Tuesday, March 6, 2012

Kemuncup Anak-anak

Berlari ke sana sini. Bingit memekik. Suara kanak-kanak riang bermain. Tengah hari yang panas terik. Hari minggu yang ditunggu-tunggu. Bermain daripada pagi lagi.

"Ummi! Air! Air!" Nuh berlari ke dapur. Masuk melalui pintu belakang. Berpeluh-peluh. Aku senyum lebar. Selebar mungkin. Meredakan geram yang mula bersarang. Apalagi melihat seluarnya yang dipenuhi kemuncup. Sabar je lah budak-budak ni..  Anak-anakku seorang lepas seorang masuk. Penat berlari, masuk minum air. Keluar semula. Berlari. Menjerit-jerit di padang permainan. Jarak yang lebih kurang 500 meter daripada rumah masih membolehkan suara mereka yang lantang itu didengari.

"Baca bismillah dulu", aku menyuakan botol air. Segera dideguk air yang diberi sambil mengucap bismillah antara dengar dan tidak. Gopoh. Lalu berlari semula bermain di luar rumah. Jam menunjukkan angka 11.45 pagi. Aku tersenyum lagi. Pasti dipenuhi kemuncup. Semua orang akan disuruh agar membuang kemuncup di seluar masing-masing. Suruhan perlu bernada lembut. Kalau enggan, aku akan melaporkan kepada suamiku, ayah mereka. Mudah sahaja.

-----------------

"Cepat! Sapa yang habis cabut dulu Ummi bagi hadiah!" Aku tersenyum kepada mereka.
Tekun mereka mencabut kemuncup. Penuh. Masing-masing dudk mengerumuni kotak yang aku sediakan khas untuk membuang kemuncup.

"Kenapalah..kemuncup ni suka melekat kat seluar orang.." Nuh membuka mulut.
"Ye la.. menyusahkan orang je.." Hud pula menyambung.
"Betul, betul.." Lut yang bongsu mengiakan saja.

Aku yang mendengar rasa teruja untuk mendidik mereka.
"Kemuncup tu tahu tugas dia. Memang itu pun kerjanya. Bagus dia taat pada Allah."
Aku mula memuji si kemuncup.

"Lah.. Kalau macam tu, buat apa susah-susah kena buang kemuncup ni. Susah-susah dia nak lekat, kita buang pula.." Hud anakku yang tengah mula memprotes. Aku terdiam. Senyuman ku lebarkan agar tidak stress menjawab sebarang soalan mereka.

"Pandai Hud. Faham betapa susahnya kemuncup nak lekat. Tapi kita sebagai manusia kena tolong dia, dia nak tumbuh. Kita kena letak kemuncup-kemuncup ni ditempat yang sepatutnya. Seluar kena dibersihkan. Sebab manusia ada akal. Kemuncup tak ada akal. Jadi dia lekat je kat seluar orang yang lalu dekat dia dan pijak dia.." Aku menjawab spontan.

"Ummi nak letak kat mana kemuncup-kemuncup ni?" Nuh pula bertanya.

"Nanti kita tanya abi ye..Em, mana ye tempat yang sesuai" Aku tersenyum. Dalam hati, aku sebenarnya ingin buang saja.

"Ha, kita letak dekat tempat orang jahat lalu, kalau dia lalu biar kemuncup ni lekat." Hud mula berangan.
"Betul, betul, nanti susah dia kena cabut, sibuk cabut, tak buat jahat." Lut menyambung idea abangnya.

Aku hanya tertawa ceria.



No comments:

Post a Comment