Monday, January 24, 2011

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan

DISCLAIMER: Kisah ini tiada kaitan antara yang hidup dan yang telah meninggal dunia. Hanya imaginasi semata..
“Ummu!”
Aku memandang sekeliling. Kafeteria asrama yang agak bising menyukarkanku mengenali suara yang memanggil namaku. Tiba-tiba kelihatan kawan sebilikku Ain melambai-lambai tangannya. Kelihatan seorang lelaki di hadapannya memandangku. Malah, beberapa pelajar perempuan di kafeteri tersebut turut memandang ke arahku. Mungkin jeritan tersebut terlebih kuat dan menarik perhatian. Aku cuma mampu tersenyum memandang Ain. Segan.
Kelihatan lelaki berhampirannya terus memerhatikanku sambil tersenyum simpul. Aku cuba tidak mengendahkannya. Aku ingin segera membeli makan tengah hari dan pulang ke bilik. Sesungguhnya aku benar-benar tidak senang dengan pandangan mata lelaki yang suka memerhati. Rimas dan rasa serba tak kena.
------------------------------------------
“Ummu! Tadi tu abang Ain”. Ain memberitahuku ketika pulang ke bilik.
“Ooo”. Aku hanya mengangguk.
“Dia nampak Ummu tadi. Dia tanya siapa tu? Haha Ain katalah roommate Ain. Hehe abang Ain kata dia ingat mak cik manalah tadi. Hehe lepas tu sebelum balik dia suruh kirim salam kat mak cik tu. Ha, Ain kata, ha dah, jangan nak menggatal”. Dia bercerita sambil ketawa geli hati. Aku turut ketawa untuk meraikannya.
------------------------------------------
Ketika membasuh baju bersebelahan Ain, kami berborak berkenaan keluarga masing-masing. Memandangkan kami berlainan Kulliyyah pengajian, dan baru beberapa bulan menjadi rakan sebilik, maka kami tidak begitu mengenali satu sama lain. Aku seorang yang pendiam, manakala Ain seorang yang peramah.
“Ummu, teka, Ain anak ke berapa?” Ain tersenyum memandangku.
“Err anak kedua kot”. Aku cuba menembak apa-apa nombor. Memandangkan aku anak kedua daripada tiga adik beradik, aku memilih untuk meneka nombor dua.
“Emmm semua orang mesti cakap macam tu. Haha sebenarnya Ain ni anak bongsu tau. Tapi orang selalu ingat abang Ain tu anak bongsu. Sebab dia tu tak matang sikit. Macam budak-budak.” Aku tersenyum dan mengangguk. Aku dapat bayangkan ketidak matangan seorang lelaki. Kerana aku juga punya adik lelaki yang agak manja dan tidak matang walaupun sudah berusia dua puluhan.
Dan kini hampir dua tahun berlalu tanpa mendengar sebarang khabar berita daripada Ain.
----------------------------------------
Malam itu aku menangis seorang diri. Hatiku sepertinya hancur berkecai. Hanya kerana mendengar cerita kakakku yang baru dikacau lelaki yang merupakan suami orang. Mengajak kakakku menjadi isteri kedua (dengan nada bergurau). Umurnya yang sudah melebihi 25 tahun, memberanikan lelaki itu untuk mempelawanya sebegitu. Aku menangis dalam kegelapan malam. Perit. Pedih. Aku menyayangi kakakku sepenuh hati. Aku tidak mahu dia dipermain lelaki sebegitu. Tapi aku tahu, kakakku tak akan setuju. Ibu bapa ku pun begitu. Aku menangis lagi. Bukan kerana bencikan poligami. Tapi kerana kisah silamku. Aku pernah beberapa kali menawarkan diriku untuk menjadi isteri kedua kepada beberapa orang lelaki yang bagiku amat aku hormati dan kagumi ketokohannya. Namun, bukan jodohku. Semua tak menjadi. Aku menangis. Aku tidak mahu kakakku terluka. Cukuplah aku terasa dipermain-mainkan. Di kampus, rasanya berita aku boleh untuk berpoligami bagaikan sudah tersebar luas. Memalukan. Aku memalukan diri sendiri. Aku menangis. Menangis mengenangkan dosa menganggu ketenteraman rumah tangga suami orang. Menangis kerana terasa aibnya diri, kurang ajar, kurang adab. Aku menangis. Lantas aku mendirikan solat sunat di tengah malam itu. Malam Jumaat yang barakah. Aku mendoakan kakakku semoga mendapat jodoh yang terbaik, yang mampu membimbingnya ke syurga Ilahi.
Esoknya, pagi Jumaat yang penuh barakah. Aku rasa tenang. Azan pertama solat Jumaat berkumandang. Ketika itu, handphone ku berbunyi minta dijawab.
“Assalamu’alaikum, ha, Ain!” Aku menjawab panggilan dengan ceria. Kelihatan nama rakan sebilikku Ain yang telah hampir dua tahun tidak kutemui muncul di paparan skrin handphone.
“Wa’alaikumussalam. Ummu! Ooo Ummu simpan lagi ye nombor Ain..” Dia ketawa penuh ceria.
“Mestilah” Aku menjawab sambil tersenyum. Langkahan kaki kuteruskan. Aku menuju masjid university.
“Ummu kat rumah ke sekarang?”
“Taklah, kat university”.
“Ooo Ummu sambung buat master ye?”
“A’a”
“Ooo ingatkan Ummu kat rumah... O ye, bila nak ajak Ain makan kenduri Ummu?”.
“Ha, Ain nak ajak Ummu pergi kenduri Ain ke?” Aku kurang jelas mendengar pertanyaanya. Memandangkan azan begitu kuat bergema di seluruh kawasan berhampiran masjid.
