Monday, January 31, 2011
Bahagia
tak pernah kutemui
timur dan barat
kembara diri
mencari bahagia duniawi
mencari bahagia hakiki
mencari bahagia di hati
sayang
tidak kutemui
patah hati
remuk jiwa
makan hati
berulam jantung
penat
lelah
perit
pedih
bahagia yang kucari
tak ditemui
kerana kulupa memerhati
dalam diri sendiri
bahagia yang kucari
hanya syukur pada yang sudah kumiliki
tak perlu dicari
ada dan kekal di sisi
sedar kini
kuukir senyuman bahagia
semudah itu
bahagia tak perlu dicari
bahagia dengan apa yang ada
bukankah itu sudah cukup bahagia?
Cemburu
Kulihat betapa dia dikasihi
Cemburu
Hatiku terasing
Bagai tidak dikasihi
Bagai tidak dipeduli
Siapa aku buatnya?
Lalu
Dengan tegasku berpaling
Aku tidak mengharap kasihnya
Aku tidak ingin dikasihinya
Aku tidak ingin dicintainya
Cukuplah aku begini
Biarkan dia dengan kasihnya
Biarkan dia dengan cintanya
Kerana aku mampu hidup sendiri
Aku mampu hidup berdikari
Cukuplah hormatku padanya
Cukuplah hormatnya padaku
Cukuplah tanggungjawab yang dipikul bersama
Walau hati dihiris cemburu
Pada kasih yang dikongsi
Pada cinta yang diberi
Kerana aku bukan yang layak
Untuk menagih kasih setia
Dia dengan hatinya
Aku dengan hatiku
Kita berbeza
Dalam dunia berbeza
walau hidup dalam bumbung yang sama
namun
kita terasing
jiwa yang sukar ku selami
adalah jiwaku
Tangisan
Menangis dan terus menangis.
Ah..
pernahkah aku bosan untuk menangis?
Tidak! Tidak pernah bosan.
Setiap kali menangis, hatiku puas.
Menangis dan menangis.
Hatiku terasa tenang.
Dari kecil hingga dewasa,
tangisan itu tak pernah hilang.
Rasa itu tak pernah pudar.
Kehidupan duniawi ini..
Penuh tangisan hiba..
Kurindukan
Kunantikan
Kuharapkan
Kehidupan ukhrawi yang diredhai
Kekal abadi
dalam redha Ilahi..
Ya Allah..
Bantulah hambaMU
untuk mengingatiMU
dan mensyukuriMU
dan membaiki Ibadah kepadaMU..
Ampuni hambaMU..
Tangis
Rintih
Penuh luka dan duka..
ANAKKU
“Ummi!”
Kedengaran suara itu lagi..
Anakku berlari-lari anak datang memelukku.
Aku tersenyum manis, gembira, bersyukur, terharu,
bergabung menjadi satu.
Walaupun sudah berkali-kali
anakku berlari dan memelukku,
setiap kali,
rasa manis itu datang lagi.
Kecil tangannya memegang tubuhku,
ketinggian yang semakin meningkat dapat kurasakan.
Anakku semakin dewasa..
Nuh..nama diberi..
Semoga kau dewasa menjadi anak soleh lagi bertaqwa..
Monday, January 24, 2011
“Tahniah!” Ucapan itu kudengar berkali-kali. Hatiku dan hidungku kembang kuncup. Rasa bahagia dan bangga. Syukur Alhamdulillah.
5A dalam UPSR dan UPSRA.
----------------------------
“Tahniah!” Aku tersenyum pahit mendengar ucapan demi ucapan. Entah mengapa ucapan itu terasa perit bila ditangkap oleh telingaku. Hatiku sakit.
Pelajar terbaik tingkatan satu!
Aku mula mempersoal tujuan hidupku. Adakah kebanggaan ini yang kukejar. Aku pasti akan mati, sedangkan orang yang ada walau sebesar zarah sifat sombong pasti tidak mendapat redha-NYA. Takut. Lalu satu keputusan drastic kubuat. Aku mahu berhenti belajar.
--------------------------
Hampir satu sekolah kecoh. Puas mereka memujuk. Aku tegar dan tegas dengan keputusanku. Ayah dan ibu membawa kupulang. Memberiku rehat selama beberapa minggu. Kasihan kepada ayah ibu. Kuturutkan kemahuan mereka. Sekolah baru sudi menerimaku.
--------------------------
“Tahniah!” Aku kelu. 9A PMR. Alhamdulillah terucap di bibirku. Tapi kesakitan dan kepedihan di hati masih terasa. Kenapa?! Aku jadi takut dengan diri sendiri. ‘Ujub, takabbur.. Aku takut.
------------------------
Ayah sering membawaku ke kuliyah akidah. Ustaz yang berceramah nampak tenang. Tiba-tiba kurasakan aku sudah jatuh cinta. Kusuarakan kepada keluarga. Aku tidak mahu ambil SMA, aku ingin kahwin.
“Habiskan dulu SMA”. Aku akur.
