“Betul ke ni? Huhu boleh ke buat macam ni ibu?” Hana memandang wajah ibu tersayang.
Serba salah dibuatnya. Panggilan telefon yang diterima Hana sebentar tadi benar-benar merisaukan hatinya. Setahun lalu, rakan sekelasnya Rani menelefonnya bertanyakan adakah dirinya sudah berpunya, dan jawapannya setahun yang lalu; Hana belum berpunya. Namun, ditakdirkan Tuhan, minggu lepas, pensyarah Hana memperkenalkannya dengan seorang lelaki yang ingin mengambilnya sebagai seorang isteri. Oleh sebab Rani sudah lama tidak menghubungi Hana, maka Hana menganggap bahawa hasrat Rani ingin menjodohkan Hana dengan abang Rani mungkin tidak dapat menjadi kenyataan. Hana segan untuk bertanyakan Rani hal tersebut kerana merasakan Rani berdiam diri lantaran tidak jadi dan malu terhadap Hana. Kini, lelaki pilihan pensyarahnya berjanji untuk datang pada hari Sabtu, dan Rani pula baru sahaja menelefonnya sebentar tadi mengatakan bahawa keluarganya ingin datang berkenalan dengan keluarga Hana pada hari sebelumnya iaitu hari Jumaat. Ibu pula meminta Hana membiarkan keluarga Rani datang kerana ingin menjodohkan abang Rani dengan kakak Hana.
“Ibu, Hana takutlah…” Hana menyuarakan rasa hati. Ya, dia takut untuk mengecewakan orang. Bukankah lebih baik jika dia berterus-terang sahaja mengatakan bahawa Hana sekarang dalam proses berkenalan dengan lelaki pilihan ustazahnya.
“Hana jangan risau. Biarlah mereka datang. Mana tahu keluarga Rani tu nanti akan berkenan dengan kak ngah pula”. Ibu cuba memujuk.
Hana merupakan anak bongsu dalam keluarga. Abang sulungnya sudahpun berkeluarga. Cuma kak ngah dan dirinya sahaja yang belum. Kak ngah sudah bekerja sebagai kerani di sekolah berhampiran rumahnya dan sudah berusia 25 tahun, manakala dirinya baru berusia 23 tahun dan berada di tahun akhir pengajian Sarjana Muda.
“Kan lebih baik kalau Hana beritahu Rani terus yang kita nak jodohkan abang dia dengan kak ngah sebelum mereka datang.. Kenapa mesti tunggu keluarga Rani datang baru nak beritahu?” Hana mempersoalkan keputusan ibunya.
“Iyela, kalau beritahu awal-awal takut nanti mereka tak jadi datang rumah kita pula. Kalau tak beritahu, sekurang-kurangnya mereka dah datang. Dah tengok keluarga kita. Dah tengok kak ngah. Peluang jodoh pun mungkin lebih cerah.” Ibu menerangkan tujuannya.
Hana terdiam. Memandangkan ibunya sudah berkata begitu, apa lagi yang hendak dikata. Mungkin itu jodoh kak ngah. Semoga dimudahkan Tuhan.
------------------------------------------
“Ya Allah! Ramainya!” Hana separuh menjerit apabila melihat 4 buah kereta mula berhenti di hadapan rumahnya. Mujur rumahnya rumah kampung yang tidak berpagar, mudah sahaja keempat-empat buah kereta berderet-deret berhenti di halaman rumah.
“Hana, macam mana ni? Takutlah kak ngah”. Kak ngah menyuarakan kebimbangan di hati. Mereka berdua hanya menurut perintah ibu. Debar di hati mereka hanya Tuhan yang tahu.
“Kak ngah, tu la abang Rani…Yang pakai baju melayu biru muda tu” Disebalik tingkap dapur, Hana menunjukkan kepada kak ngah seorang lelaki tinggi lampai berkulit cerah berbadan tegap seperti polis lagaknya sedang tersenyum memandang ibu. Tidak dapat dinafikan abang Rani seorang yang tampan, segak, dan sedap mata memandang.
Rombongan itu dijemput naik ke rumah oleh ibu. Setelah semua masuk ke rumah, Hana dan kak ngah dipanggil oleh ibu untuk keluar bersalaman. Seorang demi seorang wanita yang ada disalami. Rani tersenyum girang melihat rakan sekuliyahnya yang sudah hampir setahun tak bertemu muka.
“Hana sihat? Lama betul tak jumpa sahabat yang seorang ni” Rani memeluk Hana mesra. Seluruh mata yang hadir tertumpu kepada Hana. Calon isteri abang Rani. Aduh! Hati Hana terasa bagai ditusuk-tusuk sembilu. Bukan Hana calonnya, tapi kak ngah. Habislah! Macam mana nak jelaskan nanti? Hati Hana berdesis.
