Sunday, September 18, 2011

Nota Hati Dinda Buat Kanda

Arina tersenyum. Langit membiru di jendela pejabatnya itu menambahkan ketenangan di hati. Dia kembali mengadap laptop. Taipannya dimulakan dengan basmallah.. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..



Nota hati dinda buat kanda

Kanda,
Nota hati ini dinda patrikan di sini, agar kekal manisnya rasa, mekar indahnya bunga-bunga cinta, terpatri janji dinda buat kanda. Dinda catatkan memori indah, dinda kuiskan memori gundah kita bersama. Biar yang buruk itu sirna tenggelam dimamah usia. Biar yang baik-baik itu kekal indah dalam nota berupa tulisan di alam maya. Ya, tulisan itu satu kata-kata hidup yang kekal walaupun setelah kematian si penulis. Maka, terimalah kanda, nota hati dinda..

Kanda,
Masih kekal di ingatan dinda, saat bermulanya detik nama kanda disebut-sebut dinda. Di bulan Ramadhan yang mulia, kanda merisik dinda menggunakan orang tengah. Kala sahabat dinda menceritakan perihal kanda, hati dinda berbunga mekar... Bagaimana tidak, akhirnya diri ini ada yang ingin menyuntingnya.. Tahukah kanda, selepas itu dinda bertungkus-lumus mengumpulkan maklumat berkenaan kanda? Kerana sebagaimana kanda tidak mengenali dinda, begitu jugalah dinda tidak pernah mengenali kanda secara dekat, walau kita pernah bertemu mata dalam program anjuran university tercinta.
Satu sebab penting daripada pihak kanda, terpaksa menghalang risikan pertama untuk menjadi nyata. Risikan tersebut kanda tarik semula dengan alasan yang  dinda terima dengan redha.
Namun setelah beberapa ketika, setelah berlalunya beberapa purnama, setiap kali dinda hadir di program bersama kanda, ada usikan-usikan nakal sahabat-sahabat kanda berkenaan dinda. Entah mengapa, dinda rasa bagai cerita antara kita diketahui semua. Para sahabat kanda dan para sahabat dinda cuba menyatukan kita dengan pelbagai cara. Dinda cuba mengelakkannya atas rasa malu yang mula menebal dalam diri. Sesungguhnya, setiap kali dinda melihat kanda, hati dinda tidak keruan, terus ingin melarikan diri dan rasa pilu dan hiba mencengkam dada setiap kali dinda teringatkan risikan kanda yang terpaksa dibatalkan sahaja.
Namun...
Syukur yang tidak terhingga dinda panjatkan kepada Ilahi. Kanda akhirnya datang ke rumah dinda bertemu ayah bonda. Siapa sangka, sebab yang menghalang risikan kali pertama itu dihilangkan oleh yang Maha Esa tanpa sebarang noda. Akhirnya, kita membina rumah tangga bahagia.

Kanda,
Sesungguhnya dinda bahagia di samping kanda. Status dinda di kalangan masyarakat dunia mungkin kelihatan tinggi berbanding status kanda.. Namun, yakinlah, status kanda pada pandangan dinda itu sering yang tertinggi selepas Allah dan Rasul-NYA. Dinda kagumi kemuliaan budi kanda. Betapa kanda tidak pernah ego terhadap dinda. Tidak pernah kanda ungkit kekurangan dinda. Kanda terima dinda seadanya. Kanda laksanakan tanggungjawab kanda sebaiknya. Kanda restui kerjaya dinda. Kanda sokong dinda sepenuhnya. Kanda tawarkan bantuan sedaya yang kanda mampu. Dinda bahagia bersama kanda. Bahagiakah kanda di samping dinda? Dinda redha dengan segala yang diberikan kanda, redhakah kanda akan dinda? Maafkan dinda, kesibukan dinda kadang-kadang menghalang dinda melaksanakan tanggungjawab dinda sebaiknya. Maafkan dinda.. Redhailah dinda..

Kanda,
Tika ini dinda tersenyum. Ya, dan dinda ingin melakarkan senyuman bahagia ini di sini. Setiap kali dinda bertanya; Kanda redha pada dinda tak? Pasti kanda akan menarik dinda dalam pelukan kanda, hingga mampu dinda dengari dengan jelas degupan jantung kanda. Kanda cium dahi dinda penuh kasih. Kanda bisikkan; kanda redha.. berkali-kali.. dan dinda pasti tersenyum sambil mengalirkan air mata terharu, penuh cinta..
Kanda,
Sesungguhnya dinda pasti bahagia bila melihat kanda bahagia, sebagaimana dinda yakin, betapa kanda bahagia dengan bahagianya dinda. Kanda, andai kehadiran isteri kedua itu dapat lebih membahagiakan kanda, maka dinda akan turut bahagia menyambutnya.. Sesungguhnya, sepanjang rumah tangga kita, tidak ada satupun yang dinda rasakan kurang daripada pihak kanda, cuma dinda rasa dinda inilah yang sering kurang dalam melaksanakan tanggungjawab dinda terhadap kanda. Maafkan dinda.. Dinda turut menyimpan segunung harapan buat bakal madu dinda, agar dengan kehadirannya, tanggungjawab dinda terhadap kanda semakin ringan dengan perkongsian tanggungjawab yang bakal kami usahakan bersama.. Sesungguhnya, dinda meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap kanda.. Kanda usahlah risau akan dinda.. Poligami tidak pernah dinda benci sebagaimana dinda tidak pernah membenci monogamy..

