Tertekan! Stress! Kerja yang semakin bertimbun menyesakkan dada. Rasa hampir meletup.
"Lebih ramai orang yang lebih sibuk, setakat kerja macam ni pun, dah stress ke?" Hati bermonolog. Memerli diri sendiri. Senyuman pahit dipaksakan, sebaik sahaja teringat kata-kata pakar psikologi bahawa senyum boleh menghilangkan sedikit sebanyak stress. Tapi, kepala ini masih berdenyut-denyut. Kerja terpaksa ditangguhkan. Program lain menanti.
Seorang penceramah berdiri tenang. 'Ustaz' ialah panggilan kami terhadap beliau. Melihat kepada beliau, minda ini terus teringat istilah Imam al-Ghazali terhadap para Ulama' yang zuhud, 'Ulama' kerempeng' @ 'Ulama' kurus kering'. Ustaz sememangnya menggalakkan kami berpuasa. Kami sememangnya tidak hairan jika ustaz begitu kurus. Namun, istimewanya, walaupun sudah berusia hampir 60 tahun, uban di rambut beliau lansung tidak kelihatan, Subhanallah.. Beliau seorang yang amat menjaga pemakanan dan kesihatan. Kurma makanan harian. Puasa sebagai ubat dan penyuci toksik spiritual dan fizikal.
Ustaz memulakan ceramah beliau. Minda yang melayang entah ke mana, kini kembali. Peserta yang hampir berjumlah 200 orang tekun mendengar.
"Amal untuk akhirat.. Jika kita beramal dan bekerja untuk akhirat sepatutnya amal kita tidak menjadikan kita stress dan tertekan. Andai kita rasa tertekan dan stress, muhasabah kembali niat kita. Untuk apa kita bekerja sepenat ini? Kenapa kita masih terus bertahan? Ingatlah, sebagaimana yang disebutkan oleh Sayyidina Ali r.a.: Dunia ini adalah tempat beramal, manakala akhirat adalah tempat dihisab". Di dunia biar penat, jangan penat di akhirat.."
Hati ini tersentak. Lekakah diri ini? Amal apa yang akan dijadikan bekal akhirat? Taqwa adalah sebaik-baik bekal, dan taqwa itu di dalam hati. Menggerak diri untuk berhati-hati dalam melalui onak duri kehidupan duniawi.
Maka, mulai hari ini, ummu nuh membuka blog. Dengan harapan semoga usaha kecil ini menjadi bekalan buat kehidupan yang hakiki, kehidupan yang kekal abadi. Semoga mendapat redhaNYA.. Amin.
No comments:
Post a Comment