Thursday, August 25, 2011

PEMBEDAHAN PLASTIK: PERUBATAN ATAU KECANTIKAN



Sudah menjadi fitrah manusia dan sifat semulajadinya; suka akan kecantikan dan ingin kelihatan cantik. Oleh itu, Islam tidak melarang umatnya daripada berhias dan mencantikkan diri, selagimana ia tidak melampaui batasan syariat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai anak cucu Adam! Pakailah perhiasanmu (pakaianmu yang bagus) pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan melampaui batas. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan milik Allah yang telah Dia sediakan untuk hamba-hamba-Nya dan rezeki yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang-orang beriman dalam kehidupan dunia, dan khusus (buat mereka) pada hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui” (al-A’raf: 31-32).

Namun, persoalannya sekarang; adakah menjalani pembedahan plastik untuk menjadi cantik dibenarkan dalam Islam? Adakah mencantikkan diri melalui pembedahan plastik dianggap melampaui batasan syariat? 

Jawapannya; tidak semua pembedahan plastik yang dibuat untuk mencantikkan diri dianggap melampaui batasan syariat. Pembedahan plastik yang tidak melampaui batas dibenarkan dalam Islam. Hanya pembedahan plastik dengan tujuan menjadi cantik yang melampau sahaja yang diharamkan dan dilarang dalam Islam demi mejaga kebajikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. 

Malah, pembedahan plastik ini sebenarnya adalah suatu proses kecantikan yang sudah berkembang sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. 

Antara bentuk pembedahan plastik yang jelas dibenarkan sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan untuk menghilangkan aib daripada badan dan wajah akibat kemalangan atau penyakit atau yang wujud sejak lahir. 

Contohnya membuat hidung daripada emas dan perak untuk menggantikan hidung yang telah cacat, seperti yang dilakukan oleh seorang sahabat yang bernama ‘Arfajah bin As’ad r.a. Hidung beliau telah cacat ketika peperangan, maka beliau telah membuat hidung daripada perak, lalu keluar bau yang kurang menyenangkan, maka Nabi s.a.w. pun bersabda: “Kenapa kamu tidak menggunakan hidung daripada emas?” (riwayat at-Tirmizi). 

Manakala, bentuk rawatan kecantikan yang dilarang sejak zaman Nabi s.a.w. ialah mana-mana bentuk rawatan kecantikan melampau yang mengubah ciptaan Allah s.w.t. dan menipu manusia. 

Antara contoh rawatan kecantikan yang dilarang ini ialah perbuatan melukis tatu pada badan, membuang bulu roma yang tidak menimbulkan aib, merenggangkan gigi dan apa-apa bentuk rawatan kecantikan yang membawa kepada pengubahan ciptaan Allah s.w.t. dan penipuan.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu, orang yang membuang bulu roma dan orang yang meminta bulu roma dibuang, serta orang yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik (secara melampau) yang mengubah ciptaan Allah” (riwayat Muslim).  

Disebabkan pembedahan plastik pada hari ini sudah semakin moden dan canggih, maka amat penting untuk kita mengetahui apakah bentuk pembedahan plastik moden yang dibenarkan dalam Islam? Dan apakah pula bentuk pembedahan plastik melampau yang diharamkan dalam Islam?  Jawapan kepada persoalan ini boleh dilihat daripada segi tujuan dan kesan pembedahan plastik ini.

Pertama, pembedahan plastik yang tidak melampau yang dibenarkan dalam Islam

Tujuan pembedahan plastik ini adalah untuk mencantikkan mana-mana bahagian badan akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir. 

Misalnya; telinga yang terlalu besar yang diluar kebiasaan, hidung yang senget, terlebih jari tangan atau kaki, bibir yang sumbing, dan apa-apa keaiban yang terdapat pada muka dan badan yang menarik perhatian ramai lalu menyebabkan seseorang merasa malu dan hilang keyakinan diri. 

Oleh itu, sekiranya seseorang dilahirkan dalam keadaan bibir yang sumbing misalnya, maka Islam membenarkannya untuk menjalani pembedahan plastik bagi mencantikkan bibir. Begitu juga, bagi wanita yang mengidap kanser payudara lalu payudaranya terpaksa dibuang, maka Islam membenarkan wanita ini untuk menjalani pembedahan plastik untuk menggantikan payudaranya. Malah, sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan muka seseorang melecur, maka Islam membenarkannya menjalani pembedahan plastik untuk mencantikkan bahagian muka yang melecur. 

