Thursday, September 16, 2010

Ilmu rumah tangga

"Okey, soalan cepu emas! Mahar atau mas kahwin ni hadiah daripada siapa untuk siapa?"

Semua pelajar tersenyum, lalu semua serentak menjawab:

"daripada SUAMI untuk ISTERI!" semua menjawab penuh yakin.


"Ya ke?" Ustaz cuba menimbulkan keraguan di hati.

"Ya la ustaz.. Suamilah yang kena bagi isteri mahar.." Salah seorang daripada kami menjawab.

"Ya ke?" Ustaz mengulang soalan yang sama.

"Ya ke?" Sekali lagi soalan yang sama diulang-ulang.


Kami terdiam. Wajah ustaz serius dan setegas soalan beliau. Hendak dikatakan sengaja buat serius namun semacam tidak. Kami terkedu dan kelu. Salahkah jawapan kami? Bukankah mahar ini merupakan pemberian suami untuk isteri? Lagipun, jelas tertulis dalam buku kami; 'mahar ialah pemberian yang wajib ke atas suami kepada isteri..' Betullah jawapan kami? Kenapa cara ustaz bertanya seolah-olah kami salah? Adakah ustaz sengaja hendak menguji kami? Tiba-tiba terasa geli hati melihat cara ustaz cuba meragukan kami terhadap perkara yang telah jelas tertulis dalam buku.


"Ya ke? Hadiah daripada suami ke? Ya ke?" Ustaz menyoal dengan serius.

"Ya la ustaz..habis tu hadiah daripada siapa lagi kalau bukan suami?" Salah seorang daripada pelajar cuba menjawab sekali lagi, penuh yakin.


Memandangkan tiada siapa yang memberi jawapan yang tepat, ustaz memberikan jawapan:

"Kamu semua tahu tak, mahar ni sebenarnya bukan hadiah daripada suami! Mahar ni ialah hadiah daripada ALLAH buat isteri yg diWAJIBkan ke atas suami! Kamu ingat, kalau tak diwajibkan, ada ke suami nak bagi mahar pada isteri? Ada ke?" Ustaz menjawab jelas dan terang, serius dan tegas.


Kami bagaikan baru disimbah air, bagai terkejut bangun daripada tidur, bagai tertampar pipi, bagai terpanah hati sendiri, bagai baru mendengar bom meletup. Kami sememangnya benar-benar terkejut. Ternganga mulut. Tidak dapat digambarkan betapa terkejutnya mendengar jawapan yang merupakan satu hakikat. Hakikat yang tak terfikir oleh kami para pelajar. Inilah hakikatnya. Ya, kami mula sedar, bahawa setiap kewajipan adalah satu hadiah daripada Allah s.w.t. buat hamba-Nya.

Mahar juga ialah satu kewajipan yang menjadi hadiah daripada Allah s.w.t. buat isteri yang diwajibkan ke atas suami. Mahar sebagai tanda penghormatan Islam terhadap seorang wanita. Maka suami diwajibkan untuk memberikan mas kahwin kepada isteri sebagai tanda memuliakan seorang wanita yang bergelar isteri. Siapalah wanita tanpa Islam. Tanpa Islam, wanita ditindas sebagai kaum yang lemah, diinjak harga diri dan maruah, tiada tempat, pangkat dan darjat. Namun, Islam datang penuh rahmat untuk seluruh alam. Subhanallah, indahnya Islam! Alhamdulillah, atas nikmat Islam!


Dalam kelas ini ustaz mengingatkan kami:

"Sebab mahar ini satu hadiah daripada Allah s.w.t. buat isteri yang diwajibkan ke atas suami, suami kenalah bagi mahar yang terbaik yang mampu dia berikan. Saya betul-betul tak setuju kalau bagi hantaran yang tak wajib tu berpuluh ribu tapi bagi mahar kepada isteri setakat RM25, RM40, RM 80.. sekali dua pergi makan KFC pun dah habis. Kita hari ni..mahar macam buat main saja..dua puluh lima ringgit, lima puluh sen..tunai.." Ustaz menggayakan aksi orang akad nikah dengan salah seorang pelajar lelaki. Hahaha..Satu kelas bergema dengan hilai tawa.

"Tapi ustaz, bukan ke semakin murah semakin berkat? Baru ikut sunnah!" Salah seorang pelajar mencelah.

“Nak ikut sunnah.. tapi keluarga perempuan minta hantaran berpuluh ribu?! Nak ikut sunnah.. tapi bagi mahar yang sikit? Kamu tahu tak daripada mana datangnya berkat? Apabila urusan kahwin itu mudah, baru berkat! Tapi cuba tengok masyarakat sekarang, mahar bagi RM25.50 tapi hantaran nak RM99 999.99, hutang sana, hutang sini, mudah ke macam tu? Berkat ke? Ikut sunnah ke? Kamu tahu tak, zaman Nabi s.a.w dan para sahabat, mana ada keluarga isteri minta wang hantaran! Malah, mahar yang sikit tu atas orang yang tak mampu saja, nak mudahkan urusan kahwin! Sebab itu Nabi s.a.w. suruh cari walaupun cincin besi! Tapi sekarang, kononnya nak perkahwinan berkat, nak ikut sunnah, mahar bagi sikit, tapi hantaran? Kenduri? Ada yang kena pinjam beratus ribu! Akhirnya, pengantin jadi ‘raja sehari, hamba buat selama-lamanya..nak macam tu?” Ustaz melemparkan satu provokasi. Kami menggeleng-gelengkan kepala. Mestilah tak nak!


"Rumah tangga kalau dibina atas hutang, huh, macam mana nak bahagia?!"

Kami segera menganggukkan kepala..ya..ya..betul..betul! Sungguh menakutkan bila mengenangkan betapa banyak rumah tangga yang sudah ranap setelah hanya beberapa bulan didirikan. Majlis perkahwinan yang gah sememangnya tidak menjamin rumah tangga yang utuh!

Ustaz kembali menyambung:

“Tahu tak berapa mahar Nabi s.a.w. kepada majoriti isteri-isteri baginda? 400 dirham tahu..bukan 400 ringgit. Malah, Raja Najasyi seorang raja di Habsyah beri mahar bagi pihak Nabi s.a.w. untuk Ummu Habibah yang ketika itu berada di Habsyah sebanyak empat ribu dinar dan empat ribu dirham sebagai hadiah penghormatan Raja Najasyi terhadap baginda. Dirham dan dinar zaman dulu tu tinggi nialinya. Ada Sahabat Nabi yang siap bagi kebun lagi sebagai mahar. Tahu tak kebun berapa ringgit zaman sekarang?"

Kami menelan air liur. Di kepala, terbayang kebun durian dan rambutan yang masak ranum. Ish, mahal tu! Kebun memang mahal! Allahu Akbar! Terus terlintas di fikiran kami kisah Habil yang memberikan kambingnya yang terbaik sebagai memenuhi arahan Allah s.w.t. Ya, mahar ialah satu kewajipan serta arahan daripada Allah s.w.t. ke atas suami untuk diberikan kepada isteri. Jadi mahar yang terbaik sepatutnya diberikan untuk memenuhi arahan Allah s.w.t.


Ustaz memberikan pandangan beliau:

"Untuk memudahkan urusan perkahwinan, saya rasa hantaran ni tak perlulah. Bukan wajib pun. Fokus pada yang wajib dulu. Ini tidak, yang tak wajib nak buat lebih-lebih, yang wajib pula bagi cukup makan saja. Hmm, duit hantaran yang Islam tak wajibkan, keluarga isteri minta sampai beribu-ribu ringgit. Sampai suami terpaksa berhutang keliling pinggang. Tapi kalau mahar yang dikira sebagai hadiah Allah s.w.t. untuk isteri, bagi berapa ringgit saja. Hei..terbalik sungguh! Ni zalim namanya! Tidak meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya”. Ustaz memberi penerangan penuh semangat.

“Saya cadangkan untuk mahar, bagilah gelang emas ke, rantai emas ke.. Kalau suami bagi duit pun tak mengapa. Contohnya RM7000 sebagai mahar, yang isteri ni cepat-cepatlah pergi kedai emas, beli gelang ke, rantai ke, sebab emas ni makin mahal, untung beli emas, 10 tahun akan datang dengan 10 tahun hari ni, harga emas makin naik. Kalau tiba waktu terdesak tak ada duit, bolehlah juga nak dicagar. Kalau bagi RM25.50, kamu letak dalam album, orang tanya mana mahar kamu..nak tunjuk pun malu. Tapi kalau mahar barang kemas, bila orang tanya mana mahar kamu? Ha! Tunjuklah gelang yang kamu pakai tu..ni dia mahar saya.." Ustaz menunjukkan tangan ustaz yang tak bergelang. Kami semua ketawa geli hati.


"Macam ni lah saya cadangkan.. kalau betul nak kawin berkat, pastikan urusan perkahwinan tu mudah. Tak payahlah bagi hantaran yang beribu-ribu ni. Kenduri tu tak perlulah buat besar-besar sangat. Nabi s.a.w. cakap, buatlah walimah walaupun dengan seekor kambing, tapi kamu ni nak buat kenduri biasanya guna berekor-ekor unta!" Ustaz berkata jelas dan tegas.

Aik?! Bila masa pula kebiasaan buat kenduri dengan unta! Kami ternganga.

"Ustaz, orang selalunya buat kenduri guna lembu biasanya, bukan unta." Salah seorang pelajar menyuarakan persoalan yang bermain di fikiran.


"Ya la..guna lembu..tapi kos nak buat walimah tu kan kos beberapa ekor unta..berpuluh ribu..maksud saya kenduri unta tu..nilai kenduri macam beli unta..kamu ni.." Ustaz menjawab lagaknya seorang ayah membetulkan kesalahan anak-anaknya. Kami semua ketawa. Analogi yang menarik!


"Kalau tak mampu macam kamu ni, buatlah kenduri bihun goreng ke..kad-kad jemputan ni tak payah pun tak apa..sms saja.." Kami tergelak besar. Sungguh ke ustaz ni..


"Saya bukan bergurau ni! Siapa tadi? Kata nak perkahwinan yg berkat kan? Buat yang mudah sudahlah. Pakej kenduri kahwin untuk pelajar! Ini tidak, masa belajar dah miang nak kahwin, duit tak cukup, kerja tak ada, kenduri nak buat besar-besaran, hantaran beribu ringgit, lepas tu mulalah..pinjam daripada Along.. angah..acu..semua pun pinjam..tu yang jadi raja sehari, hamba buat selama-lamanya!" Kami terpana. Benar sekali apa yang ustaz katakan. Betapa ramai pasangan yang baru berkahwin terpaksa bertungkus lumus membayar hutang majlis perkahwinan mereka setelah mendirikan rumah tangga.

“Sepatutnya, bagi lelaki yang tak mampu, tak perlu hantaran tinggi, tak perlu kenduri besar, tak perlu pelamin besar, cukuplah dengan mas kahwin atau mahar saja yang tinggi. Sebagai contoh; aku terima nikahnya dengan mas kahwin sebanyak RM10 000 hutang untuk tempoh 15 tahun. Ha, bukan ke pengantin lelaki atau pelajar itu 15 tahun akan datang akan begelar CEO atau timbalan ketua pengarah? Paling koman pun saya rasa timbalan pengarah. Setakat RM10 000 senang saja nak bagi mahar pada isteri masa tu”. Ustaz memberikan pandangan dan saranan yang bernas. Kami terdiam berfikir.

“Tapi ustaz, wang hantaran amat penting bagi pihak keluarga isteri untuk menyiapkan urusan perkahwinan dan menggunakan wang hantaran tersebut untuk kenduri kahwin. Kalau mahar sahaja yang diberikan oleh suami, maka pihak keluarga isteri tak dapatlah nak guna buat kenduri sebab mahar hanya milik isteri”. Seorang pelajar mengemukakan persoalan.


