“Tahniah!” Ucapan itu kudengar berkali-kali. Hatiku dan hidungku kembang kuncup. Rasa bahagia dan bangga. Syukur Alhamdulillah.
5A dalam UPSR dan UPSRA.
----------------------------
“Tahniah!” Aku tersenyum pahit mendengar ucapan demi ucapan. Entah mengapa ucapan itu terasa perit bila ditangkap oleh telingaku. Hatiku sakit.
Pelajar terbaik tingkatan satu!
Aku mula mempersoal tujuan hidupku. Adakah kebanggaan ini yang kukejar. Aku pasti akan mati, sedangkan orang yang ada walau sebesar zarah sifat sombong pasti tidak mendapat redha-NYA. Takut. Lalu satu keputusan drastic kubuat. Aku mahu berhenti belajar.
--------------------------
Hampir satu sekolah kecoh. Puas mereka memujuk. Aku tegar dan tegas dengan keputusanku. Ayah dan ibu membawa kupulang. Memberiku rehat selama beberapa minggu. Kasihan kepada ayah ibu. Kuturutkan kemahuan mereka. Sekolah baru sudi menerimaku.
--------------------------
“Tahniah!” Aku kelu. 9A PMR. Alhamdulillah terucap di bibirku. Tapi kesakitan dan kepedihan di hati masih terasa. Kenapa?! Aku jadi takut dengan diri sendiri. ‘Ujub, takabbur.. Aku takut.
------------------------
Ayah sering membawaku ke kuliyah akidah. Ustaz yang berceramah nampak tenang. Tiba-tiba kurasakan aku sudah jatuh cinta. Kusuarakan kepada keluarga. Aku tidak mahu ambil SMA, aku ingin kahwin.
“Habiskan dulu SMA”. Aku akur.
“Tahniah!” Aku gembira. SMA ku 10A. Janji ayah kutagih. SMA dah habis. Bolehkah aku berhenti belajar saja, dan menjadi seorang isteri, isteri kedua kepada seorang ustaz tua yang aku kagumi. Ayah ibu memujuk. Hidup tak semudah itu. Kalau suami mati, ke mana awak nak pergi? SPM perlu dihabiskan dulu. Aku akur.
-----------------------
“Tahniah!” Aku gembira. SPM ku 10A1. Kini janji dulu kutagih. Namun, harapan ayah ibu menjadikanku akur. Matrikulasi aku jejaki.
“Tahniah!” Pelajar terbaik matrikulasi.
Aku menangis. Ayah terdiam memandangku. Janji dulu kuungkit. Ayah bertanya sebab untuk ku berkahwin. Jawabku, untuk elak fitnah, untuk rasa tenang, untuk rasa selamat… Ayah tunduk sedih. Aku tak mampu melihatnya. Kugagahi. Baiklah, aku sambung belajar. Ayah ibu gembira.
----------------------------
Di university, aku mencari suami. Seorang pensyarah sudah setahun kematian isteri. Aku menawarkan diri. Pensyarah itu gembira. Namun, anaknya menghalang. Ayah ibuku turut bimbang. Maka pensyarah itu memohon maaf. Katanya, orang tua kena berkahwin dengan orang tua juga. Lalu dia berkahwin dengan wanita pilihan anaknya. Aku menangis pilu. Ayah ibu kelihatan lega. Aku tahu, dia bukan jodohku. Aku turut lega, walau sedih jauh di lubuk hati.
Seorang ustazahku menawarkan diri untuk mencarikanku suami. Katanya, kalau cepat jodohnya, insya Allah cepat.
Seorang rakan memberitahuku ada seorang pensyarah mencari isteri. Aku menawarkan diri. Namun, kali ini khabar yang diberi ibaratnya sudah tersilap. Maluku bukan kepalang.
Seorang pensyarah dengan nada bergurau mengatakan dia ingin mencari isteri kedua. Aku menawarkan diri. namun sayang, dia merasakan yang aku terlalu muda. Maluku semakin menebal.
Kawan-kawan cuba menolong. Biodataku diminta. Beberapa orang pelajar yang turut mencari isteri diperkenalkan. Namun, tiada jodoh. Tuhan Maha Tahu.
Setelah cukup empat tahun berlalu. Ijazah sarjana muda kutamatkan.
“Tahniah!” Pelajar terbaik ijazah sarjana muda di jabatanku dengan jumlah keseluruhan pangkat: 3.9.
Aku tersenyum lega. Aku mula sedar. Usahaku mencari jodoh tidak sia-sia. Aku mendapat satu pengajaran berharga. Setiap orang punya kelebihan yang diberikan Tuhan. Ada orang mendapat jodoh awal. Ada orang mendapat harta melimpah. Ada orang mendapat pujian melangit. Tinggal bagaimana mengurusnya dan bersyukur kepada-NYA. Lihat kepada orang yang di bawah. Lebih ramai yang hidup susah. Hidup merana. Hidup tanpa cahaya iman. Belum bersyukurkah aku?! Nikmat Tuhanku yang manakah yang ingin kudustakan?! TIADA! Syukur Alhamdulillah..
Aku pasrah. Aku redha. Kalau dah jodoh tak ke mana.. Kalau bukan jodohnya, Allah Maha Tahu apa yang terbaik untukku. Umur sudah meningkat. Kawan-kawan ramai sudah bersuami dan beranak pinak. Aku redha. Mungkin ini yang terbaik. Pelajaran kuteruskan. Hidup satu perjuangan, jihad.. Kalau bukan jihad sebagai isteri dan ibu, aku masih perlu terus berjihad dalam pelajaran dan pengajian. Redha-MU kuharap.
No comments:
Post a Comment