Monday, August 1, 2011

Al-Qur'an Bergerak!

AL-QUR’AN BERGERAK!
AL-QUR'AN DALAM KEHIDUPAN DAN AMALAN SEHARIAN:

(buku asal:  المدخل إلى دراسة علوم القرآن للدكتورة صفية شمس الدين)

perhatian: terjemahan ini diberikan oleh seorang rakan (pelajar) untuk manfaat serta perkongsian bersama. Oleh sebab ia bukan terjemahan profesional, mungkin terdapat kesilapan dalam terjemahannya. sebarang pembetulan amat dialu-alukan. terima kasih ^_^


Mari menjadi 'al-Qur'an Bergerak'!

Maknanya, kita mengamalkan al-Qur'an dalam kehidupan kita serta mencontohi Rasulullah SAW, kerana akhlak Rasulullah itu ialah al-Qur'an. ^_^



- Apakah tujuan sebenar kita ingin menghayati al-Qur’an dan kenapa kita diperintahkan agar menghayatinya?

- Tujuan sebenar kita ingin menghayati al-Qur'an dan kita disuruh agar menghayatinya adalah supaya kita dapat mengambil manfaat daripada ayat-ayat al-Qur'an yang sekaligus memberi kesan kepada diri kita. Ini kerana pembacaan al-Qur'an tanpa penghayatan hanyalah sekadar perkataan-perkataan yang diulang oleh lidah tanpa memberi apa-apa kesan kepada individu tersebut. Manakala, pembacaan dengan penghayatan dapat menjangkau hati, lalu menggetarkan perasaan dan memberi kesan kepada jiwa. 



Bagaimanakah cara untuk kita mendapat faedah daripada al-Qur'an agar al-Qur'an dapat dipamerkan dalam kehidupan dan amalan seharian?

- Caranya: Pertama, kita hendaklah terlebih dahulu mendengar bacaan ayat al-Qur'an sama ada yang dibaca oleh kita sendiri ataupun orang lain. 

- Kedua, kita hendaklah cuba sedaya upaya untuk memahami maknanya (contohnya dengan membaca buku tafsir yang muktabar atau dengan bertanya kepada para Ulama').

- Ketiga, kita hendaklah beramal dengan al-Qur'an (melaksanakan suruhan-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya) dengan penuh keikhlasan dan kesedaran.

- Firman Allah s.w.t.:

(فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الأَلْبَابِ) [الزمر:17-18].

Maksudnya: Maka berilah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku, iaitu mereka yang mendengarkan sesuatu perkataan, lalu mereka mengikuti perkataan yang terbaik, mereka itulah yang telah diberi petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal fikiran. 

- Ini bermakna, orang yang mendengar ayat al-Qur'an hendaklah memahaminya dan beramal dengan apa yang terdapat di dalam al-Qur'an[8].

- Abu Abdur Rahman as-Salmi (wafat 72H) berkata:

"إذا كنا نتعلم العشر من القرآن، لم نتعلم العشر التي بعدها، حتى نتعلم حلالها وحرامها وأمرها ونهيها"

Maksudnya: Apabila kami mempelajari sepuluh ayat daripada al-Qur'an, kami tidak akan mempelajari sepuluh ayat yang berikutnya, kecuali setelah kami mempelajari dalam kesemua sepuluh ayat pertama itu tentang halal dan haram, serta perintah dan larangannya[9].  

- Ini kerana, membaca al-Qur'an bukanlah sekadar untuk mencari ganjaran dan pahala membacanya sahaja (satu huruf sepuluh pahala) sebagaimana yang digambarkan oleh sesetangah orang, bahkan ganjarannya yang hakiki adalah dengan mempraktikkan al-Qur'an dan berpegang teguh dengan ajarannya, sebagaimana firman Allah s.w.t.: 

 [التوبة:105]. وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu nescaya Allah pasti akan melihat amalanmu, dan begitu juga Rasul dan orang-orang yang beriman (pasti mereka juga akan melihat amalanmu).

Sabda Nabi s.a.w.: «اقرأ القرآن ما نهاك، فإذا لم ينهك فلست تقرأه»

Maksudnya: Bacalah al-Qur'an kerana al-Qur'an dapat mencegahmu (daripada melakukan dosa), maka jika (kamu membacanya dan) ia tidak mencegahmu (daripada melakukan dosa), maka kamu sebenarnya tidak membaca al-Qur'an (dengan bacaan yang hakiki)[10].

KESIMPULAN

Bacalah al-Qur'an untuk diamalkan, bukan hanya sebagai adat kebiasaan. Semoga kita semua diberikan hidayah kekuatan serta kemampuan untuk menjadi al-Qur'an Bergerak! Ameen.^_^ 


__________


[8] Tafsir Ibnu Katsir, juzu'4, m.s.49.
[9] Riwayat Musonnif Abdur Razzak, Bab Ta'lim (Pengajaran) al-Qur'an dan Kelebihannya, juzu'3, m.s.380, no.6027.
[10] Riwayat at-Tobrani dalam Musnad asy-Syamiyyin, no.1345, dan Riwayat Qudho'I dalam Musnad asy-Syihab, no392 daripada Abdullah bin Amr marfu' (daripada Rasulullah). Al-Albani melemahkan hadis ini dalam bukunya Silsilah al-Ahadith ad-Dho'ifah, no.2524, dan diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam Fadhoil al-Qur'an, m.s.149, no.134, katanya: "Ahmad bin Usman menceritakan, daripada Ibn al-Mubarak, daripada Yahya, atau Isa bin Abdur Rahman,daripada Ahmad bin Abi Labibah, dia berkata: telah menceritakan kepadaku Nafi' Abu Suhail marfu' sepertinya. Ia juga lemah kerana irsal. Diriwayatkan juga daripada al-Hasan bin Ali marfu' seperti yang dikatakan oleh Abu Ubaid. Maka hadis ini boleh naik kepada hadis hasan li ghoirihi.

No comments:

Post a Comment