“Hahaha..Ish, kita tanya dia, dia cakap kita pulak” Ain ketawa ceria.
“Cepatlah, bilanya Ummu nak ajak Ain makan kenduri ni”. Sekali lagi Ain mengulang soalannya.
Aku turut tertawa lalu menjawab: “Bila sampai jodohnya nanti, Ummu ajaklah Ain insya Allah”
“Ooo kiranya Ummu dah ada calonlah ni ye?”Ain memberiku soalan cepu emas.
“Hehe tu lah masalahnya..Macam mana nak ajak Ain makan kenduri, calonnya pun tak ada”. Aku ketawa geli hati.
“Ooo calon belum ada ye”. Suara Ain tiba-tiba bertukar serius.
“Macam ni, sebenarnya abang Ain menyatakan hasratnya untuk berkahwin”. Aku terpana. Terkejut bukan kepalang. Bagai mendengar halilintar berdentum. Langkahku terhenti seketika.
“Ha?” Spontan, patah kata itu terpacul dari mulutku.
“Abang Ain tanya pasal Ummu. Ummu orang Melaka kan? Sebab abang ada kerja sikit kat Melaka. Dia ingat nak pergi rumah Ummu”.
Jantungku berdegup kencang. Apakah ini? Aku beristighfar dalam hati.
“Err, nanti dulu, Ummu pun tak pastilah. Kena tanya mak ayah dulu lah ..” Aku terpinga-pinga menjawabnya.
“Itulah, Ain dah beritahu abang. Tiba-tiba nak terus pergi. Abang Ain ni.. Ish, tu lah Ain dah cakap kat abang, tak ke nampak macam terburu-buru. Biar Ain tanya dulu takut dah ada orang ke.. Tapi memandangkan Ummu belum ada calon, bolehlah kan, nak kenal-kenal dulu..”
-----------------------------------
Aku menelefon ibu di kampung untuk menyatakan hasrat keluarga Ain, sekaligus menyatakan keberatanku untuk menerima abang Ain sebagai suami. Aku dapat mengagak yang abang Ain pastinya akan menolakku setelah menyedari bahawa kami tidak serasi. Maklumlah, abang Ain tidak mengenaliku. Hanya Ain yang menjadi orang tengah. Oleh itu, abang Ain mahu berkenalan terlebih dahulu dan mahu melihat adakah kami ini serasi atau tidak. Maka, mereka sekeluarga mahu datang ke rumahku untuk berkenalan dengan keluargaku terlebih dahulu, sebelum aku dan abang Ain pula yang saling berkenalan untuk melihat keserasian masing-masing. Namun, aku belum bersedia. Apatah lagi, aku ini amat mudah menilai orang walau sekali pandang sama ada aku boleh serasi atau tidak dengannya. Aku pernah melihat abang Ain dua tahun lalu. Aku pasti, aku tidak mampu serasi dengannya. Aku yakin, dia lelaki baik. Namun, setiap wanita ada kriteria suami yang diingini. Aku juga begitu. Malah, aku yakin, abang Ain mampu mencari wanita yang jauh lebih baik daripada diriku. Ya, dia ada kewangan yang kukuh, malah dia seorang yang kacak bergaya. Aku pula jauh berbeza daripadanya. Kalau boleh, aku ingin terus memberitahu Ain, bahawa walaupun aku belum punya calon, namun aku mahu menunggu calon yang dicarikan oleh ustazah di universiti buatku. Namun, harapan ibu untuk menjodohkan abang Ain dengan kakakku terpaksa kuraikan.
“Tak apalah, boleh tanyakan untuk kak long ke..” Suara ibuku kedengaran separuh berbisik.
“Tapi kak long kan lebih tua setahun daripada abang Ain tu?” Aku agak terkejut.
“Tak apalah.. Lagipun kak long nampak muda. Biasa je kalau beza setahun dua. Tapi kak ngah janganlah beritahu kak long” Ibuku masih separuh berbisik. Mungkin bimbang perbualan telefon antara kami didengari kak long yang turut berada di rumah bersama ibu.
“Abah macam mana?” Aku bertanya ingin tahu.
“Abah tak kisah je” Ibu menjawab penuh yakin.
---------------------------------
Mungkinkah ini jodoh kakakku? Aku berharap dia mampu membimbing kakakku. Walaupun jauh di sudut hati, aku berharap kak long akan dapat seorang lelaki yang alim dan matang. Hmm apapun mungkin abang Ain lebih baik daripada kakak menjadi isteri kedua suami orang bukan? Entahlah. Aku tak rasa kakakku mampu menganggung beban berpoligami. Tidak sepertiku. Aku inginkan kehidupan dalam keluarga poligami. Walaupun jika jodohku sebagai isteri pertama, akan kucari seorang madu. Kata mereka, aku ini pelik. Biarlah. Aku tak pelik dengan pendirianku. Selagi tak bertentangan agama, kepelikan itu bukan satu dosa. Apa yang penting, kalau dah jodoh tak ke mana... Tapi kalau bukan jodoh, Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-NYA.. Kak long, semoga kak long bahagia di dunia dan di akhirat.
 -------------------------------
Setahun berlalu sejak Ain menghubungiku. Kusangka mungkin abangnya tidak jadi untuk berkenalan denganku. Syukur, Alhamdulillah.. Aku tidak mahu menghampakan sesiapa. Namun, pagi itu, aku menerima sms mengejut daripada Ain. Mereka sekeluarga ingin datang ke rumah. Ibu amat gembira dengan berita ini. Aku? Aduh rasa amat berat sekali. Aku tidak pasti apa reaksi keluarga Ain setelah datang ke rumah dan mendapat tahu, keluargaku bercadang untuk menukar calon. Keluargaku mahu menjodohkan kakak dengan abang Ain. 