“Inilah dua orang anak perempuan saya. Dua-dua belum berpunya”. Ibu menerangkan kepada semua yang hadir sambil tersenyum.
Pipi Hana terasa panas. Malu. Aduhai! Terasa seluruh mata yang ada merenungnya. Setelah selesai bersalaman, Hana dan kak ngahnya segera berjalan masuk ke dapur. Malu mereka berdua bukan kepalang!
“Malunya! Malunya!” Hana dan kak ngah meluahkan rasa di dapur, sambil kedua-duanya menyiapkan sedikit juadah untuk dihidangkan kepada tetamu. Makan petang, hanya kuih-muih yang dibeli di gerai berhampiran.
“Nanti kak ngah hantar makanan ke depan ye?” Hana meminta penuh harap.
“Ala, Hanalah yang hantar. Kan keluarga Rani datang nak tengok Hana.. Kak ngah malulah nak keluar”. Kak ngah menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak mahu.
“Ish, ibu kan dah pesan suruh kak ngah keluar sebab calon sebenar ialah kak ngah… Ibu yang suruh tau..” Hana menyebut nama ibu. Biasanya bila itu arahan ibu, semua anak-anak ibu akan patuh. Ibu sangat disayangi dan dihormati oleh anak-anaknya. Ibulah yang bersusah-payah membesarkan mereka bertiga sejak ayah meninggal dunia 10 tahun lalu.
Tiba-tiba ibu datang ke dapur. Mungkin sudah dapat ditelah ibu yang kami berdua masing-masing tidak mahu keluar. Malu!
“Ha, cepatlah kak ngah! Ikut ibu. Ibu bawa air, kak ngah bawa kuih-muih dalam dulang tu.” Ibu memberi arahan. Kak ngah hanya mampu tersenyum kelat. Hana pula hanya dapat memandang kak ngah dengan penuh kasihan. Apa boleh buat… Ini usaha ibu untuk mencari jodoh buat kak ngah. Terpaksalah akur. Biasanya dengan mengikut arahan ibu (selagi tak bertentangan dengan agama) segala urusan akan berjalan lancar penuh berkat. Ameen. Hati Hana berdoa penuh harap.
Sementara ibu dan kak ngah keluar ke ruang tamu, Hana menyusun kuih-muih lain ke dalam pinggan dan diletakkan ke dalam dulang seterusnya. Kak ngah kembali masuk dengan wajah kemerah-merahan. Hana tahu kak ngah malu. Tapi digagahkan diri untuk berulang alik ke dapur dan ke ruang tamu buat kali kedua, ketiga, dan seterusnya sehingga kesemua juadah terhidang di meja makan tetamu.
“Malunya!” Kak ngah menjerit perlahan setelah selesai semua tugasannya. Hana hanya tersenyum simpati.
“Usaha mencari jodoh, insya Allah dapat pahala.” Hana mengingatkan. Kak ngah hanya mengangguk lesu.
“Lepas ni tugas Hana la pula kan? Huhu Hana kena beritahu Rina yang calonnya dah bertukar.” Kak ngah pula mengingatkan Hana. Hana mengangguk sambil melepaskan keluhan berat. Aduh! Tugas yang sangat mencabar.
Semua tugasan sudah diberikan dengan baik oleh ibu malam semalam lagi. Ibu akan memberitahu semua tetamu yang kedua-dua anak perempuannya belum berpunya, sebagai pembayang kepada abang Rani yang kak ngah juga boleh dijadikan calon isteri. Kak ngah sebagai calon kena keluar menghidangkan juadah. Hana sebagai sahabat Rani pula kena menerangkan hasrat keluarga Hana untuk menjodohkan abang Rani dengan kak ngah atas alasan tak mahu langkah bendul. Walaupun alasan utama ialah Hana sudahpun ada calon lain dan kak ngah masih belum ada calon. Namun, ibu tidak mahu Hana memberitahu Rani bahawa Hana sudah ada calon lain, bimbang Rani terasa hati.
Degupan jantung Hana semakin laju. 15 minit kemudian, kedengaran suara ibu memberitahu Rani yang Hana ingin bertemu dengannya di dapur. Hana bersiap sedia di pintu dapur menyambut Rani masuk.
“Amboi! Malu-malu pula calon menantu ni ye, sampai kena berjumpa kat dapur ni ha!” Rani ketawa kecil dengan nada bergurau. Hana turut ketawa. Debaran di hati semakin menggila.
