Sunday, September 25, 2011

Alkisah anjing pengembala dan anjing liar


Anjing pengembala mengawal gerak-geri kambing biri-biri tuannya dengan penuh dedikasi. Anjing pengembala ingin sentiasa memastikan keselamatan kawanan biri-biri tuannya. Setiap kali ada kambing biri-biri yang ingin keluar daripada kawanan biri-biri lain, pasti anjing pengembala akan memarahinya dan menyalak kuat. 

Setiap kali mendengar salakan anjing si pengembala, pasti kambing biri-biri berasa takut dan kembali dalam kawanannya. Kambing biri-biri cuba bersabar. Walaupun kambing biri-biri teringin untuk bebas berlari dan meragut rumput-rumput hijau di tepi hutan, namun dia terpaksa bersabar dengan meragut rumput di kawasan ladangnya sahaja. Kambing biri-biri bersabar. Bersabar dalam taat! 

Pada suatu hari, tiga ekor anak kambing biri-biri berbincang sesama mereka.
Biri-biri 1: Bosanlah asyik makan di sini sahaja. Jom kita keluar ke tepi hutan.
Biri-biri 2: Betul, betul, betul!
Biri-biri 3: Dengar cerita, anjing pengembala jatuh sakit hari ini. Nampaknya, hari ini sahaja kita berpeluang untuk keluar ke tepi hutan.

Setelah berpakat bersama-sama, tiga ekor anak kambing biri-biri itu secara senyap-senyap keluar daripada ladang tersebut. Mereka berjalan beriringan. Mereka hanya meragut rumput di kawasan berdekatan ladang mereka sahaja. Mereka agak takut kerana tidak pernah keluar jauh daripada ladang. Tiba-tiba seekor anjing liar ternampak mereka daripada pinggir hutan berhampiran ladang tersebut. Anjing liar itu menelan air liurnya melihat ketiga-tiga anak biri-biri tersebut. Anjing liar itu mula berangan, kalaulah dia dapat membaham mereka bertiga, memang sedap! Anjing liar itu sedaya upaya memikirkan cara untuk menjauhkan ketiga-tiga biri-biri itu daripada ladang mereka, sekaligus menarik mereka untuk mendekati kawasan hutan.

Anjing liar: Wah, kamu bertiga ni kenapa duduk jauh sangat? Dekat saya ni, ada lebih banyak rumput hijau yang segar. (Katanya sambil tersenyum manis).
Biri-biri 1: Di sini lebih selamat. Bahaya pergi dekat hutan. Anjing pengembala pesan, bahaya pergi sana. Nanti anjing pengembala marah!
Biri-biri 2: Betul, betul, betul!
Anjing liar: Mana ada bahaya? Lagipun, saya kan ada.. Saya boleh tolong jaga kamu semua. Jangan takut kepada anjing pengembala. Saya akan bela kamu semua daripada dimarahi anjing pengembala yang garang itu. Saya lebih baik daripada anjing pengembala. Lihat, saya tidak pernah marah kamu dan saya sering tersenyum!
Biri-biri 3: Betul ke kamu mahu menjaga keselamatan kami semua?
Anjing liar: Mestilah! Saya janji! (Katanya sambil mengangguk bersungguh-sungguh).

---------------------------------
Seandainya..

Andai kambing biri-biri ini tidak termakan pujukan dan janji manis si anjing liar dan kembali ke dalam ladang.. Ya, andai kambing biri-biri ini taat dan patuh kepada arahan si anjing pengembala yang garang..
Andai kambing biri-biri ini tahu niat jahat yang tersembunyi di sebalik kemanisan kata-kata si anjing liar! Andai kambing biri-biri ini terus bersabar dan mentaati perintah si anjing pengembala.

Ini hanya satu analogi.

Realitinya, apabila si ayah memarahi anak gadis kesayangannya yang tidak mahu menutup aurat, si ayah dianggap garang! Apabila si ayah menghalang anak gadis kesayangannya daripada keluar malam untuk melepak ke pasaraya dan tepi jalan, si ayah dianggap mengongkong! Apabila si ayah memarahi anak gadis kesayangannya apabila mengetahui dia berkawan dengan lelaki jahat, si ayah dianggap kejam! Apabila si ayah melarang anak gadis kesayangannya meletakkan gambar-gambar untuk tanyangan percuma, si ayah dianggap kolot!

Seandainya anak-anak gadis ini mengerti dan memahami.. seandainya anak-anak gadis ini taat beragama, taat mematuhi arahan si ayah yang bertakwa, seandainya anak-anak gadis ini menutup aurat mereka, menjaga kehormatan diri mereka, menjaga batas pergaulan mereka… Seandainya..

Bersabarlah dalam ketaatan kepada-NYA. Andai ada yang sudah tersilap langkah, segeralah kembali ke pangkal jalan. Selagi kematian belum datang, pintu taubat itu sentiasa terbuka.  Andai sudah tersilap pilihan, usahlah terus bersabar dalam kemaksiatan kepada-NYA. Keluarlah daripada belenggu maksiat. Bagaimana kita sanggup untuk bersabar dalam maksiat, sedang kita tidak mahu bersabar dalam taat? Bagaimana kita boleh berputus asa daripada Rahmat, sedang kita tidak mahu berputus asa daripada maksiat? Pilihan itu..adalah pilihan kita. Segeralah kembali, segeralah bertaubat, selagi masih punya hayat!



No comments:

Post a Comment