Friday, December 19, 2014

LELAKI JAHAT YANG MENGINTAI ANAK GADIS KITA

Post kali ini saya edit daripada post di facebook bertajuk:
"Lelaki-lelaki Jahat Yang Mengintai Anak Gadis Kita" oleh:
Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP.

Ada mata-mata liar yang jahat sedang memerhati wanita. Ada mata lelaki jahat yang melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan mata……yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru yang enak…Lalu lelaki jahat ini akan memulakan. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….Dan wanita sangat mudah termakan pujuk rayu…

Satu kisah benar untuk renungan kita bersama:

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau.
Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang haid yang tidak teratur.

Namun saya sengaja bertanya: "datang sebab haid tak teratur ke?"

Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh. Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh hitam.

Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata.

"Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa", katanya berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan sesak dan dia sangat gelisah.

Lalu saya menerjah: "mengandung ke anak Puan?"

Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah-tak dapat dibendung lagi.
Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3.
Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja.
Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ.

Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa beliau telah berzina.
Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zina.

"Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai.
Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”

Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya.

Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zina sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki.
Berbagai bangsa.
Berbagai umur.
Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bodoh seperti kata ibunya.

Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.
Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lucah.
Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pelacur’.

Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu, lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia seks dalam keadaan akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video lucah. Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa ketagihan.

Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini.
Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada lelaki tersebut.

Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.
Kata anak malang ini, --walaupun saya sudah tidak suka melakukannya, tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu menurut kemahuan lelaki tersebut-----
Dapat saya bayangkan bagaimana lelaki jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk memuaskan nafsu binatangnya.

Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak nampak atau tidak mahu percaya.

Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih berganti bersalin dan beliau yang menjaga.

Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah untuk menyampaikan kepada masyarakat.

Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak bongsunya ini masih ‘baby’.

Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan kita bersama:
1. bila anak meningkat remaja - perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya.
2. Jangan mengutuk. Berilah pujian supaya dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat.
3. Setiap wanita seolah-olah ada bauan atau haruman yang tersebar keluar dari dirinya - lalu menarik banyak ‘bugs’. Nasihatkan dia tentang nilai dirinya. Islam meletakkan wanita pada kedudukan terhormat. Tanamkan sifat malu pada dirinya. Perbetulkan pakaiannya. Jagalah dia.

Apa yang sudah berlalu, kita sucikan kembali dengan Taubat. Kembalilah kepada Allah. Solatlah. Sujud kepadaNya. Perbanyakkan amal kebaikan kerana kita tidak tahu amal yang mana satukah yang paling ikhlas dan diterimaNya.. Berbuat baiklah bila-bila masa, di mana saja kepada sesiapapun termasuk haiwan dan tumbuhan.. Bukankah sudah diceritakan di dalam Hadis Nabi bahawa wanita pelacur juga diampunkan dosanya kerana rasa kasihannya kepada seekor anjing yang kehausan.. Marilah kita saling bantu-membantu untuk kembali bertaubat kepadaNya.. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...

Berbahagialah kepada orang yang bertaubat.. kerana semua orang pernah jahat, namun amat rugi sekali kepada mereka yang pernah baik, namun kini memilih untuk menjadi jahat..


No comments:

Post a Comment