“Zzzzz”. Gegaran telefon bimbit itu mengejutkan Busyra. Nama pemanggil tertera di skrin.
Dr. Ahmad.
Alamak, tengah kelas ni. Nak angkat ke tak? Hati Busyra berbisik.
Pensyarah di hadapan kelas kelihatan sedang khusyuk menyampaikan kuliyah. Memandangkan Busyra berada di tempat duduk belakang, maka dia mengambil keputusan untuk menjawab panggilan telefon daripada pensyarahnya yang bernama Dr. Ahmad.
“Ke..las..” Perlahan Busyra membisikkan suku kata kalimah keramat.
“Busyra, oh, ada kelas ye?” Suara Dr. Ahmad kedengaran jelas di telinga Busyra.
Alamak, ustaz tak berapa dengar kot. Hati Busyra berbisik.
“Ke….las….” Lagi sekali perlahan Busyra berbisik tapi dengan nada yang lebih panjang.
Panggilan dimatikan. Serentak dengan itu Busyra kembali focus kehadapan. Pensyarah yang berada di hadapan kelas sedang khusyuk menulis di papan putih.
------------------------------------------------
Busyra berada di hadapan bilik pejabat Dr. Ahmad. Sambil mengetuk pintu, salam diucapkan.
“Wa’alaikumussalam, masuk, masuk!” Kedengaran sayup-sayup suara Dr. Ahmad dalam biliknya yang berhawa dingin.
Busyra membuka pintu seluas yang boleh dan menyekat pintu daripada tertutup dengan penyendal pintu. Memandangkan tiada sesiapa di dalam bilik Dr. Ahmad ketika itu.
Busyra masuk dan duduk berhadapan meja Dr. Ahmad yang dipenuhi buku.
“Ada apa ustaz?” Busyra memandang Dr. Ahmad. Dr. Ahmad tidak memandang tetapi mencari-cari sesuatu di atas meja.
“Ha, ni dia!” Dr. Ahmad menghulurkan sehelai kertas kepada Busyra.
Apa pula ni? Hati Busyra berbisik sambil mengambil kertas yang dihulurkan.
“Ha?” Terkejut Busyra melihat isi kandungan kertas tersebut. Gambar seorang lelaki dan biodatanya.
Busyra memandang Dr. Ahmad penuh tanda tanya. Dr. Ahmad memandang Busyra sambil tersenyum.
“Berkenan tak?” Dr. Ahmad bertanya sambil tersenyum simpul.
“Err..hehe..berkenan apanya ustaz? Siapa ni? Kenapa ustaz bagi saya pula biodata dia?” Busyra tersenyum kelat. Malu. Terkejut. Semua rasa bersatu.
“Hai, buat-buat tak faham pula. Budak ni minta saya carikan calon isteri. Ha, saya teringat kamu lah.. Kalau kamu berkenan, saya ni kira jadi orang tengah lah.. Kamu belum berpunya kan?”
“Err..belum..mmm..biar saya fikir dulu ustaz. Err..nak kena solat istikharah dulu..mm” Busyra tergagap-gagap. Ketar seluruh tubuhnya. Begitulah keadaannya setiap kali diperkenalkan dengan seseorang untuk dibuat suami. Sejak berada dalam peringkat Masters ada sahaja calon suami yang diusulkan kepadanya. Cuma sampai sekarang dia belum ada jodoh dengan sesiapa.
“Ha, eloklah.. Kamu ambillah kertas tu. Fikir dulu, solat istikharah, nak berbincang dengan keluarga ke, kawan-kawan ke..terpulang..dan apa-apa yang kamu nak tanya pasal dia pun kamu boleh tanya saya. Budak ni pun pelajar saya”. Dr. Ahmad menawarkan pertolongan.
----------------------------
Di malam yang hening itu, Busyra bangun untuk mendirikan solat taubat, tahajud, dan istikharah. Andai ini jodohnya, maka mudahkanlah, andai bukan maka jauhkanlah..
---------------------------
“Maaf sangat Busyra..saya pun tak tahu nak kata apa.. Keluarganya dah ada pilihan lain untuk dia. Dia sebenarnya berkenan juga pada kamu.. Tapi nak buat macam mana kan? Dia tak mahu mengecewakan keluarga”.
