Monday, August 1, 2011

Apakah itu al-Qur'an??


         Apakah yang dimaksudkan dengan al-Qur’an?
(buku asal: المدخل إلى دراسة علوم القرآن للدكتورة صفية شمس الدين) 

perhatian: terjemahan ini diberikan oleh seorang rakan (pelajar) untuk manfaat serta perkongsian bersama. Oleh sebab ia bukan terjemahan profesional, mungkin terdapat kesilapan dalam terjemahannya. sebarang pembetulan amat dialu-alukan. terima kasih ^_^


- Al-Qur’an daripada segi bahasa:
Para ulama’ berselisih pendapat tentang maksud al-Qur’an daripada segi bahasa, antara mereka ada yang mengatakan bahawa al-Qur’an adalah kata nama benda khas, ada pula yang mengatakan bahawa al-Qur’an berasal daripada "قرأ يقرأ قراءة" (baca membaca pembacaan) atau "قرأ يقرأ قرءاً" (himpun, menghimpun, himpunan), kedua-duanya mempunyai huruf hamzah ء , atau daripada "قَرَنَ" (kumpul) atau "قرينة" (sahabat rapat) kedua-duanya tanpa huruf hamzah ء: Secara terperincinya adalah seperti berikut:
1- Al-Qur’an adalah kata nama khas bagi Kitab Allah s.w.t.: Oleh itu, al-Qur’an adalah kata nama tetap (جامد) yang tidak dipecahkan (مشتق) daripada perkataan lain, dan ia adalah kata nama yang khas untuk Kalam Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Imam asy-Syafi’e (wafat204H) berkata:
"قرأت على إسماعيل بن قسطنطين وكان يقول: القران اسم، وليس مهموزاً، ولم يؤخذ من (قرأتُ)، يعني ولو أُخِذَ من (قرأتُ) لكان كلُّ ما قرئ قرآناً، ولكنه اسم للقران، مثل التوراة والإنجيل، يُهْمَز (قرأت)، ولا يُهْمَز القران"
Maksudnya: “Aku telah membaca al-Qur’an bergurukan Ismail bin Qastantin dan beliau pernah mengatakan: al-Qur’an ialah kata nama yang tidak mempunyai huruf hamzah, dan ia tidak berasal daripada (قرأتُ) (aku telah baca), jikalau ia berasal daripada (قرأتُ) (aku telah baca) maka tentulah ia tidak akan disebut قرآناً, ini membuktikan bahawa ia merupakan kata nama bagi al-Qur’an sepertimana Taurat dan Injil, kerana (قرأتُ)  disebut dengan hamzah manakala al-Qur’an disebut tanpa hamzah”[1].
Imam asy-Syafi’e juga memilih pendapat ini[2].


2- Al-Qur’an daripada segi bahasa bermasud "القراءة" (pembacaan): Ini merupakan pendapat sekumpulan Ulama’ antara mereka ialah al-Lihyani[3]: al-Qur’an mempunyai huruf hamzah, dan ia merupakan kata terbitan (قَرَأَ) disebut «قرأ الرسالة قراءة وقرآناً» dengan makna  القراءة والتلاوة (pembacaan). Allah s.w.t. berfirman:
[القيامة: 17- 18](إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ)
Maksudnya: “Sesungguhnya ke atas Kamilah (tugas) pengumpulannya (al-Qur’an) dan pembacaannya. Maka setelah Kami membacakannya, maka ikutilah bacaannya”.
Oleh itu, al-Qur’an adalah kata terbitan atas wazan"فُعْلان" sepertimana  الرجحان والغفران, al-Qur’an juga ialah nama bagi buku yang dibaca kerana termasuk dalam bab المفعول (benda yang dibuat) yang disebut menggunakan المصدر (kata terbitan)[4], sepertimana benda yang diminum dinamakan minuman, dan benda yang ditulis dinamakan tulisan.


3- Al-Qur’an daripada segi bahasa bermasud المجموع (yang terhimpun): az-Zujaj berpendapat bahawa al-Qur’an merupakan sifat atas wazan"فُعْلان"  yang berasal daripada القرء yang bermaksud الجمع (himpunan). Al-Qur’an dinamakan al-Qur’an kerana ia menghimpunkan surah-surah dan kesemuanya saling terhimpun antara satu sama lain. Ibnu Atsir (wafat 606H) berkata:
"الأصل في هذه اللَّفظة الجمعُ، وكلُّ شيء جَمعْتَه فقد قَرَأتَه، وسُمِّيَ القُرآن قُرْآناً لأنه جَمع القِصَص والأمْر والنهي والوعْد والوعيد والآياتِ والسُّوَر بعضها إلى بعض"
Maksudnya: “Asal perkataan ini ialah himpun, dan setiap yang kamu himpun maka kamu telahpun mengumpulkannya, dan al-Qur’an dinamakan Qur’an kerana ia mengumpulkan cerita-cerita, arahan dan larangan, janji dan ancaman, ayat-ayat serta surah-surah antara satu sama lain”[5].  


