Friday, August 19, 2011

Al-Qur'an, Hadis Qudsi, Hadis Nabawi: Kajian Perbandingan


2- PERBEZAAN ANTARA AL-QUR’AN, HADIS QUDSI, DAN HADIS NABAWI.

Oleh sebab sumber ketiga-tiganya adalah daripada Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:
[النجم: 3-4] (وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلاّ وَحْيٌ يُوحَى)
 Maksudnya: dan dia (Muhammad) tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya. Ia (al-Qur’an) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (oleh Allah kepadanya).
Maka, apakah perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini?

A) Perbezaan antara al-Qur’an dan hadis Qudsi.

Hadis sama ada hadis Qudsi atau hadis Nabawi, kedua-duanya merupakan wahyu daripada Allah s.w.t. sebagaimana al-Qur’an:
  [النجم: 3-4] (وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلاّ وَحْيٌ يُوحَى)
 Maksudnya: dan dia (Muhammad) tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya. Ia (al-Qur’an) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (oleh Allah kepadanya).
Oleh itu, hadis-hadis Nabi s.a.w. terbahagi kepada dua bahagian:
a) Bahagian yang ditetapkan oleh Allah (قسم تَوْقِيْفِي) :
Ia adalah apa yang diterima oleh Nabi s.a.w., lalu baginda menerangkannya dengan kata-kata baginda sendiri.
b) Bahagian yang berdasarkan petunjuk Allah (قسم تَوْفِيْقِي) :
Ia adalah apa yang dikeluarkan oleh Nabi s.a.w. berdasarkan kepada kefahaman baginda terhadap al-Qur’an, atau berdasarkan penelitian dan ijtihad baginda sendiri. Untuk bahagian ini, wahyu akan membenarkan apa yang benar, dan membetulkan apa yang salah.
Hadis Qudsi berada dalam bahagian pertama iaitu bahagian yang ditetapkan oleh Allah (قسم تَوْقِيْفِي).
Hadis Qudsi bermaksud: Kata-kata yang disandarkan oleh Nabi s.a.w. kepada Allah s.w.t. menggunakan kata-kata baginda sendiri secara jelas: "قال الله" (Allah telah berfiman), "يقول الله" (Allah berfiman), "إن روح القدس نَفَثَ في رُوعي" (Sesungguhnya Ruh al-Quds telah meniupkan ke dalam hatiku), atau melalui kata-kata sahabat baginda:
"عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فيما يرويه عن ربه" (daripada Nabi s.a.w. tentang apa yang baginda riwayatkan daripada Tuhannya), dan apa yang hampir serupa dengan kata-kata tersebut[1].

Perbezaan antara hadis Qudsi dan al-Qur’an:
1- Al-Qur’an adalah kata-kata daripada Allah s.w.t. daripada segi lafaz dan maknanya. Manakala, hadis Qudsi maknanya daripada Allah s.w.t. sedangkan lafaznya daripada Nabi s.a.w. -menurut pendapat yang rajih (kuat)-[2].  oleh itu, hadis Qudsi boleh diriwayatkan dengan maknanya.
2- Al-Qur’an hanya disandarkan kepada Allah s.w.t. Oleh itu, kita hanya mengatakan: «قال الله تعالى» (firman Allah s.w.t), manakala, hadis Qudsi kadang-kadang ia diriwayatkan dengan sandaran kepada Allah s.w.t.dengan lafaz "قال الله، يقول الله"(firman Allah s.w.t), dan kadang-kadang ia disandarkan kepada Ruh al-Amin (Jibril a.s.) dengan lafaz: "إن روح القدس نفث في رُوْعي". (sesungguhnya Ruh al-Quds (Jibril) meniupkan ke dalam hatiku), dan kadang-kadang ia diriwayatkan dengan sandaran kepada Nabi s.a.w. dengan lafaz "قال رسول الله فيما يرويه عن ربه"  (Rasulullah telah bersabda tentang apa yang baginda riwayatkan daripada Tuhannya).
3- Seluruh al-Qur'an diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s., manakala, hadis Qudsi diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s., melalui ilham, dan juga mimpi.
4- Al-Qur'an dibaca di dalam solat sebagaimana firman Allah s.w.t.: [المزمل: 20] (فَاقْرَؤُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ) Maksudnya: Maka bacalah olehmu apa yang mudah daripadanya (al-Qur'an).
Manakala, hadis Qudsi tidak boleh dibaca di dalam solat.
5- Ganjaran pahala bagi membaca al-Qur'an adalah dalam bentuk yang khas (sepuluh ganjaran pahala bagi satu huruf), manakala, ganjaran pahala bagi membaca hadis Qudsi tidak seperti ganjaran membaca al-Qur'an.
6- Seluruh al-Qur'an sampai kepada kita secara mutawatir, oleh itu al-Qur'an قطعي الثبوت  (diterima secara pasti dan mutlak), maka semua yang terdapat dalam al-Qur'an adalah benar dan tepat. Manakala, kebanyakan hadis-hadis Qudsi yang sampai kepada kita adalah hadis Ahad oleh itu ia adalah ظنية الثبوت (tidak diterima secara pasti) maka ada antara hadis Qudsi yang sohih, ada yang hasan, dan ada yang dhoif (lemah), dan ada yang palsu.
7- Menyentuh al-Qur'an tanpa wudu' adalah haram, begitu juga haram membaca al-Qur'an bagi orang yang berhadas besar seperti orang yang junub, perempuan haid, dan nifas. Manakala hadis Qudsi boleh dibaca dan disentuh oleh sesiapa[3].  

A) Perbezaan antara hadis Qudsi dan hadis an-Nabawi.

Hadis Nabawi disandarkan kepada Nabi s.a.w. yang dianggap sebagai kata-kata baginda sendiri, manakala hadis Qudsi disandarkan oleh Nabi s.a.w. sendiri kepada Allah s.w.t. secara jelas dengan kata-kata baginda: "قال الله" (Allah telah berfiman), "يقول الله" (Allah berfiman), "إن روح القدس نَفَثَ في رُوعي" (Sesungguhnya Ruh al-Quds telah meniupkan ke dalam hatiku), dan apa yang hampir serupa dengan kata-kata tersebut. Dengan kewujudan lafaz-lafaz inilah kita dapat membezakan antara hadis Qudsi dan hadis Nabawi[4].

Lafaznya
Maknanya
Istilah
Daripada Allah
Daripada Allah
Al-Qur'an
Daripada Nabi s.a.w. (dan disandarkan kepada Allah)
Daripada Allah
Hadis Qudsi
Daripada Nabi s.a.w.
Asasnya adalah wahyu daripada Allah
Hadis Nabawi Tauqifi
Daripada Nabi s.a.w.
Asasnya adalah ijtihad daripada Nabi s.a.w.
Hadis Nabawi Taufiqi
Jadual perbezaan antara al-Qur'an, hadis Qudsi, dan hadis Nabawi


(buku asal:  المدخل إلى دراسة علوم القرآن للدكتورة صفية شمس الدين)

perhatian: terjemahan ini diberikan oleh seorang rakan (pelajar) untuk manfaat serta perkongsian bersama. Oleh sebab ia bukan terjemahan profesional, mungkin terdapat kesilapan dalam terjemahannya. sebarang pembetulan amat dialu-alukan. terima kasih ^_^


[1] Untuk tambahan maklumat sila rujuk: al-Khoir Abadi, Dr. Muhammad Abu al-Lais, Ulum al-Hadis Asiluha wa Mu’asiruha, m.s.106.
[2] Contoh hadis Qudsi, firman Allah s.w.t.: “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan ke atas diriKu daripada bersifat zalim, dan aku juga menjadikan ia(zalim) haram dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu bersifat zalim”. Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Zar. Sebahagian ulama’ mengatakan: Hadis Qudsi ialah kata-kata Allah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. daripada segi lafaz dan juga makna, tetapi ia tidak diturunkan sebagai al-Qur’an untuk mencabar orang kafir melaluinya, buktinya, hadis Qudsi tidak ditulis di atas helaian-helaian al-Qur’an dan tidak dibaca ketika solat. Rujuk: Muhammad Sulaiman al-Ashqar, al-Wadhih fi Usul al-Fiqh, m.s.74.
[3] al-Khoir Abadi, Ulum al-Hadis Asiluha wa Mu’asiruha, m.s.109.
[4] al-Khoir Abadi, Ulum al-Hadis Asiluha wa Mu’asiruha, m.s.110.

No comments:

Post a Comment