“Rani…” Hana menarik tangan Rani untuk mengajaknya duduk di kerusi.
“Ok?” Rani angkat kening. Kenapa takut-takut ni? Rani berkerut penuh tanda tanya.
“Rani..macam ni.. Keluarga Hana memang sangat berkenan dengan keluarga Rani dan abang Rani. Cuma kalau boleh kami nak jodohkan abang Rani dengan kak ngah, kakak Hana boleh?” Akhirnya Hana berjaya melafazkan kata-kata tersebut yang sudah puas diulang-ulang sejak malam semalam.
“Oh, kenapa macam tu pula? Tak nak langkah bendul ke?” Rani kelihatan sedikit terkejut. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya.
“Lebih kurang macam tu la.. Kalau boleh biarlah kakak yang kahwin dulukan.. Lagipun Hana masih belajar lagi. Kak ngah pula dah kerja. Jadi kak ngah lebih sesuai dengan abang Rani yang sama-sama dah kerja kan..” Hana memberikan alasan-alasan sesuai dengan apa yang sudah ibu ajarkan. Hana tersenyum penuh harap memandang Rani.
“Hehe Rani pun tak tahulah kalau macam ni pula, sebab sebelum ni Rani asyik cerita pasal Hana je kat abang dan keluarga Rani. Kalau nak ubah calon susah jugalah. Kena tanya dia dulu lah kan.. Hehe tapi Rani ada seorang lagi abang, tua 6 tahun daripada Rani. Dia kerja kat Kedah, belum kahwin juga. Ha! Kalau dijodohkan abang Rani ni dengan kak ngah Hana pun ok juga, hehe”. Rani ketawa riang.
Hana terpana. Dia tidak tahu yang Rani mempunyai seorang lagi abang, memandangkan ketika sama-sama belajar sekelas dahulu Rani hanya bercerita mengenai Razak abangnya yang hanya tua setahun darinya. Rani dan Razak sememangnya rapat sejak kecil. Hana terdiam. Dalam masa yang singkat itu Hana cuba mencari alasan lain untuk menolak. Ibu sudahpun pesan jangan cakap berkenaan calon yang dipilih oleh ustazahnya bimbang Rani menganggap Hana dan keluarga cuba menipu Rani sekeluarga. Sedangkan, Hana hanya mendapat berita berkenaan calon ustazah ini seminggu sebelum dan mereka akan datang hari esok. Jadi, realitinya, Hana belum berpunya.
“Oh, kat Kedah? Jauh tu.. Kami duduk Johor,errr jadi kalau boleh, ibu tak nak lah anak-anaknya duduk jauh-jauh sangat, hehe”. Idea yang tiba-tiba muncul di kepala segera diucapkan oleh Hana.
“Habis macam mana ye? Kena bincang dengan abang dan ummi serta ayah Rani la kalau macam ni”. Rani tersenyum pahit.
Ibu datang ke dapur tepat pada waktunya. “Macam mana?” Ibu tersenyum manis.
“Mak cik, rasanya kena bincang dengan abang, ummi dan ayah Rani lah mengenai hal ni. Kita bincang kat dapur lah. Sebab kat luar tu ramai sangat…” Rani menyuarakan pendapatnya.
“Elok juga macam tu”. Ibu mengangguk setuju. Sementara Rani keluar ke ruang tamu untuk memanggil ummi, ayah, dan abangnya ke dapur, Hana pula segera masuk ke bilik tidurnya yang dikongsi bersama kak ngah yang berada tidak jauh dari dapur.
“Kak ngah, cepat keluar!” Hana memanggil dengan nada berbisik.
Kak ngah keluar. Merah mukanya menahan malu. Hana dan kak ngah segera mengambil tempat di hadapan meja bulat yang agak besar di dapur. Hana duduk di sebelah kiri kak ngah, dan kak ngah duduk di sebelah kiri ibu. Rani masuk dan duduk di sebelah kiri Hana. Ayah Rani duduk di sebelah Rani dan abang Rani duduk di antara ayah dan umminya. Jadi, ummi Rani duduk bersebelahan dengan ibu Hana. Ya, kedudukan yang amat strategic. Keadaan meja yang agak besar memberi ruang yang jauh antara Hana dan abang Rani. Malah dengan adanya beberapa botol air yang besar di atas meja, Hana cuba setakat termampu untuk menyembunyikan wajahnya daripada abang Rani.