“Cuba kamu fikir; betulkah menjadi tanggungjawab seorang yang bakal menjadi suami untuk menyediakan wang hantaran yang besar bagi kegunaan seluruh pihak keluarga bakal isterinya? Mampukah seorang lelaki yang baru bekerja atau yang masih belajar macam kamu ni misalnya untuk berkahwin sekiranya dia terpaksa menyediakan wang hantaran yang besar?” Semua pelajar terdiam. Masing-masing tenggelam dalam persoalan yang dilontarkan.

Ustaz kembali menyambung setelah seketika.

“Islam menyuruh kita memudahkan urusan perkahwinan. Sebab tu hanya mahar atau mas kahwin sahaja yang diwajibkan ke atas suami untuk diberi kepada isteri. Siap boleh bayar hutang lagi kalau tak mampu nak bayar tunai. Malah, Islam tak pernah minta pun pihak isteri susah-susah buat kenduri. Kenduri sebenarnya Islam minta ke atas pihak suami saja. Kenduri ni pun sepatutnya sederhana saja sekadar nak beritahu orang ramai yang kita ni dah berkahwin. Bukan kena buat besar-besaran. Islam agama yang indah dan mudah. Lagipun, pasangan yang ingin mendirikan rumah tanggalah yang sepatutnya dibantu oleh pihak keluarga dan bukan sebaliknya. Dengan kata lain, pihak keluarga perempuan perlulah berasa kasihan terhadap bakal menantu dan membantunya untuk mendirikan rumah tangga, dan bukannya meminta wang hantaran yang besar untuk dibuat kenduri. Sanggupkah pihak keluarga melihat anak dan bakal menantunya sengsara kerana terpaksa menangguhkan pernikahan gara-gara belum cukup wang hantaran? Sanggupkah pihak keluarga melihat bakal menantunya berhutang keliling pinggang untuk mencukupkan wang hantaran? Oleh itu, adalah lebih baik hanya mahar atau mas kahwin sahaja yang diminta. Ini lebih memudahkan semua pihak terutamanya pasangan yang bakal berkahwin, insya Allah..”.

Kami semua cuba menghadam segala pesanan dan saranan ustaz. Ya, perkahwinan perlu dimudahkan bagi pasangan yang hendak berkahwin.

“Ustaz, jadi pihak keluarga perempuanlah yang selalunya menyebabkan perkhwinan ni jadi susah ye?” Salah seorang pelajar lelaki bertanya. Hampir semua pelajar perempuan serentak memandang beliau. Mungkin agak terkejut dan geram dengan nada sindir lagi sinis tersebut. Jelingan pelajar perempuan dibalas dengan senyuman meleret.

“Kamu kena ingat, anak siapa yang kamu nak ambil tu?! Berpuluh tahun ditatang bagai minyak yang penuh, ingat senang-senang je ke nak bagi? Bukanlah satu perkara yang pelik kalau keluarga perempuan sangat cerewet dalam urusan perkahwinan. Sebab menantulah yang akan jaga anak perempuan mereka. Cuba kalau bercerai atau apa-apa terjadi? Keluarga lelaki yang sepatutnya membantu, tapi realitinya sekarang, bila bercerai ke, apa-apa terjadi ke, silap-silap, keluarga perempuanlah yang jaga balik janda yang dah tak berhias tu, kalau janda berhias tak apa lagi.. Ini dah 5 tahun kahwin misalnya, tup, tup bercerai, silap-silap dengan cucu-cucu sekali mak ayah perempuan terpaksa tanggung. Jadi, kalau bakal suami tu tak dapat buktikan sikap bertanggungjawab dia, macam mana mak ayah perempuan nak bagi senang kahwin?! Sebab tu lah kebanyakan ibu bapa suruh tunggu dapat kumpul duit yang banyak baru benarkan kahwin. Sebab mereka melihat duit itu sebagai satu jaminan yang zahir dan nyata di mata. Jadi tak boleh nak salahkan keluarga juga. Merekapun fikirkan masa depan anak kesayangan mereka”.

Kami semua mengangguk tanda setuju. Betul, betul.

