Tuesday, January 24, 2012

Cinta si Tua

Lawatan ke rumah orang Tua

Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di sini mengikut program bersama berbelas rakan seperjuangan yang lain. Orang-orang tua yang sebaya ibu tercinta, amat memilukan hati sendiri. Salah seorang daripada mereka terbaring lesu tak bermaya. Perlahan aku menghampiri sambil mengelus lembut kepalanya. Lalu terus mencium dahinya penuh cinta. Dia adalah masa depanku. Aku tak pasti bila ajal akan tiba. Andai berumur panjang beginilah agaknya rupaku. Berkedut seribu. Terbaring lesu.

Lebih baik jaga lembu

Tiba-tiba telingaku menangkap bicara beberapa orang rakanku bersama seorang nenek tua. Nenek itu bertanya: "Anak-anak ni belajar lagi ke?"
Rakan-rakanku menjawab: "Ya, masih belajar kat universiti"
Nenek itu terdiam seketika, lalu mula bercerita dengan suara sebak. "Anak mak cik semua belajar di universiti terkemuka di luar negara. Kat USA, kat UK, semua sekarang kaya raya. Dulu mak cik duduk rumah besar. Mak cik dulu buka catering. Masa kenduri kahwin anak mak cik, mak ciklah yang masak semuanya. Tapi sekarang..." AIr matanya mula mengalir. Rakan-rakanku mengusap belakang mak cik tua, memujuk dia.. Aku masih duduk terpaku di sisi nenek tua yang terbaring, tanganku masih mengelus lembut kepalanya, sambil telingaku menangkap bicara mereka.. Ah.. nenek-nenek tua di sini, semua mereka.. pasti ada cerita tersendiri, sehingga akhirnya terlantar di sini, tanpa anak-anak di sisi..
"Kalau nenek tau, lebih baik jaga lembu! Tak perlu susah-susah jaga anak yang tak mengenang budi!" Kata-katanya yang tiba-tiba tersembur keluar bersama air mata, menyentap tangkai hati sesiapa yang mendengarnya. Ya Allah, siapakah anak-anak nenek ini? Sampai hati mereka buat begini.. Tidak takutkah mereka menderhaka kepada ibu yang begitu makbul doanya..


Cinta si Tua

Kami berada di rumah orang tua itu selama hampir 4 jam. Jam 1 petang kami mula berangkat pulang. Pelbagai cerita yang dikongsikan si nenek tua. Ustazku pernah berpesan;

sayangilah dan cintailah kanak-kanak, ketahuilah, mereka adalah bayangan masa silammu.. sayangilah dan cintailah orang-orang tua, ketahuilah, mereka adalah bayangan masa tuamu.. Cintailah si Tua, kerana dia, bayangan masa tua kita semua..

Persiapkan anak-anak

"Em, pendidkan memainkan peranan besar kan?" Seorang rakanku bersuara.
Seorang lagi menjawab: "Betul tu..Kalau ikutkan cerita nenek tadi, anak-anak dia semua belajar kat Western, dan Westerners terkenal dengan rumah orang-orang tua ni..Habis madu sepah dibuang.."
Em..aku terdiam. Memikirkan anak-anak sendiri. Patutlah sekolah agama sekarang semakin mendapat sambutan.. Alhamdulillah.. mungkin kesedaran ibu bapa hari ini semakin meningkat.. Ya, apabila ditanya nenek-nenek tua tadi, semua anak-anak mereka adalah daripada golongan yang berpendidikan tinggi, namun pendidkan mereka tinggi sekularnya, tiada pelajaran agama yang diterapkan, semuanya lebih kepada material semata-mata.. ALhamdulillah, tiada lagi kami bertemu, anak-anak yang berpendidikan agama meletakkan orang tua mereka di rumah orang-orang tua..
Maka, persiapkanlah anak-anak kita sebagai anak-anak soleh, bekalan hakiki buat negeri abadi..

Anak aset ke syurga.. video yang amat menarik untuk direnung bersama..
 

No comments:

Post a Comment