Penerangan diberikan secara ringkas. Aku tak dapat meneka apa yang bermain di benak mereka. Seramai hampir 12 orang keluarga mereka tiba. Apa boleh buat... Namun mereka amat berlapang dada. Memohon untuk solat istikharah terlebih dahulu. Kakakku dan aku hanya mampu tersenyum kelat. 

-------------------------------

Sebulan kemudian, aku menghubungi Ain melalui sms. Katanya, abangnya macam terkilan. Aku memohon maaf bagi pihak keluarga ku kerana menukar calon secara tiba-tiba. Aku meminta maaf. Seperti biasa, Ain membalas sms dengan nada ceria. Ya, bukan jodoh... nak buat macam mana..
Akhirnya segala kerunsinganku berakhir. Aku menangis dan sujud syukur. Lega rasanya... Namun, entah mengapa, walau sudah hampir beberapa bulan peristiwa itu terjadi, hatiku masih terasa sakit yang amat setiap kali mengenangkan apa yang berlaku antara aku dan keluarga Ain. Kadang-kadang hingga terbawa-bawa ke alam mimpi. Ya, aku rasa amat bersalah kerana mengecewakan Ain. Namun, jodoh itu di tangan Tuhan. Semoga dia dan keluarganya mendapat jodoh yang terbaik. Insya Allah.


No comments:

Post a Comment