Friday, September 9, 2011

Mendidik anak: Tip no. 2

"Nuh, Maryam.. Main tepi tangga bahaya.. Nanti jatuh.." Sudah beberapa kali aku berpesan. Namun tidak diendahkan mereka berdua. Berlari naik dan turun tangga di rumah ayah dan ibuku. Mungkin kerana di rumah yang suami dan aku sewa kini tiada tangga, jadi mereka agak teruja setiap kali balik kampung. Asyik berlari, berlumba menaiki tangga kayu di sini. Aku menggeleng-gelngkan kepala. Risau juga melihat mereka yang baru berusia 3 tahun. Memanjat-manjat tangga sambil terlompat-lompat. Kalau jatuh bergolek takut terhantuk kepala. Bahaya juga. Emm tapi sampai bila hendak kularang. Biarlah mereka belajar daripada pengalaman. Walaupun dalam hati, asyik berdebar risau. Hanya doa yang mampu kupanjatkan.

"Waaaaaaaaa" Jeritan tangisan mula kedengaran. Maryam jatuh bergolek. Nuh tergamam berdiri. Aku pula berlari melihat Maryam. Aku menarik Nuh dan Maryam ke dalam riba sambil memeluk mereka erat bercampur geram. Tengok sekali lalu, tidak berdarah pun. Hmm okeylah. Budak-budak!

"Sakit?" Tanyaku bersahaja. Maryam hanya merengek-rengek. Nuh terdiam tak terkata. "Nuh tolak!" Maryam menambah. Nuh hanya terdiam pucat.

"Sebab itulah kena dengar cakap Ummi. Bila tak mahu dengar cakap Ummi, syaitan suka. Syaitan suruh main lagi kuat, Nuh pun tertolak Maryam. Maryam jatuh. Nuh dan Maryam pun bergaduh. Syaitan sukalah kalau Maryam dan Nuh bergaduh.." Aku menerangkan panjang lebar.

"Nuh tak bergaduh pun dengan Maryam.." Nuh menjawab membela diri.

"Baguslah kalau tak bergaduh. Salam. Minta maaf." Aku memberikan arahan. Nuh dan Maryam bersalaman.

"Minta maaf". Nuh dan Maryam bersuara.

Aku mencium mereka berdua.
-----------------------

Realiti itu adalah sebaik-baik guru. Biarkan anak-anak mengutip mutiara pengalaman mereka yang tersendiri..

No comments:

Post a Comment