“Kita memang nak mudahkan orang kahwin, tapi kalau untuk orang yang belum layak kahwin pun kita mudahkan, porak perandalah jadinya. Lebih kurang contohnya.. Kita nak mudahkan orang bawa kereta, tapi pergi bagi kereta kepada orang yang tak ada lesen, tu yang kereta pun terjun dalam sungai Gombak”. Hahaha! Satu kelas ketawa. Teringat cerita kereta jatuh di sungai UIAM Gombak gara-gara dibawa oleh pelajar yang belum berlesen.

“Kita kena seimbang. Tak boleh nak salahkan keluarga perempuan. Sebab kita pun tak kenal lelaki tu macam mana.. Lelaki pun kena tahu tanggungjawab dia”. Ustaz mengambil pendirian berada di tengah. Seimbang. Tidak berat sebelah.

“Jadi, saya nak pesan kepada yang lelaki ni! Kalau nak pergi pinang anak orang, tunjukkanlah yang kamu ni mampu jaga anak dia. Bertanggungjawab. Tapi mana boleh cakap saja. Buktikan. Contohnya macam saya dah cakap tadi, kalau belum ada duit yang cukup, janjilah dengan pihak perempuan ni nak bagi mahar RM 10 ribu ke RM 15 ribu ke, tapi hutang selama 15 tahun. Tunjukkan kesungguhan. Beritahulah yang sekarang saya sedang belajar, tunjuk CGPA yang tinggi, bagi jaminan dan bukti yang kamu akan ada gaji yang besar untuk sara anak perempuan dia. Barulah pihak keluarga perempuan yakin sikit. Ini tidak, bila pihak keluarga perempuan minta hantaran tinggi terus melenting, suruh mudahkan urusan kahwin. Macammana mereka nak mudahkan kamu kahwin anak dia kalau tengok keadaan bakal menantu yang tahu nak mudah je. Jadi bakal suami kena pandailah yakinkan keluarga perempuan”. Ustaz memandang pelajar lelaki dengan muka serius. Masing-masing hanya mengangguk-angguk.

“Ustaz, kalau lelaki tu tipu macam mana? Kata lepas 15 tahun nak bagi RM 10 ribu, tapi dalam hati sebenarnya tipu je..” Salah seorang pelajar perempuan menyuarakan kerisauan yang bersarang di hati.

“Ha, sebab tu lah Nabi s.a.w. dah bagi amaran awal-awal kepada lelaki macam ni. Siapa yang niat nak tipu, lelaki tu dapat dosa macam dia berzina tahu! Berdosa besar!” Sememangnya Islam agama yang sangat teliti. Hingga terdapat hadis khas berkenaan dosa besar ke atas lelaki yang berniat untuk menipu bakal isterinya.

Di akhir kelas, ustaz meninggalkan satu pesan yang amat berbekas di jiwa:

“Kamu kena ingat, kebiasaannya, perkahwinan yang mendapat restu dan redha ayah bonda sentiasa kukuh dan tidak akan mudah goyah, jauh berbeza dengan perkahwinan yang tidak direstui ayah bonda, perkahwinan yang tidak direstui ayah bonda biasanya sentiasa dilambung ombak yang hanya menanti ia pecah berkecai dihempas badai. Jadi, janganlah sekali-kali kamu semua mengenepikan keluarga dalam urusan perkahwinan. Jangan kahwin tanpa restu ayah bonda, jangan kahwin lari, jangan kahwin sindiket, atau yang seumpamanya. Ingatlah, ayah bonda sentiasa ingin melihat keceriaan anak mereka, daripada anak mereka dilahirkan sehingga anak mereka melahirkan anak pula. Keceriaan anak mereka ini sentiasa menjadi harapan mereka, mereka berdua ingin menyaksikan kebahagiaan anak mereka sehinggalah mata mereka tertutup buat selamanya”.


Kelas tamat dengan tambahan ilmu yg amat bermakna. Ya, ilmu itu cahaya, menyuluh jalan, memandukan cara, menunjukkan yang benar dan yang salah. Tugas kita adalah untuk mengaplikasikannya dan menyebarkannya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

No comments:

Post a Comment