdad adalah wajib kepada wanita yang kematian suami. Sepanjang iddahnya iaitu 4 bulan 10 hari, wanita tersebut wajib ber’ihdad.
- Namun, ihdad tidak diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan dengan talak ruj’I, bahkan wanita tersebut digalakkan berhias dan memakai wangi-wangian untuk suaminya.
- Manakala, bagi wanita yang berpisah dengan suami dengan talak ba’in, Ulama’ berbeza pendapat; pendapat pertama yang merupakan pendapat jumhur/majoriti ulama’ mengatakan ihdad tidak wajib ke atas wanita tersebut, dan pendapat kedua yang merupakan pendapat mazhab Hanafi dan beberapa orang Ulama’ lain mengatakan bahawa ihdad itu wajib.

Ihdad itu adalah dengan meninggalkan wangian dan perhiasan
1. Meninggalkan wangian dan semua yang berkaitan dengannya
- Maksud ihdad dengan meniggalkan wangian sebagaimana yang didefinisikan oleh mazhab Syafie ialah: Diharamkan ke atas wanita tersebut daripada menggunakan wangian di badan, pakaian, dan makanan. Maka, setiap wangian yang diharamkan ke atas orang yang berihram ketika Haji adalah juga haram ketika ihdad.
- Namun terdapat beberapa perkara yang tidak termasuk dalam wangian yang diharamkan iaitu: membersihkan dan memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu yang disunatkan mencukurnya, mandi dengan air sidir dan lain-lain yang bertujuan untuk membersihkan dan bukan untuk berwangi-wangian.
2. Meninggalkan perhiasan dan segala yang berkaitan dengannya
- Iaitu meninggalkan perhiasan pada badan seperti berinai, bercelak, berbedak, dan segala apa yang digunakan oleh wanita untuk menghias wajah mereka, meninggalkan perhiasan pada pakaian seperti pakaian bewarna; mazhab Syafie menetapkan bahawa semua pakaian yang diwarnakan dengan tujuan perhiasan adalah haram, hanya pakaian yang diwarnakan tanpa tujuan berhias adalah dibenarkan, maka apa-apa warna seperti hitam, hijau atau biru lusuh yang dipakai tanpa niat berhias adalah dibenarkan, serta meninggalkan perhiasan seperti gelang, cincin, dan yang seumpamanya.


     

1 comment: