Saturday, August 20, 2011

MENGENAL MAKKI & MADANI


3- CARA UNTUK MENGETAHUI MAKKI DAN MADANI

Sememangnya Hijrah amat penting dalam Islam, kerana Hijrah ibarat satu titik perubahan dalam sejarah dakwah Islam. Begitu juga, permulaan kehidupan di Madinah merupakan satu titik awal bagi uslub (bentuk ayat) baru dalam al-Qur’an. Ini kerana keadaan masyarakat di Madinah amat berbeza dengan keadaan masyarakat di Mekah. Di Mekah terdapat orang-orang Musyrik adapun di Madinah terdapat orang-orang munafik (berpura-pura Islam) dan orang Yahudi. Di Mekah perbincangan al-Qur’an adalah tertumpu sekitar Tauhid dan hari Akhirat, adapun di Madinah perbincangan al-Qur’an adalah lebih daripada itu, kerana terdapat keperluan-keperluan yang banyak dalam masyarakat Islam di Madinah yang tidak terdapat dalam masyarakat di Mekah. Oleh itu, masyarakat di Madinah memerlukan hukum-hakam yang lebih terperinci tentang kehidupan mereka, ibadat, dan masalah-masalah yang melibatkan Yahudi dan Munafik. Bagi setiap masyarakat terdapat masalah dan situasinya yang tertentu, dan al-Qur’an turun untuk menyelesaikannya berdasarkan keadaan masyarakat tersebut.

Terdapat dua cara untuk mengetahui Makki dan Madani:
1-   Secara Sima’i
2-   Secara Ijtihad

1- Secara Sima’i: Iaitu melalui riwayat yang sohih daripada para sahabat yang hidup dan menyaksikan penurunan wahyu atau daripada tabi’in yang telah mempelajarinya daripada para sahabat dan mendengar cara penurunan wahyu serta peristiwa-peristiwanya.
Contohnya:
-         Kata-kata para sahabat atau tabi’in: “surah ini turun di Madinah” atau “surah ini turun sebalum Hijrah”, sepertimana yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. mengenai firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “tetapi hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” (al-Qamar: 46). Ayat ini turun ketika Aisyah r.a. masih kecil bermain-main di Mekah, sedangkan surah al-Baqarah dan an-Nisa’ turun di Madinah ketika beliau berada di rumah Nabi s.a.w[1].
-         Surah tersebut menceritakan peristiwa yang berlaku pada masanya dan tempatnya. Contohnya, surah al-Anfal mengisahkan peperangan Badar (Madani), dan surah al-Isra’ mengisahkan peristiwa Isra’ (Makki).

2- Secara Ijtihad: Iaitu berdasarkan keistimewaan dan ciri-ciri yang terdapat pada Makki dan Madani.
Apabila terdapat dalam sesuatu surah Makki, ayat yang membawa ciri-ciri Madani seperti ia menceritakan mengenai peristiwa Madani maka para Ulama’ akan berkata: ayat ini Madani. Manakala, jika dalam sesuatu surah Madani terdapat ayat yang membawa ciri-ciri Makki seperti ia menceritakan mengenai peristiwa Makki maka para Ulama’ akan berkata: ayat ini Makki. Ini merupakan cara mengetahui Makki dan Madani yang berasakan ijtihad.

4- CIRI-CIRI SERTA KEISTIMEWAAN MAKKI

Ciri-ciri: Alamat yang datang secara lafaz atau makna. Ciri-ciri daripada segi ini agak menyerupai kaedah. Manakala, keistimewaan: Tujuan-tujuan serta bentuk-bentuk yang membezakan setiap bahagian tertentu.

