Monday, August 1, 2011

Mari Menghayati Al-Qur'an!

 MENGHAYATI AL-QUR’AN :


Kadang-kadang kita tertanya-tanya diri sendiri:

- Yang mana satukah yang lebih baik; lambat khatam tetapi dengan penghayatan, ataupun khatam cepat tanpa penghayatan? 

- Untuk menjawabnya marilah kita lihat apa yang dikatakan oleh Sayyidina Ali r.a. (wafat 40H):

"لا خير في عبادة لا فقه فيها، ولا في قراءة لا تدبر فيها، وإياك أن تصير مشغوفاً بعدد الختمات على نفسك، فلأنْ تُرَدِّدَ آية واحدة ليلة خيرٌ لك من ختمتين".

Maksudnya: Tiada kebaikan dalam ibadah yang dilakukan tanpa sebarang kefahaman, begitulah juga tiada kebaikan dalam bacaan al-Quran yang dibaca tanpa sebarang penghayatan. Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menyukai berapa banyaknya bilangan kamu mengkhatamkan (menghabiskan) al-Qur'an, ketahuilah bahawa jika kamu dalam satu malam hanya mengulang-ulang satu ayat al-Qur'an (dengan penghayatan) adalah lebih baik daripada kamu mengkhatamkan al-Qur'an dua kali (tanpa penghayatan).

- Oleh itu, jika kita membaca ayat al-Qur'an secara lalai tanpa sebarang penghayatan, hendaklah kita mengulang kembali ayat tersebut sambil menghayati maknanya, dan janganlah kita mengambil kira bacaan yang tiada penghayatan sebagai amalan kita, kerana bacaan al-Qur'an pada zahirnya adalah supaya kita dapat menambahkan penghayatan[5]

- Malah, membaca al-Qur'an tanpa sebarang penghayatan dan kefahaman, dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja, orang yang baik ataupun orang yang jahat, orang yang beriman ataupun orang yang munafik (hipokrit)[6], sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

«مَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْأُتْرُجَّةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلَا رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ طَعْمُهَا مُرٌّ وَلَا رِيحَ لَهَا»

Maksudnya: Perumpamaan orang yang membaca al-Qur'an ibarat buah sitron (sejenis buah limau), rasanya sedap dan baunya wangi, dan orang yang tidak membaca al-Qur'an ibarat buah tamar, rasanya sedap tetapi tidak berbau wangi, dan perumpamaan orang jahat yang membaca al-Qur'an ibarat daun basil, baunya wangi tetapi rasanya pahit, dan orang jahat yang tidak membaca al-Qur'an ibarat buah labu pahit rasanya pahit dan tidak berbau wangi[7].

Ingatlah!

- Apakah tujuan sebenar kita membaca al-Qur’an secara tartil serta melagukannya?

- Tujuan sebenar yang kita inginkan daripada pembacaan al-Qur'an secara tartil dan berlagu adalah supaya kita dapat menghayati makna ayat-ayat al-Qur'an dengan mendalam dan penuh kesedaran.



- Apakah yang dimaksudkan dengan "menghayati al-Qur’an"?

- Menghayati al-Qur'an bermaksud kita membacanya secara perlahan-lahan, satu persatu. Imam al-Qurtubi (wafat 671H) ketika mentafsirkan maksud ayat[المزّمِّل:4]
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً
 Maksudnya: dan bacalah al-Qur'an secara perlahan-lahan dan tersusun. 
Beliau menyatakan: "janganlah kamu membaca al-Qur'an secara tergesa-gesa, tetapi bacalah al-Qur'an dengan perlahan satu persatu dengan jelas sambil menghayati maknanya"[4].



- Apakah hukum membaca al-Qur'an dengan laju tanpa menghayati maknanya?

- Makruh hukumnya kita membaca al-Qur'an dengan laju tanpa ada sebarang penghayatan. Walaupun membaca al-Qur'an tanpa penghayatan adalah dibolehkan, namun membacanya dengan menghayati makna al-Qur'an adalah lebih besar ganjaran pahalanya.

Namun begitu, tidak dinafikan ada orang yang mampu menghayati al-Qur'an dengan bacaan yang lancar dan laju. Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah memberikan kelebihan ini kepada mereka.. Maka, tidak hairanlah para Ulama' ramai yang dapat mengkhatamkan al-Qur'an dalam masa yang singkat. Manakala, kita yang masih belum mampu, bacalah secara sederhana. Apa yang penting, hayatilah bacaan kita! ^_^

Kesimpulan
 

Oleh itu, al-Qur'an hendaklah dibaca dengan penuh penghayatan, pemahaman, penelitian, dan kesedaran, kerana dengan cara inilah kita dapat memberikan bacaan al-Qur'an haknya serta maknanya yang sebenar, sebagaimana firman Allah s.w.t.:

[البقرة:121]. (الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاَوَتِهِ)    

Maksudnya: Mereka itulah yang kami berikan kepadanya al-Kitab (al-Qur'an), mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan.

Semoga kita adalah mereka itu.. Ameen ^_^ 

Mari menjadi al-Qur'an bergerak!

(buku asal: المدخل إلى دراسة علوم القرآن للدكتورة صفية شمس الدين)

perhatian: terjemahan ini diberikan oleh seorang rakan (pelajar) untuk manfaat serta perkongsian bersama. Oleh sebab ia bukan terjemahan profesional, mungkin terdapat kesilapan dalam terjemahannya. sebarang pembetulan amat dialu-alukan. terima kasih ^_^


__________________________

[4] Tafsir al-Qurtubi, juzu'19. m.s.37.
[5] Al-Ghazali, al-Arba'in fi Usul ad-Din, m.s.37.
[6] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khoir al-'Ibad, juzu1, m.s.338.
[7] Riwayat Sohih al-Bukhari, Kitab Kelebihan-kelebihan al-Qur'an, Hdis no.4632; Riwayat Sohih Muslim, Kitab Solat Orang-orang Musafir dan Memendekkan solat, no.797; serta Riwayat Musnad Ahmad, juzu'4, m.s.397.


No comments:

Post a Comment