"Bagaimana mahu membuat pilihan ya? Susah betul la.. Rasa nak menangis saja.. Ana buntu.. Betul-betul buntu.. Ana takut, kalau pilihan yang ana buat ni salah.. Macam mana? Apa yang patut Ana lakukan?"
Mata Ana bergenang. Ya, memang susah untuk membuat pilihan. Keliru. Buntu. Takut salah pilih. Persoalan yang sering bermain di fikiran setiap insan. Soal membuat pilihan.Yang mana satu pilihan yang tepat?
"Serahkanlah urusan Ana nak memilih ni pada Allah. Tawakkal namanya..Solat Istikharah dah buat setiap malam. Nak pilih yang mana, pilih saja yang mana mudah, yang rasa tenang, rasa aman. Serahkan urusan seterusnya pada Tuhan yang Maha Mengetahui. Yang mana Ana nampak pada zohirnya, pada lahirnya, pada luarannya, nampak satu pilihan yang baik, maka pilihlah.. Tiada seorang makhluk pun yang tahu, adakah pilihan Ana ini tepat atau tidak. Hanya Dia yang Maha Tahu. Jadi serahkan pada-Nya. Kalau elok, menjadi, kalau tak elok tak menjadi. Berdoalah, semoga ini merupakan pilihan yang diredhai-Nya".
Ustazah memberi nasihat agar bertawakkal. Ya, tawakkal itu menjadikan hati tenteram dan tidak gelisah. Kerana, andai sesuatu perkara itu tidak jelas, tidak pasti mana yang baik, mana yang buruk, pasti hati menjadi bimbang dan gelisah, pening dan payah..Jadi, bila seorang hamba menyerahkan urusannya kepada Tuhan, apalagi yang perlu dirisaukan, apalagi yang perlu digelisahkan? Terus jadi tenang dan aman..
"Ana..ustazah nak ingatkan..apabila kita menyerahkan segala sesuatu kepada Allah, yakinlah bahawa apa sahaja yang berlaku adalah demi kebaikan, jadi, kita akan tenang, aman, tidak takut akan sebarang bahaya dan keburukan, kerana andai pahit yang terjadi pun, adalah ubat dari-Nya".
Ustazah memegang tangan Ana. Sejuk. Mungkin kerana penghawa dingin di dalam pejabat. Ustazah menggenggam tangan Ana lebih erat. Biar panas dan hangat..
"Ok, Ana serahkan urusan Ana pada Allah. Tapi bagaimana Ana nak hilangkan rasa gelisah dalam hati Ana? Bagaimana nak pasakkan keyakinan? Siapalah Ana ni? Mungkin Ana akan silap buat keputusan disebabkan dosa-dosa Ana.. Ana ni layakkah diberi yang terbaik?" Terketar-ketar Ana melahirkan rasa yang terbuku di jiwa. Ustazah tersenyum.
"Ustazah bacakan satu syair Arab ni.. Ana dengar baik-baik ya.. Syair ni berbunyi:
إن من كان ليس يدري أفي المحبوب نفع له أو المكروه
لحريّ بأن يفوض ما يعجز عنه إلى الذي يكفيه
الإله البر الذي هو بالرأفة أحنى من أمه وأبيه...
Maknanya: Sesungguhnya, sesiapa yang tidak tahu adakah dalam perkara yang dia sukai dan dia benci punya manfaat baginya atau tidak..Maka mestilah dia benar-benar perlu menyerahkan segala urusannya kepada siapa yang cukup baginya, iaitu Tuhan yang Maha Baik Maha Pengasih yang lebih kasih daripada kasih ibu dan bapanya..
Ana, Tuhan itu Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, lebih dari seorang ibu dan ayah.. Maha Penyantun, Maha Pengampun..Apa sahaja yang diberi, yakinlah, itu demi kebaikan Ana..kita hamba-Nya. Soal layak atau tidak, kita sememangnya hamba yang banyak berdosa, tapi sebaik-baik orang berdosa itu, adalah hamba yang bertaubat. Tapi yakinlah, Tuhan Maha Pengasih, beri yang terbaik.. jadi serahkan dengan sepenuh hati urusan yang tidak Ana ketahui akibatnya ini kepada-Nya. Usah gelisah, tenang.. relax..caranya, banyakkan berdoa..memohon ketenangan jiwa, kekuatan iman dan keteguhan keyakinan kepada-Nya".
Ustazah tersenyum lembut, bak seorang ibu memandang anak gadisnya yang masih keliru.