Busyra hanya tersenyum memandang Dr Ahmad. Bukan jodoh, nak buat macam mana, Allah Maha tahu apa yang terbaik buat hamba-NYA. Bisik hati Busyra.
“Jangan bersedih ye.. insya Allah, ada orang lain yang lebih baik.. jangan sedih-sedih ye”.
Mendengar kata-kata tersebut, ketawa Busyra pecah. Segera ditutup mulutnya. Husna yang turut menemani Busyra bertemu Dr. Ahmad turut ketawa. Bukan apa, Dr. Ahmad terkenal dengan kegarangan dan keseriusannya ketika mengajar. Cara Dr. Ahmad memujuk, kelihatan agak melucukan bagi kedua-dua anak murid Dr. Ahmad.
Dr. Ahamd tidak memandang mereka berdua, sebaliknya hanya membelek-belek kertas di hadapan beliau. Pujukan masih diteruskan.
“Pointer kamu pun tinggi. 3.9. Insya Allah. Ada yang lain. Pasti ada yang lain yang lebih baik dan sesuai..Jangan bersedih ye”.
----------------------------
“Boleh tak kamu tolong jaga anak-anak saya? Saya dan isteri kena balik kampung segera. Kakak saya meninggal dunia..” Suara Dr. Ahmad kedengaran resah di sebalik telefon bimbit Busyra.
“Inna lillah.. insya Allah, boleh je ustaz. Saya datang rumah ustaz sekarang”.
Busyra segera keluar daripada perpustakaan dan menuju ke tempat letak kereta. Kereta kancil hijau muda hadiah abangnya segera dipandu menuju ke rumah Dr. Ahmad. Sebelum ini dia pernah melawat isteri Dr. Ahmad setelah isteri beliau dibenarkan keluar dari hospital akibat barah payudara. Mereka mempunyai dua orang cahaya mata. Anak perempuan sulung beliau sudah pun berumur 12 tahun, manakala yang kedua anak lelaki yang berusia 9 tahun. Keluarga Dr. Ahmad sememangnya agak rapat dengan Busyra memandangkan Dr. Ahmad dan isterinya sering menghantar anak-anak mereka ke rumah Busyra untuk kelas tambahan. Malah, ayah dan ibu Busyra turut mengenali keluarga Dr. Ahmad.
---------------------------
Entah mengapa, hati Busyra rasa resah. Dr. Ahmad dan isterinya memandang Busyra.
“Awak cakaplah..” Dr. Ahmad memandang isterinya. Isterinya hanya tersenyum. Sememangnya isteri Dr. Ahmad seorang yang murah dengan senyuman. Manis orangnya. Suri rumah sepenuh masa yang begitu setia. Busyra amat mengaguminya. Pasti Dr. Ahmad amat menyayanginya.
Busyra tersenyum kelat. Entah apa yang ingin dibincangkan dengan dirinya. Kata-kata rakan karibnya mula terngiang-ngiang di telinga.
“Busyra, Dr. Ahmad tu macam suka kat Busyra lah..” Husna pernah memberitahunya dulu. Namun segera dinafikan, walaupun hatinya turut merasakan yang sama. Sebagai seorang wanita, dia turut dapat merasakan layanan Dr. Ahmad kepadanya amat berbeza berbanding rakan-rakannya yang lain. Mungkin mainan perasaan.
“Busyra, kahwin je la dengan Dr. Ahmad tu. Haha Husna tengok, Busyra memang padan dengan Dr. tau. Malah dulu, ada pelajar junior ingat Busyra ni isteri Dr. Ahmad!” Ketawa Husna dan Busyra pecah. Busyra terus menafikan dan menafikan.
“Busyra..” Sumayyah, isteri Dr. Ahmad mula bersuara. Bayangan Husna segera hilang daripada kotak memori Busyra. Lunak kedengaran suara Sumayyah selembut dan semanis wajahnya.
“Busyra belum berpunya kan?” Sumayyah memandang Busyra sambil tersenyum lembut.
“Hehe, belum.. Ustaz & ustazah nak offer calon lain pula ke ni?” Busyra tersenyum kelat. Teringat calon dulu yang pernah ditawarkan kepadanya.