Ciri-ciri Makki[2]:
1- Setiap surah yang mengandungi ayat sejadah merupakan Makki. Di dalam al-Qur’an terdapat sepuluh tempat disunatkan sujud, contohnya selepas membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami ialah orang yang apabila mereka diingatkan dengannya, mereka terus menyungkur sujud” (as-Sajjadah: 15).
2- Setiap surah yang terdapat perkataan كلا  (tidak, sekali-kali tidak), perkataan ini disebutkan sebanyak tiga puluh tiga kali dalam lima belas surah yang semuanya merupakan surah Makki, namun begitu tidak semua surah Makki mengandungi lafaz كلا  (tidak, sekali-kali tidak). Ini kerana, surah Makki lebih banyak daripada bilangan lafaz ini. Contohnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak, sekali-kali tidak, janganlah engkau patuh kepadanya, dan hendaklah engkau sujud dan mendekatkan diri (kepada Allah)”. (al-Alaq: 19).
3- Setiap surah yang hanya terdapat seruan “Wahai manusia” tanpa seruan kepada orang beriman, maka ia adalah surah Makki, seperti surah Yunus, dan al-A’raf. Namun, jika terdapat kedua-dua seruan (Wahai manusia dan wahai orang beriman) dalam satu surah, maka ia adalah surah Madani, seperti surah al-Baqarah, an-Nisa’, dan al-Hajj (terdapat perbezaan pendapat Ulama’ tentangnya). Di dalamnya terdapat seruan “Wahai manusia” dan “Wahai orang-orang yang beriman”.
4- Setiap surah yang terdapat kisah para Nabi, yang menceritakan dakwah mereka kepada kaumnya agar menyembah Allah s.w.t. semata-mata dan agar mereka menjauhkan diri daripada sifat-sifat keji, seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sebelum mereka, kaum Nuh, penduduk Rass, dan Samud, turut mendustakan (risalah para rasul)”. (Qaf: 12). Namun begitu, surah al-Baqarah adalah terkecuali.
5- Setiap surah yang terdapat kisah Adam a.s. dan Iblis merupakan surah Makki kecuali surah al-Baqarah. Contohnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Lalu syaitan membisikkan kepadanya (Adam) dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (Khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”. (Toha: 120).
6- Setiap surah yang dimulai dengan huruf hija’iyyah, seperti "الم" , "الر"  dan "حم"  merupakan surah Makki kecuali surah al-Baqarah dan surah Ali- Imran kerana para Ulama’ sepakat mengatakan bahawa kedua-duanya adalah surah Madani. 

Keistimewaan Makki:
Keistimewaan Makki dapat dilihat daripada dua segi, iaitu daripada segi Uslub (bentuk ayat) dan daripada segi tajuk perbincangan.

1- Daripada segi Uslub (bentuk ayat):
- Kebiasaannya, Uslub (bentuk ayat) dalam surah Makki adalah dalam bentuk kata-kata yang keras dan kuat, marah dan memaki, ancaman dan hentaman, kerana orang-orang Musyrik dalam kalangan penduduk Mekah terdiri daripada orang-orang yang sombong dan bongkak yang hanya sesuai dengan bentuk ayat yang keras sebegini, seperti surah al-Qamar.
- Kebiasaannya, ayat-ayat Makki terdiri daripada ayat-ayat yang ringkas, pendek, dan padat disebabkan orang-orang yang diajukan dengan ayat ini merupakan orang-orang yang degil. Oleh itu, mereka ditujukan dengan ayat yang sesuai dengan keadaan mereka seperti surah at-Thur.

2- Daripada segi tajuk perbincangan:
- Kebanyakan ayat-ayat Makki menegaskan soal Tauhid dan Aqidah yang betul terutamanya apa yang berkaitan dengan Tauhid kepada Allah s.w.t. dan beriman dengan hari Kebangkitan. Ini kerana kebanyakan orang-orang yang ditujukan dengan ayat ini tidak mempercayainya. Contohnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Kemudian, kamu benar-benar akan dibangkitkan (daripada kuburmu) pada hari Kiamat”. (al-Mu’minun: 16).
- Kebanyakan ayat-ayat Makki mendedahkan keburukan amalan orang-orang Musyrik seperti pembunuhan, memakan harta anak yatim, menanam anak perempuan hidup-hidup, seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu”. (al-Isra’: 31).
- Kebanyakan ayat-ayat Makki menceritakan kisah-kisah para Nabi dan keingkaran kaum mereka untuk dijadikan pengajaran dan sebagai hiburan kepada hati Nabi s.a.w. seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal”. (Yusuf: 111).    


[1] Lihat Sohih al-Bukhari, Kitab Kelebihan-kelebihan al-Qur’an, bab Penulisan al-Qur’an, hadis no. 4498 dan 4707.
[2] Rujuk: Fadhl Hasan Abbas, Itqan al-Burhan fi Ulum al-Qur’an, juzu’1, m.s.274.

2 comments:

  1. thanks atas ilmu yg berguna nih...:) mohon copy yer..

    ReplyDelete
  2. Ya, silakan. Semoga bermanfaat ^_^

    ReplyDelete