4- Al-Qur’an daripada segi bahasa berasal daripada قَرِنَ iaitu ضمّ  mengumpulkan: al-Asy’ari berkata: al-Qur’an berasal daripada mengumpulkan sesuatu dengan sesuatu, kerana surah-surah dan ayat-ayat saling terkumpul antara satu sama lain. Oleh itu, al-Qur’an berdasarkan pendapat ini tidak mempunyai huruf hamzah[6].
5- Al-Qur’an daripada segi bahasa berasal daripada القرينة (sahabat rapat): al-Farra’ berkata: al-Qur’an berasal daripada     القرينة(sahabat rapat) yang bermakna "الشبيهة" (yang serupa), kerana ayat-ayatnya saling menyerupai antara satu sama lain, dan sebahagian ayat merupakan sahabat rapat kepada sebahagian ayat yang lain. Oleh itu, berdasarkan pendapat ini al-Qur’an juga tidak mempunyai huruf hamzah[7]
  
Makna yang dipilih: al-Qur’an merupakan kata terbitan "قرأ" yang bermaksud bacaan, dan kemudian ia dijadikan kata nama kepada Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang termasuk dalam bab المفعول (benda yang dibuat) yang disebut menggunakan المصدر (kata terbitan), oleh itu, asalnya al-Qur’an ialah nama bagi buku yang dibaca, cuma kita tidak mengatakan: "قرأت المقروء"  (saya membaca benda yang dibaca) menggunakan المفعول (benda yang dibuat), tetapi kita mengatakan "قرأت القرآن"dengan menggunakan المصدر (kata terbitan). Dalilnya ialah:  firman Allah s.w.t.:
[القيامة: 17- 18](إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ)
Maksudnya: “Sesungguhnya ke atas Kamilah (tugas) pengumpulannya (al-Qur’an) dan pembacaannya. Maka setelah Kami membacakannya, maka ikutilah bacaannya”.

Penting juga disebutkan di sini bahawa perbezaan para Ulama’ dalam menentukan asal perkataan al-Qur’an bukanlah perselisihan yang saling bertentangan, tetapi ia adalah perselisihan yang pelbagai, yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ini kerana asal perkataan al-Qur’an mengandungi kesemua maksud yang disebutkan oleh para Ulama’: الضم، والجمع، والقرينة أو الشبيه (menghimpun, mengumpul, sahabat rapat, atau yang serupa), kerana al-Qur'an mengumpulkan perkataan-perkataan serta ayat-ayat antara satu sama lain, ia juga menghimpunkan surah-surah, malah ayat-ayatnya saling menyerupai antara satu sama lain daripada segi kesempurnaan, keindahan, keterangan, serta pembacaan semua huruf-hurufnya sama ada melalui hafazan atau tulisan merupakan satu ibadah.


Makna dari segi bahasa/ istilah
/ ء
ء x
Perkataan Asal
Tetap/ Pecahan
Ulama'
No
Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w.
ء x   
Kata Nama Khas
Tetap
جامد
Asy- Syafi'e
1
Yang dibaca, kerana al-Qur'an merupakan buku yang dibaca
ء
 قرأ
(baca)
Pecahan
مشتق
Al-Lihyani
2
Yang dihimpun kerana ayat-ayat dan surah-surahnya saling terhimpun
ء
قرء
(himpun)
Pecahan
مشتق
Az-Zujaj
3
Yang dikumpul kerana ayat-ayat dan surah-surahnya saling terkumpul
ء x   
قرن
(kumpul)
Pecahan
مشتق
Al-Asy'ari
4
Yang serupa, kerana ayat-ayat dan surah-surahnya adalah serupa daripada segi kesempurnaannya.
ء x   
قرينة
(sahabat rapat)
Pecahan
مشتق
Al-Farra'
5
Jadual perbezaan para Ulama' pada asal perkataan al-Qur'an


- Al-Qur’an daripada segi istilah:
Al-Qur'an itu amat tinggi martabatnya dan sudah terkenal, maka tidak perlu diperkenalkan lagi apakah itu al-Qur'an, namun begitu sudah menjadi kebiasaan para Ulama' untuk memberitahu makna al-Qur'an. Makna al-Qur'an daripada segi istilah agak berbeza pada lafaznya, tetapi serupa sahaja daripada segi maknanya:


1-       "Al-Qur'an ialah Kalam yang berdiri sendiri bersama-sama dengan zat Allah s.w.t., serta ia adalah apa yang telah dipindahkan kepada kita yang tertulis di antara dua muka al-Qur'an yang dipindahkan secara mutawatir (oleh ramai orang yang mustahil adanya sebarang penipuan)"[8].