Kanda,
Dinda berjanji kepada kanda, akan terus setia menyintai kanda. Percayalah kanda, tawaran poligami yang dinda berikan ini, tidak langsung menunjukkan bahawa cinta dinda kepada kanda sudah berkurangan. Dinda mencintai kanda, amat-amat mencintai kanda. Cemburu dinda tidak membutakan dinda daripada melihat betapa dinda banyak mengabaikan tanggunjawab dinda pada kanda. Dinda rasa bersalah terhadap kanda. Betapa dinda menangis sendiri melihat lelahnya kanda menguruskan anak-anak kita yang masih kecil. Walau kanda sering menafikan kelelahan kanda.. Sesungguhnya dinda menyedari... Walaupun kanda dengan tulus meredhai kesibukan dinda, namun jauh di hati dinda, dinda masih terasa berat dan hiba kerana terpaksa menyusahkan kanda sebegini rupa.. Maka, sambutlah kanda, tawaran dinda ini dengan lapang hati..

Kanda,
Dinda masih ingat, kala tawaran ini dinda suarakan kepada kanda. Mahukah kanda mencari isteri kedua? atau mahukah kanda dinda yang mencarikannya? Kanda hanya tersenyum, dan dinda masih ingat senyuman kanda itu. Senyuman itu, senyuman yang menggambarkan betapa beratnya kanda untuk menjawabnya. Senyuman terpaksa. Terus tajuk perbualan itu kanda larikan kepada tajuk yang lain. Dinda menyedari bahawa kanda tidak suka membincangkan soal poligami. Kelu lidah dinda untuk berbincang berkenaan soal ini lagi bersama kanda.. Maka, antara sebab itulah, dinda mencoretkan nota hati ini, agar dinda dapat menulisnya dengan lancar dan kanda juga dapat membacanya dengan hati yang tenang..

Kanda,
Tahukah kanda? Dinda amat bangga dikurniakan kanda sebagai suami. Kanda amat ingin menjaga hati dinda. Kala dinda menangis, kanda memujuk dinda. Kala dinda kesakitan, kehadiran kanda meredakannya.. Dinda tahu, kanda berat untuk berpoligami kerana tidak mahu melukakan hati dinda. Tapi tahukah kanda, hati dinda lebih terluka dan disayat hiba bila terpaksa meninggalkan kanda sendirian bersama anak-anak tercinta, sedang dinda kesibukan menguruskan tanggungjawab dinda di luar sana atas sebab kontrak kerja yang mengikat dinda..

Kanda,
Tahukah kanda? Pernah dulu dinda menyangka bahawa tiada sesiapa yang sudi mengambil dinda sebagai isteri. Dalam kesibukan, dinda tetap ingin berkahwin walaupun dinda tahu, dinda tidak mampu menunaikan tanggungjawab dinda sebagai isteri sebaik mungkin, dan rahim yang ada ini, menjadikan fitrah ingin melahirkan itu begitu tinggi..dan dinda merindukan syahid dalam melaluinya..Kerana itu, sebelum kanda merisik dinda, dinda tidak pernah membayangkan bahawa dinda akan menjadi isteri pertama. Sebelumnya, dinda hanya menawarkan diri menjadi isteri kedua atau ketiga atau keempat.. Namun, Tuhan menghadirkan kanda, rupa-rupanya dinda ditakdirkan menjadi isteri pertama.. Alhamdulillah..Segala puji itu hanya milik Allah..

Kanda,
Tahukah kanda? Impian dinda berumah tangga, adalah untuk berjihad di jalan-NYA. Andai jihad utama lelaki itu di medan perang, maka jihad utama isteri adalah di medan melahirkan. Sebagaimana lelaki merindui syahid, dinda juga merindui syahid. Syahid ketika melahirkan zuriat anak-anak kebanggaan Ummat dan Nabi Muhammad s.a.w...

Kanda,
Andai dinda pergi dahulu daripada dunia ini, dinda berasa tenang kerana sudah mengenali madu dinda yang baik budi, yang sudi mengambil tempat dinda untuk menjaga kanda & anak-anak kita.. Sesungguhnya, dinda sudah amat bersyukur kerana ditakdirkan menjadi isteri pertama kanda.. Semoga yang kedua nanti, jauh lebih baik berbanding dinda.. Ameen.. Namun, dinda tidak berniat untuk memaksa kanda.. Maafkan dinda kalau kanda terasa bagai didesak. Ini cuma nota hati dinda buat kanda. Tawaran ini dinda buka seluasnya buat kanda.. Terpulang kanda untuk memilihnya..

Kanda,
Dinda mencintai kanda, semoga cinta kita ini kekal hingga ke syurga.. untuk itu, maka dinda amat mengharapkan redha kanda buat dinda.. Maafkan dinda atas nota hati ini.. Kanda redha pada dinda tak?
  
 --------------------

Arina kembali tersenyum dengan air mata berlinangan. Dia lebih tenang begini..



1 comment:

  1. salam..
    kak..blh sy tahu..
    mmg akak & psngn gunakan glrn kanda dinda ke?
    klu ye..
    ap yg blh sy ckp kn..
    jika sorg gadis yg gunakan glrn Dinda b'sma psngn nye Kanda..
    gadis itu adlh sorg yg kuat, tabah hdpi stiap dugaan..
    gadis itu juga sntiasa b'sedia & rela dimadukan..
    krna dia hanya memikirkan akn kbhgian psngn nye..
    jika psngn nye bhgia maka diaa juga akn bhgia...
    namun.... prasaan gadis yg berglr dinda ini..
    hatinya amatlah unik..
    itu lah gadis yang berglr Dinda..

    ReplyDelete