"Nak berjaya, bayangkan saat dan ketika kita telah berjaya.." Aku berkata siap dengan gayanya. Gaya orang berangan.
Gaya dan sarananku itu menimbulkan gelak ketawa mereka semua.
"Angan-angan Mat Jenin nanti jadinya ustazah". Seorang pelajar menyampuk dalam ketawanya.
Aku tersenyum.
"Ini teknik orang barat kan ustazah? Visualisasi?" Seorang lagi bertanya sambil tersenyum.
"Ooo ye ke?" Aku buat-buat tak tahu.
"Cuba perhatikan ayat-ayat dalam al-Qur'an.. Banyak ayat yang menceritakan keindahan syurga. Betul tak??" Soalanku itu meredakan ketawa mereka. Mereka mengangguk.
"Bila baca ayat pasal syurga, air sungai mengalir, istana yang besar, bidadari yang cantik, pohon-pohon yang rendang dan berbuah..segalanya begitu terperinci sehingga kita seolah-olah dapat membayangkannya bukan? Itulah teknik imaginasi yang menimbulkan rasa ingin berusaha menuju ke arah kejayaan ukhrawi. Bila membaca ayat-ayat berkenaan syurga terasa seolah-olah di syurga.. Bayangkan.. kita di syurga..." Sekali lagi aku dengan gayaku, memandang jauh ibarat aku sedang tenggelam di dalam dunia yang terasing. Sekali lagi mereka ketawa.
"Okey, tak cukup setakat itu, al-Qur'an sebut dengan jelas ciri-ciri ahli syurga. Malah, nak bagi seimbang, ayat berkenaan neraka akan turut disebutkan berhampiran dengan ayat berkenaan syurga.. Raja' mengharapkan redha-NYa dan syurga, serta Khawf kerana takutkan murka dan neraka-Nya. Hah! bayangkan anda di neraka.. Best tak?"
Mereka menggelengkan kepala sambil tergelak. Aku tersenyum. Apa yang lawak, akupun tak pasti.
"Kalau kita bayangkan kejayaan di akhirat, pasti tidak sia-sia. Realitinya pasti lebih indah! Tapi kalau kita bayangkan kejayaan di dunia, realitinya, pasti tak seindah bayangan kita. Kerana dunia bukan untuk kita cintai dan rindui, dunia tempat ujian yang penuh keperitan dan keletihan. Rinduilah akhirat, cintailah kehidupan ukhrawi bukan dunia yang fana ini kerana dunia hanya untuk digenggam di tangan bukan untuk disimpan di hati". Mereka mengangguk perlahan.
"Dunia ibarat bayang-bayang.. Usah dikejar. Kalau kita mengejar bayang-bayang, apa orang kata?" Mereka kelihatan terpinga-pinga mendengar soalan yang datang secara tiba-tiba.
"Hah, apa orang kata kalau kita kejar bayang-bayang?" Sekali lagi soalan itu kuulang, namun tanpa menunggu mereka menjawabnya aku akhiri dengan satu jawapan pasti.
"Orang kata: GILA BAYANG!". Ketawa mereka pecah lagi, dan aku tersenyum bersyukur atas nikmat Ilahi..
No comments:
Post a Comment