Sunday, December 11, 2011

Boleh ke perempuan berkawan dengan lelaki dalam Islam?

"Ustazah, dalam Islam, orang perempuan boleh tak kawan dengan orang lelaki?"
Pertanyaan kawan sekelasku menarik perhatian semua. Kelas yang terdiri daripada wanita sahaja menjadikan kami lebih bebas melontarkan persoalan kepada Ustazah yang kami kasihi.

Ustazah tersenyum. Seperti biasa.

"Em, apa maksud berkawan tu ye? Kalau kawan yang maksudnya lelaki dan wanita dalam Islam itu bukan musuh, maka jawapannya YA, wanita adalah kawan lelaki, boleh berkawan maksudnya kita bukan bermusuh. Dengan kata lain, wanita dan lelaki berkawan dalam saling bantu-membantu menyuruh kepada yang makruf, menegah yang mungkar seperti firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ  
التوبة : 71
Maksudnya: dan orang-orang beriman; lelaki dan wanita sebahagian mereka adalah pembantu kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang dirahmati oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

"Oo jadinya, kita bolehlah berkawan dengan lelaki kalau nak buat program ke.. dalam kelas ke.. masa kelas, belajar sama-sama ke.." Seorang lagi rakanku memberi soalan dalam bentuk kenyataan. Aku hanya menjadi pendengar setia, cuba memahami dan meneliti.
Ustazah tersenyum lagi lalu menjawab; "Ha~ tapi kita ingat.. Dalam Islam semua perkara dan urusan ada batas dan limitasi. Ya, kita ini berkawan dan bukan memusuhi lelaki, tapi ada batas pergaulan dan batas berkawan. Okey, sebelum kita bincang apa batas berkawan dengan lelaki, ustazah nak tanya, ada tak batas pergaulan dan batas berkawan wanita dengan wanita?" 

"Mana ada.."
"Eh, ada, ada.."
"Ada la sikit.."
"Eh, ada ke?"
Kelas sedikit hingar bingar dengan pelbagai jawapan. Ustazah di hadapan hanya tersenyum.

Ustazah memberi jawapannya; "Jawapannya; ada.. Bila kita berkawan dengan sesama wanita, kita boleh pegang, boleh tenung, boleh bergurau senda, bertepuk tampar, selagi mana tidak melampaui batas. Apa batasnya: 
1. Aurat. Kena jaga aurat sesama wanita. Paling minima, pusat ke lutut, jangan dedah peha, masa mandi kat kolah asrama tu, jaga aurat. Masa tidur pun, pastikan aurat tak terbuka, eloknya pakai seluar panjang ye.. Jangan memandang dengan nafsu syahwat.
2. Sentuhan, jangan sentuh bahagian aurat dan bahagian yang menaikkan nafsu syahwat. 

Ustazah menuliskan dua point di hadapan kelas. 

"Kita sekarang di zaman Lesbian dan Gay sudah mula diberi pengiktirafan dalam dunia barat. FIlem-filem, bahan media yang menyokong juga dah berlambak dalam internet. Kena jaga dan lebih berhati-hati.." 

Kalau dengan lelaki yang bukan mahram pula, batasnya ialah:
1. Aurat: Seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Ha~ ni semua dah tahu kan..
2. Sentuhan: Haram menyentuh.
3. Suara: Haram melunakkan suara, sengaja memanjakan suara..
4. Aktiviti bersama tanpa keperluan (Ikhtilat) percampuran bebas dalam permainan, dan sebagainya.
5. Wangian. Tak boleh pakai minyak wangi sehingga boleh terhidu oleh lelaki.

"Ha? habis bedak pun ada pewangi ustazah.. Syampu, sabun.." Seorang pelajar pula memberi komen.

Ustazah masih dengan senyuman manisnya. "Kalau bau bedak/sabun/syampu dan yang seumpamanya tu.. itu kalau duduk dekat-dekat baru bau kan? Sebab tu tak boleh duduk dekat-dekat dengan lelaki. Ha, bagus soalan kamu tu, ustazah tambah lagi satu point.."

6. Jarak. Tak boleh duduk dekat-dekat dengan sengaja.

Kami semua ketawa geli hati. 

Ustazah menyambung lagi: "Ini secara ringkasnya. Jadi, nak belajar bersama-sama, kalau ada keperluan perbincangan dalam kumpulan kena ada Ustazah atau Ustaz yang memantau. Jangan berlebih-lebihan. Seelok-eloknya belajar bersama-sama rakan wanita.. Em, tapi kenapa ye kita rasa lebih seronok nak belajar dengan lelaki bukan mahram? Seronok boleh bergurau senda? Bergelak ketawa bersama-sama? Ha~ dalam Islam, semua benda yang membawa kepada nafsu syahwat itu haram ye sayang.. bahaya.. Sebab itu Allah larang kita mendekati zina.. dan segala pintu-pintunya. Bukan bermakna kita bermusuh dengan lelaki, tapi kita berkawan dengan mereka, menjaga hati mereka, sama-sama ke syurga dengan redhaNya..Batas-batas ini bukanlah kongkongan, tapi ini untuk menjaga lelaki dan wanita agar sama-sama berjaya di dunia dan di akhirat.."

Semua pelajar hanya mengangguk-anggukkan kepala. FIkiran masing-masing dengan persoalan masing-masing. Lebih senang bertanya secara personal. Ada juga yang bertemu Ustazah selepas kelas untuk bertanya lanjut. Aku hanya terdiam memerhati dalam hingar bingar kelas yang baru ditamatkan.

Em~ kesimpulannya, kalau betul seorang Muslimah ingin berkawan dengan seorang Muslim, mahukan teman yang boleh bermesra, kawan yang boleh diluahkan isi hati, bergurau senda, berkongsi pahit manis, suka dan duka.. kena berkahwin dulu, atas akad yang sah yang menghalalkan segala.. Menyalurkan tuntutan nafsu secara fitrah lagi diredhai-Nya.. kalau tidak, kalau bukan dengan akad pernikahan, maka seorang Muslim dan Muslimah itu kena jagalah batas-batas berkawan dengan lelaki ni ye..^_^


6 comments:

  1. assalamualaikum saya share ya.. maaf terima kasih

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam.. Silakan.. terima kasih ^_^

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah..~ Allah beri petunjuk lagi sekali pada saya.. :)

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum awak kita minta izin share 😊

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum awak kita minta izin share 😊

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

    Satu perkongsian yang menarik mengenai hubungan lelaki dan perempuan berkawan. Jemput ke blog saya Jalalboy untuk membaca mengenai Boleh berkawan tetapi jaga batas

    ReplyDelete