Sumayyah memandang Dr. Ahmad. Hati Busyra jadi kecut. Degupan jantungnya bertambah laju. Kenapa main pandang-pandang ni? Dr. Ahmad turut tersenyum. Kelihatan seolah-olah ada sesuatu yang amat penting namun sukar diluahkan oleh mereka berdua.
“Err Busyra sudi tak kalau..” Kata-kata Dr. Ahmad terhenti. Dipandangnya Sumayyah meminta bantuan untuk meneruskan kata-kata beliau yang terputus, kehilangan bahasa kata untuk menjelaskan bahasa rasa.
Sumayyah tersenyum manis dan menyambung kata-kata suami tercinta:
“Ingat tak, yang hari tu kami balik kampung, dan Busyralah yang tolong jaga anak-anak kami.. Masa tu kakak ustaz meninggal.. Kami dapat rasakan yang Busyra ni amat sesuai..tapi..kalau Busyra tak sudi tak apa..kami tak ingin memaksa..”
Busyra terpinga-pinga. Kata-kata itu begitu samar buat dirinya. Dahinya berkerut seribu.
“Betul kata ustazah.. Harap kalau Busyra sudi, itu sememangnya atas kesudian Busyra, dan bukannya kerana tawaran kami.. Solatlah istikharah, dan tanya keluarga macam mana..” Dr. Ahmad pula menyambung.
“Calon yang kami nak kenalkan ni, seorang lelaki yang soleh, baik. Maklumlah..Ustaz dan Ustazah pun memang kenal rapat dengannya..” Sumayyah pula menyambung.
Ibarat bermain lari berganti-ganti. Itulah yang Busyra rasakan. Sekejap isteri ustaz, sekejap ustaz, Busyra memandang mereka berdua silih berganti.
“Err boleh tak ustaz dan ustazah jelaskan lebih sikit? Siapa calon tu?” Busyra menyuarakan rasa kebingungannya.
Mereka berdua saling berpandangan. Masing-masing kelihatan agak berat untuk menyatakan.
“Kami tahu, Busyra layak untuk dapat yang lebih baik, cuma kami tawarkan calon ni, manalah tahu kalau Busyra sudi..” Ustaz pula mengambil giliran untuk bersuara.
Busyra hanya tersenyum kelat. Entah sampai bila ustaz dan ustazah ingin berteka-teki dengannya.
“Orangnya…err ustaz..ustaz..” Sumayyah bersuara perlahan, dan agak gugup. Namun dapat ditangkap dengan jelas oleh telinga Busyra. Jantung Busyra bagai berhenti berdegup. Jantungnya ibarat disambar petir.
“ustaz..ustaz punya abang ipar..” Akhirnya ustaz dan ustazah berkata serentak.
Berderai ketawa Busyra, namun segera ditutup mulutnya. Hahahaha..aduhai..ustaz dan ustazah ni, buat terkejut aku saja.
“Apa maknanya daripada ketawa Busyra tu?” Ustazah bertanya dalam serba salah. Ustaz dan ustazah kelihatan agak terpinga-pinga melihat dirinya ketawa. Busyra sedar bahawa mereka berdua tidak tahu apa yang bermain di benaknya sebelum ini.
“Maaf, ustaz, ustazah, bukan apa, lucu pula cara ustaz dan ustazah nak tawarkan abang ipar ustaz. Oo kiranya calonnya ialah suami kepada kakak ustaz yang meninggal baru-baru ni ye.. Insya Allah, nanti saya buat istikharah dan tanya pendapat keluarga. Saya memang tak kisah sangat, duda ke, tak ke, kalau dah jodoh tak ke mana..kalau bukan jodoh, Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-NYA”.
Busyra tersenyum lega. Jelas sudah kedudukan perkara sebenar. Hatinya bertambah tenang dan tenteram. Busyra keluar daripada pejabat Dr. Ahmad. Sebaik sahaja melangkah keluar, air matanya tumpah. Entah mengapa, dalam lega ada rasa haru dan pilu yang terbuku..
Ish! Aku ni mudah sangat perasan! Hmm asyik fikir yang bukan-bukan! Rasa pilu dan haru terus mencengkam jiwanya.
No comments:
Post a Comment