Thursday, August 18, 2011

Isteriku di ambang Jihad

Isteriku
pernah dulu
kau mengadu
mengapa kanda keluar berjihad?
sedang dinda di sini hanya memandang?
Aku tertawa dengan rajukmu itu
Aku tahu engkau ingin turut bersamaku
Lalu jawabku
dengarlah dinda kata-kataku
usaha kerasmu di gubuk ini
melahirkan dan mendidik generasi muda
itulah jihadmu! 
bukankah solat wanita di rumah lebih baik dan berganda
 daripada solatnya di masjid Nabawi
ketahuilah dinda
usah berduka
kau isteriku
yang di ambang jihad!
Ketika kau merintih
sakitnya melahirkan
ketika kau kesakitan
mengalir air mata tanpa dapat kautahan
peritnya kepedihan
maka kubisikkan
sayangku adinda
inilah dia yang dinda impikan
inilah jihad bertarung nyawa untuk melahirkan
sayangku adinda 
kini maut di depan mata kita
janji Tuhan terpampang nyata
sebuah kemenangan atau syahid di jalan-NYA
mendidik insan atau syurga-NYA
antara dua
semuanya anugerah buatmu
menang atau syahid
kerana isteriku
sesungguhnya dirimu di ambang Jihad!
Senyumanmu mekar dalam tangisan
kulihat kau berjuang menantikan
esak tangis kegembiraan
mendengarkan suara si kecil merengek kecil
azan berkumandang
sesungguhnya sayang
ini jihadmu
jihad para wanita sepertimu
maka berbanggalah
atas nama seorang Muslimah!


No comments:

Post a Comment