“Tahniah!” Aku gembira. SMA ku 10A. Janji ayah kutagih. SMA dah habis. Bolehkah aku berhenti belajar saja, dan menjadi seorang isteri, isteri kedua kepada seorang ustaz tua yang aku kagumi. Ayah ibu memujuk. Hidup tak semudah itu. Kalau suami mati, ke mana awak nak pergi? SPM perlu dihabiskan dulu. Aku akur.
-----------------------
“Tahniah!” Aku gembira. SPM ku 10A1. Kini janji dulu kutagih. Namun, harapan ayah ibu menjadikanku akur. Matrikulasi aku jejaki.
“Tahniah!” Pelajar terbaik matrikulasi.
Aku menangis. Ayah terdiam memandangku. Janji dulu kuungkit. Ayah bertanya sebab untuk ku berkahwin. Jawabku, untuk elak fitnah, untuk rasa tenang, untuk rasa selamat… Ayah tunduk sedih. Aku tak mampu melihatnya. Kugagahi. Baiklah, aku sambung belajar. Ayah ibu gembira.
----------------------------
Di university, aku mencari suami. Seorang pensyarah sudah setahun kematian isteri. Aku menawarkan diri. Pensyarah itu gembira. Namun, anaknya menghalang. Ayah ibuku turut bimbang. Maka pensyarah itu memohon maaf. Katanya, orang tua kena berkahwin dengan orang tua juga. Lalu dia berkahwin dengan wanita pilihan anaknya. Aku menangis pilu. Ayah ibu kelihatan lega. Aku tahu, dia bukan jodohku. Aku turut lega, walau sedih jauh di lubuk hati.
Seorang ustazahku menawarkan diri untuk mencarikanku suami. Katanya, kalau cepat jodohnya, insya Allah cepat.
Seorang rakan memberitahuku ada seorang pensyarah mencari isteri. Aku menawarkan diri. Namun, kali ini khabar yang diberi ibaratnya sudah tersilap. Maluku bukan kepalang.
Seorang pensyarah dengan nada bergurau mengatakan dia ingin mencari isteri kedua. Aku menawarkan diri. namun sayang, dia merasakan yang aku terlalu muda. Maluku semakin menebal.
Kawan-kawan cuba menolong. Biodataku diminta. Beberapa orang pelajar yang turut mencari isteri diperkenalkan. Namun, tiada jodoh. Tuhan Maha Tahu.
Setelah cukup empat tahun berlalu. Ijazah sarjana muda kutamatkan.
“Tahniah!” Pelajar terbaik ijazah sarjana muda di jabatanku dengan jumlah keseluruhan pangkat: 3.9.
Aku tersenyum lega. Aku mula sedar. Usahaku mencari jodoh tidak sia-sia. Aku mendapat satu pengajaran berharga. Setiap orang punya kelebihan yang diberikan Tuhan. Ada orang mendapat jodoh awal. Ada orang mendapat harta melimpah. Ada orang mendapat pujian melangit. Tinggal bagaimana mengurusnya dan bersyukur kepada-NYA. Lihat kepada orang yang di bawah. Lebih ramai yang hidup susah. Hidup merana. Hidup tanpa cahaya iman. Belum bersyukurkah aku?! Nikmat Tuhanku yang manakah yang ingin kudustakan?! TIADA! Syukur Alhamdulillah..
Aku pasrah. Aku redha. Kalau dah jodoh tak ke mana.. Kalau bukan jodohnya, Allah Maha Tahu apa yang terbaik untukku. Umur sudah meningkat. Kawan-kawan ramai sudah bersuami dan beranak pinak. Aku redha. Mungkin ini yang terbaik. Pelajaran kuteruskan. Hidup satu perjuangan, jihad.. Kalau bukan jihad sebagai isteri dan ibu, aku masih perlu terus berjihad dalam pelajaran dan pengajian. Redha-MU kuharap.
Jodoh pertemuan di tangan Tuhan
-------------------------------
Saturday, January 22, 2011
Imaginasi dan visualisasi
Gaya dan sarananku itu menimbulkan gelak ketawa mereka semua.
"Angan-angan Mat Jenin nanti jadinya ustazah". Seorang pelajar menyampuk dalam ketawanya.
Aku tersenyum.
"Ini teknik orang barat kan ustazah? Visualisasi?" Seorang lagi bertanya sambil tersenyum.
"Ooo ye ke?" Aku buat-buat tak tahu.
"Cuba perhatikan ayat-ayat dalam al-Qur'an.. Banyak ayat yang menceritakan keindahan syurga. Betul tak??" Soalanku itu meredakan ketawa mereka. Mereka mengangguk.
"Bila baca ayat pasal syurga, air sungai mengalir, istana yang besar, bidadari yang cantik, pohon-pohon yang rendang dan berbuah..segalanya begitu terperinci sehingga kita seolah-olah dapat membayangkannya bukan? Itulah teknik imaginasi yang menimbulkan rasa ingin berusaha menuju ke arah kejayaan ukhrawi. Bila membaca ayat-ayat berkenaan syurga terasa seolah-olah di syurga.. Bayangkan.. kita di syurga..." Sekali lagi aku dengan gayaku, memandang jauh ibarat aku sedang tenggelam di dalam dunia yang terasing. Sekali lagi mereka ketawa.
"Okey, tak cukup setakat itu, al-Qur'an sebut dengan jelas ciri-ciri ahli syurga. Malah, nak bagi seimbang, ayat berkenaan neraka akan turut disebutkan berhampiran dengan ayat berkenaan syurga.. Raja' mengharapkan redha-NYa dan syurga, serta Khawf kerana takutkan murka dan neraka-Nya. Hah! bayangkan anda di neraka.. Best tak?"
Mereka menggelengkan kepala sambil tergelak. Aku tersenyum. Apa yang lawak, akupun tak pasti.
"Kalau kita bayangkan kejayaan di akhirat, pasti tidak sia-sia. Realitinya pasti lebih indah! Tapi kalau kita bayangkan kejayaan di dunia, realitinya, pasti tak seindah bayangan kita. Kerana dunia bukan untuk kita cintai dan rindui, dunia tempat ujian yang penuh keperitan dan keletihan. Rinduilah akhirat, cintailah kehidupan ukhrawi bukan dunia yang fana ini kerana dunia hanya untuk digenggam di tangan bukan untuk disimpan di hati". Mereka mengangguk perlahan.
"Dunia ibarat bayang-bayang.. Usah dikejar. Kalau kita mengejar bayang-bayang, apa orang kata?" Mereka kelihatan terpinga-pinga mendengar soalan yang datang secara tiba-tiba.
"Hah, apa orang kata kalau kita kejar bayang-bayang?" Sekali lagi soalan itu kuulang, namun tanpa menunggu mereka menjawabnya aku akhiri dengan satu jawapan pasti.
"Orang kata: GILA BAYANG!". Ketawa mereka pecah lagi, dan aku tersenyum bersyukur atas nikmat Ilahi..
Study Group
"Ustazah, macam mana nak buat 'study group' yang baik? Kami ni kalau buat 'study group' daripada nak 'study' jadi bersembang pula.." Pertanyaan itu disambut gelak ketawa rakan-rakan yang lain.
Aku terdiam sejenak. Jawapan terasa bagai diilhamkan dalam sekelip mata itu.
"Bila kita cakap pasal 'group', tak kiralah study group ke, apa group pun, bila berkumpulan, Islam ajarkan kita satu metod penting. Kumpulan memerlukan seorang ketua. Begitu juga kita tengok dalam solat berjema'ah; Imam diperlukan, dalam bermusafir secara berkumpulan Rasulullah pesan agar seorang ketua dipilih. Jadi, begitu juga dalam 'study group', ketua yang layak mesti dipilih. Ha, bila dah ada ketua, ketua kena bagi tugas, orang ni baca dan ringkaskan topik ni, orang ni pula topik seterusnya. Setiap kali nak mulakan 'study group' baca doa, akhir pun dengan doa..baru berkat".
Aku lihat mereka mengangguk. Ada juga yang menyalin. Untuk memudahkan mereka, aku mengulang semula dalam bentuk point ringkas.
"Jadi, untuk study group yang cemerlang; pertama, kita perlukan ketua yang layak. Kedua, pastikan setiap ahli ada tugas masing-masing. Ketiga, doa di awal dan di akhir 'study group' baru syaitan lari.." Mereka ketawa, dan aku tersenyum. Semoga Allah memberi kejayaan dunia dan akhirat kepada mereka semua. Ameen..
Monolog hati
Islam..Iman..Alhamdulillah!!! Atas nikmat Islam dan Iman. Alhamdulillah!!! Wanita Muslimah, Mu'minah! Belum cukupkah?!
Kecewa dengan sikap sendiri. Benci dengan kesalahan diri. Malu dengan perbuatan tak sedar diri. Kata mereka: Okeylah tu.. Bisalah tu.. Benarkah?!
Setiap kali ditolak ke tepi.. Setiap kali dibiarkan sepi.. Hati ini terasa perit, pedih, dan sakit.. Ya! Itulah kehidupan duniawi.. Sukakah dan redhakah diri untuk kekal di sini?!
Kerana itu..kita ada kehidupan ukhrawi.. Alhamdulillah!!! Rindu untuk hidup bahagia selamanya di sana nanti.. Dalam redha & rahmat Ilahi.. Bahagia yang kekal abadi.. Mampukah?!
Kuakhiri dengan doa.. Oh, Ya Allah.. Rahmat-Mu terlalu luas, Maghfirah-Mu begitu agung, namun, apakah aku termasuk di dalam golongan ini? Dengan penuh Raja' kumengharap..dengan penuh Khauf kumerintih..Rahmatilah diri serba hina ini..Penuh dosa dan noda..Magfirah-Mu kudamba..Rahmat-Mu kupinta..Ampunilah aku.. Kuutuskan doa yang sama buat seluruh mereka yang beriman sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati..
Ameen Ya Rabb al-'Alameen..