Saturday, March 24, 2012

Detik-detik menuju pernikahan

Laili termenung. Sahabatnya Ina hanya menggeleng-gelengkan kepala. Laili tersenyum sendiri. Mula membuka mulut meluahkan bicara: "Macam mana ni Ina.. Laili rasa macam dah kena sakit angau ni.. Alamak.. Haaah.." Satu keluhan berat dilepaskan.

Ina hanya mampu tersenyum. Sudah beberapa kali ayat yang lebih kurang sama isinya itu diulang-ulang Laili kepadanya. Laili sedang angau, Laili sedang asyik, Laili rindu..

"Sabar je la Laili.. Kalau dah jodoh tu, tak ke mana.." Ina mengulang lagi nasihatnya. Nasihat yang sudah beberapa kali diingatkan. Ina tahu yang Laili pun tahu. Tapi...

"Apa kata kita jumpa ustazah Ainon. Mungkin ustazah boleh nasihatkan Laili," Ina memberi cadangan.

Perpustakaan universiti ditinggalkan buat sementara waktu. Walaupun berada dalam perpustakaan, fikiran Laili masih tidak dapat memberikan perhatian kepada tesis PhDnya. Satu idea pun tidak keluar. Baru 15 muka surat tesis PhD yang mampu Laili drafkan sejak tiga bulan lalu. Sekarang, mereka berdua menuju ke pejabat ustazah Ainon. Harap-harap ustazah berkelapangan. Ina dan Laili mengharap dalam hati.

"Assalamu'alaikum" Laili memberi salam setelah mengetuk pintu pejabat ustazah Ainon.

"Masuk", kedengaran suara ustazah Ainon sayup-sayup dari dalam. Laili segera membuka pintu. Sekali lagi dia memberi salam: "Assalamu'alaikum ustazah."

"Wa'alaikumussalam. Ya, Laili, Ina, jemput masuk" Ustazah tersenyum ceria. Tangan ustazah Ainon disalami dan dicium penuh hormat.

"Duduklah" Ustazah tersenyum sambil mempersilakan mereka berdua duduk.

"Ustazah sibuk ke? Nak tanya sesuatu sebenarnya" Laili memulakan perbualan. Ina hanya tersenyum di sisi.

"Tanyalah, ada apa ye? Berkenaan tesis ke?" Ustazah Ainon masih tersenyum.

Laili memandang Ina. Segan-segan. "Er..boleh tak nak tanya soalan peribadi.." Laili menjawab sambil tersenyum-senyum malu.

"Oh.. Boleh je.." Ustazah ketawa kecil. Ustazah Ainon dapat mengagak. Muka Laili yang merah padam memberi isyarat bahawa pelajarnya ini ingin bertanya tentang perkahwinannya yang dalam 8 bulan lagi.

"Akhir-akhir ni Laili tak dapat nak fokus pada tesis. Asyik teringat tunang saja. Rasanya 8 bulan tu macam 8 tahun saja.. Rasa lambat sangat. Macam mana nak buat ye?" Laili bertanya sambil tersengih-sengih malu. Ustazah Ainon ketawa ceria.

"Biasalah tu Laili.. Ustazah faham.. Bila wanita yang diambang usia 30 tahun, dan akan berkahwin, pasti terasa macam lama betul 8 bulan tu.. maklumlah, sudah lama menunggu untuk disunting.. dan kini setelah disunting, terpaksa menanti pula.." Ustazah Ainon masih tersenyum.  Ustazah Ainon teringat kisah perkenalan antara Laili dan tunangnya itu. Kedua-dua mereka adalah pelajarnya. Masing-masing sedang mencari pasangan hidup. Sebaik sahaja mengetahui berkenaan Laili daripada ustazah Ainon, pelajarnya yang bernama Soleh itu membawa keluarganya datang ke rumah Laili untuk meminang. Disebabkan Soleh belum mempunyai kerja tetap, keluarga Soleh menetapkan tempoh satu tahun untuk mereka berdua bertunang. Laili hanya mampu menerima keputusan mereka dengan pasrah. Walaupun ustazah Ainon tahu yang Laili tidak mahu bertunang selama itu. Kalau diikutkan Laili, sebulan saja sudah cukup.

"Ustazah faham, wanita mana yang tak merindui bakal suaminya. Cuma, untuk meredakan ledakan perasaan tu, untuk fokus pada apa yang ada pada hari ini, untuk tidak terasa panjangnya masa.. ada satu ubatnya, Laili boleh cuba.." Ustazah Ainon tersenyum. Berhenti seketika untuk memerhatikan reaksi Laili. Laili nampak teruja. Bersinar-sina matanya memandang ustazah Ainon. Laili dan Ina setia menanti bicara seterusnya. Laili cuba mengagak-agak. Menyibukkan diri sendiri dengan kerja atau belajar kot? Tapi Laili sudahpun cuba untuk baca banyak buku, terlibat dalam banyak program, dan macam-macam lagi. Tapi kesibukan itu hanya menebalkan lagi rasa rindunya untuk bergelar isteri dan ibu. Fitrah wanita..


"Em, ustazah rasa ubat yang paling sesuai.. em..ubatnya ialah banyak mengingati mati.. Ya, ingat mati.. Bila kita ingat mati, kita lebih menghargai masa yang ada untuk kita pada ketika ini. Siapa tahu bila kita mati kan? Satu jam lepas ni? Dua jam? Selagi masih bernyawa, gunakanlah masa sebaiknya. Tingkatkan bekalan akhirat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ingat, rasai, hayati ayat-ayat al-Qur'an.." Ustazah Ainon tersenyum. Mata Laili bergenang. Laili tersentak. Bagai dipanah hatinya. Dia terlupa.. Mati.. Bila? Di mana? Ya, dia terlupa.

Ya, siapa tahu, mungkin dia mati hari ini. Kenapa dia harus merisaukan hari yang mendatang? kenapa dia harus mengira detik demi detik menuju tarikh pernikahan? Sedangkan, masih adakah esok baginya? Ya, hari ini harus digunakan sebaiknya! Laili kembali bersemangat. Mengingati mati itu, benar-benar menghidupkan hatinya!


No comments:

Post a Comment