2-       "Al-Qur'an ialah apa yang tertulis di dalam al-Qur'an yang terdapat pada tangan orang-orang Islam di Timur dan di Barat, daripada awal Ummu al-Qur'an (al-Fatihah) sehingga akhir surah an-Naas, serta Kalam Allah s.w.t. dan wahyu-Nya yang diturunkan ke dalam hati Nabi s.a.w. serta sesiapa yang mengingkari satu huruf daripada al-Qur'an dikira sebagai orang Kafir"[9]


3-       "Al-Qur'an ialah buku yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang ditulis di atas helaian-helaian buku, yang dipindahkan  kepada kita secara mutawatir (oleh ramai orang yang mustahil adanya sebarang penipuan) tanpa ada sebarang keraguan"[10].


4-       "Al-Qur'an ialah buku Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang tertulis di antara dua muka al-Qur'an, yang dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Naas"[11].


5-       "Lafaz Arab yang diturunkan kepada Nabi s.a.w., yang dipindahkan  kepada kita secara mutawatir (oleh ramai orang yang mustahil adanya sebarang penipuan)" [12].

Makna daripada segi istilah yang dipilih:

Adapun makna yang kami pilih ialah:
"Kalam Allah, yang diturunkan ke atas Muhammad s.a.w., yang merupakan mu'jizat, yang tertulis di atas helaian-helaian buku, yang dipindahkan  kepada kita secara mutawatir (oleh ramai orang yang mustahil adanya sebarang penipuan), dan pembacaannya dikira sebagai ibadah".

Penerangan bagi makna ini ialah:
- "Kalam" jenis yang merangkumi semua kata-kata, dan ia disandarkan kepada "Allah" dengan ini terkeluarlah daripada maknanya semua kata-kata (seperti kata-kata manusia dan lain-lain), selain kata-kata Allah.
- "Yang diturunkan" terkeluarlah daripada maknanya kata-kata yang dirahsiakan oleh Allah terhadap diri-Nya sendiri, serta kata-kata-Nya terhadap para malaikat, yang tidak diturunkan kepada seorangpun dalam kalangan manusia.
- "ke atas Muhammad s.a.w." terkeluarlah daripada maknanya apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi sebelum baginda, seperti Taurat, Injil, dan Zabur.
- "yang merupakan mu'jizat" al-Qur'an secara keseluruhannya merupakan mu'jizat, malah satu surah daripada al-Qur'an juga merupakan mu'jizat walaupun ia adalah surah yang paling pendek. Dengan syarat ini terkeluarlah daripada maknanya hadis Qudsi, kerana makna hadis Qudsi daripada Allah dan lafaznya daripada Nabi s.a.w. Oleh itu, hadis Qudsi bukanlah suatu mu'jizat untuk manusia.
- "yang tertulis di atas helaian-helaian buku" dengan syarat ini terkeluarlah apa yang telah dinasakhkan (dibatalkan) lafaznya dan yang kekal hukumnya daripada al-Qur'an, contohnya -bagi Ulama' yang mengatakan bahawa ia daripada al-Qur'an lalu dibatalkan-  :
(الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا اَلْبَتَّةَ نَكَالاً مِّنَ الله)
Maksudnya: Lelaki dan wanita tua yang berzina, maka rejamlah mereka berdua sampai mati sebagai hukuman daripada Allah[13].

Maka, ayat ini bukanlah sebahagian daripada al-Qur'an kerana ia tidak tertulis di dalam helaian al-Qur'an. Helaian-helaian al-Qur'an yang di maksudkan di sini ialah helaian-helaian al-Qur'an yang ditulis pada zaman pemerintahan Utsman bin Affan r.a., dan para sahabat telahpun bersetuju dan bersepakat tentang kesahihannya. Oleh itu, helaian-helaian al-Qur'an yang ditulis khas oleh sebahagian para sahabat seperti Mashaf Ubai bin Ka'ab dan Mashaf Ibnu Mas'ud adalah tidak termasuk dalam maksud al-Qur'an yang dibincangkan kerana di dalamnya terdapat tafsiran-tafsiran yang bukannya daripada ayat-ayat al-Qur'an. Oleh itu, al-Mashaf ialah apa yang terkumpul di dalamnya al-Qur'an dan kata jama' bagi al-Mashaf ialah al-Masohif, dan apa yang tertulis di dalam al-Mashaf yang dipersetujui oleh semua maka itulah al-Qur'an.
- "yang dipindahkan  kepada kita secara mutawatir " yang dimaksudkan dengan mutawatir ialah: apa yang dipindahkan kepada kita oleh sekumpulan orang yang ramai daripada sekumpulan yang ramai, daripada generasi kepada generasi dalam semua zaman, semenjak al-Qur'an itu diturunkan pada zaman Nabi s.a.w. hinggalah ke hari ini, yang mana secara logiknya adalah mustahil untuk mengandaikan bahawa mereka semua telah berpakat untuk berbohong. Oleh itu, bacaan yang dipindahkan kepada kita tetapi tidak mutawatir, tidak dianggap sebagai al-Qur'an. Contohnya, apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa beliau membaca firman Allah s.w.t yang berkaitan tentang pemotongan tangan pencuri:
(والسارق والسارقة فاقطعوا أيمانهما)
Maksudnya: dan pencuri lelaki dan wanita, potonglah tangan kanan mereka berdua.
Oleh sebab itulah, seluruh umat Islam telah bersetuju dengan kewajipan mengagungkan al-Qur'an secara mutlak. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari satu huruf al-Qur'an yang telahpun disepakati kebenarannya atau menambah dan mengurang satu huruf yang tidak dibaca oleh sesiapa dan dia mengetahuinya, maka dia dikira sebagai orang Kafir.
- “pembacaannya dikira sebagai ibadah” ini bermakna pembacaan al-Qur’an dikira sebai ibadah yang khusus dengan sekadar membacanya, sama ada bacaan itu disertai dengan kefahaman ataupun tidak. Ini merupakan keistimewaan al-Qur’an yang tidak ada pada perkataan lain, walaupun perkataan itu daripada Nabi s.a.w. (hadis Nabawi dan hadis Qudsi). Nabi s.a.w. sendiri telah bersabda:
«مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ، فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ: ﴿الم﴾ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ»

 Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu adalah dengan sepuluh kali pahala, aku tidak mengatakan bahawa: ﴿الم﴾ itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf[14].

Kesimpulan 

Alhamdulillah! Kita sebagai hamba Allah yang kerdil ini telah diberikan kemuliaan yang tidak terhingga oleh-NYA dengan menurunkan al-Qur'an (KalamNYA) kepada kita, memberi hidayah dan petunjuk yang berterusan melalui KalamNYA. Maka, siapakah yang lebih rugi daripada orang yang tidak mahu menghayati al-Qur'an dan enggan mengaplikasikannya dalam kehidupan?! Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang menjadikan al-Qur'an itu sumber utama rujukan!





[1] Al-Hakim, al-Mustadrak, juzu’2, m.s.250; al-Khatib, Tarikh Baghdad, juzu’2, m.s.62; lihat az-Zarkasyi, al-Burhan, juzu’1, m.s.278.
[2] Lihat ar-Razi, at-Tafsir al-Kabir, juzu’3, m.s.100; as-Suyuti, al-Itqan, juzu’1, m.s.144.
[3] Beliau ialah Abu al-Hasan Ali bin Hazim seorang ahli bahasa Arab, pengarang kitab an-Nawadir, digelar sebagai al-Lihyani disebabkan kelebatan janggutnya, beliau merupakan pelajar al-Kisa’I, Abu Zaid, Abu Ubaidah, dan Al-As’ma’i. Rujuk cerita mengenai beliau dalam kitab Inbah ar-Ruwah, oleh al-Qafthi, juzu’2, m.s.255.
[4] As-Suyuti, al-Itqan, juzu’1, m.s.144.
[5] Ibnu al-Atsir, an-Nihayah fi al-Gharib al-Hadis, juzu’4, m.s.30.
[6] As-Suyuti, al-Itqan, juzu’1, m.s.144.
[7] Ibnu ‘Asyur berkata dalam buku beliau: at-Tahrir wa at-Tanwir, juzu’1, m.s.39: “Antara manusia ada yang mendakwa bahawa al-Qur’an adalah kata jama’ bagi قرينة sedangkan ia tidak dijama’kan atas wazan فعال kerana kata jama’ yang datang atas wazan فعال amat terhad, dan ia bukanlah antaranya,  قرينة adalah alamat/tanda disebabkan ayat-ayatnya saling membenarkan antara satu sama lain, maka ia adalah tanda-tanda kebenaran.   
[8] Al-Ghazali, al-Mustasfa, juzu'1, m.s.65.
[9] Al-Kattani, Muhammad al-Muntasir, Mu'jam Fiqh Ibnu Hazm, juzu'2, m.s.833.
[10] Al-Bazdawi, Usul al-Bazdawi, juzu'2, m.s.21-23.
[11] Abdul Qadir 'Audah, At-Tasyri' al-Jina'i, juzu'1, m.s.165.
[12] Mahmud Syaltut, al-Islam 'Aqidah wa Syari'h, juzu'1, m.s.399.
[13] Akan datang penerangan tentangnya dalam tajuk Nasakh (pembatalan) dalam al-Qur'an.
[14] Riwayat Sunan at-Tirmizi, Kitab Kelebihan-kelebihan al-Qur’an, no.3835, kata beliau: “Hasan Sohih”.

No comments:

Post a Comment