“Macam ni ummi ayah. keluarga Hana memang berkenan dengan keluarga kita dan bersedia untuk berkenalan dengan Razak…” Rani menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung kata-katanya. Hana dapat merasakan seluruh mata tertumpu padanya ketika itu. Panas mukanya. Hana tidak berani memandang ke hadapan memandangkan Razak berada di hadapannya walaupun jauh dipisahkan dengan meja bulat. Hana hanya memandang Rani yang sedang bercakap sambil tersenyum kelat.
“Cuma kalau boleh nak tukar dengan kak ngah Hana..” Rani menghabiskan ayatnya. Kini semua mata memandang kak ngah. Kasihan kak ngah. Hati Hana berbisik. Kak ngah hanya mampu tersenyum pahit. Terkelip-kelip matanya. Mukanya merah menahan malu.
“Ooo tak nak langkah bendullah ni ye?” Ummi Rani bersuara, dan segera disambut oleh ibu, “Ha, macam tu lah. Kalau boleh nak selesaikan yang kakak dulu”. Ibu tersenyum manis.
“Razak ni pun nak langkah bendul juga ni.. Ada abang dia sorang lagipun belum kahwin lagi ni”. Ummi Rani menyambung sambil memegang bahu Razak. Razak tergelak kecil sambil memandang lantai.
“Razak ok ke kalau nak berkenalan dengan kakak Hana?” Ibu bertanya sambil memandang Razak. Razak tersenyum dan ketawa kecil. Entah apa dan bagaimana dia perlu menjawab. Seboleh mungkin dia cuba menyembunyikan rasa terkejutnya. Ya, dia kehilangan kata-kata. Ketika ini, semua mata tertumpu kepada Razak, menunggu jawapannya. Razak berpaling memandang ayahnya memohon jawapan.
“Apapun kena solat istikharah dulu lah.. Yang terbaik itu pastinya daripada Allah.” Ayahnya memberikan jawapan.
Setelah itu, ayahnya mula bertanya kak ngah berkenaan pelajaran dan kerjayanya sebagai kerani di sekolah menengah berhampiran rumah Hana. Setelah hampir 15 minit bertanya itu ini berkenaan kak ngah, mereka meminta diri. Hana bangun berdiri untuk bersalaman dengan ummi Rani. Sementara menunggu giliran untuk bersalaman, entah bagaimana tiba-tiba mata Hana bertembung dengan mata Razak yang ketika itu berada di belakang umminya. Tajam renungannya membuatkan Hana segera melarikan pandangan mata Hana ke arah kak ngah yang sedang tunduk mencium tangan ummi Razak. Kemudian tiba giliran Hana, Hana tersenyum semanis mungkin memandang wajah ummi Razak. Ummi Razak turut tersenyum manis memandang Hana.
--------------------------------
Hana sujud syukur, sebaik sahaja kesemua tetamu yang berjumlah 16 orang turun daripada rumah menuju ke kereta masing-masing. Ibu kelihatan gembira kerana selesai sudah usaha yang dirancang malam semalam. Kak ngah hanya tersenyum pahit. Hana turut tersenyum namun jauh di lubuk hati bagai ada luka yang sangat dalam. Renungan tajam mata abang Rani yang bagai panah menembusi hati Hana masih terbayang-bayang. Marahkah dia? Bukan jodoh nak buat macam mana kan?.. hati Hana berbisik. Ya, masih ada hari esok untuk dia hadapi. Lelaki pilihan ustazahnya pula akan bertandang ke rumah. Allahu Akbar! Hanya kepada-NYA mereka berserah! Ya, kalau dah jodoh tak ke mana, kalau bukan jodoh, Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-NYA..
---------------------------------
"Mungkin tiada jodoh mereka". Rani memberitahuku dengan suara terkilan.
"Tak apa". Hana tersenyum memandang Rani.
"Sedihnya, tak dapatlah kita jadi sekeluarga kan?" Rani memegang tanganku.
"Eh, kita kan bersaudara..hehe saudara seIslam!" Rani dan Hana tertawa riang.
Mereka berpisah di situ. Asrama semakin lengang. Para pelajar mula beransur pulang ke kampung.
Rani dan Hana, dengan hati yang masih terluka, berpisah di situ. Entah akan bertemu lagi di dunia ini, hanya Tuhan yang tahu. Hana dengan hati luka dihantui rasa bersalah yang amat. Rasa bersalah itu bagai menghentak-hentak jiwanya. Manakala, Rani pula dengan hati luka terasa amat terkilan kerana calon yang ditukar secara tiba-tiba. Luka mereka berdua itu, hanya Tuhan sahaja yang mampu menyembukannya.. Ya Allah, sembuhkanlah hati-hati kami.. Ameen..
No comments:
Post a Comment