Friday, August 19, 2011

MAKKI & MADANI


1- SOAL PENJAGAAN MAKKI DAN MADANI

Para pengkaji dalam bidang Ulum al-Qur’an amat menitikberatkan soal membezakan antara surah-surah yang turun di Mekah dan yang turun di Madinah, yang turun ketika bermusafir, atau ketika musim panas, atau ketika musim sejuk, atau ketika malam, atau ketika siang. Imam as-Suyuti telah menyimpulkan di dalam buku beliau “al-Itqan fi Ulum al-Qur’an” beberapa bab untuk mengetahui surah-surah yang berbentuk الحضري والسفري (waktu menetap dan waktu musafir), النهاري والليلي (waktu siang dan waktu malam), الصيفي والشتائي (musim panas dan musim sejuk), dan sebagainya berdasarkan tempat dan waktu tertentu. Ini menunjukkan betapa besar dan telitinya tahap penjagaan para Ulama’ terhadap semua perkara yang berkaitan dengan al-Qur’an.
Namun begitu, apa yang penting bagi kita dalam bab ini ialah untuk mengetahui: Makki dan Madani. Ini kerana soal Makki dan Madani adalah lebih perlu untuk diketahui, dan soal ini juga adalah lebih umum kerana surah-surah yang turun pada musim panas atau sejuk, malam atau siang tidak akan terlepas daripada ia merupakan surah Makki ataupun Madani. Tambahan pula, Makki dan Madani terlibat dalam soal pensyariatan daripada segi an-Nasikh dan al-Mansukh (yang membatal dan yang dibatalkan), tidak seperti yang turun pada waktu malam atau siang...dan sebagainya. Oleh itu, ilmu mengenai Makki dan Madani adalah lebih penting dan lebih umum.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa Nabi s.a.w. telah menghabiskan sebahagian umur baginda di Mekah dan sebahagian lagi di Madinah, malah, baginda juga pernah keluar daripada Mekah ke To’if, dan daripada Madinah ke tempat-tempat peperangan, serta keluar untuk menunaikan umrah dan haji, dan ke mana-mana sahaja baginda berada wahyu turun kepada baginda.
Nabi s.a.w. menetap di Mekah setelah baginda diutus menjadi Rasul dan ketika itu baginda berumur empat puluh tahun, sehinggalah baginda berumur lima puluh tiga tahun, ini bermakna Nabi s.a.w. tinggal di Mekah selama tiga belas tahun, kemudian baginda berhijrah ke Madinah, dan wafat ketika berumur enam puluh tiga tahun, ini bermakna Nabi s.a.w. tinggal di Madinah selama sepuluh tahun, dan wahyu turun kepada baginda di kedua-dua tempat ini.
Orang yang membaca al-Qur’an akan mendapati bahawa pada setiap permulaan surah akan terdapat pengenalan bahawa surah ini merupakan surah Makkiah atau Madaniah atau beberapa ayat daripada surah ini merupakan Makkiah atau Madaniah. Maka, persoalannya, daripada manakah kita dapat mengetahui tentang Makkiah dan Madaniah? Adakah ia diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.? Atau ia diriwayatkan daripada para sahabat dan orang yang datang selepas mereka?
Apa yang pasti, soal penetapan Makkiah dan Madaniah bukanlah dalam bidang tugas Nabi s.a.w. untuk menjelaskannya, tetapi ia adalah hasil ketika mengkaji al-Qur’an untuk mengetahui an-Nasikh wa al-Mansukh...dan sebagainya. Oleh itu, ia merupakan kajian yang datang selepas Nabi s.a.w. dan ia bergantung kepada riwayat-riwayat yang membantu penetapan ini dibuat.
Adapun, soal penjagaan Makki dan Madani oleh umat Islam sepanjang sejarah adalah seperti berikut:
a) Para sahabat: Kita dapati bahawa para Ulama’ dalam kalangan sahabat dan tabi’in mengetahui tentang al-Qur’an dan penurunannya dengan terperinci daripada segi masa dan tempat, dan ini merupakan asas utama dalam sejarah pensyariatan. Oleh itu, kita dapati Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Tiada suatu surahpun daripada Kitab Allah yang turun melainkan aku mengetahui di mana ia diturunkan, dan tiada suatu surahpun daripada Kitab Allah yang turun melainkan aku mengetahui tentang apa ia diturunkan, dan jika aku mengetahui seseorang yang lebih mengetahui tentang Kitab Allah daripada diriku dan unta dapat sampai kepadanya, maka aku pasti akan menunggang unta itu (untuk pergi kepadanya)”[1].
b) Para tabi’in: Kita dapati para Ulama’ dalam kalangan tabi’in yang telah menuntut ilmu daripada para sahabat amat mengambil berat soal Makki dan Madani, kenapa tidak? Sedangkan mereka adalah murid kepada sahabat Nabi s.a.w. Ikrimah telah disoal tentang satu ayat daripada al-Qur’an, lalu dia menjawab bahawa ia diturunkan di kaki bukit itu, dan dia mengisyaratkan ke bukit Sal’i yang merupakan bukit yang terkenal di Madinah.
c) Para Ulama’: Para Ulama’ amat mengambil berat dalam mengenal pasti Makki dan Madani. Oleh itu, mereka mengkaji setiap ayat dan surah berdasarkan tertib penurunannya, dan mereka berusaha keras untuk mengetahui masa dan tempatnya. Maka, ini merupakan penetapan yang terperinci yang memberikan bentuk akademik bagi mengenal pasti Makki dan Madani.
2- MAKNA MAKKI DAN MADANI