"Jadi, adakah setelah kita menyerahkan urusan kita kepada Allah, Allah wajib dan pasti memilihkan yang terbaik buat kita?" Ana bertanya tulus. Kelirunya jelas.
Ustazah menggeleng-gelengkan kepala. Nampak separuh terperanjat mendengar pertanyaan sebegitu.
"Ish,Ana ni.. Seorang hamba mana boleh mewajibkan sesuatu ke atas Allah.. Allah memilih yang terbaik untuk kita kerana Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tapi ada beza antara yang terbaik pada pandangan seorang hamba dan pada pandangan Tuhan yang Maha Tahu. Contohnya, pada pandangan makhluk, seorang yang berilmu itu mulia, jadi kita berharap untuk dapat ilmu yang luar biasa, tapi kerana Allah Maha Tahu, kalau hamba-Ku ini mendapat ilmu luar biasa, pasti dia menjadi sombong, maka yang terbaik baginya adalah ilmu yang sederhana sahaja. Contoh lain, pada kita kalau banyak anak itu dapat buat banyak pahala sebab dapat didik ramai anak, tapi siapa tahu kalau kita dapat ramai anak sebenarnya kita tak dapat jaga anak dengan baik, kita tak tahu, tapi Allah itu Maha Tahu. Jadi Dia yang Maha Tahu menganugerahkan kepada setiap hamba-Nya apa yang terbaik buat dirinya sendiri. Kerana kita hamba-hamba-Nya ada kemampuan dan kelemahan masing-masing. Kita berbeza dan unik.. Tak sama. Apa yang kita dapat, rezeki, jodoh, semua yang terbaik buat kita. Ajal maut pun, Tuhan Maha Tahu, waktu yang tepat untuk kewafatan kita. Jadi, lepas ni, kalau Ana rasa apa yang Ana dapat hasil pilihan Ana setelah Ana serahkan urusan ini pada Tuhan, yakinlah, pahit atau manis semuanya baik, demi kebaikan Ana.. Barulah hati kita tenang. Pahit manis di dunia, semua pun ujian kan.. Bila manis bersyukurkah kita? Bila pahit bersabarkah kita? Hidup di dunia ni hanya sebentar, sekejap saja.. Relax dan tenanglah menghadapi dan menerima takdir Ilahi. Selalulah berdoa memohon ampun, rahmat, berkat, dan redha-Nya.. Amalkan selalu doa ni:
الحمد لله على كل حال
Maknanya: Segala pujian itu bagi Allah dalam apa jua keadaan". Keadaan tu manis ke pahit ke masin ke, tawar ke..apa saja, syukurlah, pujilah Tuhan yang Maha Pengasih, nak pilih pun, pilih apa di hati Ana rasa tenang, rasa aman, pilihlah dengan Nama Allah, baca bismillah..berkat insya Allah..".
Ustazah menerangkan dengan panjang lebar. Penuh sabar..
"Oh, jadi sekarang ni tinggal pilih dan buat saja, buat apa yang Ana rasa tenang la kan ustazah.. Jadi, Ana dah tak perlu gelisah takut salah, kan? Relax saja. Pahit ke manis ke yang Ana rasa lepas ni, kira ujian hidup kan? Yang penting Ana kena yakin inilah yang terbaik buat Ana sebagai hamba-Nya..Sebab bila dah jadi, dah jadi takdir kan.. Ana tinggal terus-menerus berdoa semoga mendapat keampunan dan redha-Nya..sebab yang penting ialah hidup kat akhirat nanti, hidup kat dunia ni, pahit ke manis ke semua ujian..kan.. kan ustazah..macam ni kan?"
"Ya..lebih kurang la.." Ustazah menjawab separuh ketawa. Mungkin kerana terlalu banyak unsur "kan"..
Ana tersenyum. Ada secalit cahaya mula menerangi kebuntuan hatinya. Nampak sedikit ruang jalan. Benarlah, ilmu itu cahaya.
"Terima kasih ustazah. Apa-apa kalau Ana ada masalah lagi, Ana tanya ustazah lagi ya.. Alhamdulillah dah rasa lega sikit dada yang sesak tadi.
جزاك الله خير الجزاء
Semoga Allah memberi ganjaran terbaik buatmu.. " Ana bersalaman dan mencium tangan guru kesayangannya.
Ustazah memeluk Ana, ditepuk-tepuk bahu Ana, perlahan dibisikkan ke telinga pelajarnya:
جزانا الله وإياك خيرا
Semoga Allah memberikan kita dan dirimu kebaikan..
آمين يا رب العالمين
Thursday, September 16, 2010
Pilihan & Membuat keputusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment