Wednesday, February 2, 2011

Ustazah?

"Terima saja..Dia pun nampaknya berminat dengan agama", ibu memberi komen.
"Bukan tak nak terima..tapi Alang takutlah..dia bukan seorang ustaz yang berlatar belakang agama.." Aku memberi alasan.
"Ustaz tak semestinya baik.." Ibu membalas.
"Memanglah..tapi Alang takut nak terima suami yang macam dia.." Aku menyuarakan rasa resah di hati.
"Kalau dia dah pilih Alang untuk dijadikan isteri, maknanya dia minat sangat dengan agama la tu..Dia pun tahu yang Alang ni bidang agama..Ustazah orang panggil.. Agaknya dia nak Alang didik dia.." Ibu menambah.
Aku kelu. Aku nak didik suami? Aduh! Aku pun perlukan didikan. Teringat kata-kata dalam blog genta-rasa Ustaz Pahrol: Jika ada orang lemas di sungai, kita pandai dan kuat berenang, terpuji menolongnya. Tetapi jika kita sedang sakit, jahil pula berenang… tak takutkah dihanyutkan?
Aduh! Aku takut dihanyutkan. Aku ni bukanlah seorang yang begitu kuat iman dan agama. Mungkin pada pandangan orang, aku ini seorang yang kuat agamanya. Maklumlah, ibu dan ayah menghantarku ke sekolah agama sejak tadika sampailah ke universiti. Aduhai..tapi itu bukan pengukurnya. Aku tak bersedia menerima seorang suami yang latar belakang pendidikannya bukan agama. Nampak dia ber 't-shirt' dan seluar jeans pun dah cukup menghentakkan jiwaku. Aku hanya mampu menghukum sesorang berdasarkan zahirnya. Aduh..hatiku sangat berat untuk menerima dirinya sebagai seorang suami. Aduhai..bagaimana untuk menjelaskannya. Aku bukan memandang redah padanya, jauh sekali untuk berasa bangga dengan ijazah agama yang kuperolehi. Tapi aku takut, aku tidak mampu mendidiknya, kalau itu yang dia inginkan dengan beristerikan seoang yang digelar ustazah. Ibarat kata ust Pahrol, aku sendiri lemah, dan 'tak pandai berenang'. Huhu bagaimana aku sanggup untuk terjun dalam arus gelombang lautan kehidupan rumah tangga dengan tujuan hendak menyelamatkan seorang suami yang kelemasan..bimbang diri ini turut tenggelam dan lemas bersamanya.
"Bukan apa Alang..Ibu bimbang. Umur Alang pun dah lanjut. Setahu ibu, sembahyang budak lelaki tu tak pernah tinggal. Keluarganya pun okey lah juga. Peramah. Baik budi bahasa. Cukuplah tu. Kira beragama juga dia nampaknya. Cuma dia tak ada ijazah dalam bidang agama. Ijazah dalam bidang akademik saja. Ijazah agama bukan pengukur agama seseorang". Ibu menjelaskan dengan penuh harapan.
Benar, umurku semakin mendekati 30-an.. Tapi bukankah perkahwinan hanya alat untuk mencapai redha-NYA. Biarlah susah memilih. daripada memilih susah. Kalau aku tak kahwin pun bukan sebab aku tak nak kahwin dan bukan sebab aku membenci sunnah Nabi tercinta, tapi kerana ingin memilih seorang suami yang sesuai. Bukan aku begitu memilih. Aku tak kisah jadi isteri kedua, ketiga, atau keempat, tapi yang penting, biarlah suamiku itu orang yang aku hormati dan yakini agama dan akhlaknya. Tapi budak lelaki ni..Aduh..macam mana lah hendak kuyakini akhlak dan agamanya..Pakaiannya pun dah menggetarkan hatiku, cara dia tengok pun semacam saja. Takut aku dibuatnya. Aduhai..
"Tengoklah dulu. Solat istikharah dulu. Minta dia pun solat istikharah sama". Ibuku tersenyum memahami. Ya, ibu mana yang tak dapat merasai keresahan anak gadisnya. Melihatkan mukaku y6ang berkerut seribu, dan dah macam nak menangis ni..Alhamdulillah ibu memahami. Jauh di sudut hati, kuharap jika dia bukan jodohku, semoga dia tak jadi memilihku sebagai isteri, aku tak begitu selesa untuk menolak lamaran. Lebih baik pihak lelaki yang tak jadi..semoga dia bertemu gadis yang lebih baik daripadaku, yang benar-benar mampu membimbingnya, jika itulah yang diharapkan dengan mengahwini seorang wanita yang bergelar ustazah..

No comments:

Post a Comment