Para Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan makna Makki dan Madani berdasarkan kepada arah mereka melihat Makki dan Madani. Sebahagiannya melihat kepada siapa ayat itu ditujukan, sebahagiannya melihat kepada tempat, dan sebahagiannya melihat kepada masa.

1- Berdasarkan masa:

·       Makki adalah apa yang turun sebelum hijrah, walaupun ia turun di Madinah.

·       Madani adalah apa yang turun selepas hijrah, walaupun ia turun di Mekah.
Contoh bagi ayat Madani yang turun selepas hijrah di Mekah adalah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Pada hari ini aku telah sempurnakan  agamamu untukmu, dan aku telah cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan aku telah redhai Islam sebagai agamamu.” (al-Ma’idah: 3).
Oleh itu, ayat Madani adalah termasuk juga apa yang turun selepas hijrah ketika Nabi s.a.w. berada di luar Madinah seperti ketika baginda bermusafir, atau berperang, atau ketika berada di Mekah, atau di Arafah. Seperti firman Allah s.w.t. ketika tahun Pembukaan Kota Mekah, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu agar kamu menunaikan (memberi) amanah kepada orang yang berhak”. (an-Nisa’: 58).
Inilah makna yang dipilih oleh para Ulama’ kerana maknanya yang tepat dan mencakup semua aspek.

2- Berdasarkan kepada siapa ayat itu ditujukan:

·       Makki adalah apa yang ditujukan kepada penduduk Mekah.

·       Madani adalah apa yang ditujukan kepada penduduk Madinah.
Oleh sebab kebanyakan penduduk Mekah merupakan orang kafir, maka ayat yang ditujukan kepada mereka adalah: “Wahai manusia” walaupun ayat ini turut ditujukan kepada yang selain mereka. Manakala, oleh sebab kebanyakan penduduk Madinah merupakan orang yang beriman, maka ayat yang ditujukan kepada mereka adalah: “Wahai orang-orang yang beriman” walaupun ayat ini turut ditujukan kepada yang selain mereka. Oleh itu, kita dapati bahawa makna ini tidak begitu tepat, kerana kita juga akan mendapati terdapat penggunaan “Wahai manusia” dalam dua surah Madani iaitu surah al-Baqarah dan an-Nisa’.   

3- Berdasarkan tempat:

·       Makki adalah apa yang turun di Mekah, dan termasuk juga Mekah kawasan-kawasan sekitarnya: Mina, Arafat, dan Hudaibiyah.

·       Madani adalah apa yang turun di Madinah dan termasuk juga Madinah kawasan-kawasan sekitarnya: Badar, Uhud, dan Sal’i.
Kesan daripada makna ini terdapat pembahagian yang tidak sempurna. Apa yang turun kepada Nabi s.a.w. ketika bermusafir seperti surah al-Anfal, al-Fath, dan al-Hajj, dan ayat yang turun di Tabuk dan di Baitul Maqdis, tidak disebut sebagai Makki mahupun Madani.  Ini juga bermaksud, bahawa ayat yang turun selepas hijarah di Mekah turut dinamakan Makki.

Madani
Makki
Makna berdasarkan
No
Diturunkan selepas hijrah
Diturunkan sebelum hijrah
Masa
1
Diturunkan kepada penduduk Madinah
Diturunkan kepada penduduk Mekah
Kepada siapa ditujukan
2
Diturunkan di Madinah
Diturunkan di Mekah
Tempat
3
Jadual pendapat Ulama’ terhadap makna Makki dan Madani



[1] Riwayat Sohih al-Bukhari, Kitab Kelebihan-kelebihan al-Qur’an, hadis no.4716.

No comments:

Post a Comment