Saturday, August 6, 2011

SAYA AMAT MENCINTAINYA. ADAKAH PERBUATAN SAYA INI SALAH??

Apakah jawapan terbaik yang dapat Ummu Nuh berikan untuk adik (saudara seIslam) Ummu Nuh. Entah mengapa bila membaca soalan ini, terbit rasa kasihan serta rasa sayang buatnya:

"SAYA SEORANG PEREMPUAN YANG BERUSIA 26 TAHUN DAN SEDANG BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG...SAYA SUDAH BERSAMANYA 3 TAHUN....DIA CAKAP AKAN MENGANWINI SAYA..TAPI SAYA XTAHU BILA...SAYA AMAT MENCINTAINYA..ADAKAH PERBUATAN SAYA INI SALAH????PERITKAH MENJADI ISTERI KEDUA???"

Hanya jawapan ini yang mampu Ummu Nuh berikan:

Sesungguhnya wahai adikku..  Kakakmu ini menyayangimu. Semoga Allah menjadikan kasih dan sayang yang terbit ini hanya keranaNYA. Andai dirimu berada di sisiku tika ini, pasti kuusap lembut ubun-ubunmu. Memelukmu untuk meredakan resah hatimu. Kerana di hati kakak, kakak ingin melihat dirimu bahagia, tenang dan damai. Dan ketahulah adikku, kebahagiaan, ketenangan, dan kedamaian itu hanya akan diperolehi dengan meminta & merintih kepada Ilahi, mengikut petunjuk serta hidayahNYA, mengikut aturan dan jalanNYA, kerana Dia Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani kepada hamba-hambaNYA..

Alhamdulillah kan dik? Kita ini MUSLIM dan MUSLIM itu bermaksud orang yang berserah diri kepadaNYA.. kepada cara hidupNYA.. dan semuanya boleh adik dapati dalam al-Qur'an.. Bacalah al-Qur'an sambil menghayati terjemahannya. Semoga ia menenangkan dirimu.

Adikku, kakak tidak tahu sejauh mana perhubunganmu dengan 'suami orang' yang diceritakan ini. Apapun, akak doakan semoga dia segera mengahwini dan menikahi adik. Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap janji manis yang ditaburkan.

Kuatkan dan tabahkan dirimu untuk menilai; adakah lelaki itu benar-benar mencintaimu? Tahukah adik, apakah penilaian yang tepat untuk mengetahui bahawa lelaki itu mencintai adik? Penilaian yang tepat adalah dengan menilai, adakah lelaki itu membawa adik hampir kepada redha Allah dan syurgaNYA? Ataukah dia hanya menjadikan adik alat untuk berhibur lalu membawa adik bersamanya kepada murka Allah dan nerakaNYA? (kita minta dijauhkan Allah daripada murka dan nerakaNYA)

Adikku, nilailah adikku. Semoga Allah melimpahkan cahayaNYA kepada adik untuk melihat kebenaran. Melihat yang batil itu sebagai batil dan yang hak itu sebagai hak.

Adikku, ketahuilah, cinta yang diredhai Allah itu menenangkan jiwamu. Menjadikan hatimu terasa amat bahagia kerana dirimu berada dekat dengan redhaNYA..


Namun, cinta nafsu itu adalah satu ketagihan yang menderitakan. Ibarat penagih dadah yang amat mencintai dadahnya. Atau ibarat penagih rokok yang mencintai rokoknya. Dia bahagia dan amat 'setia' dengan ketagihannya sehingga memusnahkan diri sendiri. Maka, perhatikanlah adik, di mana letaknya cintamu itu..


Andai cintamu itu mendamaikan hatimu, maka syukur alhamdulillah..


Namun, andai ia menderitakan jiwamu, menjadikan jiwamu sempit, terhiris, pedih, bagai dipanah dan ditikam-tikam..Maka berjuanglah adik! Berjuanglah untuk membebaskan dirimu daripada belenggu perhambaan kepada cinta selain Allah. Bebaskan dirimu! Merdekakan dirimu! Jadilah hamba Allah yang sebenarnya. Kerana hamba Allah itu bebas merdeka daripada belenggu dunia yang menipu. Manakala, manusia yang ingin merdeka dan bebas daripada menjadi hamba Allah akan menjadi hamba nafsu, iblis, syaitan, harta, dan segala benda yang akan membinasakan. Kerana Iblis dan syaitan itu musuh manusia, membenci manusia, menginginkan kemusnahan abadi buat manusia agar bersamanya dalam murka dan neraka.

Sedangkan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Dia memberi kita kebebasan untuk memilih.. dan bersamanya ada tanggungjawab..ada kesannya. Dia menganugerahkan UtusanNYA para Rasul dan utusan terakhir ialah Nabi Muhammad s.a.w. bersama mukjizat al-Qur'an, yang mengandungi petunjuk buat kita semua. Ikutilah petunjukNYA, maka pasti kita bahagia. Manakala orang yang berpaling & membenci petunjukNYA, maka mereka itulah orang-orang yang celaka..


Adikku, senyumlah! Hitunglah nikmat-nikmat Tuhan buatmu! Mungkin tika ini ujian menimpamu, tapi tetaplah bersyukur dan bersabar! Berjuanglah, jangan berputus asa! Jangan pernah berputus asa daripada keampunan dan rahmat Allah..tapi berputus asalah daripada dosa dan janji manis Iblis dan syaitan. Kerana syaitan itu sering membisikkan kepada manusia: "Berbuatlah dosa, nanti kemudian kau bertaubat!" Namun setelah manusia pendosa jatuh ke dalam dosa, syaitan membisikkan dengan penuh licik: "Berputus asalah engkau! Engkau memang manusia pendosa!" Usah percaya pada bisikan syaitan yang menipu. Adikku, usah biarkan dirimu diketawakan Iblis dan syaitan ketika melihatmu menangis.  Untuk itu, sentiasalah dekatkan dirimu dengan ilmu dan para guru yang solehah. Semoga Allah membantumu..ameen.

Ketahuilah adikku, setiap yang bernama insan itu pasti diuji. Kakak dengan ujian kakak, adik dengan ujian adik. Selagi bernafas, kita sentiasa diuji. Maka berjuanglah adikku! Mari kita sama-sama berjuang! Biarpun kalah, kalah, kalah, menang, kalah, menang, menang kembali! Satu perjuangan yang berterusan.. Apa yang penting jangan berputus asa, dan sentiasalah meminta bantuan Ilahi.. Kakak sentiasa mendoakan kebahagiaan buatmu di dunia dan di akhirat.. ameen.. ^_^


Semoga bermanfaat..

Adikku, mungkin laman-laman web/blog ini juga dapat membantumu, insya Allah:

mencari cinta Ilahi

langit Ilahi



No comments:

Post a Comment