Asas kepada bentuk pembedahan plastik yang dibenarkan dalam Islam ini ialah:

1. Pembedahan plastik ini bertujuan untuk kembali kepada fitrah asal ciptaan Allah s.w.t. yang sememangnya cantik dan indah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (at-Tin: 4). 

2. Pembedahan plastik ini juga memberi kesan yang positif kepada pesakit dengan menghilangkan rasa segan dan tekanan perasaan  akibat kecacatan yang dialami.

3. Pembedahan plastik ini ialah suatu bentuk pembaikpulihan serta pengubatan, dan bukannya suatu bentuk pengubahan kepada ciptaan Allah s.w.t. Sebagaimana orang yang demam diberi ubat demam untuk pulih, begitulah juga orang yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, atau penyakit, atau sejak lahir dipulihkan dan diubati melalui pembedahan plastik ini.

Oleh itu, seseorang yang ingin menghilangkan kecacatan dan keaiban (akibat kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir) melalui pembedahan plastik, pesakit mestilah memastikan bahawa pembedahan yang akan dijalani selamat, tidak membahayakan diri, serta tidak memberikan kesan yang lebih buruk berbanding dengan apa yang dihadapinya sekarang. 

Begitulah luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang membenarkan pembedahan plastik ini bagi memastikan ketenangan hidup manusia agar kita tidak merasa tertekan dengan kecacatan dan keaiban yang dialami. 

Namun begitu, amat penting untuk diingati bahawa sebarang keaiban yang berlaku secara semulajadi dan tidak dianggap sebagai suatu bentuk penyakit oleh pakar perubatan, maka Islam melarang sama sekali untuk kita menjalani pembedahan plastik bagi menghilangkan keaiban tersebut.

Contohnya, apabila muka kita berkedut akibat proses penuaan, maka kita tidak dibenarkan menjalani pembedahan plastik untuk menghilangkan kedutan tersebut. Begitu juga, apabila payudara seorang wanita mengendur akibat usia yang semakin meningkat, maka Islam melarangnya daripada menjalani pembedahan plastik terhadap payudaranya. Ini kerana perbuatan menghilangkan keaiban akibat proses semulajadi melalui pembedahan plastik termasuk dalam pembedahan plastik  bahagian kedua yang melampau dan tidak dibenarkan dalam Islam.

Kedua, pembedahan plastik yang melampau yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Antara bukti luasnya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t maka Dia telah mengharamkan pembedahan plastik melampau yang memberikan kesan negatif yang besar terhadap manusia itu sendiri. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan segala perbuatan keji yang terlihat dan yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan melampau tanpa alasan yang benar, dan perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu sedangkan Dia tidak menurunkan alasan untuk itu, dan (Dia mengharamkan) kamu membicarakan tentang Allah dengan apa yang tidak kamu ketahui” (al-A’raf: 33).

Pembedahan plastik dianggap melampau disebabkan dua keadaan: 

Pertama, apabila tidak terdapat sebarang kecacatan atau keaiban pada diri seseorang yang diiktiraf oleh pakar perubatan, namun seseorang itu tetap melakukan pembedahan plastik ini. 

Kedua, apabila keaiban yang berlaku adalah akibat proses penuaan yang berlaku secara semulajadi, dan seseorang itu menjalani pembedahan plastik demi menghilangkan tanda-tanda penuaan. 

Dengan kata lain, sekiranya keaiban yang terjadi bukan disebabkan  kemalangan, penyakit, atau yang disebabkan oleh kecacatan sejak lahir, maka hukum menjalani pembedahan plastik ini adalah haram sama sekali.

Ini kerana, pengharaman ini mempunyai hikmah dan rahsianya yang tersendiri, dan asas kepada pengharaman pembedahan plastik yang melampau  ini ialah:

1. Pembedahan plastik dijalankan dengan melukakan anggota badan seseorang, jadi sebarang bentuk perbuatan yang melukakan anggota badan pada asalnya adalah haram. 

2. Pembedahan plastik ini mengubah ciptaan Allah s.w.t.

3. Pembedahan plastik ini merupakan satu bentuk penipuan.

Antara contoh pembedahan plastik haram yang semakin banyak dilakukan adalah seperti pembedahan plastik untuk memancungkan hidung, menegangkan kulit, membesarkan payudara, menukar warna kulit, menukar jantina, dan sebagainya… 

Sayang sekali, pada zaman yang semakin moden ini, ramai yang lupa bahawa adalah mustahil bagi manusia untuk kekal muda dan cantik di dunia yang sementara ini. Syaitan telah membisikkan cita-cita dalam hati manusia untuk menjadi cantik dengan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Maka, bertambah ramai manusia yang amat mementingkan kecantikan luaran sehingga banyak wang dibazirkan demi menjalani pembedahan plastik yang diharamkan oleh Islam, yang mengubah ciptaan Allah s.w.t., yang menipu dan membohongi diri sendiri dan orang lain. 

