“Alang janganlah ambil hak orang ye..” Ibu bersuara lembut. Menasihatiku.
Aku sedikit terpana mendengar nasihat ibu. Terguris. Aku ini perompak kah? Pencuri?
“Mana ada.. Bila pula alang ambil hak orang?” Aku berpura-pura tidak faham.
“Suami orang tu kan hak orang.. Dah berpunya.. Kesian kat isteri dia.. Mana ada isteri yang suka berkongsi suami..” Ibu terus menasihati.
Aku tersenyum. Pahit. Semalaman aku menangis. Bengkak mata. Makan hati berulam jantung. Kisah perbualan aku dengan arwah ibu terus bermain di kotak fikiran. Kini along pula yang memberi tawaran yang menyakitkan.
Aku kembali menatap emel along.
Along sebagai seorang abang amat berharap melihat adiknya mendirikan rumah tangga. Along rasa resah mengingatkan keadaan alang. Along wali alang. Along sememangnya bertanggungjawab memastikan kebahagiaan seorang adik perempuan. Salahkah calonnya suami orang? Usia alang sudah semakin meningkat. Apa salahnya jadi yang kedua? Kalau ibu masih hidup, pasti ibu turut memahami. Kisah dulu lupakanlah. Pesan ibu sudah hampir 10 tahun berlalu. Bukan mudah untuk Along mencarikan untuk Alang orang yang masih bujang.. Along amat berharap alang menerimanya..
Ah! Along takkan memahami. Along lelaki. Biarpun beribu alasan Alang nyatakan, Along pasti tak akan memahami.
Aku membiarkan emel Along tidak berjawab. Sudah seminggu. Namun, biarlah. Tesis PhD masih dalam proses untuk disiapkan. Biarlah. Mungkin bukan jodoh.
----------------------------------
Jalan menuju ke perpustakaan kususuri perlahan. Udara segar di pagi hari kuhirup sepuasnya. Alhamdulillah atas nikmat yang tidak terhingga. Nikmat Iman dan Islam.
“Husna!” Yati melambai-lambai. Dua orang anak perempuannya dipimpin menghampiriku.
“Lama tak Nampak.. Yati apa khabar?” Aku memulakan perbualan. Sambil bersalaman dengan yati dan anak-anaknya yang comel.
“Alhamdulillah, sihat.. Tengah tunggu suami Yati ni. Tapi dah ternampak Husna, baik borak dulu”. Dia tersenyum riang.
Kami berdua duduk di taman berhampiran perpustakaan university. Pagi yang indah.
“Ehem..dah bercincin ni, ada orang dah ke?” Yati tersenyum melihat jariku.
“Yati doakanlah ye..kalau jodoh, insya Allah..” Aku menjawab sambil tersenyum semanis mungkin.
“Alhamdulillah! Akhirnya.. syukurlah. Siapa orang nya?” Yati cuba mencungkil rahsia hati.
“Hehe rahsia.. Kalau jadi, baru Husna beritahu detail ye..” Aku masih tersenyum. Yati hanya mengangguk sambil tersenyum girang.
Selepas hampir 15 minit bercerita bertanya khabar masing-masing. Yati dan anak-anaknya pergi meminta diri. Aku masih termenung memandang pemandangan suasana pagi yang indah. Jam 10 pagi di hari Ahad begini orang sememangnya jarang keluar ke perpustakaan. Aku tenang bersendiri begini. Cincin di jari kutatap. Entah mengapa, air mataku tumpah. Sudah puas cuba kutahan. Namun ia tetap mengalir laju. Ah, biarkan! Bukan ada sesiapa di sini. Cincin ini banyak menyelamatkanku daripada pelbagai resah hati. Menipu? Tidak, aku tidak menipu. Aku mengatakan yang benar. Mereka menyangka aku sudah berpunya, aku hanya minta mereka mendoakan. Biarlah.. Cincin ini petanda aku sudah berjanji untuk mati di jalan-Nya, biarpun tanpa seorang suami di sisi.
---------------------------------
“Along tak tahu apa nak cakap lagi. Kalau alang dah cakap macam tu, along nak cakap apa lagi..” Along kelihatan kecewa.
“Kalau betul along nak tolong alang mendirikan rumah tangga, carikanlah yang tak beristeri. Duda pun alang tak kisah..”
“Entahlah alang.. bukan senang nak cari.. Kalau macam ni lah alang kata, along hanya mampu doakan isteri ustaz tu mati ke.. bercerai ke..macam tu baru alang boleh kahwin kan?”
Hatiku bagai dihentak.
“Along..” Aku tak mampu meneruskan kata-kata. Tajam kata-katanya menghiris hatiku.
“Ok, adik along dah nak nangis dah.. Along tak reti pujuk.. along ada janji dengan kawan. Assalamualaikum”. Along pergi meninggalkanku keseorangan di bangku belakang asramaku. Mentari petang yang mula menyorok di sebalik awan ibarat turut segan melihat tangisanku. Aku tenang begini.
Aku bahagia sendiri. Salahkah? Aku lebih bahagia hidup sendiri daripada digelar perampas suami orang. Aku lebih tenang sendiri daripada menjadi sebab lukanya hati seorang ibu dan isteri. Aku bahagia begini. Salahkah? Wanita yang layak berkahwin tetapi belum berkahwin semakin ramai kini, sedangkan lelaki yang layak semakin kurang. Aku tidak mengharapkan kematian sesiapa dan aku tidak mengharapkan penceraian berlaku. Andai aku harapkan kematian, lebih baik aku mengharapkan kematian itu kematianku daripada mengharapkan kematian seorang isteri dan ibu yang akan ditangisi anak-anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ibu. Andai aku yang mati, aku tidak meninggalkan anak-anak kecil. Tiada sesiapa yang akan menangisi kematianku sebagaimana seorang anak kecil menangisi kematian ibunda tercinta. Malah, bukan aku seorang menderita hidup tanpa suami. Malah, aku tidak menderita.. Aku menangis bila dihiris. Andai tiada yang menghiris, aku sememangnya bahagia biarpun tanpa suami.
Along.. Semoga Allah memaafkan Along..
No comments:
Post a Comment