Thursday, December 6, 2012

Kami memohon perlindungan-Mu ya Allah

Ya Allah
Kami memohon belas ihsan-Mu
Kala semakin ramai lelaki zalim
yang tidak lagi mengasihani wanita
membiarkan wanita memikul bebanan
dan lelaki zalim berlenggang tangan
hanya tahu mengkritik dan mencari kesalahan
ah!
tidakkah lelaki tahu
wanita itu seperti kaca
amat mudah pecahnya
kenapa tidak dipegang dengan penuh berhemah?
sebagaimana ajaran Rasulullah?
kelemahan itu milik semua
lelaki juga ada kelemahannya
walau wanita itu hanya diam tidak bersuara
tidak mengkritik dan tidak menghina..


Ya Allah
Kami memohon pembelaan-Mu
Kala kami mengadu akan kehormatan kami
yang semakin terjejas dan berkurang
lelaki melihat ia isu rendah
yang tak layak dibicarakan
malah kami dimarahi
dicaci maki
sungguh kami terkesima
rindu kami makin membara
kalaulah Rasul masih di sini
melihat keadaan kami
pasti baginda akan bangun membela
sesuai dengan ajaran-Mu Ya Rabbi..


Ya Allah..
Kami memohon perlindungan-Mu
Kala kami kelemahan
mengharapkan pengertian
memohon pertolongan
mengadu keletihan
mengadu ketakutan
semakin ramai lelaki mengherdik kami
bercakap kasar lagi penuh benci
menganggap kami tidak menghargai
menganggap kami tidak mensyukuri
kata-kata Rasul-Mu yang mulia dijadikan hujah
mengikut nafsu mereka
tidakkah lelaki tahu
Rasul-Mu yang mulia itu pembela maruah wanita?
Baginda amat berlemah lembut
bercakap penuh hormat dan kasih
kepada para wanita
tidakkah mereka tahu
fizikal lelaki yang gagah itu
dijadikan untuk memikul bebanan
dan membantu wanita?
tidakkah mereka tahu?
lelaki itu diciptakan
untuk melindungi wanita?

Ya Allah
Kami memohon pertolongan-Mu
di kala semakin ramai para lelaki yang lupa
akan amanah dan tanggungjawab mereka
wanita dibiarkan mencari sesuap rezeki
dan mereka melahapnya tanpa henti
lelaki mahu menjadi raja
dan wanita dijadikan kuli mereka
tidakkah lelaki tahu
wanita itu amanah mereka?


Ya Allah
Dunia ini
bukan tujuan kami
kami tidak ingin akan dunia
maka
segala ujian ini
kesedihan bersilih ganti dengan kegembiraan
kesakitan bersilih ganti dengan kesihatan
menjadikan kami sedar
menjadikan kami lebih rindu
untuk pergi bertemu-Mu
Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani
pandanglah kami
hamba-Mu yang lemah ini
dengan pandangan rahmat dan keampunan
bantulah kami untuk menuju redha & syurga-Mu..
kami tidak ingin berlama hidup di dunia
kami tidak mencintai dunia
kami mencintai reda-MU & syurga-MU
matikanlah kami
sebagai para Syuhada'
dalam jihad kami
di alam rumah tangga yang penuh liku..
Bantulah kami Ya Allah..Ya Rahman..Ya Rahim.. T_T


No comments:

Post a Comment