Thursday, September 8, 2011

Mendidik anak mendengar kata: Tip no. 1

"Tak nak! Tak nak!". Maryam anakku yang berumur 3 tahun itu mula membentak. Aku menyuruhnya meletakkan semula permainan-permainan 'baby doll' yang dipegangnya itu. Membawa anak-anak ke pusat membeli-belah adalah satu cabaran buat para ibu bapa. Lagi pula, suamiku tiada untuk membantuku tika ini kerana ada urusan kerja di luar negara. Aku memaksakan senyumku. Malu juga kalau Maryam mula menangis dan menjerit-jerit nanti.

Aku menarik nafas panjang, melancarkan lidah mengucap "La ilaha illallah!" (Tiada Tuhan melainkan Allah!) Makhraj hurufnya yang hanya di hujung lidah membolehkan aku menyebut Kalimah mulia ini berkali-kali tanpa perlu menggerakkan bibir. Tenang sedikit. Aku memeluk dan mencium pipi Maryam. Strategi memujuknya bermula. Aku membacakan 3 Qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Naas) dan meniupkan ayat-ayat ini ke ubun-ubunnya. Maryam mula merengek sambil mendengar bacaanku. Aku meneruskan pula dengan ayat Kursi. Maklumlah, syaitan suka mengacau kanak-kanak dan menggoda mereka agar mahu yang bukan-bukan. 

"Ummi sayang Maryam. Maryam sayang Ummi?" Soalan itu sering kuulang sejak dia kecil lagi sehingga sekarang.

"Sayang!" Jawapan itu juga yang kuulang dan kuajarkan Maryam agar menuturkannya sejak dulu. Kini, Maryam sendiri yang akan menjawab begitu tanpa perlu lagi kusebutkan.

"Sayang, Ummi nak minta tolong Maryam boleh?" Aku tersenyum memandang Maryam.

"Boleh!" Maryam segera menjawab.

"Bagi Ummi ye" Aku berkata sambil cuba menarik permainan yang dipegangnya perlahan-lahan. Walaupun agak sukar melepaskannya, akhirnya permainan itu dilepaskan juga dan aku segera meletakkan semula permainan itu di tempatnya.

"Terima kasih Maryam sayang! Ummi sayang Maryam!" Aku mengakhiri kata-kataku dengan menghadiahkan dirinya satu ciuman.

Aku segera bergegas ke tempat pembayaran bersama Maryam.

---------------------------

Malam itu, sebelum tidur, seperti biasa:

"Ummi sayang Maryam.. Maryam sayang Ummi?"

"Sayang!"

"Ummi nak minta tolong Maryam boleh?"

"Boleh!"

"Cium Ummi ye.." Aku mendekatkan pipiku ke bibirnya. Satu ciuman hinggap ke pipiku. Aku tersenyum.

"Terima kasih Maryam sayang! Ummi sayang Maryam!" Aku mengakhiri kata-kataku dengan menghadiahkan dirinya satu ciuman.

Kemudian, aku membacakan 3 Qul, ayat Kursi, dan doa sebelum tidur sambil diraupkan ke seluruh tubuhnya. Maryam terlena di sampingku sambil mendengarkan alunan ayat Qur'an yang aku bacakan untuknya. Setelah penat membacakan al-Qur'an. Aku memasang MP3 ayat-ayat al-Qur'an bacaan Syeikh Misyari al-Affasi..dan turut terlelap bersamanya..




No comments:

Post a Comment