Iblis dan syaitan telah menipu mereka sebagaimana yang digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud: 
“dan syaitan berkata: dan aku pasti akan mengambil bahagian tertentu daripada hamba-hamba-Mu, dan aku pasti akan menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong dalam diri mereka, dan pasti aku akan menyuruh mereka memotong telinga-teling binatang ternak, dan aku pasti akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah (lalu mereka akan mematuhinya). Barang siapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia telah menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu terus-menerus memberikan janji-janji kosong kepada mereka dan membangkitkan angan-angan dalam diri mereka, padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan penipuan semata-mata” (an-Nisa’: 118-120).    
   
Oleh itu, andai ada di antara kita yang terlibat dalam pembedahan plastik melampau, atau mempunyai keinginan untuk menjalaninya, atau mengenali sesiapa yang terlibat dengan pembedahan plastik melampau ini… Sedarlah, dan sedarkanlah mereka bahawa pembedahan plastik melampau ini hanya akan menipu diri sendiri, menyebabkan diri sendiri menyangka bahawa dirinya semakin muda, semakin cantik, semakin dipuji dan dipuja, lalu terus alpa dan leka dalam kehidupan dunia yang sementara… 

Marilah kita perhatikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam (manusia) agar kamu tidak menyembah syaitan (dengan mematuhi bisikannya)? Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata bagimu” (Yasin: 60). 

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk menyedarkan mereka yang tertipu dan memberi jawapan kepada persoalan yang dibisikkan oleh syaitan yang sering bermain di fikiran mereka, seperti;  adakah salah untuk menukar jantina atau menukar bahagian badan sendiri atau kelihatan muda sentiasa?  Bukankah ini badan saya? Sayalah yang menanggung akibatnya? Kenapa perlu ada orang lain yang campur tangan? Saya tahu siapa saya dan apa yang saya mahu dan apa yang terbaik buat diri saya… 

Syaitan telah menjadikan mereka lupa bahawa anggota badan mereka ialah milik Allah, amanah Allah kepada manusia, dan syaitan menjadikan mereka lupa bahawa Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaan-Nya. 

Dialah yang menjadikan seseorang itu lelaki atau wanita, hitam atau putih, muda dan kemudiaanya tua, dengan pelbagai bentuk dan rupa… dengan penuh rahmat, hikmah, dan sebagai ujian daripada-Nya. Pastilah Dia yang Maha Pencipta lebih mengetahui apa yang terbaik buat makhluk ciptaan-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu menurut ukuran” (al-Qamar: 48).

Andai ada yang sudah terlanjur menjalani pembedahan plastik yang dilarang ini, andai yang lelaki sudah bertukar seolah-olah wanita, wanita seolah-olah lelaki, tua seolah-olah muda, dan seumpamanya… maka selagi hayat masih ada, maka pintu taubat masih terbuka. 

Bertaubatlah, dengan menyesali segala dosa. Sedarlah bahawa kecantikan yang abadi dan hakiki hanya dapat diperolehi di syurga nanti. Sediakanlah bekal dengan melakukan amal soleh, dan menjauhi segala dosa. 

Ingatlah bahawa dalam kehidupan dunia yang sementara ini, tiada kecantikan yang akan kekal. Semuanya akan musnah dan kembali menjadi tanah. 

Carilah para Ulama’ yang diyakini dapat membantu kita mengenali diri sebagai hamba-Nya, pergilah ke masjid-masjid, ke majlis-majlis ilmu, kerana ilmu itu ialah cahaya-Nya yang dapat melenyapkan kejahilan dan kesesatan, dan berdoalah kepada-Nya agar memudahkan segala usaha kita ke arah mencapai keampunan dan redha-Nya.

Marilah kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. (iaitu) orang yang membelanjakan harta (besedekah), ketika waktu lapang dan sempit, orang-orang yang menahan dirinya daripada marah, orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain, dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka kembali mengingati Allah, lalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya, dan siapakah lagi yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal” (Ali Imran: 133-136). 




2 comments: