"Betul ke tak nak ni?" Along bertanyaku sekali lagi.
"Iya lah Along. Pesan arwah ayah dan ibu pun macam tu kan.. Alang tak nak kecewakan arwah ayah dan ibu.." Aku cuba meyakinkan Along.
Along sememangnya seorang abang yang bertanggungjawab. Aku bersyukur mempunyai seorang abang sepertinya. Along sudahpun berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang comel. Tapi, hari ini hanya Along yang datang menziarahi ku di universiti. Aku kini sedang dalam proses menyiapkan tesis PhD. Kesegaran pagi di taman asramaku yang lengang memudahkan aku untuk berbicara dengan Along. Maklumlah, di pagi Ahad kebanyakan pelajar berada di bilik masing-masing.
"Bukan apa Alang..arwah ibu dan ayah pun harap Along dapat carikan calon suami yang sesuai untuk Alang. Ustaz tu baik orangnya.. Bertanggungjawab. Along kenal dia dah lama. Dia banyak mengajar Along. Cuma.."
"Cuma dia dah beristeri kan?" Aku mencelah. Along hanya mengeluh panjang.
"Apa salahnya Alang jadi isteri kedua dia? Dia pun seorang yang mampu. Along dah tanya dia pasal Alang. Dia pun sudi". Along sekali lagi memberi tawaran.
Isteri kedua. Bukan aku tak sudi, jauh lagi membenci. Tapi..
"Arwah ibu pesan. Kalau betul nak poligami, biarlah Alang jadi yang pertama, dan carikan madu, bukan Alang jadi yang kedua, biar Alang dilukakan tapi jangan sesekali menjadi orang yang melukakan.." Pesan ibu kuulang kepada Along.
"Tapi arwah ibu dah lima tahun meninggalkan kita. Kalau arwah ibu hidup, pasti arwah ibu benarkan, memandangkan Alang bukan muda lagi." Along cuba memujuk.
Aku sedar, aku semakin tua. Tapi biarlah aku begini. Perkahwinan hanya jalan untuk mencapai redha-Nya, ada banyak lagi jalan lain yang boleh kutempuhi. Aku tidak bencikan poligami. Malah, semasa arwah ayah dan ibu masih hidup, aku pernah menawarkan diri untuk menjadi isteri kedua kepada pensyarah di universiti ku. Aku masih ingat lagi, betapa arwah ibu begitu marah dan terluka dengan sikapku. Panjang ceramah yang ibu berikan untukku. Alhamdulillah, pensyarah tersebut menolak tawaranku. Ibu begitu lega ketika itu. Jadi, aku benci untuk jadi seorang Muslim yang akan menyakitkan saudara seIslamnya. Aku tak mampu untuk menghadapi air mata seorang isteri dan ibu. Isteri ustaz yang aku sanjungi. Bukan aku tak kenal mereka berdua. Mereka ibarat guru kepada Along. Aku selalu mendengar cerita mereka melalui Along. Tapi sekarang, berita lamaran untuk menjadi isteri kedua, amat melukakan diriku. Terkenang peristiwa dulu. Apatah lagi, kalau berita ini diketahui isteri sang ustaz, pasti dirinya lebih terluka berbanding aku.
"Biarlah Along.. Perkahwinan bukan segala-galanya dalam hidup ni. Ada ramai je yang mati tanpa sempat berkahwin. Biarlah.. daripada menjadi isteri yang melukakan madunya, Alang lebih rela bermujahadah seorang diri. Alang memilih 'uzlah sebegini bukan kerana Alang takut disakiti, tapi Alang ber'uzlah sebegini kerana Alang lebih takut untuk menyakiti".
Aku menyuarakan rasa hati. Entah Along faham atau tidak. Aku memandang Along. Dia melepaskan keluhan berat. Sejak kematian arwah ayah dan ibu dalam kemalangan jalan raya, Alonglah yang memikul segala tanggungjawab. Mungkin selagi Along melihat aku belum bekeluarga, dia akan terus resah gelisah.
"Along pun tak tahu nak cari siapa lagi. Kawan-kawan yang Along yakini kesolehan mereka, semua dah berkahwin. Kalau ada yang belum berkahwin pun, tak berani nak beristerikan orang seperti Alang.." Along mengeluh lagi.
"Kalau dah jodoh tak ke mana..tapi kalau bukan jodoh Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.." Aku cuba menenangkan Along.
"Tapi, kalau jodoh Alang sebagai isteri kedua? kenapa Alang nak menolak?" Lagi sekali Along menawarkan tawaran yang sama, cuma dengan uslub dan cara yang berbeza. Along memang pandai berkata-kata. Aku tersenyum pahit.
"Entahlah Along. Istikharah Alang memberikan Alang kata putusnya: tidak.. Berat hati Alang nak menerima. Berat sangat.. Sudahlah Along, baik Alang tumpukan saja pada tesis Alang ni". Aku bertegas.
"Alang lebih mengejar kesenangan duniawi daripada ukhrawi. Alang lebih pentingkan tesis PhD Alang daripada membina keluarga muslim! Along tak sangka. Celaan manusia lebih Alang takuti. Alang takut melukakan hati isteri pertama, tapi Alang tak kisah sakitkan hati Along?" Kata-kata Along kali ini begitu menghiris hatiku. Air mata yang cuba kutahan berguguran kini.
Along..sampai hati Along kata macam tu. Bagai panah menusuk kalbu kata-kata Along.. Alang tahu Along penat mencari. Alang tahu Along mencari atas dasar tanggungjawab walau Alang tak pernah meminta Along bersusah payah mencarikan.
Aku tak mampu meluahkan sebarang kata-kata. Hanya air mata yang berbicara. Along terdiam. Dia bingkas bangun dan mengucapkan selamat tinggal.
"Along ada janji dengan kawan Along, Along kena pergi sekarang. Assalamu'alaikum". Aku melihatnya bergegas pergi meninggalkan taman ini. Sejak dulu, setiap kali aku berbalah dengan Along, sekiranya aku menangis dia pasti melarikan diri. Takut dengan air mataku. Mungkin.
Along, maafkan Alang.. Semoga Allah membalas usaha Along dengan redha dan syurga-NYA.. Ya Allah, ikhlaskan niatku ini keranaMU, bukan keran mengejar kesenangan duniawi yang menipu, bukan juga atas dasar takutkan celaan manusia, tapi aku seorang hamba yang lemah tak berdaya. Dosa sendiri belum mampu kupikul, apatah lagi ingin menambah dosa menyakiti hati isteri solehah kepada seorang suami. Cukuplah Engkau sebagai wali dan saksi. Ikhlaskan niatku. Matikan aku dalam redhaMu..
No comments:
Post a Comment